Monday, September 14, 2009

Ceritera 3

Ceritera 3

“Demi masa, sesunguhnya manusia kerugian. Melainkan, yang beriman dan yang beramal soleh……,” nada dering polifonik telefon lagu Demi Masa daripada Raihan kedengaran tiba-tiba, mengganggu sedikit Murni dan Khadijah yang sedang menjamu selera.

“Tu telefon hang bunyi kan?” soal Murni kepada Khadijah sebaik mendengar nada dering tersebut.

“Telefon?” soal Khadijah kehairanan.

“Ya Allah! Hang ni pekak ke? Punyalah kuat telefon tu bunyi, hang tak boleh dengar?” soal Murni kembali.

“Bukan aku tak dengar. Tapi aku ingat tu bunyi radio. Lagipun telefon aku tak guna ringtone tulah,” balas Khadijah.

“Habis tu telefon siapa?” soal Murni kehairanan.

“Handset siapa lagi kat rumah ni selain dari aku?” soal Khadijah pula. “Handset hanglah tu,” kata Khadijah lagi.

“Eh, ye ke?”

“Kalau dah pelupa tu, pelupalah jugak. Hang ni kalau dah tua esok macam manalah? Handset sendiri pun tak boleh cam bunyinya,” kata Khadijah.

Murni hanya tersengih. Mungkin tersengih malu. Sejurus selepas itu, dia terus mengambil air basuh tangan untuk mencuci tangannya. Selepas itu barulah dia bangun dari kerusi dan menuju ke ruang tamu untuk mengambil telefon bimbitnya yang diletakkannya di atas meja kopi di ruang tamu. Sementara itu, Khadijah hanya menggelengkan kepalanya melihat gelagat Murni itu. Murni kemudian terus menjawab panggilan telefon itu sejurus mencapai telefon bimbitnya. Khadijah tidak dapat mendengar perbualan telefon itu dengan jelas dari tempat dia berada. Tetapi melihat dari jauh, ternyata Murni begitu rancak berbual. Mungkin insan istimewa yang sedang menelefon Murni itu. Perbualan telefon tersebut tidaklah begitu lama. Dua minit selepas itu, Murni kembali ke meja makan selepas selesai menjawab panggilan.

“Teman teristimewa?” soal Khadijah sambil tersenyu sejurus Murni kembali duduk di kerusi.

“Taklah,” Murni membalas ringkas sambil tersenyum. Dia kemudian kembali menjamu selera menyambung kembali santapannya yang tergendala seketika akibat panggilan telefon sebentar tadi.

“Di mulut katanya tak, tapi di hati katanya ya,” usik Khadijah. Murni hanya tersenyum sedikit mendengar usikan daripada Khadijah itu.

“Kalau istimewa pun, apa masalahnya…”

Mereka kemudian kembali senyap. Masing-masing menjamu selera kembali. Namun tidak beberapa lama kemudian santapan merreka terganggu sekali lagi. Seperti ulangan tayangan drama televisyen, kedengaran lagi bunyi nada dering telefon bimbit beberapa ketika kemudian. Namun kali ini bunyi nada dering berbeza berbanding tadi.

“Sejak melihatmu, ku jatuh hati padamu, saat mengenalmu, semakin ku ingin kamu, mahukah engkau menemani aku……” nada dering polifonik lagu Dua Hati Menjadi Satu nyanyian Gita Gutawa dan Dafi kedengaran pula kali ini. Serta merta Khadijah yang sedang menikmati hidangan terus bangun dan menuju ke ruang tamu. Kali ini telefon bimbitnya pula yang berbunyi.

“Hello….” kata Khadijah sebaik dia mejawab paggilan telefon. Telefon bimbitnya itu diambilnya di atas kabinet televisyen di ruang tamu.

Sementara itu Murni masih lagi menikmati hidangan tengah hari. Dia tersenyum apabila rakannya itu bagun untuk menjawab panggilan telefon. “Paku dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih….” kata Murni sendirian apabila Khadijah berada di ruang tamu. “Eh, apa kaitan peribahasa tu ha?” soal Murni kemudian.

“Ya encik. Saya faham,” kata Khadijah menerusi panggilan telefon itu. “Insyaallah saya akan datang…… Tapi saya tak jamin lah pukul berapa saya boleh datang ke pejabat encik,” kata Khadijah lagi. “Oh begitu……. Ya saya faham……. Surat tu je kan yang saya kena sain?........ Oh……”

Beberapa minit kemudian, Khadijah kembali ke meja makan. Di tangannya dibawanya telefon bimbit dan diletakkan di atas meja makan kemudian. Mungkin Khadijah ingin menjimatkan masa jika terdapat sebarang panggilan telefon lagi selepas ini. Sebaik dia duduk kembali di kerusi, Khadijah menyambung kembali santapannya.

“Yang teristimewa ke?” soal Murni cuba mengusik Khadijah.

“Ish, apa hang ni lah. Mana ada. Tak baik tau hang cakap macam tu. Aku cuma ada seorang je yang special untuk aku. Orang yang tak akan aku lupa sampai aku mati….” balas Khadijah dengan serius.

“Opps… sorilah. Aku tak sengaja cakap macam tu. Aku tau lah benda ni sensitif untuk hang…” balas Murni pula.

“Tau tak pe…”

Tidak berapa lama selepas itu, tiba-tiba telefon bimbit Khadijah yang diletakkan di atas meja makan berbunyi lagi. Tanpa membuang masa dia terus mengambil telefonnya itu dan terus menjawab panggilan tersebut.

“Hello…..” kata Khadijah menjawab panggilan itu. “Waalaikumussalam……. Ya saya Khadijah. Ni yang bercakap ni siapa?” soal Khadijah. “Oh, ustaz. Saya ingat siapa tadi…… Ya alhamdulillah saya sihat. Ustaz macam mana boleh dapat nombor saya ni?” soalnya. “Oh, macam tu….. Ya ustaz…….. bila tu ustaz?......... lusa?.......... Emmm….. rasanya boleh kot. Tapi tengoklah dulu. Kalau ada hal saya bagitau ustaz nanti……. Ya Ustaz……. Baik ustaz…….Waalaikumussalam….”

“Siapa?” soal Murni sebaik Khadijah selesai menjawab panggilan telefon itu.

“Hai, takkan semua orang yang phone aku nak kena bagitau hang kot?” soal Khadijah pula.

“Yalah, yalah, aku tak tanya lagi….”

Khadijah hanya tersenyum dengan gelagat Murni. Lagak rakannya itu menyoal terhadapnya tidak ubah seperti ejen rahsia yang sedang menyoalnya. Namun itulah sifat semulajadi Murni yang sememangnya suka mengambil tahu akan hal orang lain. Sifat yang telah diketahui Khadijah sejak mereka di sekolah lagi.

* * *

Sebuah Proton Waja Campro sedang laju memecut di Jambatan Pulau Pinang. Kelajuan maksima yang mampu dicapai di atas jambatan terpanjang di Asia Tenggara ini adalah sekitar 60km/j sahaja. Jumlah kenderaan yang begitu banyak di atas jambatan membataskan sesebuah kereta itu untuk memecut lebih laju daripada kelajuan itu. Kereta yang yang didaftarkan di Pulau Pinang itu dipandu oleh seorang pelajar Universiti Sains Malaysia (USM). Pelajar wanita yang putih melepak itu baru sahaja selesai kertas peperiksaannya yang terakhir untuk semesternya yang kedua. Tudung hitam yang dipakainya jelas menjadikan wajahnya yang putih itu menjadi kontra dengan warna tudungnya itu. Sheera kini sedang menuju ke bandar Taiping, satu jam setengah perjalanannya dari Pulau Pinang. Dia akan menemui abangnya yang hampir sebulan tidak ditemuinya.

Sheera akan terus menuju ke pusat bandar Taiping atau lebih tepat ke Kampung Jambu, kawasan kediaman yang terletak di pusat bandar Taiping. Di situlah rumah abangnya terletak. Sudah menjadi kebiasaan untuknya mengunjungi abangnya itu apabila dia mempunyai kesempatan. Kebanyakan masa cutinya dihabiskan di Taiping walaupun hakikatnya keluarganya tinggal di Butterworth, tidak jauh dari tempatnya belajar iaitu USM. Sifatnya yang manja kepada abangnya menyebabkan dia lebih banyak menghabiskan masa dengan abangnya. Sheera adalah adik kepada Zahid, adik yang paling rapat dengan Zahid, adik yang paling manja dengan Zahid, dan merupakan adik yang paling disayangi Zahid sendiri. Maka tidak hairanlah hubungan mereka ini begitu rapat.

Setelah melalui Jambatan Pulau Pinang yang mengambil masa kira-kira lima belas minit, kereta yang dipandu gadis ini menghampiri persimpangan bertingkat menuju ke Lebuhraya Utara Selatan (PLUS). Kereta tersebut terus dipandu menuju ke persimpangan bertingkat itu menuju ke arah selatan lebuhraya, arah yang akan membawanya menuju ke bandar Taiping. Keretanya dipandu dengan begitu laju, namun masih mengikut had laju yang ditetapkan. Matanya akan sentiasa memerhatikan ke arah meter kereta supaya dia memandu keretanya pada kelajuan maksimum 110 km/j. Namun walaupun keretanya itu dipandu pada kelajuan maksimum yang ditetapkan, masih terdapat beberapa buah kereta yang memotong keretanya. Ternyata terdapat segelintir pemandu yang memandu melebihi daripada had laju yang ditetapkan.

“Keranda terbang!!” jerit Sheera sendirian setiap kali ada kereta yang memotongnya. Gelaran itu akan diberikan kepada kereta yang memandu melebihi daripada kelajuan keretanya semasa keretanya itu dipandu pada had laju masimum.

Cara pemanduan Sheera sememangnya telah diketahui oleh kesemua ahli keluarganya. Tidak ada yang tidak kenal dengan Sheera ketika memandu kereta. Gaya pemanduannya tidak ubah seperti pelumba profesional, laksana Michael Schumacher versi wanita gayanya. Walaupun begitu, dia sehingga kini tidak pernah terlibat dengan sebarang kemalangan dan tidak pernah juga mendapat sebarang saman trafik. Mungkin sikapnya yang agresif itu masih dibatasi dengan kepatuhannya terhadap peraturan jalan raya.

Setelah hampir satu jam keretanya meluncur di lebuhraya yang terpanjang di Malaysia itu, akhirnya dia semakin menghampiri susur keluar Taiping Utara. Keretanya kemudian diperlahankan kelajuannya. Sebaik dia melihat papan tanda tertulis ‘Taiping Utara’, dia mula menyalakan lampu isyarat kirinya memberi tanda bahawa dia akan memasuki susur keluar Taiping Utara. Setelah memasuki susur keluar itu, keretanya semakin diperlahankan. Dia akan membayar tol di plaza tol yang sudah kelihatan di hadapannya. Kad ‘Touch n Go’ terus dikeluarkannya dari beg tangannya. Cermin tingkap keretanya kemudian diturunkan. Sebaik menghampiri pondok plaza tol, dia menyentuhkan kadnya pada panel yang tersedia di pondok itu. Sebaik kadnya disentuh, palang yang menghalangi laluannya dibuka. Terus dia memecut kembali keretanya sebaik palang itu dinaikkan.

Proton Waja itu kemudian membelok ke kanan simpang menuju ke pekan Simpang, terletak kira-kira 10 km dari bandar Taiping. Dari pekan itu, barulah dia akan menuju ke bandar Taiping seterusnya ke Kampung Jambu, tempat tinggal abangnya. Perjalanan menuju ke rumah abangnya itu akan mangambil masa kira-kira setengah jam dari plaza tol Taiping Utara. Namun beberapa kilometer perjalanannya, dia kemudian terkandas dalam kesesakan jalan raya, sesuatu yang jarang berlaku terutamanya di jalan persekutuan tersebut. Terus terlintas di fikiran Sheera selepas itu, mungkin terdapat kemalangan berlaku di hadapan. Itu sahajalah punca yang mungkin menyebabkan berlakunya kesesakan di jalan persekutuan itu. Keretanya merangkak perlahan-lahan untuk jangka masa lima belas minit. Kesesakan yang pasti melambatkan ketibaan mengejutnya di rumah abangnya. Setelah tempoh itu, barulah dia tahu akan punca kesesakan jalan raya itu. Satu kemalangan berlaku melibatkan sebuah lori dan dua buah kereta. Dua buah kereta tersebut hancur sama sekali di tempat kejadian, manakala lori itu pula terbalik di tengah jalan. Pada pandangan Sheera ketika ini, kemungkinan pemandu kedua-dua buah kereta itu maut di tempat kejadian. Namun dia tidak dapat melihat dengan lebih teliti lagi dalam keadaanya yang sedang memandu.

Pukul 6 petang, kereta Proton Persona meluncur laju masuk ke dalam halaman rumah. Zahid tiba di rumah tepat pada waktu yang dinyatakannya kepada Izham pada tengah hari tadi. Itulah kelebihan Zahid, pandai menjangka waktu. Sebaik keretanya diletakkan dengan baik di kawasan letak kereta di hadapan rumahnya, enjin keretanya dimatikan. Dia kemudian keluar dan terus menuju ke pintu depan rumahnya. Dia terus mengeluarkan anak kunci dari poket seluarnya. Terus dia memasukkan anak kunci itu ke dalam lubang kunci pada pintu rumahnya itu. Namun belum sempat dia memutarkan kunci itu, tiba-tiba kedengaran deruan bunyi enjin sedang memasuki halaman rumahnya. Dia terus melihat ke pagar rumahnya. Kelihatan sebuah Proton Waja berwarna hitam memasuki halaman rumahnya. Terus Zahid kemudian menjelmakan senyuman pada wajahnya. Sudah biasa dia melihat kereta itu. Kereta itulah yang selalu dilihatnya setiap kali hujung bulan atau setiap kali adanya cuti umum. Pemandu kereta itu orang yang cukup dikenalinya. Gadis yang begitu manis wajahnya, berkulit putih, dan yang pasti sangat manja dengannya. Dialah Sheera, adik perempuan yang paling rapat dengannya. Sheera adiknya yang selalu mengunjunginya.

“Assalamualaikum!!” kata Sheera sebaik keluar dari keretanya.

“Waalaikumussalam, adik comel…..” balas Zahid mengusik Sheera. Sheera kemudian terus menyalam tangan abangnya itu sebaik menghampiri abangnya itu sebelum mencium tangannya. “Ni tetiba datang ni apahal? Datang mengejut macam Amerika serang Iraq je…..” kata Zahid sebaik Sheera mencium tangannya.

“Kalau Amerika serang Iraq, sebab nakkan minyaknya, Sheera pula datang ni nak jumpa abanglah….” balas Sheera.

“Dah cuti ke?” soal Zahid.

“Lah, Sheera dah bagitau abang dah minggu lepas….”

“Opps… sori. Lupa,” balas Zahid. “Ayah dengan ibu tahu?” soal Zahid pula.

“Dah. Semalam Sheera telefon ibu. Ibu kata takpe lah,” balas Sheera.

“Tak balik Butterworth pun?” soal Zahid.

“Tak,” balas Sheera ringkas.

“Ya Allah!” kata Zahid sebaik mendengar jawapan adiknya itu.

Tiba-tiba kedengaran satu lagi deruan enjin di luar rumahnya. Serta merta mata Zahid terus memandang ke luar rumahnya. Kelihatan sebuah Proton Wira berwarna putih berada di luar kawasan rumahnya. Tahulah Zahid bahawa Izham telah tiba di rumahnya, seperti yang dijanjikan rakannya itu menerusi telefon tengah hari tadi.

“Emm.. Sheera bukak pintu ni dulu ya,” suruh Zahid sambil menunjukkan anak kunci yang telah berada pada lubang pintu di hadapan mereka. “Lepas tu, Sheera buatlah apa-apa yang patut…”

“Buat apa?” soal Sheera kehairanan.

“Kalau tetamu dah datang apa lagi yang kita kena buat?” soal Zahid kembali.

“Oh, okay…” kata Sheera memahami maksud abangnya itu. Dia kemudian membuka pintu tersebut dan masuk ke dalam rumah. Zahid sementara itu pula, menuju ke kawasan luar rumahnya untuk menyambut rakannya yang baru tiba itu.

Zahid mengajak Izham masuk ke dalam rumahnya. Pelawaan tersebut diterima dengan baik oleh Izham, sesuatu yang jarang bagi Izham untuk masuk ke dalam rumah rakannya itu. Zahid mempelawa Izham masuk ke dalam rumahnya menuju ke ruang tamu. Setibanya di ruang tamu, dia terus mempelawa Izham duduk di kerusi rotan di ruang tamu itu. Kerusi rotan tersebut merupakan pemberian ibunya semasa dia baru berpindah ke rumahnya itu. Tanpa menyoal apa-apa, Izham terus duduk di kerusi rotan itu.

“So, apa yang hang nak bagitau aku ni?” soal Zahid sebaik duduk di kerusi rotan itu.

“Bagitau apa?” soal Izham.

“Pura-pura tak tau pulak. Dia yang telefon tadi, tanya aku pulak….” kata Zahid.

“Oh, memanglah. Tapi nantilah dulu. Aku nak ambil nafas jap….,” balas Izham. Keletihan jelas kelihatan di wajah Izham.

“Kalau dah letih, esok-esok jelah hang bagitau aku. Tak payahlah susah payah jumpa kat rumah aku ni,” kata Zahid apabila melihat wajah rakannya itu yang nampak keletihan.

“Tak boleh. Aku kena bagitau hang hari ni jugak. Tak tidur lena aku malam ni kalau tak bagitau hang,” balas Izham.

“Amboi, bunyi macam serius je?” soal Zahid. “Apa yang hang nak bagitau aku ni sebenarnya?” soalnya lagi.

“Okaylah aku bagitau hang sekarang,” kata Izham. Dia kemudian menarik nafas sebelum kembali bersuara. “Aku nak mintak tolong hang…”

“Tolong untuk apa?” soal Zahid.

“Aku nak buat loan. Aku nak mintak tolong kat hang buat loan kat aku,” balas Izham.

“Loan apa?” soal Zahid pula.

“Rumah”

“Sure, tak ada masalah…” balas Zahid. “Tapi tu je ke tujuan hang ke sini?” soalnya pula.

“Kenapa hang tanya aku macam tu pulak?”

“Izham, aku dah lama kenal hang. Kawan dari sekolah lagi. Sejak form 1 lagi. Aku dah masak sangat dengan hang ni…. Ada tujuan lain kan hang ke mari?” soal Zahid.

“Hang ni macam tau-tau je. Macam Nujum Pak Belalang pulak hang ni…” balas Izham tersengih sedikit.

“Nujum Pak Belalang tu nasib… Yang hang ni aku dah masak sangat dengan cara hang,” balas Zahid.

“Okaylah, okaylah. Aku bagitau hang,” kata Izham tidak dapat lagi menyorok tujuan utamanya ke rumah Zahid. “Tengah hari tadi aku pergi hospital. Aku hantar anak buah aku. Dia demam panas. Secara tak disengajakan, aku terjumpa Fadhilah kat hospital,” terang Izham.

“Fadhilah?” soal Zahid kehairanan.

“Ya, Fadhilah. Aku rasa hang tak lupa nama tu kan?” soal Izham pula.

“Bukan tak ingat nama tu. Dan mana boleh aku lupa nama tu. Tapi, apa dia buat kat hospital tu? Dia sakit ke?” soal Zahid.

“Entahlah. Tu aku tak tau. Aku jumpa dia pun secara tak sengaja….”

“So, apa kaitan dia jumpa hang dengan aku ni?” soal Zahid.

“Kalau tak berkaitan, taklah aku susah payah datang ke sini,” balas Izham.

“Apa perkaitannya?” soal Zahid.

“Dia nak jumpa hang….”

“Jumpa aku? Kenapa?” soal Zahid kehairanan.

“Jangan tanya kenapa kat aku. Tapi hang bagitau aku boleh ke atau tak…” kata Izham. “Itulah yang Fadhilah mintak tolong kat aku tengah hari tadi,” katanya lagi.

“Dan itulah yang menghairankan aku sekarang ni,” kata Zahid. “Dah bertahun aku tak jumpa dia. Dan sekarang ni bila dia terjumpa hang, dia mintak tolong hang bagitau aku yang dia nak jumpa aku…..”

Pada masa yang sama, Sheera tiba-tiba muncul di ruang tamu dari dapur membawa dulang yang berisi dua cawan teh. Teh tersebut bakal dihidangkan kepada Izham, tetamu yang datang ke rumah abangnya itu.

“Abang Izham minumlah teh ni. Teh orang bujang je….” kata Sheera sebaik meletakkan dua cawan berisi teh itu di atas meja kopi.

“Eh, takpe. Air orang bujang pun tengoklah siapa yang buatnya…” usik Izham kepada Sheera.

“Ye lah tu abang Izham…” balas Sheera sambil tersenyum. “Apa-apa hal pun, abang Izham minum ye…” kata Sheera. Dia kemudian berjalan kembali menuju ke dapur. Sementara itu pula, Izham terus mengambil cawan teh di atas meja kopi tersebut. Dia kemudian terus menghirup teh yang dibuat Sheera itu.

“Emmm, sedap. Manis. Macam orang yang buat teh ni jugak,” kata Izham cuba mengusik lagi Sheera yang sedang berjalan menuju ke dapur.

“Alah, teh tu bukan Sheera buat pun. Sheera bancuh je. Teh dalam peket je tu. Tak tambah gula pun. Cuma masuk je air panas…” balas Sheera sebelum masuk ke dalam kawasan dapur.

“Teh dalam paket pun, tengoklah siapa yang bancuh. Teh yang kelat pun boleh jadi manis…” kata Izham. Zahid sementara itu hanya tersenyum melihat telatah Izham dan adiknya Sheera itu.

“Kalau Erma nampaklah, bergegarlah rumah ni….” kata Zahid tersenyum.

“Alah, usik macam tu pun takkanlah dia nak marah…” balas Izham. Dia kemudian meletakkan kembali cawan yang dipegangnya. “So, macam mana?” soal Izham pula mengembalikan tajuk perbualan mereka tadi.

“Macam mana apa?” soal Zahid kehairanan.

“Yang aku cakap tadi tu…”

“Oh, pasal Fadhilah tu. …. Tapi kenapa dia nak jumpa aku?” soal Zahid. “Aku bukan ada apa-apa lagi dengan dia tu,” kata Zahid.

“Kenapa? Teringat zaman sekolah dulu ke?” soal Izham. “Tu cerita lamalah..”

“Walaupun tu cerita lama, aku ingat lagi tau. Mana boleh aku lupa masa aku form 4 dulu,” kata Zahid.

“Hang berdendam dengan dia lagi ke?” soal Izham.

“Kalau ikut logiknya memanglah aku bedendam dengan dia. Boleh ke masa tu dia main kayu tiga. Aku memang bengang betul bila dapat tau dia buat macam tu masa tu. Tapi tu dululah. Sekarang ni aku taklah nak dendam dengan dia. Masa tu budak-budak lagi. Tak nampak sangat mana baik mana buruk,” kata Zahid.

“Baguslah kalau hang cakap macam tu..” kata Izham. “Macam mana, hang nak jumpa dia ke tak?” soalnya kembali kepada tujuan utamanya ke sini.

“Emmm……”

Belum pun sempat Zahid menjawab pertanyaan Izham itu, tiba-tiba kedengaran azan berkumandang. Azan yang berkemundang itu menandakan telah masuknya waktu solat fardhu Maghrib. Dapat didengar dengan jelas bunyi azan tersebut dari rumah Zahid itu. Jarak Masjid Daerah Taiping dari rumah Zahid yang hanya kira-kira setengah kilometer membolehkan Zahid dapat mendengar azan dengan jelas di rumahnya. Selalu juga jika mempunyai kelapangan, dia akan ke masjid untuk bersolat jemaah di sana. Sebenarnya dia sengaja membeli rumah yang didukinya kini kerana kedudukannya yang begitu hampir dengan masjid. Bolehlah dirinya selalu untuk pergi ke masjid dengan jarak yang dekat itu.

Azan tersebut terus menghentikan perbualan Zahid dan Izham. Masing-masing kemudian menjawab panggilan azan tersebut. Itulah cara terbaik untuk menghormati seruan azan. Setelah azan itu tamat, Izham kemudian terus bangun dari duduknya. Zahid memerhati dengan penuh kehairanan terhadap Izham rakannya itu.

“Nak balik dah ke?” soal Zahid. Izham hanya mengangguk mengiakan pertanyaan rakan baiknya itu. Sedikit senyuman dijelmakan pada wajahnya. “Tak nak solat kat sini ke?” soal Zahid lagi.

“Tak bolehlah,” balas Izham ringkas. Dia kemudian berjalan menuju ke pintu rumah.

“Kenapa pula? Jomlah solat sekejap kat sini. Nanti hang baliklah…” pujuk Zahid.

“Hajat di hati memanglah nak begitu. Tapi apakan daya, tanggungjawab mendahului segalanya…” balas Izham tersenyum.

“Kenapa, abang takut Kak Erma ke?” soal Sheera tiba-tiba yang muncul di belakang Zahid.

“Hang takut bini ya….” usik Zahid.

“Siapa tak sayang bini ooii…” balas Izham tersenyum. Nada percakapannya itu tidak ubah seperti nada percakapan Datuk Aziz Sattar dalam filem Ali Baba Bujang Lapok.

“Sayang-sayang pun, takkan sampai takut bini kot..” usik Zahid lagi.

“Abang Izham, lepas Maghriblah abang balik. Solatlah kat sini,” rayu pula Sheera.

“Sorilah Sheera. Abang tak bolehlah. Abang dah lambat ni. Patut sekarang ni abang dah ada kat rumah,” balas Izham. Dia kemudian mengambil kasutnya dan disarungkan kemudian ke kakinya.

“Alah relekslah. Takkan lari gunung dikejar…” kata Zahid.

“Masalahnya gunung yang dikejar tu memang tak lari. Tapi takut nanti gunung tu berubah pulak jadi gunung berapi…” balas Izham.

“Betul abang Izham tak nak solat kat sini?” soal Sheera.

“Sorilah Sheera..” balas Izham. “Emm…. Okaylah. Aku beransur dulu ya!” kata Izham. Dia kemudian menyalam tangan Zahid sebelum menuju keluar menghampiri keretanya.

“Abang Izham!” jerit Sheera. “Kirim salam kat Kak Erma ya!”

“Okay. Insyaallah”

Kereta Izham kemudian meninggalkan rumah Zahid. Selepas itu Zahid dan adiknya, Sheera kembali masuk ke dalam rumah. Mereka sudah semestinya akan menunaikan solat secara berjemaah selepas itu. Itulah tradisi yang telah dipupuk oleh ayah mereka sejak kecil lagi iaitu bersolat secara berjemaah.

“Malam ni nak makan apa?” soal Zahid sambil menaiki anak tangga menuju ke tingkat atas.

“Jangan risaulah abang. Sheera dah sediakan lauk,” balas adiknya itu.

“Lauk? Bila Sheera masak?” soal Zahid kehairanan.

“Lauk belilah abang. Beli kat pekan Simpang tadi,” balas Sheera.

“Ceh…”
Tamat Ceritera 3

No comments: