Monday, September 14, 2009

Ceritera 20

Ceritera 20

“Sesungguhnya pengetahuan tentang saat itu adalah di sisi Allah; dan Dialah yang menurunkan hujan, mengetahui apa di dalam rahim (kandungan perempuan). Dan seorang pun tiada mengetahui apa yang akan diusahakannya esok dan tiada seorang pun yang akan mengetahui negeri mana dia akan meninggal dunia; sesungguhnya Allah itu cukup mengetahui dan cukup mengerti”
(Surah Lukman, ayat 34)

“Tak ada siapa pun yang tahu apa yang terjadi malam tu. Tak ada siapa tahu bila dia pergi. Tak ada siapa yang tahu bila dia boleh jatuh sakit…. Sebab malam tu, dia berseorangan, tiada siapa yang tahu….” kata Khadijah. “Abang Zahid pergi berseorangan tanpa siapa sedari. Aku sedih, sebab pada waktu dia dalam kesakitan, aku masa tu sedang nyenyak tidur. Aku tak boleh bayangkan bagaimana dia berhadapan dengan semua tu sebelum dia pergi….hanya berseorangan….bersendirian…. Kesunyian…Tak ada siapa pun yang tahu…”

“Mungkin dia tak mahu sesiapa pun lihat kesakitan dia… kerana dia tak mahu orang lain lebih sedih….” kata Murni pula.

“Dia disahkan kena serangan jantung malam tu. Dan tak siapa pun sangka abang akan kena malam tu. Mungkin dia juga tak tahu…Tak pernah Abang Zahid ada penyakit jantung. Itulah serangan jantung yang pertama dan yang penghabisan buat abang. Begitu cepat semuanya terjadi…”

“Qada’ dan qadar…. Semuanya terjadi kerana izin Allah…” kata Murni.

“Pada malam Jumaat, malam penuh keberkatan; pada pertengahan bulan Ramadhan, bulan penghulu segala bulan; ketika semua orang lain sedang nyenyak dibuai mimpi,…. Abang Zahid meninggalkan semua orang…”

Murni merapati Khadijah. Dia kemudian memegang bahu rakannya itu. Dia tahu, pasti Khadijah masih lagi tidak dapat melupakan peristiwa itu. Namun sebagai rakan baiknya, dia tidak tahu apa yang perlu dilakukan. Hanya sekadar cuba untuk menenangkan diri rakannya itu.

“Sabar Khadijah…. Semuanya ada hikmahnya. Ujian Allah itu datang dengan pelbagai cara…” kata Murni sambil terus memegang bahu Khadijah.

“Semuanya berlaku dengan pantas….” kata Khadijah. “Selepas dua bulan aku berkahwin dengan Abang Zahid, dia pergi tinggalkan aku…. Tapi walaupun masa hanya sekejap sahaja aku dapat berkongsi hidup dengan dia, itulah saat aku yang paling bahagia… dan sukar untuk aku dapatkan saat macam tu lagi…”

Murni terkelu lidahnya. Dia tidak dapat membalas kata-kata Khadijah. Dia tidak tahu apa yang perlu diperkatakannya untuk cuba menenangkan diri Khadijah yang sedikit beremosi. Dia hanya memerhatikan sahaja wajah jernih Khadijah.

“Malam tu, Abang Zahid berbeza sedikit. Malam tu, banyak perkara yang dia cakap kat aku. Banyak pesanan yang dia bagi kat aku. Seolah-olah dia tak berpeluang lagi nak cakap lepas tu….” kata Khadijah. “Dia nak aku jadi isteri yang baik…. Dia nak aku jadi ibu yang baik…. Dia harap aku dapat berdiri sendiri satu hari nanti, tanpa bergantung pada orang lain…. Dan dia nak nanti, aku dapat didik anak-anak dia dengan sempurna…. Seolah-olah dia takkan dapat merasai saat semua tu…” katanya lagi. “Abang seolah-olah tahu yang dia akan pergi….”

“Ya, pesanan tu pasti sesuatu yang sangat bermakna buat hang….” respon Murni.

“Hari tu jugak, dia banyak habiskan masa dia dengan adik-adiknya. Hari tu, dia banyak bergurau dengan Yasmin, sampai Yasmin naik angin sedikit dengan abang, tak tahan selalu diusik hari tu… Hari tu jugak, dia banyak berbual dengan Sheera, terlalu lama saatnya….. entahlah, semuanya hari tu rasa lain dengan sikap abang. Dan malam tu, sebelum tidur,… entah bagaimana, tiba-tiba Zahid jumpa Ibu di dapur. Dia peluk, cium, dan lepas tu salam tangan Ibu sambil mintak maaf banyak-banyak atas kesalahan yang pernah dia lakukan. Begitu lama dia peluk Ibu malam tu. Waktu tu semua memang hairan dengan sikap abang…. Sangat kehairanan….Lepas tu abang jumpa pulak Ayah, dan perkara yang sama dia buat kat Ayah….” kata Khadijah. “Dan kehairanan semua terhadap sikap abang hari tu terjawab keesokannya… kerana abang mungkin tahu yang dia akan pergi hari esoknya….”

“Tapi kita semua patut bersyukur, sebab Abang Zahid punyai kesempatan nak menikmati hari akhirnya dengan semua ahli keluarganya…” kata Murni.

“Malam tu, Abang Zahid cium tangan aku…. Begitu lama…. Dan itulah ciuman terakhir sebelum dia pergi…. Aku takkan lupakan saat tu….. cukup berharga… sebab aku takkan rasai lagi saat tu…” kata Khadijah.

Khadijah kemudian mengambil kembali buku yang dibacanya sebelum ini. Dia kembali menyambung pembacaannya terhadap buku yang ditulis Zahid. Pembacaannya itu kini menghampiri ke penghujungnya. Helaian demi helaian diselak semakin menghampiri helaian terakhir buku itu. Murni memahami Khadijah. Supaya dia tidak mengganggu tumpuan pembacaan rakannya itu, Murni menuju ke dapur. Khadijah meneruskan pembacaannya.

“Persoalan kini, adakah kata hati itu perlu selalunya diikuti? Adakah kata hati itu sesuatu yang benar? Tidak mungkin semua persoalan itu dapat dijawab jika kita tidak cuba menghampirinya, dan cuba merasai sendiri kata hati itu. Mungkin ada risikonya, namun risiko itu jugalah yang akan menambahkan lagi kekuatan kita. Hakikatnya hidup ini senantiasa dipenuhi dengan dugaan dan cabaran. Hanya kekuatan diri sahaja yang membolehkan seseorang menghadapi dugaan itu. Soal hati dan perasaan hanya boleh bersatu jika tangan tidak bertepuk sebelah, jika mata telah betemu mata. Ikatan itu hanya wujud, jika masing-masing bersetuju, mereka punyai hati dan perasaan yang sama yang boleh dikongsi bersama”

“Hati dan perasaan memang boleh dikongsi. Dan kata hati itu ternyata benar buat abang. Kata hati abang tak pernah salah. Khadijah dapat terima abang walaupun hanya dapat berkongsi untuk masa yang sekejap…” kata Khadijah sendirian. Dia kemudian meneruskan pembacaannya.

“Jika benar kata hati itu, bahagialah diri. Dan jika sebaliknya, itulah yang dinamakan perjudian, ada untung dan ada ruginya. Mungkin hati ini bakal bertemu dengan hati yang lain. Mungkin hati ini dapat dikongsi dengan hati yang lain. Dan apabila itu berlaku, sungguh nikmat hidup ini. Sungguh bahagia hidup ini. Tapi satu sahaja persoalan dalam hati ini, adakah tangan yang ditepuk ini hanya ditepuk sebelah tangan? Adakah pandangan ini dibalas pandangannya? Hati ini gusar, takut, jika semua jawapannya mengatakan, maaf… atau mungkin tidak…. atau mungkin, tiada langsung jawapan yang diberi. Kerana hati ini takut untuk merasai kekecewaan”

“Abang tak akan kecewa, abang tak perlu gusar atau takut. Sebab tangan yang abang tepuk itu bukanlah hanya bertepuk sebelah tangan. Khadijah juga turut menepuk tangan itu. Khadijah sanggup berkongsi hati dengan abang….Persoalan abang itu dah terjawab. Kata hati abang itu telah bahagiakan abang… dan abang pasti merasai nikmat hidup itu…” kata Khadijah lagi sendirian. Dia kemudian menyelak ke halaman terkahir buku itu. Khadijah semakin menghampiri penghujung cerita. Penamat cerita semakin menghampiri Khadijah.

“Jika ada masa dan kesempatan, bersua lagi dalam coretan yang lain. Jika tidak, mungkin inilah penamat dan penghabisannya. Coretan ini hanyalah datang dari insan biasa. Bukanlah pujangga hebat yang dipuja sepanjang masa, bukanlah penulis yang terkenal yang digilai setiap orang, dan bukan juga tokoh hebat yang dikagumi sepanjang zaman. Penulis ini hanyalah orang biasa, setiap hari pergi bekerja mencari rezeki, setiap hari pulang bekerja dengan hasil rezeki, seperti orang-orang biasa yang lain. Penulis ini hanyalah hamba-Nya yang lemah, tidak dikenali dan tidak juga ingin dikenali. Coretan ini bukanlah untuk nama, pangkat, harta, atau kuasa, kerana coretan ini hanyalah ditulis untuk seorang insan. Insan itu juga bukanlah begitu hebat kerana dia juga insan biasa bagi semua orang. Hanya pada mata ini sahaja insan ini sangat hebat dan dikaguminya. Coretan ini sekadar luahan rasa yang cuba dijelmakan dalam bentuk huruf-huruf yang membentuk tulisan. Tulisan itu pula membentuk ayat-ayat yang menyatakan perasaan ini. Ayat-ayat itu pula membentuk perenggan demi perenggan sehingga tercipta bab demi bab. Maka terhasillah satu naskah dari bab demi bab itu. Itulah yang yang tercipta yang kini dipegang oleh insan itu. Moga insan itu sempat membaca coretan naskah ini. Kerana naskah ini ditujukan kepadanya….”

Khadijah menutup buku yang dibacanya. Akhirnya setelah lama dia menghabiskan masa membaca buku itu, dia telah berjaya menamatkan pembacaannya itu. Dengan cermat dia kemudian meletakkan buku itu di atas meja kopi di hadapannya. Namun sebelum sempat dia meletakkan buku itu, sehelai kertas berwarna putih jatuh dari buku itu. Lantas dia mengambil kertas itu.

“Sampaikan salam buat semua
Salam terakhir
Salam teristimewa
Kepada kau yang tersayang
Pada teman yang ku kenang
Pemergianku ini tak dirancang

Usah bertanya mengapa aku
Mengucap salam terakhir kepadamu
Kerna waktu berputaran
Bimbang tak berkesempatan
Melahirkan kerinduan terhadapmu

Demi sebuah kenyataan
Yang amat menyakitkan
Aku yang tidak berdaya
Hanya berserah padanya

Salam akhir
Salam yang teristimewa
Bersamanya ku memohon keampunan
Melaluinya ku beri kemaafan kepadamu”

Lirik lagu Salam Terakhir nyanyian Allahyarham Datuk Sudirman Hj. Arshad tertulis pada kertas itu. Tulisan tangan berdakwat hitam itu tertulis pada kertas itu. Dia mengecam tulisan tangan itu. Itulah tulisan Zahid, suaminya. Di bawah kertas itu tercatat waktu lirik itu ditulis. Lirik itu ditulis pada pukul 3.45 pagi, hari Jumaat, pada bulan Ramadhan. Tarikh yang tercatat pada kertas itu sama dengan tarikh Zahid meninggal dunia. Mungkin itulah tulisan terakhir yang ditulis Zahid sebelum pergi meninggalkan semua orang. Mungkin Zahid telah menyelitkan kertas itu ke dalam buku itu. Khadijah menjadi terharu. Tanpa disedarinya, air matanya mula memenuhi kolam matanya. Dia menjadi sedikit sayu sebaik melihat lirik itu. Lirik itu ternyata cukup mendalam buatnya, penyataan hati yang mungkin dirasai Zahid ketika itu. Perlahan-lahan beberapa titisan mata mula mengalir membasahi pipinya yang putih itu. Urat-urat halus yang kelihatan pada pipinya itu dibasahi sedikit dengan air matanya. Perlahan-lahan kemudian Khadijah mengesat air matanya itu dengan lengan bajunya. Dia cuba menghilangkan perasaan sayunya itu. Dia cuba mengembalikan wajahnya yang normal yang kini sedikit muram. Selepas merasakan dapat mengawal diri, Khadijah bangun dari duduknya.

“Khadijah dah maafkan abang, walaupun mungkin abang tak pernah ada sebarang kesalahan dengan abang. Khadijah redha abang pergi…” kata Khadijah sendirian.

Dia kemudian melihat jam di dinding. Waktu telah menghampiri pukul 10.30 pagi. Selepas itu Khadijah terus berjalan menuju ke dapur untuk bertemu Murni. Di dapur, Murni kelihatan sedang sibuk mengemas. Mungkin dia mahu dapurnya itu kelihatan lebih kemas daripada biasa kerana hari ini beberapa kenalannya dari jauh akan berkunjung ke rumahnya.

“Kenalah kemas sikit dapur ni. Kawasan nilah yang paling cepat jadi tak kemas daripada kawasan lain dalam rumah ni,” kata Murni sebaik melihat Khadijah muncul di dapur memerhatikannya.

“Kawan lama hang ke yang nak datang nanti?” soal Khadijah.

“Nak kata kawan lama tak, tapi mereka semua ni boleh aku cakap kenalan aku sebelum aku masuk USM dulu,” balas Murni.

“Tapi, nampaknya aku tak dapat jumpa kawan-kawan hang tulah,” kata Khadijah.

“Kenapa pulak?” soal Murni sambil menyapu lantai dapur.

“Hang ingat tak semalam Ustaz Kamarul ada telefon aku kan?” soal Khadijah.

“Ya, ingat”

“Dia telefon semalam sebab dia nak jumpa aku hari ini. Dia kata ada hal sikit dia nak jumpa aku,” terang Khadijah.

“Bunyi macam penting je? Lagipun Ustaz Kamarul tu tak pernah pulak jumpa hang… kenapa, eh?”

“Aku kena pergi, barulah aku dapat tahu sebabnya”

“Bila?”

“Tak lama dah. Kejap lagi aku kena pergi,” jawab Khadijah. “Lepas aku jumpa dia, mungkin aku nak pergi buat check-up kat hospital”

“Check- up? Hang sakit ke?” soal Murni kehairanan. Kerja menyapunya terhenti seketika sebaik mendengar kata-kata Khadijah itu.

“Oh, pasal tu…. Sorilah aku lupa nak bagitau kat hang…”

“Bagitau apa?” soal Murni.

“Aku datang ke rumah hang ni sebab tujuan tulah. Aku memang nak bagitau hang. Tapi aku terlupa nak cakap kat hang…”

“Pasal apa?”

“Aku nak bagitau kat hang yang aku…” Khadijah membisu seketika. Dia kemudian tersenyum pada Murni. “ Aku,… aku, dah pregnant…”

“Really?” balas Murni terkejut dalam gembira.

“Ya. Dah dua bulan…”

“Ya Allah! Alhamdulillah….” respon Murni. “Aku terkejut tapi gembira dengan apa yang hang bagitau. Syukurlah…. Tak lama lagi hang akan jadi ibu…”

“Dan anak aku ni nanti akan lahir tanpa ayahnya…” kata Khadijah sedikit muram.

“Tak. Tu tak betul. Hanglah yang akan jadi ayah, hanglah yang akan jadi ibu dia….” Kata Murni memberi semangat.

“Aku harap aku dapat penuhi permintaan Abang Zahid. Aku harap aku dapat jadi ibu yang baik. Aku harap aku dapat didik dia dengan baik”

“Harapan tu pasti hang dapat penuhi…” kata Murni memberi semangat. “Oh, jadi tulah sebabnya hang tak dapat ikut Ibu ke Penang?”

“Yup. Yalah, orang yang baru mengandung, tak elok jalan jauh-jauh. Nanti boleh jejaskan kandungan pulak. Asalnya Yasmin dengan Sheera nak temankan aku, tapi aku rasa eloklah diorang semua pergi. Dah banyak diorang bantu aku selama ni… lagipun inilah peluang untuk aku balik ke rumah lama aku ni. Sebab itulah aku bermalam kat sini…dapat juga aku jumpa kawan karib aku ni,” terang Khadijah sedikit tersenyum.

“Aku tumpang gembira dengan hang. Kalau hang gembira aku pun gembira jugak. Kalau hang sedih, aku pun rasa sedih. Aku beryukur sebab hang gembira sekarang. Aku harap hang tak lagi selalu sedih…” kata Murni.

“Insyaallah…”

Khadijah kemudian meninggalkan Murni berseorangan di dapur. Dia menuju ke bilik untuk menukar pakaiannya. Setelah beberapa minit kemudian, Khadijah keluar dengan berpakaian baju kurung berwarna biru muda. Sambil itu juga, dia mengemaskan sedikit tudungnya. Murni yang melihat Khadijah berpakaian kemas meninggalkan kerjanya di dapur. Dia menghampiri Khadijah yang kini berada di muka pintu hadapan rumah.

“Bila kawan-kawan hang tu sampai sini?” soal Khadijah sebaik Murni menghampirinya.

“Entahlah. Tak tau pulak bila. Tapi, diorang cakap yang diorang dah nak sampai Taiping dah. Tapi tak bagitau pulak pukul berapa diorang nak sampai…”

Serentak dengan itu juga, sebuah teksi berhenti di hadapan rumah. Mata Murni dan Khadijah kemudian tertumpu pada teksi itu. Teksi Waja berwarna merah itu dimatikan enjinnya. Seorang lelaki kemudian keluar dari teksi itu. Selepas itu, dua orang wanita pula keluar dari teksi tersebut.

“Nampaknya soalan hang tu dah terjawab…” kata Murni. “Panjang umur diorang…”

“Ya, seperti dah berjanji…”

Pandangan Khadijah tertumpu pada lelaki yang turun dari teksi itu. Dia mengamati wajah lelaki itu. Selepas itu dia melihat pula dua wanita yang baru turun itu. Dia juga turut mengamati wajah dua wanita itu. Khadijah seperti mengenali kesemua mereka. Dia seperti merasakan seolah-olah dia pernah berjumpa dengan mereka. Namun, dia tidak pasti sejauh manakah dia mengenali mereka. Mungkin hanya sekadar kebetulan sahaja perasaannya itu muncul. Mungkin mereka langsung tidak dikenali Khadijah.

Lelaki itu mula memasuki halaman rumah. Wajah lelaki itu semakin jelas dilihat Khadijah. Tanpa disedarinya, dia kemudian menghampiri lelaki itu. Dua wanita yang turun itu pula berjalan di belakang lelaki itu. Semakin dekat dengan lelaki itu, keyakinan Khadijah bahawa dia mengenali lelaki itu semakin kuat. Dia pasti dia mengenali lelaki itu. Secara spontan selepas itu, Khadijah tiba-tiba menyoal lelaki itu.

“Fariz?” soal Khadijah. “Ni Fariz kan?” soalnya kemudian. Dia kemudian melihat dua wanita di belakang lelaki itu. “Sara? Ayu?”

“Eh, hang kenal ke diorang semua ni?” soal Murni terkejut.

“Eh, Khadijah kan?” soal lelaki itu pula.

“Tak sangka aku boleh jumpa hang balik…” kata Khadijah. Lelaki itu ternyata dikenali Khadijah. Lelaki itu ialah Fariz. Dia kemudian menghampiri dua wanita di belakang Fariz sebelum bersalaman antara satu sama lain.

“Apa khabar Sara, Ayu…” sapa Khadijah.

“Eh, nanti kejap. Hang kenal diorang semua ni Khadijah?” soal Murni kepada Khadijah yang ternyata kehairanan.

“Masakan aku tak kenal mereka semua ni. Fariz ni satu kampus dengan aku dulu masa aku buat ijazah. Kami ni kawan rapat. Sama jugak dengan Sara, kami semua kawan rapat. Satu geng dulu masa kat USM. Apa je perkara, kami semua kongsi…” terang Khadijah. “Ayu pula adik Fariz, masakan aku tak kenal dia…”

“Kecilnya dunia…. Kecilnya…” kata Murni sambil menggelengkan kepalanya.

“Emm, Murni pulak macam mana boleh kenal Khadijah ni?” soal Fariz kepada Murni.

“Dia kawan rapat aku masa aku buat master dulu…” kata Khadijah menjawab pertanyaan Fariz terhadap Murni sebelum sempat dijawab Murni sendiri.

“Huh, memang dunia ni kecil….” kata Ayu pula tersenyum.

“Jadi tanpa diketahui, kita semua ni masing-masing sebenarnya cuma tak tahu je…” kata Sara pula.

“Dah lama aku tak jumpa hang. Aku ada juga cuba contact hang, tapi tak dapat. Sejak konvo dulu, terus aku tak jumpa hang. Hang hilang macam tu je. Sama jugak dengan Abang Zahid…” kata Fariz.

“Abang Fariz kenal Abang Zahid?” soal Murni kepada Fariz sekali lagi terkejut.

“Mestilah, kalau aku satu kampus dengan diorang, sama jugaklah dengan Abang Zahid,” balas Khadijah menjawab pertanyaan Murni sebelum sempat dijawab Fariz.

“Jadi, apa cerita sekarang?” soal Sara pula.

“Alhamdulillah. Semuanya baik-baik saja…semuanya berjalan dengan lancar…” balas Khadijah.

“Abang Zahid mana? Dia buat apa sekarang?” soal Fariz pula.

Khadijah membisu. Dia tidak pula menjawab pertanyaan Fariz itu. Dia seperti tidak tahu untuk membalas pertanyaan itu. Kebisuan itu disedari Murni. Akhirnya Murni bersuara setelah Khadijah masih terus membisu.

“Abang Zahid sekarang suami Khadijah,” terang Murni.

“Really?” soal Fariz terkejut. Khadijah hanya mengangguk sahaja mengiakan pertanyaan Fariz.

“Wah, gurauan aku dulu akhirnya jadi kenyataan,” kata Sara. “Tak sangka, hang dengan dia boleh betul-betul jadi macam aku cakap dulu…”

“Mungkin gurauan hang tu satu doa buat aku dengan dia,” kata Khadijah tersenyum.

“Aku memang cadang nak jumpa hang dengan Abang Zahid bila aku datang ke Taiping ni. Tapi tak sangka pulak secepat ni aku jumpa hang,” kata Fariz.

“Jadi, Zahid sekarang mana?” soal Sara.

Sekali lagi Khadijah kembali membisu. Pertanyaan sara itu tidak dijawabnya. Dia seperti menjadi kelu lidah untuk berkata-kata. Dia tidak tahu apa yang perlu diperkatakannya.

“Tapi, Abang Zahid dah tak ada. Dia dah meninggal…. Sebulan yang lepas,” kata Murni sekali lagi bersuara setelah Khadijah terus membisu.

“Hah, ya ke?” soal Fariz terkejut. “Aku mintak maaf. Aku tak sangka yang dia dah tak ada…”

“Dia sakit apa?” soal Sara.

“Jantung,” balas Khadijah ringkas. Wajahnya sedikit sugul.

“Innalillah hiwa inna hira ji un…” kata Fariz kemudian. Dia benar-benar terkejut dengan perkhabaran yang menyatakan bahawa rakan lamanya itu telah pun meninggal dunia.

“Kalaulah kita dapat datang ke sini sebulan lebih awal….” kata Sara.

“Bukan rezeki kita nak jumpa dia,” kata Fariz.

“Aku mintak maaf. Aku tak tahu yang Abang Zahid dah tak ada…” kata Sara kepada Khadijah.

“Tak apa. Hang tak tahu…” balas Khadijah.

“Semuanya dah ditentukan dan disuratkan…” kata Murni pula.

“Jadi, hang pulak macam mana cerita?” soal Khadijah kepada Fariz.

“Alhamdulillah…aku pun sama juga macam hang…” balas Fariz. “Kerja pun elok, rumah pun elok, semuanya bagus…”

“Yalah, kalau dah jadi CEO syarikat, bukan bagus lagi, tapi sangat-sangatlah bagus,” kata Ayu pula yang selama ini membisu.

“Sara?” soal Khadijah.

“Aku sama juga macam Fariz….” balas Sara.

“Kerja satu tempat dengan abang,” kata Ayu kepada Khadijah.

“Kahwin?” soal Khadijah.

“Nanti kot…” balas Sara.

“Fariz?” soal Khadijah kepada Fariz pula.

“Dulu calon dah ada, tapi tiba-tiba dia menghilang…” balas Ayu sebelum sempat dijawab Fariz.

“Oh, ya ke? Jadi, solo lagilah ya…” kata Khadijah. “Apa ceritanya sampai boleh menghilang pulak?”

Ayu dan Fariz berpandangan antara satu sama lain. Masing-masing seperti menyimpan satu kisah yang berlaku pada masa lalu. Mereka kemudian sedikit tersenyum.

“Panjang ceritanya…” kata Fariz kemudian.

“Hang datang sini apa tujuannya? Tiba-tiba datang ke Taiping ni…” soal Khadijah.

“Tak ada apa. Saja nak melawat Murni ni saja. Dah lama tak jumpa dia…” terang Fariz. “Murni ni kawan rapat Ayu…”

“Eh, cakap-cakap kat luar ni,… tak syoklah. Jom masuk dulu. Sembang dalam lagi lebih rancak,” pelawa Murni.

Ayu, Sara, dan Fariz kemudian berjalan masuk ke dalam. Namun Khadijah tidak pula mengikut mereka. Dia masih berdiri di tempat yang sama. Sara yang melihat Khadijah masih berdiri kaku di tempat yang sama menyedari akan hal itu.

“Jom masuk. Boleh bual panjang,” pelawa Sara.

“Aku mintak maaflah. Nantilah kita bual panjang. Bukan apa, aku ada sedikit urusan yang perlu aku buat,” balas Khadijah menolak dengan baik permintaan Sara itu.

“Oh, gitu. Emm tak apalah. Nanti kita bual panjang…” kata Sara.

“Pasti aku akan jumpa hang lagi. Kita dah lama tak bersua…” kata Khadijah tersenyum.

Khadijah kemudian terus menuju ke keretanya. Perodua Myvi miliknya kemudian dihidupkan enjinya selepas dia masuk ke dalam kereta itu. Setelah beberapa lama enjin dihidupkan, dia kemudian memulakan pemanduannya. Perjalanannya tidaklah begitu jauh. Hanya beberapa kilometer sahaja, maka sampailah tempat yang ditujunya. Masjid Daerah Taiping tidaklah begitu jauh dari rumahnya. Beberapa minit sahaja maka tibalah dia di sana.

Setibanya dia di masjid itu, dengan jelas dia dapat melihat Ustaz Kamarul sedang berdiri di sebelah kereta Proton Waja. Mungkin Ustaz Kamarul telah lama menunggunya. Panas pada pagi itu sedikit pun tidak menyebabkan Ustaz Kamarul berganjak dari tempat dia berdiri. Dia terus sabar menunggu kehadiran Khadijah. Bagi Khadijah, wajah bekas guru di sekolah menengahnya dulu ini tidaklah begitu jarang dilihatnya. Kali terakhir dia melihat Ustaz Kamarul adalah semasa majlis perkahwinannya dulu. Walaupun Khadijah tidak pernah menjadi anak muridnya, hubungannya dengan Zahid menyebabkan dia mengenali Ustaz Kamarul dengan lebih rapat.

“Assalamualaikum ustaz,” sapa Khadijah.

“Waalaikumussalam,” balas Ustaz Kamarul tersenyum.

“Ustaz lama ke tunggu?” soal Khadijah sedikit serba salah.

“Tak juga”

“Mintak maaflah ustaz. Tadi terkandas sikit tadi sebab ada kawan lama saya datang ke rumah kawan saya…”

“Tak apa. Semua yang kita rancang tak semestinya berjalan seperti yang kita harapkan. Pasti ada lainnya. Itulah namanya kehidupan,” balas Ustaz Kamarul.

“Tapi alhamdulillah, sampai juga saya kat sini seperti yang saya janjikan semalam dalam telefon,” kata Khadijah.

“Saya minta maaf, tiba-tiba telefon kamu. Bukan apa, saya ada nak sampaikan sesuatu pada kamu. Itu sebabnya saya nak jumpa kamu,” kata Ustaz Kamarul.

“Berkenaan apa tu ustaz?”

“Saya jumpa kamu sebab saya nak sampaikan hasrat arwah Zahid, suami kamu terhadap saya masa lalu. Dia dah lama simpan hasrat ni. Tapi itulah, dia tak sempat nak tunaikan hasrat dia tu,” jelas Ustaz Kamarul. “Maka hari inilah waktunya sebenarnya hari yang Zahid tunggu-tunggu selama ini. Hari inilah yang dia impikan untuk berada bersama-sama saya…”

“Saya kurang jelas…” kata Khadijah. Ustaz Kamarul tersenyum.

“Memang kamu kurang jelas, sebab kamu tak pernah tahu, sebab Zahid tak pernah cerita…” balas Ustaz Kamarul. “Hari ini, adalah hari yang cukup bermakna buat saya, dan buat kamu, bila kamu tahu nanti. Kerana hari ini kita akan mendapat satu lagi saudara baru, yang dah lama cuba mengenali mengenai agama kita, agama Islam. Rahmat buat Allah, kerana Dia telah menurunkan hidayah-Nya. Dan itulah impian dan hasrat Zahid”

Ustaz Kamarul berbicara dengan serius. Sambil itu mereka mula berjalan menghampiri pintu masjid. Khadijah hanya mendengar dengan penuh teliti akan kata-kata Ustaz Kamarul itu. Sebaik mereka menghampiri bangku batu yang terletak di luar masjid, Ustaz Kamarul duduk di kerusi itu. Namun Khadijah hanya berdiri sahaja berhampiran kerusi tersebut.

“Saya panggil kamu hari ini kerana tak mungkin saya dapat jumpa Zahid lagi,” kata Ustaz Kamarul sambil melihat wajah Khadijah. “Saya ke sini pun adalah untuk menyaksikan sendiri rakan saya ini mengakui kebesaran Allah. Telah banyak dia belajar mengenai Islam. Telah banyak yang saya ajar mengenai Islam setakat mana yang termampu saya lakukan. Pintu hati itu sedikit demi sedikit dibuka, sebelum dia mampu dapat melihat cahaya yang selama ini dia cari. Zahid pernah juga bersama saya beberapa kali ketika saya memberi sedikit tunjuk ajar mengenai kebenaran dan keindahan Islam itu kepada rakan saya ini. Rakan saya ini mungkin hanya insan biasa, tapi yang membuatkannya jadi luar biasa adalah kerana dia telah mendapat hidayah Allah,” terang Ustaz Kamarul. “Hari ini, rakan saya, saudara Alex namanya, akan mengakui keesaan Allah dan kebenaran bahawa Muhammad itu pesuruh akhir zaman”

“Maha suci Allah,” respon Khadijah. Dia begitu kagum mendengar kata-kata Ustaz Kamarul itu. “Allah itu memang Maha Penyayang…”

“Maka sebab itulah saya panggil kamu, kerana Zahid pernah mengimpikan hasratnya itu untuk menyaksikan detik yang cukup bermakna ini. Tapi hasratnya itu tidak sempat ditunaikan kerana dia pergi dahulu…. Sebab itu saya harap Khadijah dapat tunaikan hasratnya itu. Saya harap kamu dapat realisasikan impiannya ini. Saya harap kamu dapat teruskan niat Zahid itu. Kerana kamulah orang yang paling layak untuk menjadi diri Zahid pada hari ini,” kata Ustaz Kamarul. “Saya harap kamu dapat gantikan tempat Zahid untuk menyaksikan satu detik bersejarah ini”

Khadijah menjadi kelu lidahnya. Harapan Ustaz Kamarul ternyata begitu besar terhadap dirinya. Dia tidak tahu apa lagi yang perlu diperkatakannya. Baginya, harapan Zahid itu ternyata harus diteruskan. Dengan tenang, Khadijah kemudian bersuara.

“Kalau itulah impian yang selama ini dtunggu Abang Zahid, maka saya akan teruskan impiannya itu. Saya akan tunaikan hasratnya… Insyaallah…Moga saya mampu teruskan hasrat dia itu,” balas Khadijah.

“Insyaallah kamu pasti mampu,” kata Ustaz Kamarul. “Marilah, semuanya akan berlangsung tak lama lagi,” ajak Ustaz Kamarul kepada Khadijah. Dia mengajak Khadijah untuk masuk ke dalam masjid yang telah kelihatan beberapa orang di dalam. Semuanya yang berada di dalam masjid itu sedang mananti satu majlis pengislaman Alex, individu yang selama ini selalu berjumpa Ustaz Kamarul untuk mendalami agama Islam. Akhirnya kini setelah begitu lama Ustaz Kamarul berdakwah, Alex bakal menjadi saudara baru dalam Islam.

Khadijah kemudian melangkah berjalan menghampiri masjid. Sambil dirinya melangkah, wajah Zahid muncul dalam fikirannya. Setiap langkahnya itu semakin menguatkan ingatannya terhadap arwah suaminya itu. Setiap langkahan itu adalah tanda betapa dirinya itu sangat merindui Zahid. Dan rindunya itu cuba diubati dengan meneruskan langkahannya itu untuk menunaikan impian Zahid. Dengan tertunainya hasrat Zahid yang tidak kesampaian itu, mungkin kerinduannya terhadap suaminya akan dapat diubati.

“Abang, langkah demi langkah ini adalah untuk abang. Perjuangan abang akan Khadijah teruskan,” bisik Khadijah sendirian. “Ini adalah janji Khadijah untuk abang…” Langkahnya itu diteruskan menuju ke hadapan diringi keazaman yang tinggi.

























Tamat Ceritera 20

No comments: