Ceritera 13
“Tapi masa kenduri kat kampung nampak biasa saja lagi,” kata Murni.
“Betul tu. Tapi masa nak hidangkan makanan tu, memang masing-masing cuak juga. Yalah mana tau takut-takut keluarga Datuk Khairuddin tak suka pulak hidangan yang dihidang,” balas Khadijah.
“Susah nak jaga orang-orang besar ni,” kata Murni. “Makan nak ikut time, kena tepat pada waktu macam dirancang, kena ikut protokol yang dibuat. Hah, pendek kata susah jugalah kalau nak berurusan dengan orang-orang besar ni buat orang biasa macam kita ni”
“Aku ingat lagi masa tu, Abang Zahid ada cerita kat aku yang keluarga dia tak makan lagi masa keluarga Datuk Khairuddin tu makan. Semuanya tak makan bukan pasal apa, pasal takut ada masalah pulak nanti masa keluarga Datuk tu makan. Keluarga Datuk tu pentingkan protokol. Cik Long ada cakap “Biar depa makan habis semua dulu, keluarga kita makan kemudian. Depa ni ikut protokol. Kita ni tak ada protokol” Sampai macam tu Cik Long cakap masa tu,” kata Khadijah menyambung kata-katanya.
“Macam mana hang tau semua cerita tu?” soal Murni.
“Abang Zahid yang cerita kat aku,” balas Khadijah.
“Tapi yang nampak jurang perbezaan masa kenduri pengantin lelaki pulak. Memang bagai langit dengan bumi…”
“Ya, memang jauh berbeza dengan kenduri kat kampung tu. Kenduri pengantin lelaki memang sangat berbeza. Aku pun mula-mula memang tak dapat pergi. Yalah jauh kat Pulau Pinang tu. Tapi nasib baiklah Jasmin nak aku tumpang kereta dia. Dia yang paksa aku ikut. Aku pun tak sampai hatilah nak tolak pelawaan dia tu. Tanpa dirancang, aku pun pergi kenduri kat Penang tu,” terang Khadijah.
“Abang Zahid?” soal Murni.
“Dia mestilah ikut. Mak Lang dia yang kahwin,” balas Khadijah. “Tapi majlis yang dibuat tu memang nyata berbeza. Pertama kali aku pergi majlis orang-orang kaya macam tu,” terang Khadijah mengenangkan kembali nostalgianya yang lama. Malam yang semakin lewat nyata langsung tidak diendahkannya. Masing-masing masih lagi rancak berbual.
“Kenduri tulah yang buat kita jadi kawan rapat balik,” balas Murni.
Dia ternyata mengingati saat dia bertemu Khadijah semula semasa majlis perkahwinan itu. Ketika itu Murni menjadi kawan kepada Jasmin dan secara tidak sengaja telah berjumpa kembali Khadijah di majlis itu. Khadijah semakin rapat dengan Murni apabila mendapat tahu bahawa Murni akan berpindah ke Taiping untuk menjadi guru di sebuah sekolah. Apabila Murni berpindah ke Taiping, akhirnya mereka berdua menjadi sahabat karib kembali sehingga ke hari ini.
“Kalau aku tak ikut Jasmin tu, mungkin hang tak jadi kawan aku balik,” kata Khadijah. “Hang, masa tahun pertama kat USM, tiba-tiba berhenti. Terus aku terputus hubungan dengan hang…”
“Alah, aku ni junior hang je…” balas Murni.
“Junior pun, tapi hang jadi kawan aku…” balas Khadijah. “Tapi tulah, aku memang tak sangka dapat jumpa hang balik…”
“Allah itu Maha Berkuasa, Dijah,” kata Murni pula.
* * *
Proton Persona milik Zahid baru sahaja melepasi Plaza Tol Juru setelah hampir satu jam memandu dari kampungnya di Selinsing. Keretanya berada tidak jauh di belakang Proton Perdana yang dipandu ayahnya. Enam buah kereta telah bertolak dari Selinsing kini dalam perjalanan menuju ke Pulau Pinang. Zahid memandu membawa Cik Long dan Mak Tam bersama Sheera yang berada di sebelah. Yasmin pula sementara itu bersama-sama Ibu, Ayah Long, dan Pak Tam menaiki Perdana yang dipandu Ayah. Ahli keluarga yang lain pula menaiki kereta masing-masing.
Selain itu, kereta BMW M3 turut mengikuti rombongan tersebut. Kereta itu dinaiki pengantin baru, iaitu Pak Lang dan Mak Lang. Kereta mewah itu dipandu oleh rakan Pak Lang. Setelah seminggu menjadi suami kepada Mak Lang, barulah majlis perkahwinan pihak keluarga Pak Lang diadakan. Majlis itu ternyata berbeza jika dibandingkan dengan majlis pihak pengantin perempuan kerana majlis tersebut diadakan di dewan sebuah hotel di Pulau Pinang. Hotel tersebut merupakan hotel yang dimiliki oleh bapa pengantin lelaki iaitu Datuk Khairuddin. Sudah pasti perbezaan yang nyata bakal dilihat tidak lama lagi.
Kesesakan langsung tidak berlaku semasa mereka berada di Plaza Tol Jambatan Pulau Pinang. Mungkin disebabkan mereka tiba ketika di luar waktu puncak menyebabkan mereka tidak berhadapan dengan kesesakan lalu lintas. Setelah melepasi tol, maka mereka memulakan kembali perjalanan menuju ke sebuah hotel di Batu Ferenggi, tempat berlangsungnya majlis perkahwinan.
Sebenarnya, terdapat sedikit kejanggalan dalam rombongan ini. Mengikut perancangan asal, kedua-dua mempelai pengantin sepatutnya pergi ke Pulau Pinang sehari lebih awal supaya persiapan buat mereka tidak akan menjadi kelam kabut. Namun Mak Lang menolak perancangan itu dan meminta supaya dia dan Pak Lang pergi ke Pulau Pinang pada hari majlis perkahwinan itu berlangsung. Perkara ini menyebabkan Mak Lang dan Pak Lang terpaksa bersiap di kampung dahulu sebelum bertolak ke Pulau Pinang. Pakaian pengantin masing-masing telah dipakai sebelum mereka bertolak. Perkara itu menyebabkan Mak Tam sedikit menyindir adik iparnya itu.
“Orang pakai baju pengantin patutnya kat Penang, tapi sekarang pakai kat sini pulak. Menyusahkan orang je nak kena ambil baju tu dari Penang,” kata Mak Tam kepada Mak Lang sewaktu sedang bersiap mengenakan pakaian pengantin.
“Alah, bukan selalu pun. Sekali susah je…” balas Mak Lang.
“Sekali susah konon. Tak pasal-pasal je Ayah Long tu pergi Penang petang kelmarin…” balas Mak Tam.
“Alah, bukan selalu pun…” balas Mak Lang mengulangi kata-katanya tadi.
Rombongan kemudian melalui jalan menuju ke Air Itam. Kelihatan ketika itu Universiti Sains Malaysia berada di sebelah kiri mereka. Terpampang dengan jelas tulisan gergasi ‘USM’ di bahagian tebing bukit berhampiran padang di USM. Di kawasan padang ketika ini, kelihatan satu acara sukan sedang berlangsung. Orang agak ramai juga di padang itu.
“Ada acara apa kat padang tu Sheera?” soal Zahid kepada Sheera yang duduk di sebelahnya.
“Alah, ni pertandingan bola sepak MSSM,” balas Sheera.
Sheera ternyata mengetahui acara yang berlangsung di padang itu. Ternyata dia masih mengambil berat akan apa yang berlangsung di USM walaupun dia kini sedang bercuti. Sebagai seorang mahasiswi USM, keperihatinan terhadap apa yang berlaku di USM menunjukkan bahawa dia seorang yang bertanggungjawab.
“Alahai, bila lalu kat kat USM ni, teringat pulak assingment yang tak siap lagi tu…” keluh Sheera kemudian.
“Huih, dah seminggu cuti, tak buat lagi?” soal Zahid terkejut.
“Buatlah abang. Tapi tak siap lagi…” balas Sheera.
“Alah samalah tu…”
“Rupanya malas juga ya si Sheera ni…” kata Cik Long yang duduk di belakang.
“Baru Cik Long tahu?” soal Zahid sambil tersenyum. “Nilah Sheera yang sebenar…”
Rombongan tiba di hotel tepat pukul sebelas pagi. Perjalanan mengambil masa kira-kira empat puluh lima minit dari Jambatan Pulau Pinang. Sekiranya perjalanan melalui kawasan pusat bandar Georgetown, maka masa perjalanan mungkin lebih panjang. Bagunan hotel yang dimiliki sepenuhnya oleh Datuk Khairuddin ini tidaklah begitu besar jika dibandingkan dengan bangunan hotel lain yang berada di sekitar. Namun harus dibanggakan buat Datuk Khairuddin, hotel yang dimiliknya itu merupakan satu-satunya hotel yang dimiliki oleh orang Melayu di kawasan itu. Hotel yang terletak betul-betul di tepi pantai itu nyata berada pada kedudukan yang begitu strategik berbanding hotel-hotel lain.
Ahli rombongan kemudian masing-masing mula keluar dari kenderaan kecuali pasangan pengantin Mak Lang dan Pak Lang yang masih terus berada di dalam kereta dengan penghawa dingin dan enjin kereta yang masih dihidupkan. Layanan kepada mereka ternyata memang sesuai dengan gelaran mereka sebagai ‘raja sehari’. Mereka hanya akan keluar dari kenderaan sebaik majlis bermula. Sehingga majlis belum bermula, maka mereka akan terus berada di dalam BMW M3 itu.
Majlis bukanlah berlangsung di dalam bangunan utama hotel tetapi sebaliknya diadakan di bangunan dewan yang terletak di sebelah bangunan hotel. Menurut Pak Lang, bangunan hotel yang dibina itu pada asalnya tidak mempunyai dewan. Namun setelah beberapa tahun hotel itu dibuka, barulah bangunan dewan dibina di sebelah bangunan hotel. Menurut Pak Lang lagi, kekurangan modal menyebabkan bangunan dewan tidak dibina pada awalnya.
Masing-masing mula berdiri menunggu di foyer hotel menunggu untuk masuk ke dewan. Mengikut jadual yang telah ditetapkan, rombongan pengantin perempuan hanya akan memasuki dewan pada pukul 11.30 pagi. Maka, ahli rombongan terpaksa menunggu setengah jam lagi sebelum dapat memasuki dewan. Ternyata situasi ini tidak begitu menyenangkan buat kebanyakan ahli rombongan. Zahid yang turut berdiri menunggu melihat pelbagai reaksi diberikan oleh ahli rombongan. Matanya tertumpu ke arah Cik Long yang berada berhampirannya.
“Ish, menyusahkan betul. Nak kena ikut protokol depa ni. Kalau kenduri biasa, sampai-sampai je, terus sambut. Ini sekarang nak kena berdiri tunggu kat sini. Nak kena ikut time pulak…” keluh Cik Long kepada Mak Tam yang berdiri di sebelahnya.
“Aku pun heran, macam mana Mak Lang tu boleh pilih anak orang-orang besaq ni…” balas Mak Tam.
“Dah dia pilih, nak buat macam mana. Itu pun kira baguih dia dah kahwin. Kalau tak, entah sampai bila dia nak andartu lagi…” balas Cik Long.
Zahid hanya tersenyum mendengar perbualan kedua-dua ibu saudaranya itu. Ternyata ada kebenaran terhadap apa yang diperkatakan mereka itu. Perbezaan cara mengendalikan majlis perkahwinan memang dapat dirasai oleh kebanyakan ahli rombongan. Kebanyakan mereka pertama kali menghadiri majlis perkahwinan golongan atasan ini. Masing-masing ternyata membandingkan dengan majlis perkahwinan yang biasa mereka hadiri. Ternyata, jurang perbezaan budaya dapat dirasai oleh ahli rombongan.
Mata Zahid kemudian beralih ke arah kereta BMW M3 yang dinaiki pengantin. Dia dapat melihat dengan jelas Mak Lang dan Pak Langnya sedang asyik berbual. Zahid hanya tersenyum apabila melihat.
“Mesra juga Mak Lang dan Pak Lang ni ya…” monolog Zahid dalam hatinya.
Matanya kemudian beralih ke arah sekumpulan orang yang berada berhampiran kereta pengantin. Dia dapat melihat beberapa lelaki berpakaian baju melayu hijau keemasan lengkap dengan songkok dan sampingnya. Kelihatan juga beberapa orang wanita dalam kumpulan itu memakai baju kurung yang juga berwarna keemasan dengan tudung masing-masing berwarna hijau tua. Kelihatan beberapa orang daripada kumpulan itu memegang kompang. Mungkin kumpulan itu merupakan kumpulan kompang yang bakal mengiringi rombongan pengantin menuju ke dewan sebentar lagi. Itulah yang dikatakan oleh Sheera apabila melihat Zahid begitu asyik melihat kumpulan tersebut sehingga tidak sedar kemunculannya di sebelah.
Mata Zahid kemudian beralih kepada beberapa lagi orang yang berdiri berhampiran kereta pengantin. Kebanyakan individu yang dilihatnya merupakan kaum hawa yang rata-rata berusia 30-an, semuanya memakai pakaian tradisional sama ada berbaju kurung ataupun berkebaya. Dan ternyata sekali Zahid tidak mengenali walau seorang pun daripada mereka itu. Mungkin wanita-wanita itu merupakan kenalan rapat Pak Lang atau mungkin juga kenalan Mak Lang yang tidak dikenalinya. Matanya terus memandang orang di sekitarnya sambil melihat pelbagai gelagat yang dapat disaksikannya. Ada daripada mereka rancak berbual, ada juga yang hanya membisu, ada juga yang bergelak ketawa ketika sedang berbual. Ternyata suasana di foyer hotel itu agak riuh sedikit. Namun, dalam ketika dirinya memerhatikan orang ramai, pandangannya kemudian terhenti dan tertumpu pada seorang wanita yang berdiri berhampiran kumpulan kompang yang dilihatnya sebentar tadi.
“Khadijah?” soalan spontan terkeluar daripada mulutnya.
“Hah, Khadijah? Siapa Khadijah?” soal Sheera yang berdiri di sebelah Zahid dengan hairan.
“Err… tak ada apa-apa…” balas Zahid sedikit gugup. Secara tidak sengaja, kata-kata spontannya itu tadi didengari adiknya.
Sheera kemudian beralih menuju ke arah Cik Long yang berdiri di satu penjuru kawasan foyer, agak jauh dari kedudukan Zahid. Cik Long juga nyata begitu rancak berbual sehingga tanpa disedarinya, telah semakin jauh dari Zahid yang masih berdiri di tempat yang sama.
Ketiadaan Sheera di sebelahnya menyebabkan Zahid mengatur langkah. Dia berjalan menuju menghampiri Khadijah yang kelihatan sedang berbual dengan beberapa wanita yang tidak dikenali Zahid. Semakin dirinya menghampiri Khadijah, tanpa disedarinya, jantungnya semakin berdegup kencang. Degupan semakin kuat apabila dia semakin menghampiri Khadijah. Zahid ternyata hairan dengan perasaan sedemikian. Belum pernah selama ini dia akan berdebar sebegitu kencang apabila berjumpa dengan Khadijah. Namun untuk kali ini, dengupannya itu ternyata berlainan.
“Assalamualaikum…” sapa Zahid memberi salam kepada Khadijah sebaik menghampirinya.
“Waalaikumussalam…” jawab Khadijah sedikit terkejut dengan sapaan itu.
Perbualan dengan rakan-rakannya terhenti seketika sebaik disapa Zahid. Rakan-rakannya yang melihat seorang lelaki menyapa Khadijah itu kemudian berjalan meninggalkan Khadijah keseorangan. Mereka tersenyum kepada Khadijah.
“Lah, hang nak pi mana Jasmin, Ila?” soal Khadijah kepada rakan-rakanya itu.
“Tak ada apa. Cuma tak nak kacau je…” balas Jasmin sambil tersenyum.
Zahid hanya memerhatikan sahaja dua rakan itu mula meninggalkan Khadijah. Dia hanya tersenyum sedikit mendengar kata-kata Jasmin, rakan Khadijah yang tidak dikenali Zahid itu.
“Tulah Jasmin, kawan Khadijah. Adik kepada pengantin lelaki…” terang Khadijah memperkenalkan salah seorang rakannya itu kepada Zahid.
“Oh, jadi yang tu adik Pak Lang abanglah tu…” balas Zahid. “Tak sangka, cantik juga adik Pak Lang abang ni ya…” kata Zahid secara spontan. Pandangannya kemudian beralih kepada Khadijah yang sedikit tersenyum mendengar kata-katanya tadi. “Khadijah datang jugak ya ke Penang ni…” kata Zahid kemudian.
“Tak juga. Mula-mula Khadijah memang tak nak ikut. Tapi Jasmin tu pujuk jugak suruh ikut. Kesianlah jugak kat dia. Tu yang Khadijah ikut jugak pi Penang ni…” balas Khadijah.
“Jasmin tu kawan rapat Khadijah ke?” soal Zahid.
“Rapat jugaklah…” balas Khadijah ringkas. “Abang datang sorang je ke? Adik-adik abang tak ikut?” soalnya kemudian.
“Eh, ikut. Tu ada kat hujung sana tu. Ralik sangat sembang dengan mak saudara abang tu…” balas Zahid sambil jarinya ditunjukkan ke arah Sheera dan Yasmin yang sedang asyik berbual dengan Cik Long dan Mak Tam.
“Lambat lagi kan nak masuk dewan ni…”
“Ha aa…” balas Zahid. “Kenapa Khadijah tak masuk dewan? Ikut rombongan pengantin lelaki kan?” soalnya.
“Ha aa. Memang pun. Tapi saja je nak dok luar ni,” balas Khadijah tersenyum.
Sementara itu Cik Long yang daripada tadi asyik berbual, terlihat Zahid dan Khadijah sedang berbual berhampiran kumpulan kompang. Dia ternyata hairan melihat Zahid itu. Dia tertanya-tanya akan wanita yang sedang berbual dengan anak saudaranya itu. Wanita yang bernama Khadijah itu nyata tidak dikenalinya.
“Eh, Sheera, siapa perempuan tu hah?” soal Cik Long kepada Sheera. Sheera kemudian memerhati wanita yang dimaksudkan Cik Long itu.
“Entahlah. Tak kenal pulak Sheera. Tapi rasa-rasanya perempuan tu jugaklah yang sembang dengan abang masa kenduri kat kampung minggu lepas,” balas Sheera.
“Jangan-jangan tu girlfriend abang kot,” celah Yasmin tiba-tiba.
“Entahlah. Akak pun tak tau…” balas Sheera.
“Takkan abang tak cerita kat akak?” soal Yasmin.
“Entahlah…”
Gelagat Zahid itu turut menarik perhatian Mak Tam dan Ayah Long. Ternyata masing-masing membuat tanggapan yang sama. Pada pendapat mereka, mungkin wanita yang sedang berbual dengan Zahid itu merupakan teman istimewanya. Perkara ini juga turut menarik perhatian Ayah dan Ibu. Namun, mereka juga tidak mampu memberi sebarang tafsiran terhadap apa yang diperhatikan mereka. Hanya tekaan sahaja yang mampu dibuat mereka.
“Siapa tu?” soal Ibu kepada Ayah.
“Hanya Allah yang tahu…” balas Ayah ringkas.
Dalam kesibukan masing-masing mencari jawapan identiti wanita yang sedang berbual dengan Zahid itu, tanpa disedari jam telah menghampiri pukul 11.30 pagi. Maka, majlis akan bermula sebentar lagi setelah hampir tiga puluh minit menunggu di foyer hotel.
Pengantin perempuan dan lelaki mula turun dari kereta. Mereka kemudian berjalan menghampiri ahli rombongan. Serentak dengan itu juga, alunan kompang mula kedengaran. Bacaan selawat mula kedengaran mengiringi perjalanan pengantin dan ahli rombongan menuju ke dewan tempat majlis berlangsung. Pada masa yang sama juga, perbualan Zahid dengan Khadijah terhenti. Mereka kemudian berjalan menyertai rombongan yang telah mula bergerak. Zahid dan Khadijah berada di bahagian paling belakang barisan rombongan yang sedang bergerak.
“Pelik betul majlis ni kan?” soal Zahid kepada Khadijah sambil berjalan mengiringi rombongan.
“Bukan pelik je, jarang-jarang…” balas Khadijah. “Khadijah pun tak pernah pergi majlis orang kaya macam ni…”
“Kita tengok sajalah majlis yang dah nak bermula ni…” kata Zahid.
Apabila menghampiri pintu dewan, rombongan berhenti dahulu. Masing-masing ternyata terpinga-pinga apabila diarahkan berhenti di hadapan pintu dewan. Mereka ternyata tidak biasa dengan majlis yang diaturkan ini. Pada kebiasaannya, rombongan akan terus sahaja masuk ke majlis tanpa perlu menunggu dahulu. Majlis yang berlangsung juga tidak memerlukan ahli rombongan untuk menunggu begitu lama sebelum menyertai majlis. Apabila tiba sahaja, mereka akan terus disambut dan majlis juga serentak dengan itu akan bermula, tidak mengambil kira masa sebenar yang telah ditetapkan. Namun, bagi majlis yang berlangsung di hotel ini, ternyata terlalu mengikut aturan majlis. Sudahlah terpaksa menunggu hampir setengah jam sebelum dibenarkan bergerak menuju ke dewan, kini mereka sekali lagi terpaksa menunggu di hadapan pintu dewan pula.
“Hai, tunggu lagi…” keluh Zahid yang berdiri di sebelah Khadijah.
“Sabar je lah abang. Dah majlis disusun macam ni…” balas Khadijah yang juga nadanya seperti mengeluh.
“Esok kalau majlis abang, semua perkara macam ni tak kan ada,” kata Zahid.
“Tapi abang kenalah pilih calon orang biasa je…” balas Khadijah.
“Betul tu…” balas Zahid. “Orangnya kalau boleh sama orangnya macam Khadijah…” usik Zahid kemudian.
“Kalau Khadijah sendiri pun apa salahnya… tak payah susah-susah nak cari orang yang sama macam Khadijah lagi,” balas Khadijah bergurau.
“Nak ke?” soal Zahid bergurau.
“Patutnya abang yang jawab soalan tu…” gurau Khadijah pula.
Zahid hanya mampu tersenyum sahaja. Dia tahu Khadijah hanya bergurau sahaja akan kata-kata tersebut. Namun jauh di sudut hatinya ternyata tidak dapat disangkal lagi. Seperti yang telah diceritakannya kepada Izham pada masa lalu, dia memang telah mempunyai niat untuk menjadikan Khadijah sebagai isterinya. Namun dirinya tidak pasti akan niatnya itu dan masih lagi keliru terhadap niat itu. Dia masih tertanya-tanya sama ada niat itu benar-benar ikhlas atau hanya sekadar bermain sahaja. Namun pada saat itu, Zahid ternyata senantiasa berdegup kencang jantungnya, menyatakan serta membuktikan bahawa dia tidak lagi seperti dulu apabila bertemu serta berjumpa Khadijah. Perasaan yang dirasainya ternyata berbeza dan tidak dapat dijelaskannya dengan nyata.
“Itu tandanya hang ada jodoh…”
Kata-kata Izham tiba-tiba terngiang-ngiang di telinga Zahid. Perbualannya dengan Izham beberapa hari lalu menerusi telefon diingatinya kembali. Pada waktu itu, Zahid menyatakan kepada Izham bahawa dia mempunyai satu perasaan yang berbeza apabila bertemu Khadijah berbanding sebelum ini. Dia tahu walaupun dia masih menganggap Khadijah sebagai adiknya, namun pada hakikatnya Khadijah bukanlah adik sebenarnya. Khadijah adalah bukan muhrim buat Zahid. Mungkin disebabkan itu hati dan perasaannya boleh berubah menjadi lain.
“Mungkin dulu anggapan hang kat dia seperti abang dengan adik, tapi Allah Maha Berkuasa, Zahid… sekelip mata sahaja perasaan tu boleh berubah jadi lain… jadi seperti pungguk rindukan bulan pula…”
Sekali lagi kata-kata Izham diingatinya. Memang ada kebenaran kata-kata rakannya itu. Tanggapannya terhadap Khadijah kini ternyata bukan lagi seperti dahulu. Perasaan terhadap Khadijah ternyata telah berubah. Namun berat dihatinya untuk mengakui bahawa dia telah mula menyukai Khadijah. Dia cuba menafikan akan hakikat itu.
Zahid memandang Khadijah yang berdiri di sebelah. Dia ternyata tidak pasti perasaannya kini terhadap Khadijah. Memang benar dia berniat untuk memperisterikannya, namun dia masih lagi teragak-agak. Adakah wajah manis di sebelahnya ini akan menjadi teman hidupnya nanti? Persoalan itulah yang bermain di fikirannya ketika ini. Dia hanya tersenyum apabila melihat Khadijah. Khadijah dengan ramah membalas senyuman itu. Namun hakikatnya, Khadijah tidak tahu langsung terhadap apa yang sedang bermain di fikiran Zahid ketika itu.
Setelah beberapa minit menunggu di hadapan pintu dewan, kedengaran pengumuman dibuat mengenai ketibaan rombongan pengantin perempuan di dewan. Selepas pengumuman itulah, barulah mempelai pengantin dan ahli rombongan masuk ke dalam dewan. Ternyata, majlis mengikut aturan yang telah ditetapkan. Mempelai pengantin terus berjalan menuju ke pelamin yang tersergam indah dibina di atas pentas dewan. Pada masa yang sama, paluan kompang masih lagi kedengaran. Selawat puji-pujian ke atas Rasul juga masih lagi mengiringi paluan kompang yang kini bergema di dalam dewan.
Zahid bersama Khadijah pula sementara itu berjalan menuju ke meja makan yang telah disediakan. Mereka duduk semeja di meja yang berlabel ‘Tetamu Biasa’ sementara Sheera dan Yasmin serta Ibu dan Cik Long duduk di meja yang berlabel ‘Keluarga Pengantin Perempuan’. Rakan Khadijah yang juga merupakan adik pengantin lelaki merangkap ibu saudara buat Zahid iaitu Jasmin, turut duduk semeja dengan Zahid. Namun, Jasmin tidak tahu bahawa jejaka yang duduk di hadapannya itu merupakan anak saudara kepada kakak iparnya.
“Dengan ketibaan pengantin, maka diumumkan bahawa majlis dengan ini akan dimulakan,” suara pengacara majlis tiba-tiba kedengaran sebaik sahaja tetamu mengambil tempat di dalam dewan.
“Macam majlis perhimpunan sekolah pulak ye…” kata Zahid berseloroh.
“Kenapa, teringat masa zaman kat MRSM ke?” soal Khadijah tersenyum.
“Mengembalikan nostalgia lampau…” balas Zahid.
Jasmin yang duduk di sebelah Khadijah hanya memerhatikan sahaja gelagat Khadijah dan Zahid. Pada masa yang sama, sepasang suami isteri duduk di meja mereka. Serta-merta perbualan Zahid terhenti.
“Rancak bual nampaknya”
“Eh, ingat ke, tak datang…” balas Zahid. Lelaki yang menegurnya itu ialah Izham yang datang bersama Erma, isterinya.
“Bukan apa, Erma ni bersolek lama sangat…. Tengok muka pun dah macam opera Cina…” usik Izham.
“Wah, kasar guraunya…” kata Erma.
“Alah akak, muka akak dah cun tu…” kata Khadijah pula.
Erma kemudian beralih tempat duduknya. Dia bangun dan duduk kemudian di sebelah Khadijah. Kerusi di antara Khadijah dan Jasmin itu telah diisi oleh Erma.
“Untuk mendapat keberkatan, maka dengan ini majlis menjemput Muhammad Nazir bin Abdul Khairuddin untuk memulakan majlis dengan bacaan doa. Dipersilakan”
Serentak dengan itu, seorang lelaki kemudian berjalan menuju ke pentas untuk membacakan doa. Lelaki itu mempunyai rupa paras yang hampir sama dengan pengantin lelaki. Rupa-rupanya, lelaki itu merupakan abang sulung kepada pengantin lelaki. Beliau sebenarnya baru sahaja tamat pengajiannya di Universiti Al-Azhar di Mesir dan kini bertugas di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sebagai pensyarah. Itulah yang diberitahu Jasmin kepada Khadijah, Zahid, Erma dan Izham sebelum bacaan doa dibaca.
Setelah selesai bacaan doa, pengacara majlis kemudian menjemput Datuk Khairuddin selaku bapa pengantin lelaki merangkap tuan rumah bagi majlis itu untuk memberi sedikit ucapan alu-aluan kepada hadirin majlis. Dengan tenang, Datuk Khairuddin bangun dan berjalan menuju ke pentas.
“Ayah ni bukan suka sangat nak bagi ucapan,” kata Jasmin menjelaskan sifat Datuk Khairuddin, bapanya.
“Oh, macam tu pulak…” balas Khadijah.
Ucapan yang diberikan tidaklah begitu lama. Hanya lima minit sahaja yang digunakan oleh Datuk Khairuddin untuk memberi ucapan. Beliau hanya membaca sahaja teks pada kertas yang dipegangnya. Ucapannya yang ringkas itu kemudian diakhiri dengan serangkap pantun.
“Mendaki gunung ke puncak Tahan,
Tiba di puncak terasa gayat,
Jodoh dan pertemuan kuasa Tuhan,
Moga kekal ke akhir hayat”
Hadirin kemudian memberi tepukan gemuruh sebaik sahaja pantun tersebut selesai dibaca. Datuk Khairuddin hanya tersenyum sejurus selesai memberi ucapan. Dia kemudian melihat pasangan pengantin yang kini duduk di atas pelamin. Dia kemudian tersenyum sendirian.
Sementara itu, mata Zahid tertumpu pada makanan yang telah terhidang di atas meja. Makanan itu telah tersedia sebelum tiba lagi di meja itu. Semua lauk-pauk yang dihidangkan itu ditutup dengan plastik lutsinar mengelakkan daripada terdedah begitu lama sebelum dimakan.
“Wah, sedap nampaknya lauk yang ada ni ya…” kata Zahid.
“Sedap pun bukan boleh makan sekarang… Tengok ajelah dulu…” balas Izham.
“Kan bagus kalau sampai-sampai saja, terus makan…” kata Zahid pula.
“Ni majlis orang… ikut je lah cara diorang…” balas Izham.
Khadijah yang berada di sebelah Zahid tersenyum mendengar perbualan dua sahabat itu. Ternyata masing-masing mengeluh dengan aturcara majlis yang agak janggal buat mereka.
“Abang Izham tu bukan apa, dia tu lapar sangat. Pagi tadi cuma makan dua keping roti je…” kata Erma kepada Khadijah.
“Patutlah semacam je cakap tu…” balas Khadijah.
Setelah selesai sahaja ucapan Datuk Khairuddin, upacara menepung tawar kemudian mengambil alih tempat. Pangacara majlis sebelum itu membuat pengumuman.
“Majlis seterusnya dengan ini akan diteruskan dengan upacara menepung tawar mempelai pengantin. Maka dengan itu dipersilakan ibu bapa pengantin lelaki untuk naik ke pentas bagi memulakan acara,” jemput pengacara majlis.
Datuk Kharuddin bersama isterinya kemudian berjalan menuju ke pentas, menuju ke pelamin yang dihias cantik, diduduki oleh mempelai pengantin. Mereka berdua kemudian merenjis pengantin dengan air mawar sebelum menabur sedikit beras kunyit ke arah pengantin. Sedikit kelucuan timbul apabila Datuk Khairuddin bergurau apabila merenjis dengan banyak air mawar ke muka anak lelakinya itu hingga menyebabkan cermin mata yang dipakainya habis basah terkena air. Selepas itu, barulah Datuk Khairuddin dan isterinya bersalam dan memeluk erat anak lelakinya. Isterinya kemudian bersalam dan memeluk pula pengantin perempuan. Datuk Khairuddin sementara itu hanya bersalam dengan pengantin perempuan. Setelah selesai, mereka berdua diberikan bunga telur yang diberikan oleh seorang kanak-kanak perempuan yang duduk berhampiran pelamin. Terdapat enam kanak-kanak perempuan yang comel-comel belaka menghiasi pentas pelamin bertugas memberikan bunga telur kepada tetamu yang dijemput naik ke atas pentas.
“Kini dipersilakan pula abang dan kakak kepada pengantin perempuan untuk menepung tawar pengantin,” jemput pengacara majlis.
Cik Long kemudian bangun diikuti Ayah yang duduk semeja dengan Ibu. Ayah dan Ibu duduk di meja yang berhampiran dengan meja pengantin, jauh dari meja Zahid dan Khadijah berada. Maka dengan itu, tidaklah mereka tahu akan kehadiran Khadijah yang semeja dengan Zahid.
Ayah memulakan dulu menepung tawar pengantin diikuti oleh Cik Long. Secara sederhana sahaja mereka menrenjis air mawar ke arah pengantin. Setelah selesai, mereka kemudian bersalam dengan pengantin. Selepas itu, barulah mereka turun dari pentas. Serentak dengan itu juga, dua kanak-kanak perempuan memberikan bunga telur kepada Ayah dan Cik Long. Ayah tersenyum sambil menggosok kepala seorang daripada kanak-kanak itu sebagai tanda terima kasih.
Selepas itu, beberapa tetamu lain dijemput naik ke atas bagi meneruskan acara menepung tawar. Tetamu yang dijemput naik tidaklah begitu ramai, hanya terdiri daripada rakan-rakan kedua-dua pengantin serta beberapa ahli keluarga yang lain. Upacara menepung tawar diakhiri oleh Ibu. Namanya merupakan nama yang terakhir dijemput ke pentas. Ibu sedikit terkejut kerana tidak menjangka bahawa dirinya dijemput ke atas.
“Ni mesti kerja Pak Tam, bubuh nama Ibu dalam senarai…” kata Sheera spontan yang duduk semeja dengan Cik Long.
“Pak Tam kamu tu biasalah…” kata Cik Long.
Hadirin kemudian tertumpu ke arah Ibu yang sedang naik ke atas pentas menuju ke pelamin. Wajah ‘Cina’ Ibu ternyata sedikit menarik perhatian hadirin yang ada dalam dewan. Masing-masing tertanya-tanya gerangan orang yang sedang naik menuju ke pelamin itu.
“Siapa orang tu?” soal Jasmin, adik pengantin lelaki sebaik melihat Ibu di atas pentas. “Tak macam Melayu pun…”
“Yang tu mak Zahid ni…” balas Izham sambil jarinya ditunjukkan ke arah Zahid yang duduk di sebelah.
“Oh, jadi tu mak awak yer?” soal Jasmin. Zahid hanya mengangguk tanda mengiakan pertanyaan Jasmin itu.
“Tu mak abang?” soal Khadijah pula.
“Ya…”
“Macam orang Cina ya…” kata Khadijah.
“Ya…”
“Mak Zahid ni orang Cina. Dia masuk Islam…” terang Izham kepada Khadijah dan Jasmin.
“Oh, gitu…” balas Khadijah. Dia ternyata tidak tahu akan latar belakang ibu Zahid.
“Abang Zahid tak pernah cerita kat Khadijah ke?” soal Erma pula.
“Dia tak pernah tanya kat aku pun…” kata Zahid pula sebelum sempat dijawab Khadijah..
“Bukan tak nak tanya. Tapi tak terfikir nak tanya…” balas Khadijah kemudian.
Izham pula kemudian bersuara, “Oh ya, cakap pasal mak hang ni kan, mak hang masuk Islam masa dia belajar dulu ke?”
“Emm lebih tepat masa kat universiti dulu. Masa dia belajar kat UM,” jawab Zahid.
“Jadi, maksudnya, mak hang masuk Islam bukan disebabkan kahwin?” soal Izham.
“Ya… Betul tu. Dia masuk disebebakan keinginan dia sendiri…” balas Zahid.
“Jadi mak hang dah lama masuk Islam, baru dia berkahwin?” soal Izham.
“Senang cerita macam nilah… Ibu aku peluk Islam tanpa ada sebarang niat pun untuk berkahwin dengan mana-mana lelaki Islam. Dia peluk Islam sebab kemahuan dia sendiri. Bila dia dah peluk Islam, dia kenal dengan lebih dalam pasal Islam, barulah dia mempunyai keinginan nak berkahwin…” terang Zahid.
“Dengan ayah abang?” soal Khadijah mencelah. Dia turut mendengar perbualan antara Izham dan Zahid.
“Itulah jodoh…” balas Zahid ringkas sambil tersenyum.
Pada masa yang sama, Ibu baru sahaja selesai menepung tawar pengantin. Dia baru sahaja diberikan bunga telur sebelum turun dari pentas. Khadijah pada masa yang sama melihat kelibat ibu Zahid itu yang sedang berjalan menuju kembali ke meja. Dia melihat Ibu sehingga tidak lagi dapat dilihat dari pandangannya.
“Patut muka abang macam orang Cina…” kata Khadijah. “Sama muka abang dengan mak abang”
“Ya ke?”
Ketika perbualan di meja itu rancak berlangsung antara Khadijah, Zahid, dan Izham serta beberapa ketika dicelah oleh Erma, tiba-tiba seorang wanita muncul di meja itu dan terus duduk di sebelah Jasmin yang hanya membisu sejak tadi mendengar perbualan di meja tersebut.
“Huh, sorry lambat aku datang…” kata wanita itu kepada Jasmin. “Dah makan ke?” soalnya kemudian.
“Tak lagi…” balas Jasmin.
“Fuh, nasib baik sempat…”
Kecuali Jasmin, masing-masing di meja itu berpandangan antara satu sama lain kehairanan dengan kemunculan wanita itu. Ternyata kemunculan tiba-tiba wanita itu telah mengejutkan mereka sehingga menyebabkan perbualan yang rancak itu terhenti.
“Kawan hang ke?” soal Khadijah kepada Jasmin.
“Yup”
Khadijah pula sementara itu kelihatan seperti sedang mengecam wajah wanita yang baru muncul itu. Dia kelihatan seperti mengenali wanita itu. Wanita itu juga turut melihat Khadijah. Dia juga kelihatan seperti cuba mengecam wajah Khadijah itu. Dia kelihatan seolah-olah mengenali Khadijah.
“Err… ni Murni ke?” soal Khadijah spontan keluar dari mulutnya.
“Ya…” balas wanita itu.
“Eh, hang kenal ke kawan aku ni?” soal Jasmin kehairanan.
“Dan yang ni Khadijah?” soal wanita itu.
“Betul… betul…” balas Khadijah tersenyum.
“Ya Allah, dan lama aku tak jumpa hang…” balas wanita itu. Rupa-rupanya wanita itu merupakan rakan lama Khadijah, iaitu Murni. Pada masa yang sama, tangan mereka berdua berjabat.
“Wah, memang aku tak sangka…” kata Khadijah pula dalam nada gembira. Dia kemudian mengalihkan pandangannya ke arah Zahid. “Abang ingat lagi tak Murni?” soalnya kemudian kepada Zahid.
“Murni?”
“Ya, Murni…”
“Murni yang mana pulak ni?” soal Zahid sambil melihat Murni yang duduk di hadapannya.
“Alah Murni… yang belajar kat USM dulu…”
“USM?” soal Zahid. “Ada ke kawan nama Murni?”
“Bukan masa kita buat ijazah dulu, tapi masa kita buat Master dulu…” terang Khadijah.
“Masa kita buat Master dulu?” soal Zahid sambil cuba mengingati wanita yang sedang duduk di hadapannya itu. “Oh… oh…. Murni yang tu…” katanya kemudian sebaik dapat mengecam wanita itu. “Masa tu, dia ni baru je masuk USM buat ijazah…”
“Nilah Abang Zahid…” kata Khadijah kemudian memperkenalkan Zahid kepada Murni.
“Lain sekarang abang ni ya…” kata Murni sambil melihat Zahid yang ternyata berbeza daripada kali terakhir dia berjumpa dengannya beberapa tahun yang lalu.
“Iye ke?” soal Zahid tersenyum.
“Emm, sekarang buat apa?” soal Khadijah pula.
“Sekarang ni tengah duduk atas kerusi…” jawab Murni berseloroh sambil tersenyum.
“Tak berubah… macam dulu juga…” kata Khadijah sebaik mendengar jawapan dari Murni itu. “Loyar buruk tak sudah…”
Sementara itu, mata Izham tidak henti-henti menjeling pada makanan yang terhidang di atas meja. Dia ternyata seperti tidak sabar lagi untuk menjamah makanan tersebut.
“Ish, bila boleh makan ni?” soal Izham.
“Alamak Izham, sabarlah. Orang tak suruh makan lagi, kenalah tunggu…” balas Zahid.
“Dah macam sekolah tadika pulak. Nak makan pun kena tunggu arahan ke?” soal Izham kemudian.
“Dah nak buat macam mana, itu peraturan dalam majlis macam ni…” kata Erma pula menyampuk perbualan Izham dan Zahid.
“Hai…” keluh Izham dan Zahid serentak.
“Maka tibalah ke kemuncak majlis. Majlis akan diteruskan dengan upacara memotong kek,” kata pengacara majlis tiba-tiba.
Serentak dengan itu juga, kedua-dua mempelai pengantin bangun dari pelamin dan kemudian terus berjalan menghampiri kek yang telah dibawa naik ke atas pentas. Kek empat tingkat berwarna putih vanila itu kemudian dipotong bersama-sama menggunakan pisau pemotong kek yang agak panjang. Pisau tersebut ternyata menarik perhatian Izham dan Zahid.
“Wah,… itu pisau ke pedang?” soal Izham berseloroh.
“Agaknya diorang ni tersilap tempah pisau kot…” balas Zahid tersenyum. Khadijah yang duduk di sebelahnya turut tersenyum mendengar kata-katanya.
“Dengan itu, majlis akan diteruskan dengan majlis santapan. Hadirin dengan segala hormatnya dijemput menikmati hidangan yang telah tersedia,” kata pengacara majlis kemudian sebaik selesai sahaja acara memotong kek.
Serentak dengan itu, mempelai pengantin kemudian turun dari pentas dan terus menuju ke meja pengantin yang terletak berhampiran pentas di penjuru kiri dewan. Serentak dengan itu juga, tangan Izham terus mencapai pinggan di atas meja. Dia kemudian terus menyenduk nasi ke pinggannya. Gelagatnya diperhatikan oleh Khadijah dan Zahid. Turut melihat gelagatnya ialah Jasmin dan Murni.
“Hai… nilah Izham…” kata Erma sebaik melihat suaminya itu yang menyenduk nasi dengan pantas.
Bagi meja tempat mereka berada, hidangan dihidang dengan sendiri kerana meja mereka itu merupakan meja yang dilabelkan ‘Tetamu Biasa’. Bagi hadirin yang berada di meja ‘Keluarga Pengantin Perempuan’, mereka akan dilayan oleh seorang pelayan di setiap meja.
Hidangan yang disediakan ternyata menyelerakan buat Izham. Mungkin perutnya yang lapar menyebabkan seleranya pada majis itu lebih tinggi berbanding yang lain. Zahid memerhatikan gelagat rakan karibnya itu sambil tersenyum. Begitu juga Khadijah yang berada disebelahnya turut tersenyum sambil menggelengkan kepalanya. Zahid kemudian memerhatikan Khadijah. Masing-masing kemudian tersenyum antara satu sama lain sebaik melihat gelagat Izham itu.
Zahid kemudian mengambil pinggan di hadapan Khadijah. Dia kemudian menyendukkan nasi ke pinggan tersebut. Setelah dua kali menyenduk nasi Zahid bertanya kepada Khadijah.
“Cukup?”
“Emm okaylah tu…” balas Khadijah. Dia kemudian mengambil pinggan tersebut dari Zahid.
Pada masa yang sama, mata Erma senantiasa mengerling ke arah Zahid dan Khadijah. Dia ternyata dapat melihat dengan jelas keserasian antara Khadijah dan Zahid. Namun dia hanya tersenyum tanpa berkata apa-apa.
Majlis tamat tepat pukul 1.30 petang. Namun hadirin tidak dapat keluar dari dewan sebaik selesai makan. Mereka perlu menunggu pengumuman dari pengacara majlis bagi memberitahu bahawa majlis makan telah tamat. Sebaik diumumkan, barulah hadirin mula bangun dan berjalan keluar dari dewan. Pasangan pengantin kemudian terus menuju ke pintu keluar dewan dan kemudian mengucapkan ribuan terima kasih sambil berjabat tangan sebagai tanda penghargaan kepada semua hadirin yang keluar dari dewan, satu tradisi yang jarang dilihat oleh kebanyakan ahli keluarga pengantin perempuan.
Tamat Ceritera 13
No comments:
Post a Comment