Ceritera 19
Suasana pagi di ruang tamu ketika ini sunyi sepi. Hanya bunyi angin dari kipas sahaja yang dapat didengar ketika ini. Tiada langsung bunyi yang dapat didengari di ruang tamu itu. Suasana menjadi sunyi tiba-tiba sebaik Khadijah menghentikan penceritaannya kepada Murni. Khadijah berhenti berkata menyebabkan cerita yang didengar Murni menjadi tergantung.
“Jadi, apa yang jadi?” soal Murni ingin tahu apabila melihat Khadijah terus membisu.
“Apa, jadi apa?” soal Khadijah kembali.
“Yalah, cerita hang tiba-tiba tergantung, takkan tak ada kesudahannya…”
Khadijah hanya tersenyum sahaja. Dia tahu, Murni memang tertanya-tanya terhadap cerita yang sengaja diberhentikan penceritaannya. Bukan tidak sudi berkongsi kisahnya, namun dia seketika menjadi terkhayal terkenangkan peristiwa lama itu. Itulah sebabnya lidahnya tiba-tiba menjadi kaku seketika.
“Pengkisahannya masih ada,… bukan terhenti,” balas Khadijah setelah sekian lama membisu. “Kisah ni masih panjang…”
“Emm,… jadi, apa yang jadi kat Abang Zahid?” soal Murni. “Bertambah baikkah, atau burukkah?”
“Sebenarnya… lepas apa yang aku cakap tu, tiba-tiba sahaja Abang Zahid tersedar…”
“Tersedar? Serta-merta?”
“Entah, aku sendiri tak tau macam mana abang boleh tersedar. Sebab akukah, atau kebetulan sajakah?.... Entahlah, aku sendiri pun tak pasti sebab yang sebenar yang membuatkan Abang Zahid boleh tersedar kembali…”
“Tapi, yang pasti, hang ada di bilik tu kan? Maknanya hanglah penyebabnya. Mungkin itulah yang dinamakan saling perlu memerlu… kerana sesungguhnya, Khadijah itu kan diciptakan untuk Zahid….” kata Murni mengulangi ayat yang pernah diungkapkan Khadijah terhadap Zahid. Ayat itu baru sahaja diceritakan Khadijah tadi. Khadijah sedikit tersenyum mendengar usikan Murni itu.
“Ibu, Sheera, Yasmin, Ayah,… semuanya gembira bila abang dah sedar kembali. Masing-masing tertanya juga, macam mana dia boleh sedar. Semua tanya kat aku… tapi aku nak jawab apa, aku sendiri pun tak pasti sebabnya…”
“Tapi, aku tak sangka hang boleh berkata-kata begitu depan Abang Zahid. Bermadah bagai pujangga…Sebab setahu aku, sekenal aku, hang ni bukan orang yang macam tu, tambah-tambah kalau nak bercakap dengan lelaki macam Abang Zahid…”
“Sebab masa tu, aku tak fikir pun yang aku akan cakap dengan dia. Masa tu, aku cuma anggap yang aku hanya bercakap sorang-sorang, ibarat cuba nak lepaskan tekanan yang dirasakan. Ya, memang betul tubuhnya ada di depan aku… tapi hakikatnya aku cuma rasa hanya aku sorang saja dalam bilik tu…”
“Ya, tubuh yang kaku kadang kala buat kita rasa bersendirian…”
“Dan itulah keajaibannya… tiba-tiba terus terjaga daripada lena yang panjang…” kata Khadijah. “Sebab tu aku cakap, mungkin Sheeralah yang bantu Abang Zahid untuk sedar kembali….”
“Yang tu aku tak jelas….”
“Ya, kalau tak kerana Sheera jumpa aku, mungkin aku tak fikir dengan serius lagi pasal jawapan ‘soalan’ Abang Zahid tu…” balas Khadijah. “Memang aku akui, selepas saja aku jumpa Sheera, aku seolah-olah macam didesak untuk cari jawapan tu…”
“Harapan Sheera… mungkin itulah sebabnya…” kata Murni. “Harapan Sheera supaya abangnya dapat bahagia itulah mungkin faktor hang jadi begitu…”
“Mungkin…”
“Oh ya, Abang Zahid dengar ke apa yang hang cakap? Yalah, elok saja hang bagi jawapannya, tiba-tiba je dia boleh tersedar…. Macam dia dengar apa yang hang cakap. Macam dia terkejut dengan jawapan tu, terkejut sampai terus tersedar…”
“Entah, aku sendiri pun tak tahu. Sampai sekarang pun aku tak pasti abang dengar atau tidak apa yang aku cakap masa tu. Dia tak pernah sebut pun…” balas Khadijah. “Mungkin dia tahu, atau mungkin tak. Kalau dia tahu, mungkin dia tak mahu ulang balik apa yang aku cakap…sebab itulah Zahid yang semua orang kenal…”
“Perahsia…” kata Murni menyambung kata-kata Khadijah. “Jadi, apa perjalanan cerita selepas tu? Kahwin mungkin?”
“Emm, bukan semudah tu Murni. Soal perkahwinan ni bukannya semudah ya atau tidak dalam memberi jawapan. Bukan hanya dengan akad dan nikahnya sahaja. Tapi melibatkan banyak perkara, dan semua perkara tu harus diambil kira…”
“Aku faham. Bukan semudah pakai dan tukar baju…”
“Tapi kalau kat angkasa lepas, itu sukar kerjanya walau hanya tukar pakaian…” balas Khadijah bergurau.
“Kita ni hidup kat bumilah….” balas Murni tersenyum. Khadijah juga turut tersenyum. “Jadi, bagaimana ceritanya? Dan kemudiannya apa?” soalnya kemudian.
“Dan kemudiannya…. Huh, banyak kalau nak diceritakan…” balas Khadijah. “Macam yang aku cakap kat hang sebelum ni, selepas saja Abang Zahid sedar, dia pulih dengan cepat. Beberapa hari saja lepas tu, dia dah boleh pulang...”
“Jadi, masa tu dia dah tau jawapan yang hang bagi?”
“Macam aku cakap tadi, aku tak pasti. Tapi, aku pernah tanya kat Sheera pasal perkara tu, dan dia sendiri pun cakap yang abangnya tu tak pernah kata apa-apa pun…”
“Mungkin benarlah yang dia tak tahu…”
“Yang tu kenalah tanya sendiri kat Abang Zahid…” kata Khadijah sedikit beremosional.
“Kalaulah masih ada kesempatan…” kata Murni.
“Lepas je dia keluar dari hospital, abang berehat di rumah. Dia tak bekerja lagi. Masa tu, semua keluarganya ada di rumah temankan dia. Ayah dia pun tak balik ke Penang, sama juga dengan Ibu. Cuma Sheera dengan Yasmin saja yang terpaksa pulang,” terang Khadijah. “Dalam seminggu lagi dia bercuti untuk berehat. Ibu dengan Ayah jaga dia dengan baik supaya dapat pulih semula…”
“Hang masa tu macam mana?”
“Hang rasa masa tu aku kat mana?”
“Kat rumah ni lah…Yalah, masa tu aku tak nampak pulak hang ke mana-mana selain dari ke tempat kerja…”
“Hang ni walaupun masa tu hang dah tinggal sekali dengan aku, banyak perkara yang hang tak tau pasal aku…”
“Bukan tak nak ambil tau, cuma tak nak mengganggu perkara peribadi hang… menghormati privacy orang…”
“Tapi sekarang hang nak bertanya pulak…”
“Sebab aku nampak hang sudi nak berkongsi…”
“Aku tak kisah pun kalau hang nak ambil tahu pasal aku…” balas Khadijah.
“Jadi, seterusnya?”
“Emm….. dalam tempoh seminggu itulah, perlahan-lahan Abang Zahid ceritakan pulak niatnya itu kat Ibu. Dia cerita niatnya nak jadikan aku isteri dia…”
“Itu bukan Zahid yang semua orang kenal… yalah, menceritakan perkara sebegitu pada ibu dia, sesuatu yang janggal….”
“Tapi, tak semua orang dapat menjangka tindakan Abang Zahid bukan? Itulah juga Zahid yang semua orang kenal…” balas Khadijah. “Mungkin masa tu, kesihatan dia baru je beransur baik, mungkin sebab tu dia tergerak nak bagitau kat Ibu. Aku pernah juga dengar cerita dari Kak Erma, yang Abang Izham suaminya tu, pernah mintak Zahid bagitau perkara tu kat Ibu…Mungkin dia ikut nasihat Abang Izham…”
“Jadi, reaksi ibunya?”
“Anak sulungnya dah di penghujung 20-an, apa lagi yang nak dikatakan. Ibu tak terkejut pun. Tapi tu tak bermakna dia menjangka perkara sedemikian. Mula-mula bila Zahid cakap perkara tu, dia memang macam tak percaya, tapi lama-lama lepas tu dia boleh terima. Bukan apa, tak ada angin, tak ada hujan, tiba-tiba anaknya bagitau yang dia nak berkahwin dengan seseorang…. Siapalah yang tak akan jadi tak percaya…” terang Khadijah. “Masa tu, Ibu cuma ingat yang abang sekadar bercakap kosong, yalah baru je sihat… tapi perkara yang dia dengar tu memang serius…”
“Ada dia cakap pasal hang?”
“Ikut apa yang Ibu cerita kat aku, abang cuma cakap yang dia dah ada calon isteri…Dia tak sebut pun siapa orangnya. Lepas tu, Ibu cerita kat Ayah. Akhirnya Sheera tau dan kemudiannya Yasmin. Bila dah tau niat abang tu, Ayah cakap elok sajalah kalau pergi merisik calon isteri abang tu…dan kemudian meminang dia…” kata Khadijah tersenyum lebar.
“Tapi, diorang semua tau tak yang ‘calon’ tu hang? Orang yang pertama melawat Zahid di hospital…”
“Cuma Sheera je yang dapat menghidu. Dia memang agak yang akulah orang yang dimaksudkan Abang Zahid. Agaknya memang dia dah jangka lama perkara tu. Mungkin dia dah hidu pasal tu bila kali pertama kali aku jumpa dia kat hospital dulu…”
“Ibunya?”
“Dia tak kisah siapa pun orangnya. Tapi bila dia tau akulah orangnya, dia memang tak menolak, sepenuhnya bersetuju dengan pilihan Abang Zahid…”
“Yalah, orang yang putih melepak macam ni, bakal mak mertua mana yang tak nak tolak… cantik, manis, budi perketinya tinggi…” usik Murni. Khadijah hanya tersenyum dengan usikan itu.
“Tak lama lepas tu, keluarga Abang Zahid berjumpa dengan keluarga aku. Datang nak merisik…”
“Tapi, sekali lagi aku tanya kat hang, Abang Zahid tahu tak yang hang dah terima dia?” soal Murni.
“Aku rasa, mungkin dia tak tau…. Atau mungkin sengaja buat macam tak tau…. Entahlah…”
“Tahu atau tak, semuanya berjalan selepas itu bukan?” balas Murni
“Tapi masa hari aku melawat dia di hospital dulu, aku tak terfikir pun nak bagitau pasal perkara tu. Masa tu, niat aku cuma nak melawat abang je, tak terfikir pun nak bercakap pasal perkara tu… semua yang aku buat masa hari tu di luar perancangan aku….”
“Itulah namanya jodoh… kerana jodoh itu adalah perancangan Allah…”
“Entahlah, tiba-tiba je aku tergerak hati nak bagitau jawapan aku kat Abang Zahid. Terus terang aku cakap, masa aku jejak kaki melawat dia kat hospital, aku masih belum ada lagi jawapan dalam fikiran…. Jawapan yang aku berikan tu betul-betul aku putuskan masa aku bercakap di sebelah dia. Sebelum aku tiba kat hospital, aku tak berniat langsung…”
“Kata hati hang yang putuskan jawapannya….”
“Sebaik aku masuk ke dalam bilik tu, aku rasa macam ada satu tarikan untuk aku menjawab ‘soalan’ Abang Zahid tu. Tiba-tiba bila aku berada dalam bilik tu, aku seolah-olah dah hampir dapat jawapannya… dan perlahan-lahan jawapan yang dicari tu makin jelas bila aku semakin lama berada dalam bilik tu. Setiap kali aku pandang Abang Zahid yang terlantar di atas katil, setiap itu jugalah jawapan tu main menghampiri aku,” terang Khadijah. “Dan semuanya hanya dengan gerak hati, perlahan-lahan aku berbicara sendiri di sebelah dia, dan perlahan-lahan ketika aku berkata itu, tanpa aku merancang untuk mengungkapkannya, aku tanpa sedar menjawab ‘soalan’ Abang Zahid… menerima dan diterima…”
“Jodoh itu seperti satu benda yang ghaib, sukar dilihat apabila kita mencari, tetapi mudah pula diketahui apabila kita berhenti mencari…” kata Murni. “Jadi, kembali pada tadi, apa cerita seterusnya?”
“Selepas satu persatu diaturkan, dari merisik kepada peminangan, dari peminangan kepada pertunangan, sehingglah dari pertunangan kepada lafaz akad nikahnya, semuanya berjalan dengan lancar tanpa sebarang halangan. Semuanya diatur tanpa sebarang masalah. Bolehlah dikatakan urusan yang berjalan adalah sangat mudah,” balas Khadijah tersenyum. “Saat aku mendengar lafaz dari Abang Zahid semasa akad nikah, aku seolah-olah macam tak percaya yang aku dah menjadi isteri kepada dia. Aku tak percaya yang aku dah memikul tanggungjawab sebagai seorang isteri. Malah, saat itu juga Cik Khadijah bertukar menjadi Puan Khadijah. Semuanya berubah sebaik selesai lafaz dari Abang Zahid itu…”
“Sekali atau lebih?”
“Hanya sekali lafaz sahaja… Sesungguhnya macam aku cakap, semuanya berjalan dengan begitu mudah,” balas Khadijah.
“Aku mintak maaf sebab masa tu aku kena balik KL. Masa hang kahwin itu jugalah, abang aku berkahwin. Jadi keutamaan keluarga aku masa tu mengatasi keutamaan hang…”
“Aku faham…”
“Jadi, ceritakan kat aku bagaimana suasananya, sebab gambar hanya sekadar visual sahaja sebab gambar tak mampu bercerita. Aku cuma dapat tengok gambar majlis perkahwinan hang sahaja, tak dapat merasai suasananya…”
“Kalau hang tanya mana-mana pun pasangan yang baru mendirikan rumah tangga, semuanya pasti akan berkata yang hari perkahwinan itu merupakan hari yang cukup indah. Sama jugalah aku, memang aku rasakan hari tu adalah hari yang cukup indah dan sangat bermakna. Tapi semuanya berlangsung dalam kesederhanaan. Tak ada majlis di hotel, tak ada sebarang protokol yang ketat, semuanya berlangsung dengan cara yang biasa. Semuanya bukan macam majlis perkahwinan Mak Lang Abang Zahid. Dia kotakan janji untuk adakan semua majlis tu dengan penuh kesederhanaan, macam janji dia masa aku pergi majlis perkahwinan Mak Lang dia dulu”
“Aku faham semua yang berlangsung masa majlis kahwin hang pasti satu saat yang begitu indah buat hang. Aku dapat bayangkan,” kata Murni setelah mendengar kata-kata Khadijah. “Dan penghujung ceritanya, Cik Khadijah akhirnya menjadi Puan Khadijah, dan En. Zahid pula bukan lagi seorang bujang. Puan Khadijah dan En. Zahid menjadi pasangan suami isteri”
“Tapi, sampai sekarang aku selalu terfikir, rupa-rupanya jodoh aku dah lama ditetapkan. Jodoh aku dah muncul dalam hidup aku sebelum ni. Orang yang dah kenal aku lama itulah jodoh aku. Orang yang sentiasa menjadi kawan aku selama ni, akhirnya merupakan suami aku…”
“Hubungan hang diupgradekan perlahan-lahan. Dari seorang kawan biasa menjadi kawan rapat. Lepas tu perlahan-lahan hang menjadi adik angkatnya, dan akhirnya dia menjadi suami hang. Hubungan hang dengan Abang Zahid mengalami suatu proses perkembangan…”
“Tapi, kalaulah bahagia itu tidak dipinjamkan untuk seketika, kalaulah aku dapat menikmati dengan lebih lama…” kata Khadijah. Wajahnya menjadi sedikit muram.
Murni hanya membisu. Dia tidak dapat memberi sebarang respon dengan kata-kata Khadijah. Wajah muram Khadijah itu sedikit sebanyak menyebabkan Murni menjadi kelu lidahnya. Dia tidak tahu apa yang perlu diperkatakan terhadap kenyataan rakannya itu.
* * *
“Dia menciptakan kamu dari satu diri, lalu diadakan isterinya dari bangsanya juga. Dan diadakan-Nya untuk kamu binatang ternak, delapan macam. Kamu diciptakan-Nya dalam rahim ibumu, dari satu tingkat ciptaan kepada tingkat ciptaan yang lain, dalam tiga kegelapan. Itulah Allah, Tuhanmu yang mempunyai segala kekuasaan, tiada Tuhan selain Dia. Ke mana kamu akan diputar?”
(Surah Az-Zumar, ayat 6)
Kedinginan malam jelas dapat dirasai. Hujan yang turun dengan lebatnya pada sebelah petang telah mendinginkan suhu malam. Hujan yang turun lebat pada waktu petang telah menghilangkan awan-awan yang selalunya berarak. Malam itu langit begitu cerah tanpa dilindungi sebarang awan. Maka dengan jelas dapat dilihat cahaya bulan purnama di langit. Cahaya purnama menerangi kegelapan malam itu. Kedinginan yang dirasai pada waktu malam ini namun tidak pula menghalang buat Zahid untuk duduk di buaian sambil melihat langit yang begitu cerah. Selalunya pada kebiasaannya, dia akan bersendirian duduk di buaian itu, namun tidak kali ini. Khadijah juga turut duduk di sisinya menemani Zahid. Mereka berdua menikmati keindahan malam itu.
“Cantik bulan tu, cukup terang cahayanya tapi tak pula sampai menyilaukan mata memandang. Ciptaan Allah Maha Hebat…” kata Zahid sambil memandang ke langit.
“Bulan penuh macam ni banyak signifikannya kan abang?” soal Khadijah yang berada di sebelah.
“Ya..”
“Siapa yang akan lupakan malam dilamar oleh seorang lelaki, pada malam cahaya bulan penuh…” kata Khadijah tersenyum.
“Pada malam Jumaat, di bawah bulan purnama, seorang lelaki akhirnya cuba melamar…” kata Zahid berseloroh cuba meniru nada percakapan Tan Sri P. Ramlee dalam filem Seniman Bujang Lapok.
“Nasib baik hari tak hujan, kalau tak, tunggu punya tunggu punya tunggu, bulan tak muncul-muncul. Di bawah lampu minyak tanah pulak nanti melamar…” seloroh Khadijah pula.
“Itu kisah lama…” kata Zahid. “Dan sekarang semuanya dah terjawab. Khadijah pun dah jadi isteri abang. Setahun yang lalu, tak pernah terfikir abang, semua ni akan berlaku. Tak pernah terlintas abang nak jadikan Khadijah isteri abang”
“Khadijah lagilah tak terlintas di fikiran. Tapi, itulah,.. semuanya dah tertulis…”
“Abang bersyukur sangat sebab Khadijah dapat terima abang. Abang nak ucapkan banyak-banyak terima kasih kat Khadijah, sebab dapat buat abang rasa lapang sangat… tenang… bahagia…”
“Khadijah ikhlas….”
“Terima kasih…” kata Zahid. “Abang rasa senang sekarang… Dan abang harap itu jugalah yang Khadijah rasa. Khadijahlah pilihan abang…. Dan pilihan tu dimakbulkan…”
“Khadijah bersyukur jugak, sebab mendapat suami yang baik… dan sebab Khadijah juga dah buat satu keputusan yang tak salah…”
Masing-masing kemudian membisu. Tiada lagi kata-kata cuba diungkapkan masing-masing. Khadijah dan Zahid menjadi senyap seketika. Mungkin tidak tahu perkara yang boleh dibualkan. Masing-masing melihat ke langit, menikmati terang cahaya bulan. Mungkin itu jugalah menyebabkan mereka tidak lagi berbual, cuba menikmati keindahan malam dengan setenangnya. Mata masing-masing terus melihat ke arah bulan tanpa mempedulikan persekitaran. Dan kebisuan itu ternyata agak lama.
Perlahan-lahan jari-jemari Zahid merapati tangan Khadijah. Khadijah tidak menyedari akan hal itu. Jemari itu perlahan-lahan menyentuh tapak tangan Khadijah. Sentuhan itu disedari Khadijah lantas dia memberikan respon. Jemarinya juga mula bergerak. Perlahan-lahan, tapak tangan Zahid merapati tapak tangan Khadijah. Sentuhan tapak tangan itu akhirnya diikuti dengan genggaman erat antara satu sama lain. Khadijah mengalihkan pandangannya yang selama ini ditumpukan ke arah langit malam. Dia melihat Zahid yang duduk di sisinya. Zahid pula masih terus melihat ke arah langit.
“Cahaya bulan amat bermakna buat Ibu…Setiap kali dia melihat, dia pasti akan terkenang rasa bahagianya…. Saat manisnya… ” kata Zahid. “Abang juga macam tu. Ada banyak cerita setiap kali abang lihat cahaya bulan… banyak kenangan lama…. Dan salah satunya,… Khadijah. Abang tak lupa apa yang abang lakukan pada waktu tu…Sebab dari saat itulah, satu persatu persoalan terjawab. Tapi abang yakin, abang juga tak lupa malam ni, sebab setiap persoalan yang abang cari selama ni dah terjawab. Mungkin abang tak ada kesempatan nak lihat lagi keindahan malam macam ni….Tapi abang takkan lupa sebab malam ni abang lihat keindahannya dengan Khadijah….” kata Zahid. Khadijah tidak bersuara. Dia hanya terus mendengar kata-kata suaminya itu. “Abang harap, Khadijah dapat berdiri dengan sendiri,… mampu bergantung pada keyakinan diri dan tak banyak bergantung pada orang lain,…. Sebab mungkin Khadijah perlu jadi begitu satu hari nanti. Tak selamanya abang akan ada dengan Khadijah…..Abang nak Khadijah jadi kuat dan cukup tabah. Ada pendirian sendiri yang kukuh dan tak mudah terikut-ikut dengan cara orang lain… dan abang yakin Khadijah mampu jadi begitu. Jadilah ibu yang baik, jadilah wanita yang baik. Walaupun abang mungkin tak dapat lihat semua tu suatu hari nanti…”
Kata-kata itu memberi reaksi yang mendalam buat Khadijah. Dia tahu, kata-kata Zahid itu bukan sekadar kata-kata kosong. Harapan yang diberikan Zahid ternyata sungguh besar. Tangannya kemudian perlahan-lahan diletakkan di atas riba Zahid. Pandangan Zahid kemudian beralih melihat Khadijah setelah lama merenung ke arah langit.
“Insyaallah, Khadijah akan cuba jadi yang terbaik untuk abang…”
Zahid tersenyum. Tangannya yang mengenggam tangan Khadijah kemudian ditarik sambil terus digenggam tangan isterinya itu. Dia kemudian mencium tangan isterinya itu. Khadijah hanya tersenyum manis dengan reaksi Zahid itu. Dia tahu, saat itu hati suaminya pasti sangat bahagia.
“Malam dah makin dingin. Tak elok abang lama-lama kat sini. Nanti abang sakit balik….” kata Khadijah sebaik Zahid melepaskan tangannya yang dicium tadi.
“Ya, memang makin sejuk…”
Malam itu merupakan malam pertengahan Ramadhan. Itulah Ramadhan pertama Khadijah sebagai seorang isteri. Itulah juga Ramadhan pertama Zahid sebagai seorang suami. Seperti hari-hari yang lain, Khadijah sejak bergelar isteri kepada Zahid akan memastikan bahawa suaminya itu berada dalam keadaan yang sihat. Itulah janjinya terhadap Sheera beberapa hari sebelum dia berkahwin dengan Zahid.
Malam itu Zahid lena dengan begitu cepat. Tidak ada perkara lain yang dapat mengganggu tidurnya. Tidurnya pada malam itu sungguh nyenyak. Mungkin itu juga merupakan tidurnya yang paling nyenyak. Malam itu, Khadijah pula seperti tidak dapat melelapkan mata. Dia seolah-olah merasakan sesuatu yang tidak kena namun tidak tahu apa sebabnya. Lantas dia mengambil wuduk dan selepas itu membuka kitab suci al-Quran, membaca dengan harapan hatinya yang tiba-tiba menjadi resah dapat dilapangkan kembali. Agak lama Khadijah membaca al-Quran sehingga tidak menyedari malam semakin lewat. Dia terus membaca sehingga hatinya itu benar-benar dapat merasakan ketenangan.
Setelah begitu lama membaca, Khadijah akhirnya menamatkan bacaannya. Dia kemudian meletakkan al-Quran yang dibacanya itu di atas meja kerja yang dipenuhi dengan fail-fail kerja Zahid. Hanya terdapat sedikit sahaja fail-fail kerja miliknya di atas meja itu. Dia kemudian mengambil salah satu fail milik suaminya itu. Tanpa diduga, tiba-tiba sehelai kertas jatuh ke atas lantai. Khadijah kemudian mengambil kembali kertas tersebut. Dia kemudian melihat kertas itu. Dan dia terkejut kerana kertas yang jatuh itu merupakan sebuah potret lukisan dirinya. Itulah potret lukisan yang dilukis Zahid. Khadijah lantas memandang Zahid yang telah tidur lena. Dia tidak menyangka suaminya itu melukis potret dirinya. Potret itulah yang sebenarnya telah mencetuskan hati Zahid untuk menjadikan Khadijah sebagai isterinya. Namun hakikat itu tidak diketahui oleh Khadijah. Khadijah meletakkan kembali potret itu di atas meja sambil hatinya berasa kagum apabila melihat potret lukisannya itu. Zahid ternyata begitu berbakat.
“Sesungguhnya Tuhan engkau itu mengetahui, bahawa engkau berdiri (mengerjakan solat) kurang dari dua pertiga malam, (ada juga) seperdua malam dan sepertiganya, dan (begitu pula) orang-orang yang bersama-sama dengan engkau. Allah mengadakan ukuran malam dan siang. Dia mengetahui, bahawa kamu tiada sanggup menghitungnya dengan pasti. Kerana itu Allah memberikan rahmat kepadamu. Dan bacalah Quran, mana yang mudah bagimu. Dia mengetahui bahawa di antara kamu ada beberapa orang yang sakit, ada yang sedang berjalan di muka bumi untuk mencari kurnia Allah (rezeki) dan yang lain sedang berperang di jalan Allah. Sebab itu bacalah Quran, mana yang mudah bagimu. Dan dirikanlah solat, bayarkanlah zakat dan berikanlah pinjaman kepada Allah dengan pinjaman yang baik. Dan setiap perbuatan yang baik yang kamu kirimkan lebih dahulu untuk dirimu, nanti akan kamu dapati di sisi Allah lebih baik dan lebih besar pahala-pahalanya. Dan mohonkanlah ampunan kepada Allah; sesungguhnya Allah itu Maha Pengampun dan Penyayang”
(Surah Al-Muzzammil, ayat 20)
Malam itu juga, tepat pukul 2.45 pagi, Zahid bangun dari tidurnya. Seperti malam-malam lain, dia mudah untuk bangun. Zahid bangun untuk mendirikan solat sunat. Itulah yang telah menjadi amalannya setiap malam. Amalan sunat ini telah menjadi kebiasaan buat dirinya. Tambah membuatkan dirinya bersemangat untuk bangun adalah kerana kini dia berada dalam bulan Ramadhan.
Zahid terus menuju ke bilik air untuk mengambil wuduk. Dengan cermat dan penuh tertib, air diratakan keseluruh mukanya. Selepas itu, satu persatu anggota diratakan air. Selepas selesai berwuduk, maka Zahid kemudian menadah tangan untuk berdoa. Dengan hati yang penuh ketenangan, dia keluar dari bilik air dan terus mencapai sejadah. Sejadah itu kemudian dihamparkan. Zahid kemudian mula mendirikan solat sunat. Solat sunat tahajud dimulakannya dahulu diikuti dengan solat-solat sunat yang lain. Solat sunat tasbih kemudian didirikannya. Solat sunat ini didirikan bertujuan untuk membersihkan hatinya yang mungkin telah kotor selain untuk mendapatkan keredhaan Allah. Penuh kusyuk dan tawaduk, Zahid mendirikan solat sunat itu.
Kedinginan malam yang dirasai tidak langsung menggangu kelancaran ibadah Zahid pada malam itu. Walaupun ada ketikanya Zahid bersin, namun itu langsung tidak membuatkan Zahid menjadi semakin lemah. Suasana yang sunyi sepi menambahkan lagi kekusyukan dirinya. Pada waktu ini, dia merasakan dirinya itu begitu dekat dengan Allah. Dan malam itu ternyata buat dirinya begitu berbeza berbnding malam-malam sebelum ini. Sukar untuk digambarkan betapa nikmatnya ketika ini dia menjalankan ibadah sunat itu terutamanya malam itu merupakan malam Ramadhan.
Zahid kemudian mendirikan pula solat sunat taubat. Setelah selesai solat sunat itu, dia beristighfar. Begitu lama dia beristighfar dan pada masa yang sama tanpa disedarinya, dia menitiskan air matanya. Dia ketika ini merasakan begitu sayu sekali. Dia merasakan begitu kerdilnya dirinya. Dia merasa begitu takut terhadap dosa-dosa ang telah dilakukannya. Dia mengharapkan agar Allah mengampuni dosanya itu. Itulah pertama kalinya Zahid menitiskan air matanya selepas medirikan solat sunat taubat. Dan selepas itu dia menadah tangan untuk berdoa. Ketika berdoa ini, sekali lagi Zahid menitiskan air matanya. Ternyata, malam ini adalah sesuatu yang begitu berbeza buat dirinya. Belum pernah dia merasakan kesayuan sebegitu.
Selepas selesai mendirikan solat sunat, Zahid terus mengambil al-Quran. Dia mengambil al-Quran yang terdapat di atas meja kerjanya. Al-Quran itu jugalah yang dibaca Khadijah sebelum ini. Kini Zahid pula yang membaca kitab itu. Kitab suci al-Quran itu begitu signifikan kerana kitab itulah yang menjadi hantarannya kepada Khadijah sewaktu majlis perkahwinan dulu. Dengan tenang kemudian dia membaca al-Quran itu. Bacaannya itu dibaca dengan tidak begitu kuat, supaya isterinya yang sedang tidur tidak terjaga. Pembacaan Zahid ternyata begitu lama pada malam itu. Pada malam itu dia merasakan seperti tidak mahu meninggalkan kitab suci itu. Mungkin itulah sebabnya Zahid membaca al-Quran dengan lebih lama daripada kebiasaannya.
Setelah hampir satu jam dia membaca, akhirnya di berhenti. Dengan cermat dia kemudian meletakkan kembali al-Quran itu di tempat asalnya iaitu di atas meja kerjanya. Zahid kemudian kembali duduk di atas sejadah. Malam itu Zahid mengelamum seketika. Dia seperti mengenangkan peristiwa-peristiwa lalu. Setelah lama mengelamum, dia melihat Khadijah yang sedang tidur nyenyak. Perlahan-lahan kemudian dia bangun dan menghampiri isterinya itu. Dia merenung Khadijah dengan begitu lama. Wajah Khadijah yang sedang nyenyak tidur ternyata kelihatan begitu manis. Sedikit senyuman terukir pada wajah Zahid. Kecantikan isterinya itu tidak dapat dibandingkan dengan mana-mana wanita bagi dirinya. Itulah kebesaran Allah yang mampu menciptakan ciptaan yang begitu sempurna seperti Khadijah. Dia memang sangat bersyukur kerana mandapat jodoh seperti Khadijah.
Perlahan-lahan tangannya kemudian menyentuh pipi Khadijah. Dia kemudian mengusap perlahan-lahan pipi isterinya itu. Perlahan-lahan juga dia kemudian mengusap-usap pula bahagian atas dahi Khadijah. Dia kemudian mencium dahi isterinya itu dengan begitu lama seolah-olah seperti dirinya akan berpisah dengan Khadijah. Itulah perasaan yang dirasainya pada ketika itu. Selepas itu dia kemudian merenung kembali Khadijah. Begitu lama renungannya. Dia seperti tidak mahu melepaskan pandangannya terhadap isterinya itu seolah-olah seperti tidak mempunyai peluang lagi untuk berbuat demikian.
Zahid kemudian kembali ke hamparan sejadah. Dia kemudian duduk dan selepas itu mula bertasbih dan berzikir menanti waktu untuk bersahur. Tasbihnya itu dilakukan dengan penuh kekusyukan dan ketenangan. Dia terus bertasbih dan berzikir tanpa mempedulikan persekitarannya.
Tepat jam 4.15 pagi, jam pada telefon milik Khadijah berbunyi mengejutkan Khadijah dari tidurnya. Seperti awal pagi Ramadhan yang lain, dia bangun awal untuk menyediakan hidangan sahur, membantu Ibu. Setiap awal pagi, dia dan Ibu akan menyediakan hidangan sahur. Setelah selesai menyediakan hidangan barulah dia mengejutkan Zahid untuk bangun bersahur.
Sebaik dia terjaga dari tidur, Khadijah mendapati Zahid tidak berada di sebelahnya. Dia mendapati suaminya itu berada di bawah sedang tidur di atas hamparan tikar sejadah. Khadijah tersenyum melihat Zahid. Mungkin Zahid bangun untuk solat di tengah malam sebelum kembali tidur. Dia langsung tidak cuba untuk mengejutkan Zahid. Baginya, biarlah suaminya itu menikmati sedikit lagi waktu untuk tidur sebelum dirinya mengejutkannya. Khadijah terus turun menuju ke dapur. Di dapur, Ibu telah sibuk memasak hidangan sahur. Kemunculan Khadijah di dapur hanyalah sebagai untuk membantu sahaja Ibu. Sheera dan Yamin pula sementara itu masih lagi tidur. Memang dua beranak itu agak sukar untuk membantu Ibu di dapur pada awal-awal pagi ini.
Setelah tiga puluh minit berlalu, Khadijah kembali naik ke bilik. Dia akan mengejutkan Zahid untuk bangun sahur. Setibanya di bilik, dia melihat Zahid masih tidur lagi, dan kedudukan Zahid tidur masih juga tidak berubah sama seperti sebelum dia turun ke dapur. Perlahan-lahan dia mengahampiri Zahid.
“Abang, bangun abang… sahur dah ni…” kata Khadijah mengejutkan Zahid. Namun tiada sebarang respon dari Zahid. Dia masih terus kaku. Khadijah kemudian meletakkan tangannya di atas bahu Zahid. Dia kemudian menepuk-menepuk pula bahu Zahid itu. “Abang jom sahur…. Dah lewat ni… Bangun abang…” sekali lagi Khadijah cuba mengejutkan Zahid sambil kali ini tangannya menepuk-nepuk bahu Zahid. Seperti sebelum ini, Zahid masih juga tidak memberikan respon. “Abang, letih sangat ke, tak terjaga langsung ni… cepat abang bangun, nanti tak sempat sahur…” kata Khadijah sedikit tersenyum. “Abang, bangun….” kata Khadijah namun kali ini dalam nada yang sedikit manja. Namun segala usahanya untuk mengejutkan Zahid masih tidak berjaya. Lantas dia kemudian pula menyentuh tangan Zahid. Dan serentak dengan itu air mukanya tiba-tiba berubah. Tapak tangan suaminya itu dirasakan begitu sejuk. Tidak pernah dia merasakan sesejuk itu tangan Zahid. Dia lantas menyentuh pula dahi Zahid. Keadaan yang sama turut dirasai di dahi Zahid. Sejuk yang sama dirasainya. Air muka Khadijah mula semakin berubah. Kerisauan mula timbul dalam dirinya. Dia lantas cuba menggoncangkan tubuh Zahid dengan harapan dapat mengejutkan suaminya itu. “Abang, bangun abang. Jangan buat Khadijah risau ni…. Bangun abang…” kata Khadijah dalam nada yang mula cemas. Dia terus cuba mengejutkan Zahid namun ternyata masih juga sama keadaan Zahid. Khadijah semakin cemas. Dia kemudian terus mengangkat tubuh Zahid dan kemudian memangkunya. Sekali lagi dia cuba mengejutkan Zahid dan nada suaranya kali lebih cemas berbanding sebelumnya. Walaupun Zahid kini berada dalam ribaannya, Zahid masih terus kaku tanpa sebarang respon.
Nada suara Khadijah mula semakin sebak tenggelam dalam kerisauan melihat keadaan suaminya yang masih terus kaku. Dia terus menggoncangkan tubuh suaminya untuk mengejutkannya. Dia terus memanggil Zahid dengan harapan suaminya itu terjaga. Namun semuanya menjadi hampa buat Khadijah.
“Ibu! Ayah!..... Ibu!... Ibu!... Abang ni….” jerit Khadijah kemudian memanggil Ibu dan Ayah. Nadanya kali ini tidak dapat dikawal lagi. Dia ternyata benar-benar risau. “Ibu! Ayah!... Ibu!.... abang, Ibu!....abang…..” jerit Khadijah lagi.
Ibu dan ayah bergegas menuju ke bilik selepas mendengar jeritan Khadijah itu. Sheera dan Yasmin pula muncul beberapa ketika kemudian selepas Ibu dan Ayah tiba di bilik. Mata masing-masing tertumpu pada Zahid yang berada di atas pangkuan Khadijah. Zahid kelihatan begitu kaku. Masing-masing terkejut dengan keadaan itu.
“Abang… dia tak bangun…” kata Khadijah dalam nada sebak.
Ayah kemudian menghampiri Zahid. Dengan tenang dia menyentuh tapak tangan Zahid. Dirasakan sejuk tapak tangan anaknya itu. Selepas itu dia kemudian menyentuh hidung Zahid. Sedikit nafas pun tidak dapat dirasai ayah sebaik menyentuh hidung Zahid. Dia kemudian menyentuh dada Zahid. Dada anaknya itu terasa kaku tanpa sebarang pergerakan. Tiada sebarang pergerakan dapat dirasai pada dada Zahid. Ayah kemudian menyentuh pula nadi pada pergelangan tangan Zahid. Dengan tenang dia cuba merasakan denyutan nadi di situ. Namun, tiada sebarang denyutan dirasai ayah, sebaliknya hanya merasakan kesejukan pada tangan anaknya itu. Ayah mengulangi tindakan itu berkali-kali dan keadaan masih juga sama. Lantas ayah kemudian bangun dan mengampiri Ibu yang berdiri di sisi pintu.
“Dia dah tak ada…” kata Ayah dengan tenang namun sedikit sebak.
Serentak dengan dengan itu terus kedengaran tangisan dari Khadijah. Kata-kata Ayah itu ternyata sukar untuk diterima Khadijah. Ibu juga turut merasakan kesedihan yang sama. Air matanya menitis sebelum kedengaran sedikit tangisannya. Tangisan Khadijah masih terus kedengaran dan berterusan. Dia tidak dapat menerima hakikat yang sebenar. Dia terus memeluk erat Zahid. Pelukan itu langsung tidak dilepaskannya. Begitu lama dia memeluk suaminya itu. Keadaan menjadi semakin sayu. Yasmin dan Sheera juga seperti tidak percaya dengan apa yang berlaku. Rasa mengantuk yang dirasai mereka langsung terus hilang. Mereka kemudian menghampiri Khadijah yang menangis kesedihan. Mereka cuba menenangkan Khadijah. Selera untuk menikmati hidangan sahur telah hilang. Sahur pagi itu hanya diisi dengan tangisan Khadijah, Ibu, Sheera, dan Yasmin. Hidangan sahur terbiar sahaja di atas meja di dapur. Awal pagi itu merupakan satu pagi yang pasti tidak akan dilupakan mereka semua.
Tamat Ceritera 19
No comments:
Post a Comment