Ceritera 11
Khadijah menutup kembali buku yang dipegangnya. Dia meletakkan buku itu di atas ribanya. Serentak dengan itu juga Murni muncul dari dapur. Mereka baru sahaja selesai menikmati hidangan makan malam. Murni kemudian duduk di sofa bertentangan dengan Khadijah. Matanya juga sambil itu memerhatikan naskah buku yang berada di atas riba Khadijah.
“Jadi, mak abang Zahid tu bukan orang Melayu ke?” soal Murni kemudian.
“Ya, macam yang aku cerita tadi. Ibu memang bukan Melayu. Tak ada sikit pun sangkut paut dengan orang Melayu. Mak dia Cina, ayah dia pun Cina,” balas Khadijah.
“Patutlah aku tengok abang Zahid tu tak rupa macam Melayu. Mata sepet sikit, hidung mancung, kulit pulak putih kuning. Rupa-rupanya, dia tu kacukan Melayu dengan orang Cina,” kata Murni. “Tapi, macam mana pula yang mak abang Zahid tu boleh kahwin dengan orang Melayu?” soal Murni ingin tahu.
“Islam,” balas Khadijah ringkas.
“Sebab masuk Islam?”
“Sebab Ayah banyak ajar Ibu mengenai Islam. Sebab itulah dia boleh jatuh hati dengan Ayah,” balas Khadijah tersenyum.
“Ajar pasal Islam?” soal Murni yang tidak faham. “Jadi, ayah abang Zahid tu yang menyebabkan mak dia masuk Islam?” soalnya kemudian. Khadijah kemudian tersenyum sedikit apabila melihat rakannya itu tidak mengerti kata-katanya.
“Tak apalah. Nanti hang baca buku yang ada kat aku ni, hang akan faham,” balas Khadijah sambil memegang buku yang berada di atas ribanya.
“Jadi aku boleh baca?”
“Kenapa, tak nak?” balas Khadijah.
Selepas itu, Khadijah membuka kembali buku yang diletakkan di atas ribanya. Buku yang ditulis oleh Zahid itu kembali dibaca. Ternyata buku tebal yang dikarang Zahid itu begitu setia dengan Khadijah. Khadijah tidak pernah lekang bersama dengan buku itu sepanjang dia berada di rumah Murni. Murni sementara itu hanya memerhatikan sahaja gelagat Khadijah itu. Dia kemudian menghidupkan televisyen. Masa senggang yang ada padanya digunakan dengan menonton rancangan di televisyen. Siaran berita Buletin Utama kelihatan di skrin televisyen ketika ini. Murni menonton berita itu tanpa menghiraukan lagi Khadijah yang sudah jauh hanyut mengikuti cerita dalam buku yang ditulis Zahid itu.
“Sesungguhnya pengetahuan tentang saat itu adalah di sisi Allah; dan Dialah yang menurunkan hujan, mengetahui apa di dalam rahim (kandungan perempuan). Dan seorang pun tiada mengetahui apa yang akan diusahakannya esok dan tiada seorang pun yang akan mengetahuidi negeri mana dia akan meninggal dunia; sesungguhnya Allah itu cukup mengetahui dan cukup mengerti”
(Surah Lukman, ayat 34.)
Serentak dengan itu mata, Khadijah dialihkan ke arah gambar Kaabah yang ada di dinding rumah Murni. Khadijah memerhatikan gambar tersebut dengan lama.
“Istikharah…” kata Khadijah dalam nada yang begitu perlahan. Suaranya itu langsung tidak didengari Murni yang sedang menonton berita di televisyen.
* * *
Sebaik selesai sahaja makan malam, Zahid terus menuju ke biliknya di tingkat atas. Dia kemudian terus menghampiri meja kerjanya. Dia kemudian mengambil buku Harry Potter and the Half-Blood Prince yang dibacanya sedikit malam semalam. Zahid akan menyambung kembali pembacaannya yang terhenti lewat malam semalam. Namun sebelum meneruskan pembacaannya, mata Zahid beralih ke arah almari yang terletak bersebelahan dengan meja kerjanya. Kelihatan buku-buku yang terdapat dalam almari tersebut berada dalam keadaan tidak teratur. Lantas dia kemudian terus menghampiri almari itu dan cuba mengemas buku-buku yang tidak tersusun itu. Kebanyakan buku yang ada di dalam almari itu adalah buku pemberian ayahnya. Buku tersebut diberikan ayahnya sejak usianya 5 tahun hinggalah dia di universiti.
Sedang dia mengemas buku-buku tersebut, tiba-tiba sehelai kertas jatuh ke atas lantai dari almari itu. Kertas sebesar saiz kertas lukisan itu jatuh betul-betul di atas kaki Zahid. Zahid kemudian mengambil kertas tersebut untuk melihat isi kandungan kertas itu. Rupa-rupanya, kertas yang diambil Zahid itu merupakan kertas lukisan. Kertas lukisan itulah yang dijumpai Zahid beberapa minggu yang lalu semasa dalam keadaan kelam-kabut mencari pakaian sukan. Barulah dia teringat bahawa selepas terjumpa kembali kertas lukisan itu beberapa minggu yang lalu, dia menyelitkan kertas lukisan itu di antara buku-buku yang terdapat di dalam almari. Lukisan yang dipegangnya itu ialah lukisan potret Khadijah yang dilukisnya tujuh tahun lalu.
Sekali lagi jantung Zahid tiba-tiba berdegup kencang. Ternyata lukisan yang dilihatnya itu telah mengerahkan sedikit kuasa di jantungnya. Dia melihat agak lama juga lukisan itu sebelum duduk di kerusi. Dia kemudian meletakkan lukisan itu di atas meja kerja di hadapannya. Zahid ternyata sangat hairan dengan apa yang telah berlaku pada dirinya. Kerjanya mengemas buku di almari terus terhenti sebaik menjumpai lukisan itu sekali lagi. Sudah kali kedua Zahid menjumpai lukisan potret Khadijah dan sudah kali kedua jantungnya tiba-tiba berdebar sebaik melihat lukisan potret itu.
“…sebabnya hang dah jatuh hati pada dia…” serta-merta kata-kata Izham, rakan baiknya itu terlintas kembali di fikirannya. Kata-kata itu dibuat Izham semasa berjumpa dengannya beberapa minggu yang lalu di taman tasik.
“Aku,… jatuh hati ke?” soal Zahid sendirian. Sambil itu matanya memerhatikan kembali lukisan potret di atas meja kerjanya. “Aku jatuh hati pada Khadijah?” soalnya lagi. “Ah, mustahil begitu jadinya. Mana mungkin boleh terjadi macam tu. Dia tu bagaikan adik buatku…” kata Zahid. “Tapi, adakah sama dengan apa yang aku anggap seperti mana Sheera, seperti mana Yasmin? Adakah anggapan aku pada dia bukan seperti seorang adik? Adakah itu anggapan seorang lelaki yang sudah jatuh hati?”
“Cinta itu fitrah manusia, Zahid” Sekali lagi kata-kata Izham terlintas di fikirannya.
“Adakah cinta itu nafsu, atau cinta itu satu ibadah?” soal Zahid sendirian.
“Kalau nak bercinta, itu tak jadi masalah selagi mana tanggungjawab kita yang utama iaitu tanggungjawab terhadap Allah masih dilaksanakan. Selagi mana percintaan itu tidak menjerus ke arah kemaksiatan, maka selagi itulah boleh. Kalau lebih dari batasan syarak itu, maka haramlah bercinta itu atau jika tidak pun, perkahwinanlah cara terbaik untuk merobohkan batasan itu,” kata-kata Ustaz Kamarul pula terngiang-ngiang di kepala Zahid. Kata-kata itu didengarinya menerusi telefon pada minggu lalu apabila Zahid menelefon Ustaz Kamarul bertanyakan masalah yang dihadapinya itu. “Cinta itu fitrah manusia, dan Allah tidak pernah menzalimi hamba-hambanya”
“Jadi adakah aku ingin memperisterikannya? Adakah cinta itu perlu ada sebelum memperisterikannya?” soal Zahid sendirian.
“Hang ada perasaan tu. Cuma hang tak nampak je. Hang buta dengan hati hang sendiri. Walau apa pun alasan hang, aku percaya jauh di sudut hati hang tu, dah muncul sebenarnya sedikit perasaan cinta pada Khadijah,” kata-kata Izham pula muncul dalam fikiran Zahid.
“Aku tak nampak ke?” soal Zahid.
“Solat istikharahlah kamu. Itulah sahaja petunjuk sebaik-baiknya untuk setiap umat Islam. Allah itu Maha Mengetahui. Hanya Dialah sahaja yang mengetahui segala perkara yang ghaib untuk kita,” kata-kata Ustaz Kamarul petang tadi terngiang-ngiang pula di kepala Zahid. Kata-kata tersebut diungkapkan sebelum Zahid pulang selepas berjumpa Ustaz Kamarul petang tadi. “Kalau kita tak tahu sesuatu perkara itu baik untuk kita atau tidak, mohonlah kepada Allah”
“Jadi apa aku perlu buat sekarang ni? Aku perlu beritahu Khadijahkah? Atau aku perlu tanya Ibu dulukah? Ataupun aku hanya perlu berdiam diri sajakah?” soal Zahid sendirian.
“Rambut sama hitam, hati lain-lain Zahid. Hang tetap hang. Aku tetap aku. Aku tak boleh jadi hang…Tapi apa yang boleh aku kata kat hang, dekatkan diri hang dengan Allah. Insyaallah, hang akan nampak apa yang hang tak nampak, hang akan dapat jawapan apa yang hang ingin tahu,” kata-kata Izham terngiang-ngiang pula di kepalanya. “Allah Maha Mengetahui!”
“Allah Maha Mengetahui…” kata Zahid kemudian. Dia kemudian termenung sebentar sambil matanya kembali memerhatikan potret Khadijah di atas meja kerja. Agak lama juga Zahid termenung. Beberapa ketika kemudian barulah dia kembali bersuara, “Ya… Allah itu Maha Tahu. Dan aku ini tidak tahu… Maka aku perlu meminta pertunjuk dari-Nya,” kata Zahid. Dia kemudian bangun sambil mengambil potret Khadijah yang berada di atas meja kerja. Dia kemudian menyimpan potret tersebut ke dalam laci meja kerjanya seraya berkata, “Istikharah adalah jawapan untuk dilemaku…”
Zahid kemudian menuju ke bilik air. Dia terus mengambil wuduk. Sebaik selesai mengambil wuduk, terus dia membentangkan sejadah. Dia kemudian mendirikan solat sunat istikharah seperti yang diperkatakannya tadi. Solat sunat itu mempunyai dua rakaat. Pada rakaat yang pertama, sesudah membaca surah al-Fatihah, Zahid membaca surah al-Kafirun. Pada rakaat kedua, selepas selesai membaca surah al-Fatihah, Zahid membaca pula surah al-Ikhlas. Sebaik Zahid selesai tahiyat akhir, dia memberi salam. Dia kemudian bertasbih dan beristighfar beberapa ketika sebaik selesai sahaja memberi salam. Selepas itu, barulah dia mengangkat tangan menadah doa.
“Ya Allah, sesungguhnya aku minta petunjuk yang baik dari-Mu, aku minta kekuatan dari-Mu dengan kekuatan-Mu. Aku minta dari-Mu dari kelebihan-Mu yang banyak. Maka sesungguhnya Engkau berkuasa, aku tidak berkuasa. Engkau mengetahui, bahkan Engkau sangat mengetahui segala yang ghaib.
Ya Allah, jika Engkau mengetahui bahawa perkara ini baik untukku pada agamaku, pada duniaku dan baik pada kesudahan urusanku, maka tentukanlah untukku dan permudahkanlah berkati aku padanya.
Jika Engkau mengetahui bahawa perkara ini tidak baik untukku pada agamaku dan duniaku serta kesudahan urusanku, maka jauhkanlah ia dariku dan jauhkanlah aku darinya.
Tentukanlah kebaikan untukku di mana sahaja aku berada kemudian redhakan aku padanya.
Ya Allah, aku bermohon kepada Engkau agar berikanlah aku petunjuk yang jelas, sesungguhnya Engkau sahajalah yang tahu segala perkara yang baik untukku. Aku sesungguhnya tidak tahu apa yang perlu aku lakukan. Kau berikanlah aku petunjuk siapakah jodoh yang Engkau telah tentukan untuk aku. Andai ‘dia’ orang yang Engkau tentukan, maka berikanlah aku jalan supaya aku mengetahuinya. Andai orang lain yang Engkau tentukan untuk aku, maka Kau berikanlah jalan petunjuk kepadaku untuk mengetahui hal itu. Sesungguhnya Engkau sahaja yang Maha Berkuasa dan Maha Mengetahui. Aku bermohon kepada-Mu dan sesungguhnya aku berserah kepada-Mu”
Setelah selesai sahaja melaksanakan solat sunat Istikharah, Zahid terus membaringkan dirinya di atas katil. Dirinya masih lagi berfikir akan hal Khadijah. Sesungguhnya dia masih tidak tahu jawapan yang sebenar dalam dirinya walaupun dia telah berniat untuk memperisterikan Khadijah. Dia masih kurang yakin akan niat yang muncul dalam dirinya itu. Malah dia sendiri juga tidak tahu cara seharusnya yang perlu dilakukan bagi melaksanakan niatnya itu. Dia kini hanya berharap agar dirinya akan diberikan petunjuk oleh Allah s.w.t. kelak bagi menghilangkan kekusutan yang ada dalam dirinya itu.
“Moga Allah memberikan petunjuk kepada aku,” kata Zahid. “Abang tak tahu apa yang perlu abang buat Khadijah…” kata Zahid lagi sendirian.
* * *
Masa berlalu dengan begitu pantas. Kini, sudah sebulan masa telah berlalu. Hari ini Sheera tiba di rumah Zahid setelah hampir sebulan tidak ketemu abangnya itu. Perjalanannya dari USM di Pulau Pinang tidak mengambil masa begitu lama memandangkan tiada kesesakan yang dihadapinya sepanjang perjalanan terutama di Jambatan Pulau Pinang. Strateginya keluar awal pagi ternyata menjadi. Sebaik sahaja dia selesai menunaikan solat Subuh pada pagi Jumaat, dia terus bertolak meninggalkan USM menuju ke Taiping.
Sementara itu di Taiping, Zahid seperti kebiasaan, pada awal pagi ini sedang bersiap-siap untuk menuju ke tempat kerja. Hari ini, dua orang adiknya, Sheera dan Yasmin akan pulang ke rumahnya. Hari ini juga, merupakan hari Jumaat yang terakhir buat Ibu di rumah Zahid. Isnin pada minggu hadapan, Ibu akan kembali ke Butterworth. Hujung minggu ini pula bakal berlangsung majlis pernikahan Mak Lang. Walaupun baru sebulan sahaja Mak Lang bertunang, majlis pernikahannya akan dilangsungkan disebabkan permintaan keluarga pihak lelaki yang menginginkan majlis pernikahan yang awal. Selain itu, ayah kepada tunang Mak Lang juga meminta majlis pernikahan diawalkan disebabkan tidak mahu sesuatu yang tidak baik berlaku sepanjang tempoh pertunangan. Tambahan pula, hal itu merupakan tradisi kepada keluarga tunang Mak Lang, iaitu hanya bertunang dalam tempoh yang singkat. Majlis perkahwinan juga turut akan diadakan serentak dengan majlis pernikahan. Semua perkara ini telahpun dirancang sejak lima bulan yang lalu. Hanya Zahid sahaja yang tidak tahu akan hal itu.
Setelah selesai bersarapan menikmati hidangan mi goreng yang dimasak Ibu, Zahid terus keluar menuju ke keretanya. Dia sedikit terkejut apabila melihat keretanya yang begitu kotor diselaputi debu dan habuk. Sudah hampir sebulan dia tidak mencuci keretanya kerana kesuntukan waktu. Lantas Zahid terus mencapai getah paip di halaman rumah. Dia kemudian memutarkan kepala paip sebelum dipancutkan air yang keluar dari getah paip itu ke keretanya. Harapannya agar kekotoran yang melekat di keretanya itu dapat dihilangkan sedikit dengan pancutan air tersebut. Setelah beberapa ketika, barulah Zahid menutup paip itu kembali. Sambil itu dia memerhatikan keadaan di sekeliling rumahnya. Jarang sekali untuk dirinya memerhatikan keadaan persekitaran rumahnya. Kesibukan kerja telah membataskan dirinya untuk melihat keadaan sekitar rumah dengan lebih kerap. Sambil melihat keadaan persekitaran rumah, Zahid kemudian terlihat seorang lelaki tua sedang berdiri di hadapan rumah jiran sebelahnya. Lelaki itu kelihatan hampir seusia dengan datuknya yang tinggal di Pulau Pinang.
Setelah beberapa ketika memerhatikan orang tua itu, Zahid kemudian memberi salam kepada orang tua itu.
“Assalamualaikum!”
“Waalaikumussalam,” orang tua itu menjawab. Lelaki itu kemudian melihat Zahid yang berada di dalam halaman rumah. Dia kemudian berjalan menghampiri Zahid yang berada di halaman rumah.
“Pak cik buat apa kat sini?” soal Zahid sebaik lelaki tua itu berada di hadapannya. Sambil itu tangannya berjabat dengan lelaki itu.
“Pak cik datang ni nak kutip sewa rumah orang sebelah ni,” jawab lelaki itu. “Dah lama pak cik terpacak depan rumah tu, tapi tak keluar-keluar orang yang kat dalam rumah tu”
“Oh macam tu. Saya ingatkan apa tadi. Maklumlah, kawasan rumah macam ni, kalau nampak orang lain macam sikit takut juga…” kata Zahid.
“Pak cik nampak macam orang jahat ke?” soal lelaki itu.
“Ish, taklah sampai ke situ pak cik,” balas Zahid. “Emm tapi pak cik, bukan tuan rumah ni orang perempuan ke? Sebab selalu yang saya nampak orang perempuan yang kutip duit sewa rumah sebelah ni,” soal Zahid.
“Hah, betullah tu. Dia tolong pak cik je,” balas lelaki itu.
“Oh begitu. Habis tu, yang cantik-cantik, yang manis-manis, yang lawa-lawa, yang putih-putih, yang selalu kutip sewa rumah sebelah ni tiap-tiap bulan siapa pak cik?” soal Zahid.
“Tu anak pak cik”
“Anak pak cik?” soal Zahid. “Ish, ish, ish… lawanya pak cik”
“Memanglah lawa. Tengoklah siapa bapaknya…” kata lelaki itu.
“Dah kahwin ke?” soal Zahid.
“Belum..”
“Dah ada yang punya?”
“Pun belum”
“Wah… ada can!” kata Zahid sedikit girang.
“Aik, kamu berkenan kat anak pak cik ke?” soal lelaki itu.
“Kalau ada peluang apa salahnya…” balas Zahid tersenyum malu.
“Kamu dah kahwin ke?” soal lelaki itu.
“Belum lagi pak cik”
Tiba-tiba sebuah Proton Waja berwarna hitam memasuki perkarangan rumah Zahid. Kereta itu kemudian berhenti di sebelah Proton Persona milik Zahid. Sheera yang bertolak dari Pulau Pinang sebaik sahaja selesai solat Subuh tadi akhirnya telah tiba di rumah Zahid. Zahid tersenyum sebaik melihat kereta yang dipandu Sheera itu memasuki halaman rumahnya.
“Assalamualaikum abang!” sapa Sheera sebaik keluar dari keretanya. Dia kemudian menghampiri Zahid sebelum menyalam tangan abangnya itu.
“Waalaikumussalam,” jawab Zahid. Sementara itu, lelaki tua yang berdiri berhampiran Zahid memandang Sheera dengan penuh terpesona.
“Ibu ada?” soal Sheera.
“Ada, dia kat dapur,” balas Zahid.
“Tak pi kerja lagi ke?”
“Nak pi lah ni,” balas Zahid.
Sheera kemudian berjalan memasuki rumah. Sementara itu, lelaki itu masih lagi memandang Sheera sehinggalah Sheera memasuki ke dalam rumah. Dia ternyata seperti terpesona sebaik melihat Sheera sebentar tadi.
“Tadi kamu kata kamu belum kahwin? Tapi yang tadi tu, yang cantik-cantik, yang manis-manis, yang lawa-lawa, yang putih-putih tu siapa? Takkan dah ada bini lawa tak nak mengaku kot?” soal lelaki itu.
“Isteri? Ish, tu bukan isteri saya pak cik. Tu adik saya…” balas Zahid sedikit tersenyum.
“Oh, adik kamu!” kata lelaki itu. “Lawanya…” katanya. “Dah kahwin ke?” soalnya.
“Belum…”
“Dah ada yang punya?”
“Pun belum…”
“Jadi solo lagilah dia tu?”
“Pun betul…”
“Ada can!” kata lelaki itu.
“Aik, pak cik? Ada hati nak pasang dua ke?” soal Zahid.
“Ish, mana ada kamu ni,” balas lelaki itu. “Sebenarnya pak cik ni dah lama dah menduda…”
“Oh, gitu…” balas Zahid tersenyum.
“Eh, tak palah ya. Pak cik nak pergi rumah sebelah tu balik. Karang kalau orang dalam rumah tu dah keluar pi kerja, penat je pak cik datang ke sini,” kata lelaki itu.
“Yalah pak cik. Saya pun nak pi kerja dah ni,” balas Zahid. Dia kemudian berjabat tangan lelaki itu. Lelaki itu kemudian berjalan keluar dari halaman rumah Zahid. Sementara itu, Zahid kemudian menghidupkan enjin keretanya. Dia kemudian masuk ke dalam keretanya dan terus memulakan perjalanannya ke tempat kerja yang tidaklah begitu jauh dari rumahnya.
Pada waktu tengah hari, Zahid terus menuju ke MRSM Taiping untuk mengambil adiknya, Yasmin yang balik bermalam hujung bulan. Setibanya dia di sana, dilihatnya adiknya telah menunggu di tepi pintu masuk maktab tersebut, sesuatu yang jarang sekali buat Yasmin menunggu di situ kerana selalunya dia akan menunggu berhampiran dewan maktab. Hal ini sedikit memudahkan buat Zahid kerana dia tidak perlu lagi masuk ke dalam kawasan maktab.
Setelah mengambil Yasmin di sana, Zahid terus memandu kereta pulang ke rumahnya. Setibanya di rumah, dilihatnya Proton Perdana yang dibawa ibunya tiada di rumah. Hanya Proton Waja milik Sheera sahaja yang ada di rumah. Pintu rumah juga turut dikunci. Tahulah Zahid bahawa Ibu dan Sheera tiada di rumah. Namun, Zahid tidak mengetahui tujuan dua beranak itu keluar dari rumah pada waktu tengah hari itu. Pada masa yang sama, Yasmin ketika ini sedang mengeluarkan beg pakaian dari bonet belakang kereta. Dia kemudian membawa beg tersebut masuk ke dalam rumah.
“Adik tak kisah ke kalau abang tinggal adik sorang-sorang nanti?” soal Zahid sebaik Yasmin meletakkan begnya di ruang tamu.
“Tak pe. Abang pi jelah sembahyang Jumaat,” balas Yasmin.
“Betul ni?” soal Zahid inginkan kepastian.
“Tak pe…”
Serentak dengan itu kedengaran bunyi sebuah kereta memasuki kawasan perkarangan rumah Zahid. Zahid dan Yasmin kemudian terus meluru kembali ke pintu hadapan rumah. Dilihatnya mereka sebuah Proton Perdana V6 berwarna hitam berhenti di sebelah kereta milik Zahid.
“Ibu!” jerit Yasmin dalam nada gembira.
“Sheera!” kata Zahid pula.
“Ayah!” jerit Yasmin.
“Ayah?” soal Zahid kehairanan. “Ayah dah balik?”
Ibu yang memandu kereta itu kemudian keluar diikuti Sheera. Senyuman kelihatan terukir pada wajah mereka berdua. Selepas itu seorang lelaki keluar dari kereta tersebut. Lelaki separuh abad itu berpakaian kemas dengan berkemeja serta berkasut kulit hitam.
“Ayah dah balik…” kata Ibu dalam nada gembira.
“Oh, jadi ibu pi ambil ayahlah tadi ni?” soal Zahid.
“Tadi ambil ayah kat stesen bas,” kata Sheera.
“Ayah ambil bas dari KL terus ke Taiping,” kata Ibu pula.
“Huh, mengejut jugak ayah balik. Ibu pun bukan nak bagitau…” kata Zahid.
“Bukan minggu depan ke ayah baru balik?” soal Yasmin.
“Siapa kata ha?” soal Ayah tersenyum. Dia kemudian menyambut tangan anak bongsunya itu untuk bersalam. Dia kemudian memeluk Yasmin. “Dah lama tak jumpa adik…”
“Apa cerita ayah? Best kat Brunei?” soal Yasmin.
“Best… orang-orang kat sana semuanya cantik-cantik belaka…” balas Ayah.
“Cantik?” soal Zahid, Sheera, dan Ibu serentak.
“Eh… bukan cantik tu… Tapi cantik budi bahasanya…” kata Ayah menjelaskan lagi kata-katanya tadi.
“Oh… ingatkan cantik yang lain!” kata Zahid, Sheera, dan Ibu serentak lagi.
Selepas itu, masing-masing masuk ke dalam rumah. Zahid hari ini menerima satu kejutan. Ayahnya pulang secara mengejut tanpa dirinya mengetahui akan hal itu. Perkara ini sudah tentu mengembirakan buat Zahid. Namun orang yang lebih gembira sudah semestinya Ibu yang hampir sebulan tidak bersua dengan ayah.
Pada sebelah petangnya, setelah selesai solat Jumaat di masjid, mereka semua memulakan perjalanan menuju ke kampung di Selinsing. Ibu memandu Proton Perdana bersama Ayah. Sementara itu, Zahid memandu Proton Persona miliknya bersama Sheera dan Yasmin. Proton Waja milik Sheera pula ditinggalkan di rumah. Zahid hari ini telah memohon kerja separuh hari kerana mahu pulang ke kampung pada sebelah petangnya. Maka dengan itu, dia tidak perlu lagi kembali ke pejabat untuk menyambung kerjanya.
Suasana di kampung telah mula menampakkan kemeriahannya. Setibanya mereka di sana, beberapa buah kanopi telah dipasang di halaman rumah. Kerusi dan meja juga telah siap disusun. Persiapan untuk majlis kenduri akad nikah dan perkahwinan Mak Lang esok telah rancak dilakukan. Situasi ini menyebabkan kereta yang dipandu mesing-masing tidak dapat diletakkan di halaman rumah. Kereta-kereta mereka hanya diletakkan di tepi jalan berhampiran jalan masuk ke kawasan rumah yang terletak di tengah-tengah kawasan sawah padi.
“Wah, dah rancak nampaknya persiapan,” kata Sheera sebaik turun dari kereta.
“Mestilah. Esok kan majlis kenduri nak berlangsung dah,” balas Yasmin.
“Mak Lang apa cerita ye…” kata Zahid kemudian.
“Malam ni, malam last Mak Lang tidur sorang ye…” kata Sheera.
Yasmin dan Zahid kemudian berpandangan antara satu sama lain sebaik mendengar kata-kata Sheera itu. Mereka berdua kemudian tersenyum. Mereka bertiga kemudian terus berjalan menuju ke rumah lama yang menjadi tempat tinggal tinggal Ayah selama hampir 18 tahun itu.
Persiapan pada petang tersebut begitu rancak dijalankan. Segala bahan masakan yang akan digunakan telah disediakan. Orang-orang kampung masing-masing bertungkus-lumus bergotong-royong membantu antara satu sama lain supaya bahan masakan yang disediakan dapat disediakan dalam masa yang begitu singkat. Sayur-mayur, ulam-ulaman, rempah-ratus, dan pelbagai lagi bahan masakan masakan disediakan dengan bergotong-royong oleh masyarakat kampung. Itulah tradisi yang masih berkekalan sehingga ke hari ini. Amalan gotong-royong telah sinonim dengan masyarakat kampung.
Namun dalam kesibukan untuk persiapan kenduri perkahwinan Mak Lang itu, masih ada lagi ahli keluarga yang belum pulang. Pak Ndak dan Mak Ndak masih lagi belum tiba di kampung. Sehingga waktu malam, mereka masih belum tiba di kampung. Perkara ini tidaklah menjadi sesuatu yang menghairankan buat ahli keluarga lain apabila setiap kali berkumpul untuk sesuatu majlis. Mereka berdua akan selalunya tiba lewat di kampung walaupun tempat tinggal mereka tidak begitu jauh, hanya di Kuala Kangsar kira-kira satu jam perjalanan dari sana. Bukanlah Pak Ndak yang sengaja untuk lewat pulang, tetapi isterinya, Mak Ndak yang selalunya menjadi punca kelewatan mereka tiba di kampung.
“Pak Ndak tu macam pak turut je. Apa yang bini dia cakap, semua dia ikut…” kata Cik Long semasa sibuk merebus telur pada sebelah petang. Telur-telur itu akan digunakan untuk bunga telur yang akan digunakan hari esok. Rebusan telur-telur ayam itu direbus di bahagian belakang halaman rumah.
“Mak Ndak tu melampau betul,” kata Sheera yang turut membantu Cik Long merebus telur.
“Abang memang cukup menyampah dengan Mak Ndak tu,” kata Zahid pula yang duduk berhampiran. Dia duduk di atas kerusi rotan yang diletakkan di bawah rumah.
“Amboi mengumpat nampak,” kata Ibu yang tiba-tiba muncul. Dia kemudian duduk di sebelah Zahid sambil memerhatikan Sheera dan Cik Long merebus telur.
“Ni kenyataanlah Ibu,” balas Zahid.
“Entahlah… Nak buat macam mana, dah Mak Ndak macam tu,” kata Ibu.
“Alah, mentang-mentanglah dia tu orang bandar,” kata Sheera pula.
“Tu, Cik Long. Dia terasa hati kat Mak Ndak tau…” kata Ibu sambil jarinnya ditunjukkan ke arah Cik Long.
“Pasal apa?” soal Zahid. Dia kemudian memandang tepat ke arah wajah Cik Long. Sheera juga turut serentak memandang tepat wajah Cik Long.
“Kenapa?” soal Sheera kepada Cik Long.
“Kenapa? Tak ada apalah…” balas Cik Long.
“Kenapa ibu?” soal Zahid kepada Ibu pula apabila Cik Long tidak menjawab pertanyaannya tadi.
“Yalah, kalau nak balik ke sini, macam-macam alasanlah yang dia bagi. Bila balik sini je, muka masam mencuka. Bukan sekali dua dia macam tu…” kata Cik Long memberitahu Sheera dan Zahid.
“Anak-anak Cik Long mestilah terasa bila nampak Mak Ndak masam muka je bila balik ke sini,” kata Ibu pula.
“Aku tak kisahlah kalau tak nak balik. Tapi yang aku terasa sangat tu bila Pak Tam balik ke sini, barulah dia senang je nak balik ke sini,” kata Cik Long kepada Ibu.
“Kenapa pula macam tu?” soal Sheera.
“Entahlah. Cik Long sendiri tak tau sebabnya. Tapi sejak Mak Ndak kamu tu kahwin dengan Pak Ndak, dia memang nampak lebih mesra dengan keluarga Pak Tam,” jawab Cik Long.
“Kenapa boleh jadi macam tu?” soal Zahid kehairanan.
“Alah, Pak Tam kamu tu kan pelawak nombor satu dalam keluarga kita. Tu yang dia rapat lagi dengan keluarga Pak Tam kot. Dia rasa seronok kot bila Pak Tam ada,” kata Ibu.
“Ni, baru-baru ni… dia ajak keluarga Pak Tam je pergi kenduri adik dia. Siapa yang tak terasa…” terang Cik Long.
“Macam mana pulak Cik Long boleh tahu yang adik Mak Ndak tu kahwin padahal Mak Ndak tak bagitaupun Cik Long?” soal Sheera.
“Pak Ndak kamu yang bagitau pasal kenduri tu kat Cik Long. Tu pun cakap dalam telefon je,” balas Cik Long.
“Habis tu, Cik Long pergi?” soal Sheera.
“Hati dah terasa, ada hati nak pergi lagi?” balas Ibu pula sambil tersenyum.
“Tak. Lagipun Cik Long ada banyak jugak jemputan kenduri kat sini masa tu,” jawab Cik Long.
“Memang patut pun Cik Long tak pergi,” kata Zahid.
“Dua minggu lepas, Pak Ndak ada datang ke mari sekejap. Mak Ndak tak ikut masa tu. Pak Ndak masa tu dia bagitau kat Cik Long yang Mak Ndak memang tak suka bila nak balik kampung,” terang Cik Long.
“Berlagak betul,” kata Sheera.
“Tapi, bila dapat tahu je Pak Tam nak balik kampung, sepantas kilat dia pun balik kampung,” kata Ibu pula.
“Macam manalah Cik Long tak terasa…” kata Zahid.
Sememangnya perkara itulah yang selalu akan mereka bualkan setiap kali berjumpa di kampung. Perkara yang berkaitan Mak Ndak mereka senantiasa akan dibualkan setiap kali mereka berbual. Sikap dan perangai yang ditonjolkan Mak Ndak itu menyebabkan mereka sedikit terasa di hati. Malah, sikapnya yang kurang menghormati suaminya iaitu Pak Ndak, adik yang paling rapat dengan Cik Long menyebabkan Cik Long seringkali tersinggung. Mungkin taraf pekerjaan Mak Ndak sebagai pegawai Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang lebih tinggi daripada Pak Ndak yang hanya sebagai seorang kerani pejabat sekolah meyebabkan Mak Ndak bersikap sebegitu terhadap Pak Ndak.
Pernah pada satu hari, mereka berdua berkelah di satu kawasan rekreasi di Pulau Pinang bersama-sama rakan-rakan Pak Ndak. Pada waktu itu, Pak Ndak melakukan sedikit kesilapan apabila tertumpahkan air ke atas Mak Ndak. Lantas serta-merta selepas itu Mak Ndak melenting dan terus memarahi Pak Ndak dihadapan semua rakan-rakan Pak Ndak. Rakan-rakan Pak Ndak ternyata terkejut dengan sikap yang ditunjukkan oleh Mak Ndak yang terus memarahi Pak Ndak tanpa mempedulikan perasaan suaminya itu. Pak Ndak dimalukan di hadapan orang ramai. Keesokannya apabila masing-masing berkerja kembali, rakan-rakan Pak Ndak menyatakan perasaan kasihan mereka ke atasnya kerana dilayani begitu teruk oleh isterinya.
“Hang boleh tahan macam tu ha?” soal salah seorang rakan Pak Ndak.
Kisah kebiadaban Mak Ndak bukan hanya setakat itu sahaja. Mak Ndak juga selalu menyuruh Pak Ndak melakukan kerja-kerja di rumah apabila suamnya itu ada di rumah. Dia bukan meminta bantuan suaminya membantunya untuk melakukan kerja-kerja rumah tetapi sebaliknya hanya menyuruh suaminya itu melakukan kerja-kerja itu. Dia hanya duduk sambil mengarah suaminya. Setelah berkahwin hampir tiga tahun mereka dikurniakan seorang cahaya mata. Pak Ndak pula sementara itu semakin jauh dari keluarganya di kampung selepas tiga tahun berkahwin. Pak Ndak telah dikawal sepenuhnya oleh Mak Ndak. Segala perkara yang ingin dilakukan oleh Pak Ndak akan dikawal oleh isterinya itu. Malah kenduri pertunangan Mak Lang sebulan yang lalu langsung tidak mereka hadiri. Sikap Mak Ndak menyebabkan Pak Ndak tidak dapat muncul di majlis itu.
“Nampaknya Pak Ndak akan jadi orang Kuala Kangsarlah selamanya…” keluh Cik Long ketika berbual dengan Ibu semasa majlis pertunangan Mak Lang sebulan yang lalu.
Perhubungan Mak Ndak dengan ahli keluarga suaminya juga tidaklah begitu rapat dan mesra kecuali dengan keluarga Pak Tam. Malah dalam kalangan anak-anak saudaranya termasuk Zahid sendiri tidak begitu sukakan Mak Ndak. Sikap Mak Ndak yang sombong dan langsung tidak mesra dengan mereka menyebabkan mereka tidak begitu rapat dengan Mak Ndak. Sikap yang ditonjolkan Mak Ndak ini menyebabkan Zahid tidak menyukainya. Sheera dan Yasmin juga kurang selesa apabila adanya Mak Ndak di kampung.
“Ibarat langit dengan bumi, mana mungkin boleh bersatu,” kata Zahid sambil melihat Sheera dan Cik Long mengangkat telur rebus yang sudah masak ke dalam besen besar berwarna biru yang baru diambil Ibu tadi dari dapur.
“Kita berdua jauh berbeza, antara bumi dan juga langit, ku cintaimu kau cintaiku, itu saja yang perlu kau tahu”
Yasmin muncul tiba-tiba di sebelah Zahid sambil menyanyikan lagu yang dipopularkan oleh Juliana Banos itu. Mungkin dia terdengar kata-kata Zahid tadi yang menyebabkan dia menyanyikan lagu sedemikian. Zahid tersenyum sebaik melihat adik bongsunya itu muncul di sisinya. Dia tersenyum apabila mendengar nyanyian Yasmin itu. Memang ternyata lagu itu berkaitan dengan kata-kata yang diungkapkannya tadi.
“Tapi masalahnya walaupun jauh berbeza bagai langit dengan bumi, mencintainya dan dicintainya, tapi kalau dah perangai macam tu, dikawalnya suaminya sebegitu boleh lagi ke nak terima dia?” soal Zahid.
“Cinta itu buta abang…” balas Yasmin.
“Boleh jadi isteri derhaka kalau macam tu…” kata Zahid pula.
“Itu urusan Allah…Kita tak tahu abang,” balas Yasmin.
“Yalah… kena fikir sendirilah. Semua tu urusan Allah,” kata Zahid. “Hanya Allah Yang Maha Mengetahui”
“Kau fikirlah…. Tiada guna cerita sebuah cerita, kalau kisah kita sementara, rasa hati telah kamu, membuat aku keliru….” Yasmin menyanyi sambil menghampiri Sheera dan Ibu yang berada berhampiran kawah merebus telur. Lirik lagu ‘Fikirlah’ nyanyian Aizat ternyata diingati Yasmin. Dia kemudian meneruskan lagi nyanyiannya sebelum menghampiri Ibu dan Sheera. “Tiada guna kita menderita, sungguh semua tidur pun tak lena, rasa hati dan katamu, tak lagi seperti dulu…”
Memang sudah menjadi sifat Yasmin sejak kecil lagi untuk menyanyi lagu-lagu popular yang diingatinya. Walaupun kadangkala dia hanya mengingati beberapa rangkap sahaja lirik lagu, namun suaranya ketika menyanyikan lagu-lagu tersebut ternyata begitu merdu sekali. Vokalnya itu persis seperti suara Siti Nurhaliza. Maka tidak hairan apabila Yasmin selalu dijemput mengadakan persembahan setiap kali terdapat acara rasmi di MRSM Taiping. Pada Hari Guru yang lalu, Yasmin telah menyanyikan lagu ‘Dua Hati Menjadi Satu’ nyanyian asal oleh Dafi dan Gita Gutawa. Dia berduet bersama Cikgu Adam, guru Fiziknya di MRSM Taiping. Sifatnya yang suka menyanyi itu telah sedikit sebanyak menceriakan suasana persiapan kenduri di kampung.
Beberapa ketika kemudian Ayah Long muncul sambil mengangkat kawah besar. Dia kemudian meletakkan kawah tersebut di atas tungku yang telah diletakkan sebelum itu. Kayu api juga turut telah diletakkan berhampiran tungku itu. Tugas Ayah Long hanya perlu menghidupkan api pada kayu api itu sebelum menyerahkan tugas memasak kepada Pak Lin yang telah bersedia di sebelah bersama bahan-bahan yang akan dimasak. Baju berwarna perang Ayah Long kelihatan kotor sedikit akibat terkena bahagian belakang kawah yang diangkatnya tadi. Api kemudian dicucuh menggunakan mancis pada gumpalan kertas surat khabar yang diletakkan di atas kayu api. Beberapa ketika kemudian api berjaya dihidupkan. Sedikit demi sedikit nyalaan api semakin besar. Akhirnya himpunan kayu itu berjaya dinyalakan api.
Pada masa yang sama juga, asap daripada kayu api yang dibakar itu semakin bertambah dan memenuhi ruang udara di sekitar tempat Zahid duduk. Sedikit sebanyak udara yang dipenuhi asap itu mula menyebabkan Zahid kurang selesa untuk bernafas. Zahid kemudian menutup hidungnya dengan kertas surat khabar yang berjaya dicapainya sebelum asap mula memenuhi ruang udara di sekitarnya. Namun, walaupun asap mula memenuhi di kawasan sekitar, Zahid masih belum berganjak dari tempat duduknya.
“Abang, kenapa tak lari jauh dari sini?” soal Sheera tiba-tiba muncul di sebelah Zahid.
Tamat Ceritera 11
No comments:
Post a Comment