Nota Akhir Khadijah At-Thaharah
Sungguh panjang pengkisahan dalam coretan ini. Satu demi satu kisah dirungkaikan dalam coretan ini. Mungkin ini bukanlah satu hasilan sehebat pengkarya-pengkarya agung yang mampu membuatkan setiap orang kagum dan terpesona setiap kali membacanya. Kisah ini hanyalah datang dari insan biasa yang tiada punyai apa-apa keistimewaannya.
Sebenarnya banyak lagi yang ingin dicoretkan jika punyai kesempatan masa dan waktu. Namun, kisah ini juga rasanya terlalu panjang dirungkaikan. Bukan tidak mahu berkongsi dengan lebih banyak lagi, tetapi hati ini berkata: bukan semuanya mampu diluahkan di atas kertas, bukan semuanya mampu ditulis dengan mata pena. Semua kisah ini adalah satu kisah yang benar bukannya datang dengan hanya cereka dan rekaan semata-mata. Setiap kisah itu ada tersiratnya, kerana itulah tujuan coretan ini ditulis, bukan hanya mahu memberi sesuatu yang tiada isinya. Hakikatnya, setiap orang itu mempunyai cerita tersendiri dan pastinya semuanya itu diisi pengalaman yang cukup bermakna untuk menempuhi cabaran seterusnya. Panduan daripada pengalaman itu akan mematangkan seseorang.
Seseorang perlu bercerita, kerana kadang kala cerita itu mampu memberi pengajaran yang bermakna. Banyak kisah yang diselitkan dalam coretan ini ditulis dengan tujuan setiap yang membacanya dapat mengambil iktibar daripada kisah yang diceritakan. Semua kisah itu hanya bertitik pada yang satu: setiap manusia itu adalah sama, yang kaya ataupun yang miskin, yang tua ataupun yang muda. Harta dan pangkat bukanlah kayu pengukur kejayaan kerana semuanya nanti akan kembali menjadi insan yang semuanya sama sahaja. Kadang kala mereka terlalu mengajar harta dan pangkat tetapi mereka lupa bahawa hari akhir hidup mereka itu juga pasti semakin menghampiri mereka. Manusia senantiasa alpa, sehingga yang menjadi keutamaan itu menjadi satu perkara yang tidak diendahkan. Alangkah ruginya jika mereka menjadi begitu.
Hidayah Allah itu tidak mengira siapa pun. Jika orang itu menjadi pilihan-Nya, maka hidayah itu akan pergi kepadanya. Islam itu agama yang indah. Banyak diluar sana begitu tertarik dengan agama Allah ini. Banyak di luar sana begitu kagum dengan agama ini. Tetapi sayang, umat Islam sendiri pula menjadi malu untuk mengatakan: saya orang Islam. Mungkin juga tidak sampai ke tahap itu, mungkin juga mereka tidak berkata begitu, namun perbuatan harian mereka itu juga mampu memberi tafsiran yang sebenar. Jika maksiat, dosa menjadi satu budaya mereka, bukanlah itu juga sudah cukup untuk mengatakan mereka juga sebenarnya bukan lagi bangga menjadi Islam.
Kajian demi kajian dilakukan mendedahkan betaba hebatnya Islam ini. Tetapi sayang, semua kajian itu dibuat oleh mereka yang bukan bergelar Islam. Bukan mahu meminggirkan sarjana-sarjana Islam yang masih ada ketika ini, tetapi hanya ingin melahirkan rasa hairan mengapa perkara sedemikian berlaku pula. Adakah mereka ini dipinggirkan oleh orang Islam sendiri atau mungkin mereka tidak mempunyai kekuatan seperti sarjana-sarjana bukan Islam yang lain? Mungkin perkataan bersatu itu tidak lagi wujud dalam kalangan mereka. Jika bersatu itu tidak wujud dalam kalangan cendiakiawan Islam sendiri, maka tidak hairanlah umat Islam itu sendiri berpecah-belah seperti yang berlaku ketika ini. Jawapan kepada permasalahan ini adalah mudah: jangan masih terus lagi menjadi sebatang lidi, tetapi jadilah seperti seberkas lidi. Islam itu sebenarnya indah, maka itulah sebabnya ramai di luar sana tertarik dengan Islam.
Maka itulah tujuan sebenar tulisan ini dicoretkan. Bukanlah mahu menjadi orang yang dikagumi, tetapi hanya sekadar mahu mencuba untuk menyedarkan insan-insan di luar sana yang masih terus alpa. Kealpaan itu membawa padah, kerana masa yang berjalan itu tidak tahu untuk mengundurkan diri. Jika masa itu ada undurnya, maka tidak wujudlah surah Al-Ashr dalam al-Quran. Tidak perlulah lagi manusia itu senantiasa diberi peringatan. Allah itu Maha Mengetahui.
Dalam nota ini, ingin dicoretkan sedikit harapan diri. Buat Zahid yang akan senantiasa terus diingati, segala pesanan yang diberi akan terus disemat di dalam hati. Permata yang berharga yang dihadiahkan kepada diri ini, akan dijaga dengan baik. Permata ini apabila lahir kelak, akan dijaga sebaiknya dan akan dididik dengan sebaiknya agar satu hari nanti akan menjadi orang yang berguna kepada agama supaya nanti nama Zahid itu akan senantiasa dikenang dan menjadi kebanggaannya. Permata inilah satu-satunya waris yang akan meneruskan perjuanganmu itu nanti. Inilah janji, diri ini buat Zahid. Jangan risau kerana diri ini akan berusaha untuk menjadi Ibu yang baik buat permata yang dihadiahkan itu, dan diri ini juga berjanji akan terus berusaha untuk berdiri sendiri tanpa bergantung pada sesiapa. Bukankah itu harapanmu pada malam itu? Maka akan diri ini berusaha untuk memenuhi harapanmu itu. Walaupun dirimu tiada lagi bersama diri ini, jangan risau, kerana hidup yang akan ditempuhi pada masa akan datang pasti akan dapat diredahi. Diri ini akan cuba menjadi setabah yang mungkin untuk berhadapan dengan segala cabaran hidup.
Buat Ibu, Sheera, Yasmin, Ayah, Murni, Izham, Erma, Cik Long, Mak Lang, Ustaz Kamarul dan kepada semua yang membantu diri ini, ingin diberikan satu ucapan yang sangat bermakna: terima kasih semua. Tanpa bantuan dan sokongan mereka semua, tidak mungkin naskah ini dapat dihasilkan. Jika ada bertanya bagaimana naskah ini dapat dihasilkan? Jawapannya adalah, merekalah yang membantu diri ini untuk menghasilkan naskah itu. Tanpa cerita-cerita dan kisah-kisah dari mereka, tidak mungkin terhasilnya naskah ini. Bukan mudah sebenarnya untuk terciptanya sebuah naskah ini kerana semuanya dicoretkan tanpa datang dari individu yang diceriatakan itu. Bukan mudah untuk mencoretkan kisah yang datangnya dari Zahid yang tidak pernah bersama sepanjang penghasilan pengkisahan ini.
Mungkin terdapat beberapa kisah yang mungkin menimbulkan persoalan. Ingin dinyatakan bahawa persoalan yang timbul itu bukanlah sengaja dibiarkan supaya akan ada pengkisahan selanjutnya, tetapi persoalan sehingga kini masih belum terjawab Seperti kata-kata Murni yang jarang didengari, sewaktu dalam perjalanan menuju ke Pasaraya Tesco Taiping, satu soalan diajukannya yang seterusnya menimbulkan satu persoalan dalam diri ini. Soalan yang ditanyanya: “Hang percaya pada cinta pandang pertama?”
Selepas mendengar pertanyaan itu, timbul persoalan dalam diri ini. Mungkingkah Murni punyai pilihan hatinya kini? Adakah dia telah temui insan yang akan menjadi teman buat dirinya nanti? Adakah Murni sedang dilamun cinta? Banyak lagi yang timbul dalam fikiran ini. Namun yang pasti, Murni masih belum merungkaikan persoalan ini. Mungkin dia mahu terus bermain dengan teka-teki. Mungkin dia masih mahu terus menyimpan rahsianya itu dalam dirinya. Namun yang pasti, satu hari nanti persoalan yang timbul ini pasti akan terjawab juga.
Ingin diri ini memperkenalkan diri supaya tidak lagi tertanya-tanya siapakah yang menulis naskah ini. Namaku Khadijah. Nama ini adalah kebanggaanku kerana merupakan nama kepada wanita yang menjadi teman hidup kepada junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w., Saidatina Khadijah. Seringkali aku cuba dan mencontohi dirinya. Mungkin aku bukanlah sehebatnya, namun semangatnya itu dalam memperjuangkan Islam akan cuba diresapi dalam diri. Seringkali aku akan mengingati gelaran yang diberi kepadanya iaitu At-Thaharah, yang bermaksud suci. Aku cuba agar aku juga layak untuk digelar dengan gelaran sedemikian. Sebelum perginya Abang Zahid meninggalkan semua orang, pernah Zahid membisikkan ke telingaku sebaik selesai sahaja majlis akad nikah dahulu.
“Khadijah adalah At-Thaharah, dan itu adalah gelaranmu dari Zahid. At-Thaharah adalah isteri kepada Zahid…”
Bisikan itu akan terus diingati aku. Mulai itu juga aku tidak teragak-agak untuk menggunakan gelaran At-Thaharah, wanita suci. Tidak salah rasanya menggunakan gelaran itu, asalkan kita terus mencuba untuk menjadi dan mencontohi wanita yang digelarkan dengan gelaran itu. Maka jika ada orang bertanya siapa diriku, maka akan aku katakan, “Aku ialah At-Thaharah”
Terlintas juga difikiran ini, jika lahir nanti permata berharga ini, mungkin gelaran itu dapat dijadikan nama kepadanya nanti. Mungkin bukan At-Thaharah, mungkin namannya menjadi Thaharah, atau mungkin juga namanya Thahirah. Jika permata itu lelaki, mungkin juga namanya Thahar, atau mungkin juga Thahir. Nantilah, bila lahirnya permata ini, akan kuputuskan nama yang akan diberi.
Timbul pula satu persoalan. Adakah gelaranku inilah yang menghasilkan Cinta Thahirah yang menjadi tajuk bagi naskah ini? Sukar untuk aku menjawab soalan itu kerana aku sendiri tidak punyai jawapannya. Biarlah sesiapa sahaja yang membacanya membuat tafsiran sendiri. Sengaja tajuk itu dipilih, supaya masing-masing dapat membuat tafsiran masing-masing.
Mungkingkah naskah ini ditujukan kepada seseorang? Soalan itu juga tidak dapat dijawab. Hanya ingin menyatakan bahawa kepada sesiapa yang merasakan naskah ini memang ditujukan kepadanya, maka orang itulah sebenarnya yang ingin kutujukan.
Jika ada lagi kesempatan, masa dan waktu, mungkin akan ada lagi pengkisahan dariku. Namun sehingga waktu ini, berpisah dahululah rasanya kerana cukupklah setakat ini sahaja coretan ini.
Khadijah At-Thaharah
Tamat Cinta Thahirah
No comments:
Post a Comment