Monday, September 14, 2009

Ceritera 10

Ceritera 10

“Tanyakanlah kepada mereka: Apakah Tuhanmu itu (hanya) mempunyai anak-anak perempuan dan mereka mempunyai anak-anak laki-laki?. Apakah malaikat-malaikat itu kami ciptakan perempuan, dan mereka menyaksikannya? Ingatlah, bahawa mereka dengan bohongnya berkata: Allah beranak. Dan sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang dusta. Apakah Tuhan memilih anak-anak perempuan lebih dari anak laki-laki? Mengapa kamu? Bagaimana kamu mengambil keputusan? Tiadakah kamu mahu mengerti? Ataukah kamu mempunyai alasan yang terang? Kemukakanlah Kitabmu, kalau kamu memang orang-orang yang benar”
(Surah As-Saffat, ayat 149-157)

* * *

Selepas selesai menunaikan solat Asar secara berjemaah bersama-sama ibu dan adiknya, Zahid kemudian terus bergegas kembali menuju ke biliknya. Dia kemudian menukar pakaiannya. Selepas selesai bersiap, dia kemudian terus turun menuju ke tingkat bawah dan kemudian terus menuju ke bahagian luar rumah menghamipiri keretanya. Enjin kereta dihidupkan dan kemudian terus dipandunya kereta itu meninggalkan kawasan rumah.

Petang hari Rabu itu, Zahid menuju ke taman tasik, sesuatu yang jarang dilakukannya. Dia akan berjumpa dengan seseorang di sana. Namun apa yang pasti, orang yang akan berjumpa dengannya itu sudah pasti bukan Izham, rakan baiknya itu. Izham ketika ini berada di Ipoh menghadiri satu kursus di sana. Segala-galanya bermula apabila Zahid menerima satu panggilan petang semalam dari seseorang. Disebabkan panggilan itulah Zahid menuju ke taman tasik petang ini.

Kereta Zahid dipandu menuju terus menghampiri kawasan Zoo Taiping. Di situlah dia akan berjumpa dengan individu tersebut. Keretanya kemudian diletakkan di kawasan letak kereta berhadapan dengan Sekolah Menengah Sains Raja Tun Azlan Shah (SERATAS). Selepas enjin kereta dimatikan, Zahid pun keluar dan dengan sabar menunggu individu tersebut. Beberapa minit kemudian, sebuah Proton Waja berwarna hitam kelihatan keluar dari pintu masuk SERATAS. Kereta itu kemudian membelok memasuki kawasan tempat letak kereta, tempat yang sama Zahid kini berada. Kereta tersebut semakin menghampiri Zahid sebelum berhenti betul-betul bersebelahan dengan Proton Persona milik Zahid. Sebaik enjin dimatikan, seorang lelaki separuh abad keluar dari kereta itu.

“Assalamualaikum!” sapa lelaki itu memberi salam.

“Waalaikumussalam ustaz!” jawab Zahid sebelum menghulurkan tangannya untuk berjabat dengan lelaki itu. Lelaki separuh itu ialah Ustaz Kamarul, bekas gurunya semasa di SMDB iaitu individu yang sama yang dijumpanya di masjid beberapa minggu yang lalu.

“Lama tunggu?” soal Ustaz Kamarul.

“Beberapa ketika sahaja…” balas Zahid ringkas.

“Okaylah. Jom kita pergi sana,” ajak Ustaz Kamarul sambil memegang bahu Zahid. Dia mengajak Zahid menuju ke kerusi kayu yang terletak tidak jauh dari tempat mereka berada. Kerusi itu disertakan sekali dengan meja kayu, amat bersesuaian untuk mereka yang ingin berpiknik. Namun bagi Zahid dan Ustaz Kamarul, bukan itu tujuan mereka untuk berjumpa.

“Err.. apa yang ustaz nak bagitau saya ni? Ada hal mustahak ke?” soal Zahid sambil berjalan menghampiri kerusi kayu itu.

“Macam yang saya cakap petang semalam, saya nak kamu jadi saksi terhadap kebesaran Allah,” balas Ustaz Kamarul. “Saya nak kamu jadi saksi betapa indah dan benarnya agama Islam itu,” katanya lagi.

“Saya tak faham ustaz. Maksud ustaz?” soal Zahid.

“Kejap lagi kamu akan tahu,” balas Ustaz Kamarul tersenyum. “Kamu sendiri kan cakap yang kamu ni nak dekatkan lagi diri dengan Allah. Nah, inilah salah satu caranya,” katanya lagi.

Mereka kemudian duduk di kerusi kayu itu. Zahid pada masa yang sama masih lagi hairan dengan tujuan sebenar ustaznya itu berjumpa dengannya petang itu. Namun dia hanya membisu tanpa memberi apa-apa lagi soalan kepada Ustaz Kamarul. Dia hanya menunggu sahaja ustaznya itu memberitahu keadanya.

“Kita tunggu dulu ya. Kejap lagi, kita akan berjumpa dengan seseorang,” kata Ustaz Kamarul apabila melihat Zahid hanya membisu sahaja sebaik duduk di kerusi.

“Maksudnya, kita berdua akan berjumpa dengan seseorang?” soal Zahid. “Siapa?”

“Nanti kamu akan tahu,” balas Ustaz Kamarul yang masih lagi seperti berahsia. “Kamu tak kerja ke hari ini?” soalnya kemudian sebaik dia melihat pakaian yang dipakai Zahid. Pakaian yang dilihatnya itu ternyata bukan sama sekali pakaian untuk orang bekerja. T-shirt putih dengan seluar jeans berwarna biru itu ternyata menyebabkan Ustaz Kamarul bertanya soalan sedemikian.

“Tak. Cuti hari ni. Saja je nak rehat hari ni,” balas Zahid.

Beberapa ketika kemudian, sebuah kereta Toyota Camry berhenti disebelah kereta Zahid yang diletakkan di kawasan letak kereta berhampiran. Mata Zahid kemudian terus difokuskan pada kereta itu. Terus terlintas di fikirannya bahawa mungkin itulah orang yang bakal berjumpa dengannya seperti yang diterangkan Ustaz Kamarul tadi. Sebaik pintu kereta itu dibuka, kelihatan seorang wanita Melayu berambut merah keluar daripada kereta itu. Wanita tidak bertudung itu memakai jeans pendek berserta T-shirt berwarna merah jambu. Serta-merta Zahid terkejut. Wanita tersebut memerhatikan Zahid dari jauh. Dia kemudian tersenyum kepada Zahid.

“Ustaz, takkan orang macam ni yang kita nak jumpa?” soal Zahid kemudian.

“Ish, bukan orang tulah,” balas Ustaz Kamarul.

Serentak dengan itu juga, wanita yang baru keluar dari kereta itu kemudian berjalan menuju ke arah Zoo Taiping. Tahulah Zahid bahawa wanita itu sebenarnya mahu menuju ke Zoo Taping yang terletak di seberang jalan.

“Takkanlah orang macam tu kan…” kata Zahid.

“Kamu jangan cakap. Nanti dapat jodoh jenis macam tu baru tau…” balas Ustaz Kamarul.

“Kalau yang original rambut merah, apa salahnya…” balas Zahid tersenyum.

“Ada hati nak cari orang putih…” balas Ustaz Kamarul

Serentak dengan itu juga, kedengaran sebuah motosikal menghampiri mereka. Mata Zahid sekali lagi difokuskan pada tempat letak kereta berhampirannya. Kali ini dia melihat sebuah motosikal lama memasuki kawasan letak kereta. Motosikal itu kelihatan seperti ditunggang oleh seorang lelaki Cina. Lelaki itu menggalas satu beg sekolah di belakangnya. Sebaik motosikal itu diletakkan bersebelahan Proton Waja milik Ustaz Kamarul, lelaki itu menanggalakan topi keledarnya. Apa yang melucukan buat Zahid adalah topi keledar yang dipakai lelaki itu ternyata tidak sepadan dengan motosikal buruk yang ditunggangnya. Topi keledar itu lebih sesuai untuk dipakai ketika menunggang motosikal berkuasa besar.

“Lawa helmet dia kan?” soal Zahid sedikit tergelak.

“Ish, kamu ni. Dia teringin nak pakai helmet lumba, biar pi lah…” balas Ustaz Kamarul.

Lelaki Cina itu kemudian kelihatan berjalan menghampiri mereka berdua. Dia kemudian mengangkat tangannya kepada Ustaz Kamarul. Ustaz Kamarul kemudian membalas dengan mengangkat pula tangannya.

Serentak dengan itu, Zahid terus menyoal Ustaz Kamarul, “Ustaz, orang ni ke yang kita nak jumpa?”

“Ya…” balas Ustaz Kamarul.

Beberapa ketika kemudian lelaki Cina telah berada di hadapan mereka. Zahid dan Ustaz Kamarul kemudian bangun dan masing-masing terus bersalaman dengan lelaki Cina itu.

“Kereta mana? Naik motor pulak hari ni…” soal Ustaz Kamarul kepada lelaki Cina itu.

“Kereta ada kat rumah. Saja saya naik motosikal hari ini. Nak jimat sedikit minyak,” balas lelaki Cina itu. Pada masa yang sama, Zahid memandang lelaki Cina itu dengan seribu persoalan di mindanya.

“Oh ya, lupa pulak!” kata Ustaz Kamarul. Dia kemudian memandang Zahid yang seperti sedikit kebingungan. “Zahid, ni saya nak perkenalkan kamu dengan seorang kenalan baru saya. Namanya Alex,” katanya kemudian kepada Zahid memperkenalkan lelaki Cina yang berada di hadapannya itu.

“Oh, saya Zahid,” kata Zahid kemudian memeperkenalkan dirinya kepada lelaki Cina yang bernama Alex itu.

“Zahid ni, anak murid saya dulu,” terang Ustaz Kamarul kepada Alex.

“Oh, macam tu,” balas Alex.

“Saudara Alex ni pula, seorang ahli perniagaan. Satu hari tu, dia berjumpa dengan saya di rumah,” terang Ustaz Kamarul kepada Zahid pula. Selepas itu suasana menjadi sepi seketika tanpa sebarang percakapan. Beberapa ketika kemudian, barulah Ustaz Kamarul memecahkan suasana sepi itu. “Hah Zahid. Tentu kamu tertanya-tanya apa tujuan sebenar saya panggil kamu hari ni kan?” soalnya. “Kamu dulu kan pernah telefon saya, yang kamu bagitau saya yang kamu nak dekatkan diri lagi dengan Allah,” katanya lagi.

“Maksud saya bukan saya dah jauh dengan Allah. Saya cuma nak lebih dekat dengan Allah,” kata Zahid.

“Ya, itu saya tahu. Dan sebab itu saya panggil kamu hari ni untuk berjumpa dengan saudara Alex ni,” kata Ustaz Kamarul. Zahid kemudian sedikit kehairanan sebaik mendengar kata-kata Ustaz Kamarul itu. “Saudara Alex ni sebenarnya berminat nak belajar tentang Islam…” kata Ustaz Kamarul lagi.

“Oh, begitu! Baguslah...” balas Zahid kemudian sambil memandang dengan kagum Alex yang berada di hadapannya. Serta-merta dia teringat akan kisah ibunya yang diceritakan ibunya malam semalam. Dia terus teringat akan kisah ibunya memeluk agama Islam. Dan hari ini, dia berjumpa pula orang seperti ibunya dahulu yang berminat untuk mendalami Islam.

“Sebenarnya saya cuma nak tahu sahaja tentang Islam,” kata Alex. “Saya seorang yang berpegang kuat pada ajaran Kristian. Boleh dikatakan semua perkara mengenai agama Kristian itu saya tahu,” katanya. “Cuma sekarang ini, saya sedikit berminat nak mengetahui tentang Islam, terutamanya mengenai soal ketuhanan”

“Jadi disebabkan itulah saya panggil kamu,” kata Ustaz Kamarul pula kepada Zahid.

“Saya? Kenapa?” soal Zahid hairan.

“Kamu tahu tak salah satu cara nak dekatkan diri lagi dengan Allah adalah dengan cara melihat pada kebenaran al-Quran itu sendiri dan melihat sendiri pada kepalsuan kitab-kitab lain? ” soal Ustaz Kamarul. “Dan hari ni saya nak kamu lihat sendiri betapa hebat dan benarnya al-Quran itu,” katanya kemudian. Dia kemudian mengalihkan pandangan ke arah Alex pula. “Kamu bawa kitab-kitab yang kamu cakap semalam?” soalnya kepada Alex.

“Ada ustaz. Saya ada bawa kitab “Perjanjian Lama”, kitab “Perjanjian Baru”, dan yang berbahasa Inggeris: The Holy Bible,” balas Alex sambil mengeluarkan kitab-kitab yang tersebut dari beg galas yang dibawanya.

“Bagus, seperti yang dijanjikan,” balas Ustaz Kamarul. Zahid sementara itu hanya mendengar sahaja perbualan mereka berdua. Sekali lagi ketika ini Zahid teringat akan cerita ibunya mengenai kisah perdebatan ayah dengan atuknya satu masa dahulu. Terus berlegar-legar di fikiran Zahid ketika ini: Adakah peristiwa yang terjadi itu akan dilihatnya sendiri pada hari ini? Persoalan tersebut bakal terjawab tidak lama lagi.

“Saya harap ustaz dapat membantu saya memahami mengenai Islam,” kata Alex.

“Zahid, saya nak kamu hari ini menjadi saksi perbincangan antara saya dengan saudara Alex nanti,” kata Ustaz Kamarul kepada Zahid yang duduk di sebelahnya. Zahid mengangguk tanda faham terhadap apa yang diperkatakan Ustaz Kamarul itu. Selepas itu Ustaz Kamarul memandang kembali Alex yang berada di hadapannya. Dia membisu seketika. Mungkin sedang memikirkan sesuatu untuk memulakan bicaranya. Beberapa ketika kemudian, barulah dia kembali bersuara. “Sejak bila saudara Alex beragama Kristian?” soal Ustaz Kamarul.

“Sejak lahir,” balas Alex.

“Adakah saudara benar-benar yakin agama Kristian suatu agama yang benar?” soal Ustaz Kamarul?”

“Ya…”

“Adakah saudara yakin kitab Injil itu suci?” soal Ustaz Kamarul.

“Ya, Saya yakin!” jawab Alex.

“Maksud suci itu ialah bersih daripada sebarang kesalahan-kesalahan?”

“Ya!” jawab Alex. “Tetapi kesalahan macam mana ustaz?” soalnya kemudian.

“Misalnya… ada orang berkata si A mempunyai tiga orang anak, dan seorang lagi mengatakan si A mempunyai sepuluh orang anak… adakah perkataan itu benar semuanya, atau salah semuanya, atau satu sahaja yang benar?” soal Ustaz Kamarul.

“Tak mungkin benar semuanya, melainkan salah satu sahaja yang benar atau salah semuanya,” jawab Alex.

“Andaikata ada suatu kitab suci akan tetapi ayat-ayat di dalamnya di antara satu dengan yang lain terdapat perselisihan, adakah kitab itu boleh dinamakan suci?”

“Tentu tidak boleh. Kesuciannya terbatal!” jawab Alex.

“Kalau misalnya dalam Bible terdapat selisih antara satu ayat dengan ayat yang lain, adakah saudara masih berkeyakinan Bible itu kitab suci?” soal Ustaz Kamarul.

“Mustahil Bible terdapat selisih di antara satu ayat dengan ayat yang lain, kerana ia sebuah kitab suci!…” jawab Alex. “Bolehkah ustaz tunjukkan bukti yang ayat-ayat dalam Bible berselisih?” soalnya kemudian. Sementara itu, Zahid yang duduk di sebelah mendengar dengan penuh minat perbincangan mereka itu. Dia semakin tertarik dengan perbincangan itu.

“Banyak sekali,” jawab Ustaz Kamarul tersenyum.

“Dalam ‘Perjanjian Lama’ atau ‘Perjanjian Baru’?” soal alex.

“Dua-dua sekali”

“Ayat berapa?” soal Alex begitu serius.

“Kita mulai dengan ayat-ayat yang menyentuh soal ketuhanan Jesus kerana soal ketuhanan merupakan kepercayaan pokok tiap-tiap agama. Saudara setuju?” soal Ustaz Kamarul.

“Saya setuju,” balas Alex.

“Sekarang saya ingin bertanya,” kata Ustaz Kamarul. Dia kemudian terdiam seketika. “Apa alasan bahawa Jesus itu anak tuhan?” soalnya kemudian.

“Dalam ‘Matius, fasal 3, ayat 17’ menyebut demikian: “Inilah anak-Ku yang Ku kasihi, kepadanya Aku berkenan.” Manakala dalam ‘Lukas, fasal 4, ayat 41’ menyebutkan bahawa Jesus itu anak Tuhan,” kata Alex sambil menyelak kitab-kitab Injil yang ada padanya.

“Kalau begitu, sila buka ‘Matius, fasal 5, ayat 9,” balas Ustaz Kamarul sambil tersenyum dengan tenang.

Alex kemudian menyelak halaman yang dimaksudkan oleh Ustaz Kamarul itu. Dia menyelak kitab itu dengan cermat. Beberapa ketika kemudian, pencariannya ayat yang dimaksudkan itu terhenti apabila dia menjumpai ayat itu. Alex kemudian membaca maksud ayat tersebut.

“Berbahagialah segala orang yang mendamaikan orang, kerana mereka itu akan disebut anak-anak Tuhan,” kata Alex membaca maksud ayat itu.

“Berdasarkan ayat itu, sesiapa yang mendamaikan manusia menjadi anak-anak Tuhan juga. Jadi bukan Jesus sahaja anak Tuhan,” kata Ustaz Kamarul sebaik Alex selesai membaca ayat itu.

Alex ternyata tidak berpuas hati. Dia kemudian menyelak halaman kitab yang dipegangnya. Dia kini mencari lagi bukti-bukti yang ada di dalam kitab Injil itu untuk mengukuhkan dakwaannya kembali.

“Ada lagi, ayat lain dalam ‘Yahya, fasal 14, ayat 9: “Sesiapa yang sudah nampak Aku, ia sudah nampak bapa.” Ayat 10 juga menyebut: “Tidakkah kau percayai Aku ini di dalam bapa, dan bapa dalam Aku.” kata Alex.

“Baiklah,” balas Ustaz Kamarul tersenyum. “Sila periksa ‘Yahya, fasal 17, ayat 23’”

“Aku di dalam mereka itu, dan engkau di dalam Aku; supaya mereka itu sempurna di dalam Persekutuan,” kata Alex membaca maksud ayat yang dimaksudkan itu.

“Kata ‘mereka’ dalam ayat ini adalah sahabat Jesus. Sedangkan yang dimaksud dengan ‘Aku’ ialah Tuhan. Jadi, kata ‘Aku’ beserta ‘mereka’ bererti, Tuhan beserta sahabat-sahabat Jesus,” kata Ustaz Kamarul. “Kalau saudara percaya mengenai kesatuan Jesus dengan bapa, maka saudara pun harus percaya tentang kesatuan bapa dengan sahabat Jesus yang seramai 12 orang,” terangnya lagi. “Jadi, bukan Jesus dan roh suci sahaja menjadi satu dengan Tuhan, harus ditambah 12 orang lagi,”

“Tunggu dulu ustaz. Ini membingungkan saya,” balas Alex. Ustaz Kamarul kemudian tersenyum.

“Tentu lebih membingungkan saudara kalau saya tunjukkan ayat yang lain. Sila periksa ‘Yahya, fasal 17, ayat 3’,” kata Ustaz Kamarul.

“Inilah hidup yang kekal, iaitu supaya mereka mengenal Engkau. Tuhan Yang Esa dan Jesus yang telah Engkau suruhkan itu,” kata Alex membaca maksud ayat itu.

“Tuhan Yang Esa: Esa bererti satu. Dan ayat ini juga menyebut bahawa Jesus Kristus pesuruh Tuhan,” terang Ustaz Kamarul. “Jadi yang mana benar? Bible yang diakui kitab suci oleh saudara… Tetapi isinya bertentangan antara satu dengan yang lain… Ada ayat yang menyebut Tuhan dengan Jesus menjadi satu… Ada yang menyebut tunggal sedangkan ayat tadi pula menyebut Jesus itu pesuruh Tuhan” soalnya. “Mengikut pengakuan saudara, suatu kitab suci yang kandungan ayat-ayatnya bertentangan antara satu dengan yang lain, terbatal kesuciannya. Yang disebut suci itu, bersih dari segala kekeliruan dan perselisihan,” terangnya kemudian.

Alex terkaku seketika apabila mendengar penerangan Ustaz Kamarul itu. Ternyata apa yang diungkapkan oleh Ustaz Kamarul itu ada kebenarannya.

“Ada lagikah ayat yang menyebut demikian? Maksud saya, yang menyebut Tuhan itu Esa (satu), bukan tiga menjadi satu?” soal Alex kemudian.

“Sila buka dalam ‘Ulangan, fasal 4, ayat 35’,” balas Ustaz Kamarul.

“Maka kepadamulah Dia ditunjuk, supaya diketahui olehmu bahawa Tuhan itu, kecuali Tuhan Yang Esa tiadalah yang lain,” kata Alex membaca maksud ayat tersebut.

“Jelas, dalam Bible sendiri menerangkan Tuhan itu satu,” kata Ustaz Kamarul.

“Tapi itu dalam Kitab ‘Perjanjian Lama’. Adakah terdapat juga dalam ‘Perjanjian Baru’?” soal Alex.

“Dalam ‘Perjanjian Baru’ sila buka ‘Markus, fasal 12, ayat 29’,” kata Ustaz Kamarul.

Alex kemudian mengambil kitab Bible Perjanjian Baru. Dia kemudian mencari ayat tersebut. Beberapa ketika kemudian, barulah dia menjumpai ayat itu. Dia kemudian membaca maksud ayat itu.

“Maka jawab Jesus kepadanya: Hukum yang terutama ialah: Dengarlah olehmu hai Israil, adapun hal Tuhan kita, ialah Tuhan yang satu”

“Dalam ‘Perjanjian Lama’ pula, ‘Ulangan, fasal 6, ayat 4,” kata Ustaz Kamarul.

Alex mengambil kembali kitab Bible Perjanjian Lama. Seperti biasa dia mencari ayat yang disebutkan oleh Ustaz Kamarul tadi. Seperti biasa juga, dia kemudian membacakan maksud ayat tersebut sebaik menjumpai ayat itu. Zahid yang duduk di sebelah Ustaz Kamarul pada masa yang sama semakin tertarik dengan perbincangan tersebut. Dia langsung tidak bersuara dan hanya mendengar sahaja perbincangan itu.

“Dengarlah olehmu hai Israil, sesungguhnya Hua Tuhan kita. Hua itu Esa adanya,” kata Alex membaca maksud ayat itu.

“Dalam Bible ada ayat menyebut Tuhan itu satu… Tapi dalam ayat yang lain pula menyebut Tuhan itu tiga menjadi satu. Saya ingin bertanya, yang mana di antara kedua-dua ayat itu yang benar?” soal Ustaz Kamarul. “Kalau salah satu atau kedua-duanya salah, maka bukan kitab suci lagi namanya,” katanya kemudian.

“Betul! Salah satu pasti salah atau kedua-duanya salah!” kata Alex.

“Menurut kepercayaan saudara, adakah Jesus bersatu dengan Tuhan?... Kalau demikian tentu Jesus selalu bersama Tuhan dan Tuhan selalu bersama Jesus,” terang Ustaz Kamarul.

“Ya, betul. Dalam ‘Yahya, fasal 10, ayat 30’ ada menyebut, “Aku dan bapaku satu adanya” Begitu juga dengan roh suci, sebab roh suci itu menjadi satu dengan Jesus. Dia masuk ke dalam Jesus ketika Jesus berusia 30 tahun. Jadi jelas Jesus, roh suci dan Tuhan adalah satu,” kata Alex.

“Kalau begitu, sila buka ‘Matius, fasal 27, ayat 46’,”

“Maka kira-kira pukul tiga itu berserulah Jesus dengan suara yang nyaring. Katanya: Ya Tuhan kenapa Kau meninggalkan aku” kata Alex.

“Berdasarkan seruan Jesus itu, jelas bahawa Jesus tidak bersatu dengan Tuhan. Sewaktu Jesus akan disalib, sekiranya Tuhan menjadi satu dengan Jesus, itulah saat yang tepat untuk menolong Jesus,” terang Ustaz Kamarul.

“Tetapi Jesus itu hidup memang untuk disalib bagi menebus dosa-dosa manusia,” balas Alex cuba menyangkal penerangan Ustaz Kamarul itu.

“Kalau hidup untuk disalib, mengapa Jesus menolak dengan menyeru meminta pertolongan Tuhan agar ia terlepas daripada disalibkan, seperti ayat yang saudara baca tadi. Ertinya Jesus tidak bersedia selaku penebus dosa!” jawab Ustaz Kamarul kembali. “Saudara menyembah Jesus selaku Tuhan yang tidak berkuasa menyelamatkan dirinya sendiri, malah meminta tolong. Bolehkah itu dipanggil Tuhan?” soal Ustaz Kamarul.

“Ohh! Saya tak faham…” keluh Alex. “Mengapa ayat-ayat Bible itu ada yang bersimpang siur!”

“Saya nak tanya saudara… Adakah orang yang menyalib Jesus itu dimurkai Tuhan?” soal Ustaz Kamarul.

“Sudah tentu,” jawab Alex.

“Bukankah orang yang menyalib Jesus itu berjasa kepada Jesus dan penganut Kristian. Lantaran tindakannya, dosa-dosa manusia tertebus,” kata Ustaz Kamarul. “Sepatutnya mereka masuk syurga dan dipuji atas jasa mereka”

“Ustaz, Tuhan bersatu dengan Jesus tidak mustahil!. Sepertimana manusia yang keserapan atau kemasukan jin. Tindakan dan perbuatannya menurut kehendak makhluk-makhluk halus tersebut,” balas Alex menyangkal kenyataan Ustaz Kamarul. Ustaz Kamarul kemudian tersenyum.

“Manusia yang kemasukan jin itu, adakah dia disebut jin?” soal Ustaz Kamarul.

“Tidak”

“Jesus yang bersatu dengan Tuhan, bolehkah dia disebut Tuhan?”

“Tidak”

“Jesus tidak lain, melainkan pesuruh Tuhan sesuai dengan pengakuannya dalam ‘Yahya, Fasal 17, ayat 3’: Supaya mereka itu mengenal Engkau Tuhan Yang Maha Esa dan Benar, dan Jesus yang Engkau suruh itu,” kata Ustaz Kamarul dengan tenang.

“Saya semakin bingung…” kata Alex kemudian. Keyakinan seperti telah goyah.

“Tadi saudara kata manusia yang dimasuki makhluk halus tindakan dan perbuatannya menyerupai makhluk-makhluk halus itu,” kata Ustaz Kamarul.

“Ya, benar!”

“Kalau begitu, Jesus yang saudara akui bersatu dengan Tuhan, mestilah tindakan dan perbuatannya menyerupai perbuatan Tuhan”

“Memang begitu”

“Tapi Tuahn tidak tidur, Jesus tidur. Tuhan tidak makan, Jesus makan. Tuhan tidak menyembah sesiapa pun tetapi Jesus sembah Tuhan”

“Menurut penganut Kristian, salah satu yang menyebabkan Jesus bersatu dengan Tuhan kerana ia mengetahui yang ghaib,” sangkal Alex.

“Sila buka ‘Markus, fasal 13, ayat 31 dan ayat 32,” balas Ustaz Kamarul tersenyum.

“Sesungguhnya langit dan bumi akan lenyap. Tetapi perkataan-Ku kekal. Tetapi akan harinya atau ketikanya itu tiada diketahui oleh seorang jua pun, baik segala malaikat di syurga pun tidak, atau anak itu pun tidak hanya bapa sahaja,” kata Alex membaca maksud ayat itu.

“Jelas dalam Bible sendiri tertulis. Jesus sendiri mengaku tidak tahu hari kiamat. Bererti Jesus sendiri tidak tahu yang ghaib”

“Tetapi dalam ayat itu, Jesus menyebut ‘anak’ yang bererti dia anak Tuhan,” balas Alex.

“Sila buka ‘Matius, fasal 1, ayat 16”

“Dan Yakub memperanakkan Yusuf, iaitu suami Maryam, ialah yang melahirkan Jesus yang disebut Kristus,” kata Alex membaca pula maksud ayat itu.

“Jelas! Yang diperanakkan bukan Tuhan. Sila periksa ‘Keluaran, fasal 4, ayat 22”

“Maka pada masa itu hendaklah katakan kepada Fir’aun: Inilah firman Tuhan bahawa Israil itu anakku laki-laki iaitu anakku yang sulung”

“Ya! Menurut Bible sendiri, anak Tuhan itu ramai, bukan Jesus sahaja,” kata Ustaz Kamarul. “Sebenarnya yang dimaksudkan ‘anak’ itu ialah mereka yang dikasihi Tuhan”

“Tetapi dalam ‘Matius, fasal 1, ayat 18’ menyebut: Adapun kelahiran Jesus Kristus demikian adanya: Tatkala Maryam iaitu ibunya bertunang dengan Yusuf. Sebelum kedua-duanya bersetubuh, maka nyatalah Maryam itu hamil daripada Rohulkudus”

“Sila tengok ‘Kisah Perbuatan Rasul, fasal 6, ayat 5,” balas Ustaz Kamarul.

“Maka perkataan ini diperkenankan oleh orang ramai, Ialu memilih Stephanus, iaitu seorang yang penuh iman, dan Rohulkudus, Philippus, Prokhorus, Nikanor dan Simon, Parmenas serta Nikolaus” kata Alex membaca maksud ayat tersebut.

“Berdasarkan ayat itu, menunjukkan Rohulkudus bukan pada Jesus sahaja, Rohulkudus adalah roh suci. Menurut al-Quran, Rohulkudus bererti ‘Jibrail’” terang Ustaz Kamarul. “Kalau sekiranya Rohulkudus itu diertikan dengan Tuhan atau roh Tuhan, maka bukan Jesus sahaja menjadi Tuhan atau anak Tuhan, para Nabi dan Elisabet (isteri Zakaria) pun mesti Tuhan juga. Seperti diceritakan dalam ‘Lukas, fasal 1, ayat 41’ : “Maka berlakulah tatkala Elisabet mendengar dalam Maryam. Meloncatlah kanak-kanak dalam rahimnya dan Elisabet penuh dengan Rohulkudus,” katanya membaca maksud ayat itu yang diingati di kepalanya.

“Jesus dianggap Tuhan oleh sebab dia mempunyai roh ketuhanan. Sehingga ia dapat menghidupkan orang mati,” balas Alex terhadap hujahan Ustaz Kamarul. Sekali lagi Ustaz Kamarul tersenyum. Mungkin dia tersenyum kerana hujahan tersebut sekali lagi tidak tepat.

“Kalau begitu, sila buka ‘Kitab Raja-raja Yang Kedua, fasal 13, ayat 21’,” pinta Ustaz Kamarul.

“Maka sekali peristiwa apabila dikuburkan seseorang, tiba-tiba terlihat mereka itu suatu pasukan. Lalu dicampakkannya orang mati itu ke dalam kubur (Ilyas), maka baharu orang mati itu dimasukkan ke dalamnya dan terkena mayat (Ilyas) maka hiduplah orang itu pula, iaitu bangun berdiri,” kata Alex.

“Di sini menyebut, si mayat tadi terkena tulang-tulang Ilyas lalu hidup. Jadi bukan Jesus sahaja dapat menghidupkan orang mati, bahkan tulang Ilyas pun dapat menghidupkan orang mati,” terang Ustaz Kamarul. “Kalau Jesus di waktu hidupnya dapat menghidupkan orang mati, tetapi Ilyas di waktu tak bernyawa dapat menghidupkan orang mati- itu lagi hebat!” katanya. Dia kemudian menyambung lagi, “Jadi seharusnya Ilyas pun dianggap Tuhan juga…”

“Tetapi Jesus dapat menyembuhkan orang buta sehingga boleh melihat,” balas Alex cuba menyangkal penerangan Ustaz Kamarul tadi.

“Kalau begitu, periksa ‘Kitab Raja-raja (2), fasal 6, ayat 17 dan ayat 20’,” kata Ustaz Kamarul kemudian.

Alex kemudian mencari ayat yang dikatakan Ustaz Kamarul itu. Sebaik menjumpai ayat tersebut dia membacanya. Namun kali ini dia membaca dengan senyap tanpa mengeluarkan suaranya. Agak lama juga dia membaca ayat itu. Dia melihat ayat itu dengan begitu teliti. Beberapa ketika kemudian, barulah Alex bersuara. Dia mengangkat mukanya kembali memandang wajah Ustaz Kamarul yang berada di hadapannya.

“Ya!” kata Alex. “Fasal itu menyebutkan bahawa Ilyas menyembuhkan orang buta”

“Kalau begitu Ilyas pun harus dianggap Tuhan,” kata Ustaz Kamarul kemudian. “Sila buka ‘Kitab Raja-raja (2), fasal 3, ayat 10 dan 11’,” pintanya. Alex kemudian mencari ayat itu dan kemudian membaca dengan senyap.

“Jesus dapat menyembuhkan penyakit kusta,” kata Alex sebaik selesai membaca maksud ayat yang dimaksudkan Ustaz Kamarul itu. “Ayat ini menyebut Ilyas dapat menyembuhkan pesakit kusta bernama Naaman”

“Ilyas pun dapat menyembuhkan orang buta, kusta, malah menghidupkan orang mati. Mengapa tidak diangkat menjadi Tuhan?” soal Ustaz Kamarul.

“Tapi kejadian Jesus tanpa percampuran lelaki dengan isterinya. Inilah kelebihan Jesus daripada Ilyas,” kata Alex mengeluarkan hujahnya.

“Nabi Adam lagi hebat tanpa ibu dan bapa,” balas Ustaz Kamarul sambil tersenyum.

“Tapi, Adam dan Hawa, kedua-duanya berdosa,” balas Alex kembali cuba menepis kenyataan Ustaz Kamarul.

“Kalau begitu, Jesus juga berdosa kerana keturunan Mariam,” kata Ustaz Kamarul. “Maryam keturunan Adam dan Hawa” katanya lagi. “Saudara tahu, Jesus pernah dibawa Iblis ke puncak gunung? Wajarkah Tuhan dibawa oleh iblis?” soalnya pula.

“Di mana cerita itu disebutkan?” soal Alex ingin tahu.

“Dalam Bible, sila tengok ‘Lukas, fasal 4, ayat 5,” kata Ustaz Kamarul.

“Maka Iblis pun membawa dia ke puncak gunung…” kata Alex membaca maksud ayat itu.

“Aneh!! Tuhan dibawa Iblis!!” kata Ustaz Kamarul.

“Tapi… Jesus tetap suci bersih daripada segala dosa,” sangkal Alex kemudian.

“Nabi lain juga suci dari dosa,” balas Ustaz Kamarul.

“Tidak! Nabi-nabi lain berbuat dosa tapi Jesus tidak,” balas Alex.

“Nabi-nabi yang berbuat dosa atau kesalahan telah bertaubat dan taubatnya diterima Tuhan lalu mereka bersih dari dosa dan kesalahan. Jesus juga pernah minta ampun dan diberi ampun oleh Tuhan,” kata Ustaz Kamarul dengan tenang.

Alex terdiam seketika. Sekali lagi hujahannya berjaya dipatahkan oleh Ustaz Kamarul. Dia seperti sedang memikirkan sesuatu. Mungkin sedang mencari jalan untuk menyangkal lagi hujahan Ustaz Kamarul tadi.

“Ayat mana mengatakan Jesus minta ampun?” soal Alex beberapa ketika kemudian.

“Sila rujuk ‘Matius, fasal 6, ayat 12’,” balas Ustaz Kamarul.

Alex memerhatikan kembali kitab di hadapannya. Dia kemudian menyelak halaman kitab itu mencari ayat yang dikatakan oleh Ustaz Kamarul tadi.

“Dan ampunilah kesalahan kami. Seperti kami ini sudah mengampuni orang yang berkesalahan kepada kami,” kata Alex membaca maksud ayat itu.

“Jelas, Jesus sendiri minta ampun akan kesalahannya,” terang Ustaz Kamarul.

“Tetapi, dalam ayat itu ada menyebut Jesus suka memaaf kesalahan orang kepadanya,” balas Alex.

“Ha! Ha! Ha!” sedikit ketawa Ustaz Kamarul kedengaran. “Kita pun bersedia memaafkan kesalahan orang kepada kita”

“Tidak ada di dunia ini selain Adam lahir ke dunia ini tanpa bapa melainkan Jesus sahaja,” kata Alex cuba menegakkan hujahannya sebelum ini berkaitan dengan kesucian Jesus (Nabi Isa a.s).

“Kalau misalnya ada manusia lain yang dilahirkan tanpa bapa dan ibu… Apa pandangan saudara? Berhak dipanggil Tuhankah?” soal Ustaz Kamarul pula.

“Tapi, dalam sejarah manusia belum pernah ada. Mustahil ada!” balas Alex.

“Kalau begitu sila buka kitab suci saudara ‘Ibrani, fasal 7, ayat 1, ayat 2, dan ayat 3,” suruh Ustaz Kamarul.

“Adapun Malkisedik itu, iaitu Raja di Salem dan imam Tuhan yang sudah berjumpa dengan Ibrahim kembali tatkala Ibrahim kembali daripada menewaskan Raja-raja lalu diberkatinya Ibrahim” kata Alex. Dia kemudian menyambung lagi bacaanya itu. “Kepadanya juga Ibrahim sudah memberi bahagian sepuluh esa. Makna Malkisedik itu kalau diterjemahkan, pertama bererti raja keadilan, kemudian pula raja di Salem, iaitu raja damai. Yang tiada berbapa, tiada beribu dan tiada bersalasilah dan tiada berawal…”

“Cukup!” kata Ustaz memotong pembacaan Alex itu. “Saudara telah membaca dalam kitab suci saudara sendiri mengenai Raja Malkisedik yang tidak berbapa, beribu dan tiada bersalasilah serta tiada berawal,” katanya kemudian. “Jelas, Malkisedik itu lebih ajaib dari Jesus. Jesus dilahirkan tanpa bapa, sedangkan Malkisedik dilahirkan tanpa bapa, ibu dan salasilah sama sekali…” terangnya. “Saudara masih lagi mempertahankan ketuhanan Jesus?”

Alex hanya membisu. Lidahnya seperti telah kelu untuk berbicara. Dia seperti telah kehabisan hujah untuk dibalas kepada Ustaz Kamarul. Segala hujahannya itu berjaya dipatahkan oleh Ustaz Kamarul dengan mudah dengan hanya menggunakan sendiri bukti-bukti yang terdapat dalam kitab-kitab Bible yang dibawanya. Ternyata hujahan-hujahan Ustaz Kamarul tersebut sememangnya benar belaka. Dia termenung panjang ketika ini. Tiada apa lagi yang dapat diperkatakannya lagi. Pada masa yang sama juga, Zahid yang duduk di sebelah Ustaz Kamarul ternyata kagum dengan bekas gurunya itu. Ustaz Kamarul ternyata berpengetahuan luas mengenai kitab Bible. Serta-merta wajah ayahnya yang kini berada di Brunei muncul dalam kotak fikirannya. Ayahnya juga semestinya mempunyai pengetahuan yang luas mengenai kitab Bible semasa berdebat dengan datuknya seperti yang telah diceritakan oleh ibunya malam semalam,

“Tak faham tak mengapa Alex… Lama-lama saudara akan faham… bila faham, rasa bingung pun hilang,” kata Ustaz Kamarul sebaik melihat Alex membisu seribu bahasa.

“Keterangan ustaz tadi memang benar dan saya tidak dapat sangkal lagi!” kata Alex kembali bersuara. “Tapi… saya tetap yakin Jesus sahaja anak tuhan”

“Saya sudah jelaskan kepada saudara tentang itu. Dan saudara telah mengakui keterangan saya…” kata Ustaz Kamarul.

“Keyakinan saya berdasarkan… Jesus itu yang awal dan yang akhir, seperti tercatat dalam Bible: “Sudahlah genap aku inilah alif dan ya. Yang awal dan akhir”,” kata Alex.

“Baiklah… Untuk pendekkan cerita… andainya Jesus itu disebut ‘Permulaan’, adakah dengan dasar itu saudara mengakui Jesus itu Tuhan?” soal Ustaz Kamarul kemudian.

“Ya! Tepat sekali!” jawab Alex dengan yakin.

“Kalau sekiranya dalam kitab suci saudara ada menyebut, ada manusia selain Jesus, yang tidak ada permulaan dan tidak ada kesudahannya, adakah manusia itu akan diakui Tuhan oleh saudara?” soal Ustaz Kamarul.

“Dalam fasal mana disebutkan demikian?” soal Alex kembali.

“Sebelum saya tunjukkan, adakah saudara masih tetap mengaku Tuhan kepada seseorang yang tidak ada permulaan dan kesudahannya?” soal Ustaz Kamarul kembali.

“Kalau betul ada, tentu saya bimbang atau boleh meragukan saya akan kebenaran Jesus selaku Tuhan. Dalam fasal mana menyebut demikian?” soal Alex sekali lagi.

“Sila buka ‘Ibrani, fasal 7, ayat 2 dan ayat 3,” balas Ustaz Kamarul.

“Malkisedik yang tiada berbapa dan tiada beribu dan bersalasilah dan tiada berawal dan berkesudahan hidupnya, melainkan diserupakan anak Tuhan, maka kekallah ia selama-lamanya”

“Bagaimana perasaan saudara setelah meneliti ayat itu?” soal Ustaz Kamarul sebaik Alex selesai membaca maksud ayat itu.

“Keyakinan saya mula goyah!!” akui Alex. Wajahnya kelihatan sedikit kebingungan. Mungkin bingung sebaik meneliti ayat tersebut.

“Itu terserahlah kepada saudara… Yang jelas tidak ada niat sama sekali untuk mengajak saudara meninggalkan agama Kristian. Yang penting ialah huraian dan penelitian,” kata Ustaz Kamarul

Alex kemudian melihat jam di tangannya. Jam tangan berjenama Rolex itu ternyata mencerminkan status Alex itu sendiri. Ternyata Alex bukanlah orang biasa. Dia merupakan individu yang berjaya. Serentak dengan itu juga, Zahid melihat jam tangannya juga. Waktu yang dilihatnya kini sudah hampir ke pukul 6.30 petang.

“Terima kasih. Saya masih ingin bertanya lagi kepada ustaz. Tetapi jam sudah pukul 6.30 petang. Saya perlu mengambil adik saya yang bersekolah di Hua Lian sekarang ini,” kata Alex. “Banyak lagi yang saya ingin saya bincangkan dengan ustaz. Tapi nampaknya pada waktu lainlah kita berjumpa lagi”

Alex kemudian bangun. Dia kemudian memasukkan kembali kitab-kitab Bible yang dibawanya itu ke dalam beg galas. Zahid dan Ustaz Kamarul kemudian turut bangun dari duduk. Alex kemudian berjalan menuju kembali ke motosikalnya yang diletakkan bersebelahan dengan kereta Ustaz Kamarul. Zahid dan Ustaz Kamarul kemudian mengikuti dari belakang. Setelah menghampiri motosikal itu, masing-masing kemudian bersalaman. Alex berjabat tangan dengan Zahid dahulu diikuti Ustaz Kamarul.

“Baiklah Alex… Di dalam Islam tidak ada paksaan, yang penting ialah menyampaikan (dakwah), tidak lebih daripada itu… Teruskanlah pertanyaan saudara pada masa akan datang,” kata Ustaz Kamarul sambil berjabat tangan dengan Alex.

“Nanti saya akan telefon ustaz untuk kita bincang lagi,” kata Alex kemudian.

“Insyaallah. Tak ada masalah. Yang penting saudara ada kelapangan dan saya juga ada kelapangan, maka bolehlah sahaja untuk kita berjumpa lagi mengadakan perbincangan,” balas Ustaz Kamarul.

Alex kemudian menyarungkan topi keledarnya. Topi keledar yang lebih sesuai dipakai untuk menunggang motosikal kuasa besar itu dipakai Alex dengan cermat. Zahid memerhatikan Alex sambil senyuman terukir di wajahnya sebelum bersuara.

“Lawa helmet…” kata Zahid tersenyum.

“Helmet ni saja yang saya ada,” balas Alex tersenyum kembali. “Ni pun kawan saya yang bagi…”

“Tapi bergaya tu…” kata Ustaz Kamarul pula. Masing-masing kemudian ketawa. Selepas itu, Alex menghidupkan motosikalnya. Dia kemudian meninggalkan Ustaz Kamarul dan Alex.

Setelah Alex hilang dari pandangan, Zahid memerhati wajah Ustaz Kamarul dengan penuh kekaguman. Dia tidak menyangka bahawa guru agamanya itu mempunyai pengetahuan yang begitu luas.

“Hebat ustaz tadi ya!” kata Zahid.

“Hebat? Ah, tak adalah. Itu cuma perbincangan biasa sahaja. Yang penting setakat mana yang kita tahu itu, kita beritahu pada orang yang nak tahu. Bukankah itu dakwah namanya…” balas Ustaz Kamarul.

“Tapi, macam mana ustaz boleh tahu dengan semua ayat-ayat tu?” soal Zahid ingin tahu.

“Kalau kita nak berdakwah, kita kenalah berusaha bukan?” soal Ustaz Kamarul tersenyum sambil menepuk bahu Zahid. “Yang kamu tadi senyap je kenapa?”

“Tak terkata ustaz. Tak terkata…” balas Zahid. “Perbincangan tadi benar-benar membuatkan saya begitu bersyukur pada Allah kerana saya berada di jalan yang benar”

“Dan adakah membuatkan kamu lebih dekat dengan Allah?” soal Ustaz Kamarul.

“Semestinya ustaz. Semestinya…”

“Itulah sebabnya saya panggil kamu hari ni. Saya harap saya telah membantu kamu,”
kata Ustaz Kamarul.

“Ustaz dah memang bantu saya pun…”

“Nanti bila saya berjumpa Alex lagi, saya akan panggil kamu lagi. Kamu nak tak?” soal Ustaz Kamarul.

“Insyaallah. Boleh ustaz, tak ada masalah,” balas Zahid. “Seronok juga dengar perbincangan berilmiah macam ni”

Petang itu, Zahid tiba di rumahnya tepat ketika azan solat fardhu Maghrib berkumandang. Walaupun sedikit lewat pulang ke rumah, dia ternyata puas dengan perbincangan yang disaksikannya tadi. Barulah dirinya faham akan cerita yang disampaikan ibunya malam semalam. Kisah perdebatan antara ayahya dan datuknya mungkin hampir sama dengan perbincangan yang disaksikannya tadi. Rasa hormatnya terhadap ayahnya semakin tinggi selepas melihat perbincangan itu. Dan dia juga semakin kuat keyakinan terhadap Islam. Dia juga semakin dekat dirinya dengan Allah. Ternyata Islam itu adalah agama yang benar dan al-Quran itu satu-satunya kitab yang suci.





















Tamat Ceritera 10

No comments: