Monday, September 14, 2009

Ceritera 2

Ceritera 2

Zahid berjalan dengan begitu pantas di kawasan pejalan kaki di Terminal Bas Taiping. Dia dalam perjalanan menuju ke Masjid Daerah Taiping. Orang begitu ramai di kawasan stesen bas tersebut. Mungkin waktu makan tengah hari menyebabkan orang ramai ketika ini. Terdapat juga kelihatan kelibat beberapa pelajar di situ. Mungkin mereka baru sahaja selesai sesi persekolahan yang rata-rata tamat pada waktu ini. Kaki Zahid terus melangkah dengan pantas menuju ke masjid yang berada di seberang jalan yang menjadi destinasinya. Dalam kekalutan mengejar masa itu, Zahid dengan tidak sengaja merempuh seorang wanita tua berbangsa Cina yang berjalan bertentangan dengannya.

“Aiya….” jerit wanita tua itu sambil terjatuh. Langkah Zahid serta-merta terhenti sebaik terlanggar wanita tua itu. Dia menjadi tergamam.

“Sori, sori, sori…..” kata Zahid kepada wanita tua itu. “Saya memang tak sengaja. Saya memang tak nampak,” kata Zahid lagi. Dia kemudian menghulurkan tangannya untuk membantu wanita tua itu untuk bangun semula.

“Soli, soli, soli…. Apa lu ingat gua ni muda lagi ka?” kata wanita tua itu sebaik bangun semula daripada jatuhnya. Dia sambil itu menyapu belakang seluar hitamnya yang sedikit kotor disebabkan terkena debu jalan semasa jatuh tadi. “Lu punya mata letak mana? Lutut ka?” kata wanita tua itu dalam nada yang marah.

“Sorilah auntie. Saya memang tak sengaja tadi,” kata Zahid kepada wanita tua itu. Mukanya sedikit pucat mungkin kerana takut kepada kegarangan wanita tua itu.

“Lu ingat gua punya tulang kuat lagi ka?” soal wanita tua itu. “Gua ada osteoporosis. Tulang talak kuat lagi. Hali-hali mau minum itu Anlene tau…” kata wanita tua itu lagi. “Kalau gua punya tulang patah tadi ha, see you in court lah..” katanya lagi.

“Alah, sorilah auntie,” rayu Zahid.

“Kalau gua kena heart attack tadi ha, lu… see you in court!” kata wanita tua itu dalam nada yang marah. Dia kemudian terus berjalan meninggalkan Zahid yang masih berdiri di tempat yang sama.

“Auntie ni mesti selalu pergi court. Sikit-sikit tadi cakap court. Sikit-sikit cakap court. Terlanggar sikit pun nak pergi court ke?” monolog Zahid dalam hatinya. “Anak dia lawyer kot..” monolog Zahid lagi sambil tersenyum. Dia kemudian kembali meneruskan perjalanannya menuju ke masjid yang tergendala seketika tadi.

“Allahuakbar allahuakbar. Allahuakbar allahuakbar,” azan tiba-tiba berkumandang dari masjid yang ingin ditujui Zahid. Azan tersebut menandakan telah masuknya waktu solat fardhu Zohor. Sejurus mendengar laungan azan tersebut, Zahid melajukan lagi langkahnya. Sambil itu mulutnya pula menjawab laungan azan tersebut.

Sebaik Zahid tiba di kawasan mengambil wuduk di masjid itu, azan yang berkumandang selesai. Tangannya terus ditadah membaca doa selepas azan. Selepas itu barulah dia mengambil wuduk. Dia membuka pili air di kawasan mengambil wuduk itu. Kawasan mangambil wuduk itu tidaklah begitu besar. Hanya lima belas orang sahaja yang boleh mengambil wuduk pada satu-satu masa di situ.

Selepas pili air dibukanya, Zahid terus membasahkan kedua-dua tapak tangannya bertujuan untuk membersihkan tangannya itu daripada sebarang kekotoran yang mungkin ada. Selepas itu, dia mengumurkan mulutnya. Setelah mulut dikumur, dia terus membasahi mukanya dengan air. Dia meratakan air keseluruh bahagian mukanya dari dagu hingga ke dahinya. Selepas itu, dia membasahi pula kedua bahagian pergelangan tangannya dari bahagian siku hingga ke bahagian tapak tangannya. Dia kemudian menyapu bahagian kepalanya pula dengan air. Barulah selepas itu dia membasuh kakinya dengan air dari bahagian buku lali hingga ke tapak kaki. Selepas selesai semua itu, Zahid menadah tangannya membaca doa selesai berwuduk. Maka lengkaplah Zahid berwuduk. Dia kemudian terus menuju ke dalam dewan solat dan seterusnya mengerjakan solat sunat Tahiyatul Masjid di situ.

Sebaik sahaja dia selesai mengerjakan solat sunat tersebut, bacaan qamat kedengaran menandakan bahawa solat sunat fardhu Zohor akan dilaksanakan secara berjemaah sebentar lagi. Zahid terus bangun sebaik mendengar bacaan qamat itu. Dia kemudian terus menuju ke saf hadapan untuk membentuk saf. Kali ini Zahid beruntung kerana dia berada betul-betul di belakang imam. Bukan selalu untuk dirinya mendapat kedudukan sebegitu. Hanya satu saf sahaja yang dapat dibentuk untuk solat kali ini. Mungkin tidak ramai orang hari ini. Jika pada waktu solat Maghrib atau Isyak, lima saf dapat dibentuk untuk solat berjemaah. Mungkin ramai orang bekerja ketika ini Selepas bacaan qamat selesai, Zahid menadah tangan membaca doa selepas qamat. Beberapa ketika kemudian, imam yang bertugas mula mengangkat takbir menandakan bermulanya ibadat solat Zohor secara berjemaah. Makmum-makmum kemudian mula mengangkat takbir sejurus imam tersebut mengangkat takbir. Maka bermulalah solat Zohor secara berjemaah yang jumlah rakaatnya sebanyak empat rakaat.

Solat tersebut diakhiri dengan bacaan salam selepas tahiyat akhir. Selepas itu, imam tersebut berzikir seketika sebelum membaca doa. Selesai sahaja bacaan doa, maka berakhirlah satu lagi ibadat solat lima waktu di masjid itu. Makmum-makmum kemudian bersalaman antara satu sama lain. Salam yang mengukuhkan ukhuwah sesama Islam. Salam yang mengukuhkan lagi silaturrahim sesama Islam. Sebaik sahaja semua bersalaman, maka masing-masing menujulah keluar dari masjid. Hanya segelintir sahaja yang masih berada di masjid. Mungkin mereka itu mahu melakukan lagi ibadat-ibadat sunat di situ. Zahid juga seperti yang lain turut keluar dari masjid. Dia terus menuju ke kawasan tangga masjid untuk memakai kasut. Namun sebelum itu, Zahid menuju ke kawasan rak kasut yang terletak di tepi tangga masjid. Kasutnya yang diletakkannya di situ tadi akan diambilnya semula.

Namun Zahid kehairanan. Kasut yang dicarinya itu tidak lagi kelihatan di rak kasut tersebut. Dia kemudian terus melihat di sekeliling rak kasut itu, kalau-kalau kelihatan kasutnya yang mungkin terjatuh. Namun masih juga tidak kelihatan kasutnya itu. Kasut kulit berwarna hitam itu tidak lagi kelihatan sama ada di rak kasut mahupun berhampiran rak kasut.

“Takkanlah kena curi kot?” soal Zahid sendirian apabila masih belum lagi menjumpai kasutnya itu. “Takkanlah aku nak jalan kaki ayam kot…”

“Encik, ni kasut encik ke?” tiba-tiba kedengaran seorang lelaki menyoal Zahid dari belakang. Zahid kemudian lantas menoleh ke belakang. Dilihatnya seorang lelaki separuh abad berdiri di belakangnya sambil memegang sepasang kasut kulit berwarna hitam di tangannya. Mata Zahid kemudian terus difokuskan pada kasut yang dipegang lelaki itu. Ternyata kasut yang dipegang lelaki itu sama seperti kasutnya.

“Nampak macam saya punya,” balas Zahid dalam keadaan tidak pasti.

“Rasanya ni memang kasut encik. Maaflah, saya tersilap ambil tadi,” kata lelaki itu. “Nah, ambillah balik,” kata lelaki itu lagi sambil menghulurkan kasut yang dipegangnya itu kepada Zahid.

Zahid kemudian mengambil kasut tersebut daripada lelaki itu. “Terima kasihlah encik. Kalau tak, kaki ayamlah saya jawabnya…” balas Zahid sambil tersenyum. Dia kemudian memerhatikan wajah lelaki itu. Zahid sedikit terkejut sebaik melihat wajah lelaki separuh abad itu. “Eh, ni Ustaz Kamarul kan?” soal Zahid secara spontan sebaik melihat wajah lelaki itu.

“Ya tu nama saya. Macam mana encik ni boleh tahu?” soal lelaki yang bernama Ustaz Kamarul itu. Dia sedang menyarungkan kasutnya ke kakinya.

“Lah, ustaz dah tak kenal saya lagi ke? Saya Zahid. Anak murid ustaz tahun 1997 kat SMDB dulu. Masa tu saya form 2. Ustaz tak ingat saya lagi ke?” soal Zahid. Sambil itu, Zahid juga sedang menyarungkan kasutnya ke kakinya.

“Zahid…” kata lelaki itu. Dia sambil itu mengamati wajah Zahid, cuba mengecam wajah bekas anak muridnya itu. “Zahid....”

“Alah Zahid ustaz. Ustaz tak ingat lagi ke? Yang ada sedikit problem masa tu. Sampai ayah saya datang sekolah jumpa ustaz….” terang Zahid kepada Ustaz Kamarul cuba membantu bekas gurunya itu mengembalikan ingatan terhadap dirinya.

“Oh, Zahid tu…” kata Ustaz Kamarul beberapa ketika kemudian. Nampaknya dia telah berjaya mengingati bekas anak muridnya itu. “Eh, lain kamu ni. Saya sendiri pun dah tak cam kamu,” katanya lagi.

“Tapi saya cam ustaz lagi kan…” kata Zahid pula.

“Yalah, masa tu muka kamu macam budak-budak lagi. Sekarang kamu dah nampak dewasa. Tu yang saya tak berapa cam kamu tu,” balas Ustaz Kamarul. “Emm, sekarang kamu apa cerita?” soalnya pula. Dia baru sahaja selesai memakai kasutnya.

“Saya baru je kerja. Kerja kat Maybank kat sini. Jadi akauntan,” jawab Zahid.

“Oih.. baguslah tu. Dah kerja pun kamu ni,” kata Ustaz Kamarul yang kemudian duduk di atas tangga. “Kamu tinggal kat mana sekarang ni?” soalnya pula.

“Sekarang ni saya tinggal kat Kampung Jambu. Family saya pula sekarang tinggal kat Butterworth. Ikut ayah. Ayah sekarang jadi Pengetua satu sekolah kat sana,” jawab Zahid. “Ustaz pula sekarang macam mana?” soal pula Zahid sambil dirinya juga duduk di atas tangga bersebelahan Ustaz Kamarul.

“Saya? Macam tulah. Cikgu jugak,” balas Ustaz Kamarul.

“Ustaz mengajar kat SMDB lagi ke?” soal Zahid.

“Sekarang tak dah. Lima tahun lepas saya bertukar ke Seratas jadi Guru Kanan kat sana pula,” balas Ustaz Kamarul.

“Uuih, ustaz dah naik pangkatlah ni,” kata Zahid.

“Dah umur makin meningkat….” kata Ustaz Kamarul pula. “Kamu dah kahwin?” soalnya pula mengubah tajuk perbualan mereka.

“Kahwin? Saya ni baru berapa bulan kerja. Manalah kahwin lagi…” balas Zahid sambil tersenyum.

“Ish, belum lagi? Handsome macam ni tak kahwin lagi?”

“Handsome-handsome pun kalau tak ada jodoh tak kahwin jugak,” balas Zahid.

“Perasanlah lah tu saya kata kamu handsome..” usik Ustaz Kamarul. “Kamu ingat tak Fatma?” soalnya pula.

“Ish, mana saya boleh lupa. Classmate saya dari form 1 sampai form 3. Ornag paling cun dalam kelas. Mana saya boleh lupa…” balas Zahid.

“Dia dah ada dua orang anak dah sekarang ni,” terang Ustaz Kamarul.

“Ya ke ustaz?” soal Zahid terkejut. “Dah dua orang anak dah?” soalnya lagi. “Huh, laju betul dia tu…” katanya pula.

“Dia kahwin masa kat universiti dulu. Suami dia namanya Helmi,” terang Ustaz Kamarul.

“Helmi? Lah Fatma kahwin dengan Helmi?” soal Zahid terkejut. “Jadi jugak ye diorang tu kahwin. Ingat diorang bercinta masa kat sekolah je. Last-last sekarang ni dah kahwin?”

“Tu namanya jodoh,” balas Ustaz Kamarul. “Hah, kamu pulak macam mana? Apa cerita dengan Fadhilah tu?”

“Ish, ustaz. Tu cerita lamalah. Sekarang saya dah tak tau pun dia ada kat mana sekarang,” balas Zahid tersengih.

“Itu kata kamu. Kata dia?” soal Ustaz Kamarul. Sambil itu di melihat jam di tangannya. Dilihatnya jam menunjukkan pukul 2 petang.

“Kenapa ustaz? Ada hal ke?” soal Zahid sebaik melihat bekas gurunya itu melihat jam tangan.

“Ermm, saya dah lambatlah. Nak kena masuk pejabat pukul 2 suku ni,” balas Ustaz Kamarul. Dia kemudian bangun dari duduknya.

“Oh, macam tu. Tak pa lah. Saya pun dah lambat jugak ni,” balas Zahid pula sambil melihat jam di tangannya. Dia juga kemudian bangun dari duduknya.

“Emm, saya nampaknya kena beransurlah dulu ya. Nanti orang kata saya ni makan gaji buta pulak. Saya solat kat sini pun sebab kebetulan tadi tengah hari saya ada mesyuarat di SMK Kampung Jambu. Tu yang saya singgah kat sini sekejap,” kata Ustaz Kamarul. “Saya pergi dululah ya!” katanya sambil menghulurkan tangannya untuk bersalam dengan bekas anak muridnya itu.

“Baiklah ustaz,” jawab Zahid sambil menyambut tangan bekas gurunya itu untuk bersalam. “Kalau ada masa, insyaallah kita jumpa lagi ya ustaz!” katanya.

“Ya, insyaallah,” balas Ustaz Kamarul. Dia kemudian mula berjalan menuju ke keretanya yang diletakkan di kawasan tempat meletak kereta di kawasan masjid, meninggalkan Zahid yang masih berdiri berhampiran tangga masjid. Kereta Wajanya yang berwarna hitam itu dihampirinya beberapa ketika kemudian.

Belum pun sempat Ustaz Kamarul menyentuh pintu keretanya, tiba-tiba Zahid memanggilnya. “Ustaz, tunggu dulu!” jerit Zahid dari kawasan tangga masjid. Zahid kemudian berjalan menghampirinya yang berdiri di sebelah kereta.

“Hah, ada apa lagi ni?” soal Ustaz Kamarul kepada Zahid sebaik bekas anak muridnya itu menghampirinya.

“Emm, tak ada apa. Cuma nak bagi kad saya ni je,” balas Zahid sambil mengeluarkan kad namanya dari beg dompetnya. Dia kemudian menyerahkan kad tersebut kepada Ustaz Kamarul. Ustaz Kamarul kemudian mengambil kad tersebut. Dia membaca tulisan yang tertera pada kad yang diberikan Zahid itu. “Kalau ustaz nak buat pinjaman ke, nak bukak akaun ke, atau apa-apa jelah yang kaitan dengan bank, contactlah saya. Insyaallah saya boleh tolong,” kata Zahid kepada Ustaz Kamarul.

“Terima kasihlah Zahid. Insyaallah kalau ada apa-apa saya contact kamu,” balas Ustaz Kamarul. Dia kemudian mengeluarkan dompetnya. Diisinya dompet itu dengan kad nama yang baru diterimanya itu. Dia terus memasuki keretanya. Enjin kemudian dihidupkan, dan kemudian bergeraklah kereta tersebut meninggalkan kawasan masjid, meninggalkan juga Zahid yang masih berdiri di tempat yang sama.

Sebaik kereta Ustaz Kamarul hilang daripada pandangan, Zahid juga selepas itu mula meninggalkan kawasan masjid dengan hanya berjalan kaki. Dia akan berjalan kaki menuju kembali ke tempat kerjanya yang terletak kira-kira setengah kilometer dari masjid tempat dirinya berada kini. Perjalanan tersebut tidaklah begitu meletihkan kerana dia akan melalui kawasan-kawasan rumah kedai sebelum tiba di bangunan tempatnya bekerja. Orang ramai yang lalu lalang di sepanjang perjalanannya kembali ke tempat kerja juga menghasilkan ilusi bagi Zahid daripada merasakan perjalanannya itu meletihkan.

Setelah lima minit dirinya berjalan, dia berada di kawasan pejalan kaki berhadapan dengan pasaraya The Store. Orang begitu ramai di sepanjang laluan ini. Inilah tempat paling sibuk di Taiping setiap hari. Kedudukannya yang begitu strategik, berhampiran stesen bas dan stesen teksi, menyebabkan orang begitu ramai di kawasan ini. Dalam kesibukan orang ramai yang lalu lalang di laluan pejalan kaki itu, tiba-tiba Zahid merasakan satu getaran dari dalam poket seluarnya. Tahulah dirinya bahawa terdapat panggilan telefon untuknya apabila telefon di dalam poket seluarnya itu bergetar. Tidak kedengaran sebarang nada dering kerana Zahid telah mengambil mod senyap ketika berada di masjid tadi.

Dia terus mengeluarkan telefon bimbitnya dari poket seluarnya itu. Matanya kemudian terus tertumpu pada skrin telefon bimbit yang dipegangnya. Terpapar jelas nama Izham pada skrin itu. Zahid terus tersenyum sebaik melihat nama yang terpapar pada skrin telefon bimbitnya itu. Rakannya itu menelefonnya. Sesuatu yang jarang berlaku untuk Izham menelefonnya pada waktu begini. Terlintas terus di fikiran Zahid bahawa mesti ada sesuatu yang penting ingin disampaikan Izham.

“Hello…” sapa Zahid sebaik mula menjawab panggilan itu.

“Hello….” sapa pula Izham. Namun, suaranya itu seperti tidak dapat didengar oleh Zahid. Kemungkinan besar tempat Izham berada kini begitu bising sehingga suaranya itu tenggelam dek kebisingan itu. Sebenarnya Izham kini berada di hadapan sebuah klinik yang terletak berhampiran dengan sebuah simpang empat di tengah-tengah bandar Taiping. Kebisingan kenderaan menenggelamkan terus suara Izham.

“Hello, Izham ke tu? Aku tak dengarlah…” kata Zahid memberitahu kepada Izham.

“Hello!!!” balas Izham dengan nada yang lebih tinggi.

“Hah apa dia? Hang nak Milo?” soal Zahid kehairanan. Ternyata dia langsung tidak dapat mendengar terhadap apa yang sebenarnya diperkatakan Izham.

“Ni akulah Izham. Kenapa pulak aku nak beli Milo pulak?” soal Izham kehairanan.

“Lah mana ada Milo jual dalam kotak. Dalam paket plastik dengan tin adalah…” balas pula Zahid. Sekali lagi Zahid tidak dapat mendengar dengan jelas terhadap apa yang diperkatakan Izham.

“Oooi, aku cakap lain, hang cakap lain ni apa hal?” soal Izham dalam nada yang sedikit tinggi. Dia kehairanan dengan apa yang dicakapkan oleh rakannya itu.

“Hah? Milo dah mahal? Ya ke?” soal Zahid.

“Oooi, hang tunggu jap,” kata Izham. Dia kemudian terus menuju masuk ke klinik yang berada di hadapannya. Klinik yang berhawa dingin itu ditutup dengan pintu kaca. Pada fikiran Izham sudah pasti keadaan di dalam klinik itu lebih senyap berbanding tempat dia berada kini. Mungkin kebisingan di luar menyebabkan Zahid tidak dapat mendengar suaranya menerusi telefon. Dia terus menolak pintu kaca klinik itu untuk masuk ke dalam. Apabila pintu kaca tersebut tertutup kembali sebaik dia memasuki ke dalam, barulah bunyi bising yang kedengaran di luar tadi tidak lagi kedengaran.

Di dalam klinik tersebut, terdapat beberapa orang pesakit yang sedang menunggu giliran untuk berjumpa doktor. Kesemua mereka itu langsung tidak mempedulikan Izham yang baru sahaja memasuki ke dalam klinik tersebut. Kelihatan juga seorang wanita berada di kaunter pendaftaran. Maungkin wanita itu pekerja klinik tersebut.

“Hello, hang ada lagi ke tak ni?” soal Zahid tiba-tiba apabila dia tidak lagi mendengar suara rakannya itu menerusi telefon.

“Aku ada lagi kat sini,” balas Izham sebaik disoal Zahid. “Hang dengar tak suara aku ni?” soalnya pula.

“Hah apa dia?” soal Zahid yang masih lagi tidak dapat mendengar suara Izham.

“Ya Allah….. tak dengar lagi ke?” soal Izham sendirian. “Apalah nasib dapat kawan yang pekak macam ni…” keluh Izham pula.

“Apa hang cakap tu? Aku tak dengarlah…”

“Aku cakap hang dengar tak suara aku ni!!!” jerit Izham tiba-tiba. Sepantas kilat pesakit-pesakit yang berada di dalam klinik itu terkejut dengan jeritan Izham itu. Ada yang terbatuk, ada juga yang terbersin dan ada juga terjaga dari tidur. Mereka semua terkejut sebaik mendengar jeritan Izham itu. Pekerja di kaunter klinik itu juga turut terkejut. Wajahnya terus berubah sebaik terkejut.

“Encik, ni klinik encik. Bukan pasar encik. Kalau encik nak bising encik boleh berambus dari sini!!” kata pekerja wanita itu dalam nada yang marah. “Lainlah kalau klinik ni klinik babak encik punya!!” kata wanita itu lagi. Izham terus tergamam sebaik mendengar apa yang diperkatakan oleh wanita itu. Sungguh tidak disangka akan dirinya bahawa wanita yang begitu manis itu sekelip mata boleh berubah wajahnya menjadi seperti raksasa yang mengganas. Benarlah kata orang bahawa apabila seseorang wanita itu menjadi marah, sesiapa sahaja akan menjadi takut. Begitu juga keadaannya kini terhadap wanita di kaunter itu.

“Emmm… saya mintak maaf ya cik puan….” Rayu Izham kepada wanita itu sambil tersengih.

“Saya ni bukan apa, takut pesakit kat sini complaint pulak. Nanti saya jugak yang susah,” balas wanita itu pula.

“Saya mintak maaf sekali lagi,” kata Izham.

“Oooi Izham. Kalau ya pun aku tak dengar, hang janganlah jerit kuat sangat,” kata Zahid tiba-tiba menerusi telefon.

“Sori. Sori. Tadi hang kata tak dengar. Jadi aku pun jeritlah…” balas Izham.

“Jerit hang tadi tu boleh rosak speaker handset aku ni tau,” kata Zahid.

“Yalah, yalah. Sori….”

“Emm, apa yang hang nak bagitau aku ni? Jarang hang telefon aku time-time macam ni?” soal Zahid pula.

“Hang macam tau-tau je dengan aku ni ya!” balas Izham. “Aku bukan apa telefon ni. Aku cuma nak tanya petang ni hang ada kat rumah tak?” soal Izham terus kepada tujuan utamanya menelefon Zahid.

“Kenapa hang tanya macam tu?” soal Zahid kehairanan.

“Ada tak?” soal Izham pula.

“Ada. Kenapa?” soal Zahid.

“Aku nak jumpa hang petang ni jap. Boleh tak?”

“Pukul berapa?”

“Pukul berapa hang ada kat rumah?” soal Izham.

“Dalam pukul 6 macam tu aku baliklah dari kerja,” balas Zahid.

“Okay pukul 6 ni aku jumpa hang. Bye… Assalamualaikum!” kata Izham sebelum menamatkan pnggilan.

“Eh, Izham….” kata Zahid. Dia nampaknya tidak sempat untuk menyoal Izham lagi. Rakannya itu telah menamatkan panggilan telefon. “Cepatnya… belum nak soal apa-apa lagi dah letak telefon?” soal Zahid bermonolog dalam dirinya.

Zahid kemudian meneruskan perjalannya menuju ke tempat kerjanya. Dia melajukan langkahnya lagi sebaik melihat jam di tangannya. Jika dia masih lagi berjalan dengan rentak yang sama, sudah pasti dia akan lewat kembali masuk ke pejabat. Sebenarnya sudah menjadi rutin harian untuk dirinya pergi ke masjid setiap kali waktu Zohor. Dia akan ke masjid mencuri waktu makan tengah harinya untuk bersolat secara berjemaah di sana. Walaupun surau disediakan di tempatnya bekerja, namun Zahid masih mahu dirinya untuk berada di masjid setiap kali waktu solat Zohor.

Di tempat kerjanya, Zahid digelar sebagai ‘ustaz’ dalam kalangan rakan sekerjanya. Gelaran itu mungkin timbul disebabkan sifat Zahid yang begitu Islamik semasa bekerja. Setiap masuk waktu solat, dia pasti akan memberhentikan kerjanya, sekiranya boleh berhenti seketika, untuk pergi menunaikan solat. Malah Zahid juga gemar memberi nasihat dalam kalangan rakan sekerjanya terutamanya yang berkaitan dengan hal agama. Pernah satu masa dahulu, dia menasihati seorang rakan kerjanya, seorang wanita yang bernama Nadia untuk menutup aurat dengan memakai tudung. Memang pada permulaannya, Nadia tidak begitu selesa dengan nasihat Zahid itu. Namun lama kelamaan hatinya lembut juga dan akhirnya dia menutup auratnya selepas itu. Pada masa itu, Zahidlah merupakan orang yang paling gembira dengan perubahan imej rakan sekerjanya itu.

Gelaran ‘ustaz’ itu menyebabkan kesemua kakitangan bank menghormatinya. Namun bagi Zahid, bukan itu yang diharapkannya. Baginya dia hanya ingin menegakkan syariat Islam yang semakin lama semakin hilang dalam kemodenan dunia hari ini. Itulah tanggungjawabnya kepada saudara Islam yang lain. Semoga Allah memberkati usahanya itu.






Tamat Ceritera 2

No comments: