Ceritera 17
“Kadang kala, soal hati dan perasaan adalah sesuatu yang sukar untuk diluahkan kepada seseorang. Lumrah hidup dunia, perasaan cinta itu memang wujud dalam setiap individu itu. Bezanya, cara mereka menjelmakan perasaan cinta itu sudah pasti dengan cara yang tersendiri. Ibarat kapal laut belayar menuju ke satu destinasi, terpulanglah kepada nakhodanya untuk menentukan arah perjalanan, yang pasti destinasi yang sama akan mereka tujui. Dan apabila hati itu telah bertaut pada seseorang, maka luahkanlah, itulah cara sebaik-baiknya sebagai seorang manusia yang matang. Sesungguhnya, soal sihat dan sakit itu bukanlah sesuatu yang pasti diketahui oleh manusia. Allah sahajalah yang menentukan kesemua nasib hambanya. Maka, selagi ada kesempatan, selagi nyawa masih di badan, selagi nafas masih kedengaran, maka luahkanlah, selagi ada masa yang diperlukan”
Khadijah menutup kembali buku yang dibacanya seketika. Buku yang ditulis Zahid itu diletakkan di atas ribanya. Matanya kemudian melihat gambar Zahid yang diletakkan di atas kabinet televisyen di ruang tamu. Gambar itu diambil ketika Zahid selesai sesi konvokesyen di USM. Sebenarnya gambar itu merupakan pemberian Zahid kepadanya. Apabila dia berpindah dari rumah itu, dia masih membiarkan gambar itu di situ. Dahulu dia dan Murni tinggal serumah di rumah itu.
Murni muncul dari dapur dan terus duduk di sebelah Khadijah. Dia tahu rakannya itu sedang mengelamun sambil melihat gambar Zahid itu. Pada masa yang sama juga, matanya menjeling ke arah buku yang berada di atas riba Khadijah.
“Hang dah nak habis baca ke?” soal Murni.
“Hampir-hampir… tiba di penghujungnya….” balas Khadijah.
“Jadi, aku akan baca tak lama lagi?” soal Murni.
“Ya, pasti…insyaallah…”
“Oh ya, cakap pasal Abang Zahid ni…” kata Murni sambil melihat gambar Zahid di atas kabinet itu. “Dia masa masuk hospital dulu, serius ke sakit dia? Yalah, hang sorang je yang tau hal sebenar Abang Zahid masa tu…” soal Murni.
“Emm… boleh kata agak serius jugaklah sakit Abang Zahid masa tu. Kalau tak, tak mungkin sampai kena masuk hospital….” balas Khadijah. “Dia tak sedarkan diri masa mula-mula masuk hospital masa tu…Kalau hang tengok, memang hang takkan percaya yang Abang Zahid sakit masa tu… tak pernah diduga…” katanya lagi. “Tapi abang tak lama kat hospital, tak sampai seminggu dia dah dapat keluar…”
“Begitu cepat?” soal Murni kehairanan. “Ajaib..”
“Ya, memang satu keajaiban. Abang Zahid sembuh dengan cepat…” kata Khadijah. “Semua orang tak sangka masa tu…”
“Dan apakah keajaiban yang menyembuhkan Abang Zahid dengan cepat tu?” soal Murni.
“Entah, aku tak pasti. Tapi aku rasa, mungkin Sheera yang memulakan keajaiban tu…”
“Sheera?”
“Ya, Sheera… adik Abang Zahid,” balas Khadijah.
“Sheera? Adik Abang Zahid? Tapi kenapa?” soal Murni kehairanan. Namun pertanyaan itu tidak dijawab sebaliknya hanya dibalas dengan senyuman di wajah Khadijah. Khadijah kemudian selepas itu menyambung kembali pembacaannya.
* * *
Sheera kini sedang duduk di sofa. Sudah hampir sejam dia duduk di situ menanti ketibaan Ibu dan Yasmin. Ayah sementara itu kini sedang bersarapan di pusat bandar. Maka tinggallah dirinya berseorangan di kerusi itu. Suasana pagi di luar wad itu ternyata tidaklah begitu sibuk. Hal ini menyebabkan dia menjadi sedikit bosan. Untuk menghilangkan sedikit kebosanan itu, dia mengeluarkan telefon bimbitnya. Permainan yang terdapat di dalam telefon bimbitnya itu dimainnya untuk menghilangkan kebosanan. Dia dengan sabar masih terus menanti ketibaan Yasmin dan Ibu di situ.
Ibu dan Yasmin pulang ke rumah untuk mengemaskan diri setelah semalaman berada di hospital. Malam semalam merupakan satu malam yang begitu meletihkan buat mereka semua. Malam semalam juga merupakan keadaan yang paling mencemaskan yang pernah dihadapi mereka. Sheera telah pulang lebih awal ke rumah sebelum Ibu dan Yasmin. Maka disebabkan itu jugalah, dia kini berseorangan di wad itu. Namun yang pasti, masing-masing akan memastikan bahawa akan ada orang yang berada di wad itu.
Tidak lama selepas itu, Yasmin muncul dan terus duduk di sebelah Sheera. Akhirnya setelah sekian lama menunggu, Yasmin telah muncul. Tidak lama selepas itu, Ibu pula tiba di wad itu. Ibu dan Yasmin kelihatan lebih segar berbanding sebelum pulang tadi. Kelesuan tidak lagi kelihatan pada wajah dua beranak itu.
“Lama nampaknya…” kata Sheera kepada Yasmin.
“Nak segarkan badan, kenalah ambil masa yang cukup…” balas Yasmin. Ibu sementara itu terus masuk ke dalam wad meninggalkan Yasmin dan Sheera yang duduk di kerusi itu.
“Ke tidur…” usik Sheera.
“Pun… betul, pun betul…” balas Yasmin tersenyum. “Abang macam mana?” soal Yasmin.
“Nak macam mana lagi. Macam tulah dia…” balas Sheera.
“Emm…” Yasmin serentak dengan itu mengeluarkan telefon bimbit dari tas tangannya. Tas tangan berwarna hijau itu adalah pemberian abangnya dua tahun lalu semasa ulang tahun kelahirannya. Tas tangan itu memang cukup disayangi Yasmin. “Ni handset abang…” katanya sambil menyerahkan kepada kakaknya itu.
“Adik dapat mana ni?” soal Sheera sambil mengambil telefon bimbit itu.
“Tadi, ibu singgah jap kat kereta abang yang tersadai tepi jalan tu. Ibu terjumpa telefon ni…” balas Yasmin.
“Kereta abang?” soal Sheera ingin tahu.
“Ayah dah uruskan…”
“Eh, bukan Ayah pi sarapan ke?” soal Sheera.
“Siapa cakap?”
“Patutlah ayah tak muncul-muncul lagi…”
“Emm… akak ambillah telefon tu. Yalah, mana tau kot berguna kat kakak…” kata Yasmin.
“Oh… ya…” balas Sheera. “Terima kasih…”
Serentak dengan itu, Sheera cuba menghidupkan telefon bimbit itu. Dia bernasib baik apabila telefon itu dapat dihidupkan. Tambah bernasib baik, telefon abangnya itu tidak memerlukan nombor pin untuk dibuka.
“Ni, boleh buka… kata bateri dah habis…” kata Sheera kepada Yasmin.
“Memang dah habis pun masa adik ambil tadi,” balas Yasmin. “Tapi adik charge masa balik rumah tadi…”
“Oh, gitu…”
Yasmin kemudian bangun meninggalkan Sheera yang masih duduk di kerusi itu. Dia terus menuju masuk ke dalam wad untuk melihat keadaan Zahid. Sebaik Yasmin masuk ke dalam wad, sedikit senyuman terukir di wajah Sheera. Dia ternyata tidak faham sebab adiknya itu menyerahkan telefon bimbit Zahid kepadanya.
“Kenapalah dia nak bagi kat aku? Pelik betul…” monolog Sheera sendirian.
Peluang yang diperoleh Sheera nyata tidak akan disia-siakannya. Bukan mudah untuk dirinya menyentuh telefon bimbit milik abangnya itu. Itulah barang milik Zahid yang paling peribadi. Tidak pernah sesiapa pun yang pernah menyentuh telefon itu melainkan Zahid seorang sahaja. Malah telefon bimbit itu lebih peribadi berbanding diarinya. Oleh itu, sifat ingin tahu dalam diri Sheera membuatkan dirinya mahu untuk melihat segala kandungan yang terdapat dalam telefon itu.
Sebaik telefon itu dihidupkan, dia terus membuka fail buku telefon dalam telefon bimbit itu. Dia ternyata ingin tahu nama-nama kenalan abangnya yang terdapat dalam senarai itu. Daripada keseluruhan nama yang dilihatnya, hanya beberapa nama sahaja yang diketahuinya. Salah satu nama yang diketahuinya ialah Izham, rakan baik abangnya. Tidak terkecuali, nama Erma juga turut dilihatnya yang dikenalinya, merupakan isteri kepada rakan baik abangnya itu. Sambil melihat nama yang banyak itu, dengan perlahan-lahan dia terus menekan punat pada telefon itu untuk melihat lagi senarai nama yang ada. Setelah diamati betul-betul, kebanyakan nama yang ada adalah nama lelaki, hanya beberapa nama sahaja merupakan nama perempuan. Namun ketika dia terus melihat dalam senarai itu, tiba-tiba matanya tertumpu pada skrin telefon itu. Matanya tiba-tiba tertumpu pada satu nama yang langsung tidak pernah diketahuinya dan kelihatan agak unik berbanding nama lain. Nama itu menarik perhatian Sheera.
“Khadijah?” soal Sheera spontan sebaik melihat nama itu di skrin. Serentak dengan itu dia menekan butang telefon bimbit untuk mengetahui dengan lebih lanjut nama tersebut. Selepas menekan, dia dapat melihat kekerapan panggilan pada nama itu. Nama tersebut tersenarai sebagai nombor yang jarang dihubungi tetapi disenaraikan sebagai satu-satunya nombor istimewa. Kali terakhir nombor itu didail adalah kira-kira seminggu yang lalu.
“Jarang dihubungi tapi dalam special list?” soal Sheera sendirian. “Siapa Khadijah ni?” soalnya lagi.
Seingat Sheera, nama itu langsung tidak pernah disebut oleh abangnya. Malah inilah kali pertama dia mengetahui nama itu. Namun, pada masa yang sama juga, dia seolah-olah seperti merasakan dia mengenali wanita itu. Dia merasakan bahawa wanita itu begitu penting kepada Zahid. Lantas, selepas membuat beberapa pertimbangan, akhirnya Sheera mendail nombor wanita itu. Dengan sabar dia menunggu panggilan itu dijawab.
“Hello…”
“Oh, err… hello…” jawab Sheera. “Emm, ini nombor Khadijah ke?” soalnya kemudian sebaik panggilan itu dijawab. Pada masa yang sama dia bangun dan terus berjalan menuju ke tangga. Sambil menuruni tangga, dia menjawab panggilan itu.
“Ya, saya ni. Tapi, yang telefon ni siapa? Macam mana boleh guna nombor Abang Zahid ni?” soal Khadijah.
“Oh, mintak maaf. Emm… saya sebenarnya Sheera, adik Zahid,” jawab Sheera.
“Oh, gitu…”
“Saya mintak maaflah kalau mengganggu,” kata Sheera.
“Eh, tak apa…” balas Khadijah. “Tapi, macam mana Sheera boleh telefon saya? Yalah tambah pulak nombor yang didail ni nombor Abang Zahid…”
“Panjang ceritanya…” kata Sheera. Pada masa yang sama, dia telah berada di tingkat bawah bangunan. Dia kemudian terus keluar dari bangunan itu dan berjalan menghampiri sebatang pokok behampiran. Di bawah pokok itu, terdapat sebuah kerusi batu. Sheera menghampiri kerusi itu sebelum duduk di kerusi tersebut.
“Kenapa begitu?” soal Khadijah apabila Sheera membisu sekian lama.
“Cik Khadijah ni kawan abang ke?” soal Sheera tidak menjawab pertanyaan Khadijah.
“Ya, memang betul”
“Oh, jadi akak ni sebaya dengan abang?” soal Sheera.
“Emm, muda setahun dari dia…”
“Oh, gitu. Saya mintak maaf sebab tanya macam tu. Bukan apa, abang jarang cerita pasal kawan-kawan dia, tambah-tambah kalau kawan perempuan,” kata Sheera. “Saya telefon akak ni pun lepas saya terlihat nama akak kat telefon abang. Jadi, saya fikir, mungkin akak ni kenalan abang…sebab tu saya telefon…”
“Abang kat mana?” soal Khadijah.
“Sebab tulah yang saya tergerak nak telefon akak ni. Saya nak bagitau kat akak yang abang sekarang ada kat hospital…”
“Hospital?...” soal Khadijah dengan terkejut.
“Ya, dia ada kat wad sekarang ni. Abang kena asma…” balas Sheera.
“Asma? Teruk ke?” soal Khadijah dalam nada yang masih terkejut.
“Emm… entahlah tak tau nak cakap. Akak datanglah tengok sendiri…” balas Sheera.
“Insyaallah, akak akan datang…” balas Khadijah.
“Mintak maaf ganggu akak pagi-pagi ni…”
“Tak ada apa…terima kasih sebab bagitau akak, Sheera”
“Sama-sama. Emm, itulah saja yang saya nak bagitau. Assalamualaikum…”
“Waalaikumussalam,” jawab Khadijah.
Panggilan ditamatkan. Sheera kemudian bangun dan terus berjalan menuju kembali ke wad. Telefon bimbit abangnya itu disimpan di dalam tas tangannya. Tanpa disedari Sheera, dia telah memberitahu keadaan Zahid kepada individu yang telah dilamar abangnya itu. Dia tidak tahu bahawa Khadijah itu merupakan orang yang penting buat Zahid. Tanpa disedarinya, dia telah membantu Zahid.
Beberapa jam selepas itu, Khadijah muncul di wad seperti yang telah dijanjikannya. Sheera yang tahu akan kedatangan Khadijah itu telah bersedia menanti di pintu wad. Kedatangan itu telah diberitahu Khadijah sendiri setengah jam sebelum itu menerusi panggilan ke telefon milik Zahid yang dipegang Sheera kini. Walaupun masing-masing tidak mengenali antara satu sama lain, hal ini tidaklah menjadi penghalang buat mereka untuk berjumpa buat kali pertama. Dalam hal ini, Khadijah lebih mudah untuk mengecam Sheera berbanding Sheera sendiri kerana wajah Sheera mempunyai iras wajah Zahid.
Sebaik Khadijah menghampiri pintu wad, dia melihat seorang wanita berdiri berhampiran pintu itu. Wanita itu ternyata mirip wajah Zahid pada pandangannya. Lantas dia kemudian menghampiri wanita itu.
“Assalamualaikum, ni Sheera ke? Adik Abang Zahid?” soal Khadijah sebaik menghampiri wanita itu. Wanita yang disapa itu sedikit terkejut. Dia kemudian melihat wajah Khadijah yang menyapanya.
“Ya, saya adiknya,” balas Sheera. “Dan ni Khadijah? Kak Khadijah?” soal Sheera pula.
“Ya, betul tu…” balas Khadijah tersenyum. Sambil itu tangan mereka bersalaman antara satu sama lain.
“Akak kenal saya ke? Senang je nak jumpa saya…” soal Sheera.
“Muka Sheera ada iras-iras muka Abang Zahid. Sebab tu senang nak cam…” balas Khadijah.
Sheera tersenyum mendengar jawapan Khadijah itu. Memang benar wajahnya mempunyai persamaan dengan abangnya. Ramai orang menyatakan akan perkara itu kepadanya. Sambil itu, dia cuba mengamati wajah Khadijah yang kini berada di hadapannya. Dia merasakan bahawa dia pernah melihat wanita yang kini berdiri di hadapannya.
“Saya macam pernah jumpa akaklah sebelum ni…” kata Sheera sambil mengamati wajah Khadijah.
“Eh, ya ke?” soal Khadijah.
“Emm… mungkin saya tersilap kot…” balas Sheera. Dia sedikit tersenyum. Dia masih tidak pasti sama ada Khadijah yang berdiri di hadapannya itu benar-benar pernah dilihatnya sebelum ini. “Eh, jomlah. Abang ada kat dalam…” ajak Sheera beberapa ketika kemudian.
“Ya..” Khadijah kemudian berjalan mengikut Sheera dari belakang. Dia kini sedang menuju ke bilik yang menempatkan Zahid.
Bilik yang menempatkan Zahid tidaklah begitu jauh dari tempat mereka berjumpa tadi. Langkahan yang diambil tidaklah begitu banyak. Setibanya dihadapan bilik, Sheera dengan cermat menyelak pintu. Sebaik masuk ke dalam bilik itu, Khadijah dapat melihat dua orang wanita berada di dalam. Dua wanita itu ialah Ibu dan Yasmin. Ibu kelihatan sedang duduk di kerusi di sisi katil yang menempatkan Zahid. Yasmin pula sementara itu berdiri di tepi tingkap, mungkin kini sedang menikmati pemandangan dari tingkap itu. Tangannya sedang memegang surat khabar The New Straits Times. Mungkin Yasmin sedang merehatkan matanya selepas penat membaca akhbar itu.
Namun, mata Khadijah kemudian tertumpu pada katil di dalam bilik itu. Kelihatan sekujur tubuh berada di atas katil itu. Tubuh itu diselimuti dengan selimut berwarna biru. Tubuh itu kelihatan kaku tanpa sebarang pergerakan. Matanya tertutup rapat. Mukanya ditutupi dengan topeng oksigen membataskan penglihatan Khadijah untuk melihat wajah tubuh itu. Khadijah ternyata seakan tidak percaya dengan apa yang dilihatnya. Individu yang selama ini kelihatan sihat walafiat yang senantiasa memberikan senyuman setiap masa, kini berada di atas katil itu dalam keadaan kaku. Dia tidak menduga Zahid berada dalam keadaan begitu. Dan serentak dengan itu juga, dia seolah-olah seperti terkaku seketika.
Ibu yang menyedari kehadiran Khadijah, memberikan sedikit senyuman mesra. Walaupun kini dia berada dalam keadaan yang tidak ceria, namun senyuman itu masih terus dijelmakan sebagai menghormati tetamu yang muncul di bilik itu. Namun Khadijah tidak menyedari akan senyuman itu. Matanya terus terpaku pada Zahid yang berada di atas katil itu. Menyedari Khadijah seperti tidak menyedari senyuman Ibu itu, Ibu lantas melihat pula Sheera yang berada di sebelah Khadijah. Berbeza dengan Khadijah, Sheera menyedari dia diperhatikan oleh ibunya.
“Emm, ni kawan abang… namanya Khadijah,” kata Sheera memperkenalkan Khadijah di sebelahnya. Ibu kemudian bangun dan menghampiri Khadijah. Kali ini barulah Khadijah menyedari kelibat Ibu yang menghampirinya. Kata-kata Sheera pada Ibu telah menghilangkan lamunannya terhadap Zahid yang berada di atas katil. Serentak dengan itu, dia terus menyalam tangan Ibu.
“Apa khabar mak cik…” sapa Khadijah.
“Alhamdulillah. Sihat…” balas Ibu dengan mesra. Pada masa yang sama juga Yasmin turut menghampiri Khadijah dan kemudian bersalam dengannya. Kemesraan jelas ditonjolkan Ibu dan Yasmin. Mereka langsung tidak kekok untuk melayani individu yang baru dikenali mereka itu.
“Zahid macam mana?” soal Khadijah sambil matanya melihat ke arah katil.
“Insyaallah dia akan sihat…” balas Ibu. Ibu tersenyum sedikit. Mungkin senyuman itu dijelmakan bagi menghilangkan keresahan hatinya.
“Ya, abang akan sihat…” kata Sheera pula.
Khadijah menghampiri katil itu. Dia melihat Zahid dengan lebih dekat. Namun yang pasti, Zahid tidak menyedari kehadiran Khadijah itu. Khadijah kemudian terus duduk di kerusi yang terdapat di sisi katil itu. Kerusi itu sebelum ini diduduki Ibu. Matanya terus melihat pada wajah Zahid. Tangannya kemudian diletakkan di sisi katil itu. Dia terus mengamati wajah Zahid yang tidak sedarkan diri. Ternyata dia memang tidak percaya terhadap apa yang dilihatnya kini.
Ibu, Sheera, dan Yasmin melihat sahaja kelibat Khadijah yang menghampiri katil itu. Seolah-olah seperti memahami apa yang dirasai Khadijah, masing-masing kemudian keluar dari bilik itu meninggalkan Khadijah berseorangan. Masing-masing seolah-olah seperti mahu memberi sedikit privasi kepada Khadijah. Khadijah pula sementara itu tidak menyedari mereka telah keluar dari bilik itu. Apabila mereka berada diluar bilik, barulah masing-masing bersuara.
“Siapa perempuan tu?” soal Ibu kehairanan kepada Sheera.
“Khadijah, ibu…” balas Sheera.
“Apa hubungan dia dengan abang?” soal Ibu.
“Entah… tak tahu pulak. Mungkin dia kawan abang…”
“Tapi kan, adik macam pernah nampak je perempuan tu….” kata Yasmin pula mencelah perbualan Ibu dan Yasmin. Sambil itu, mereka masing-masing berjalan keluar dari wad itu.
“Yalah, akak pun rasa macam tu jugak. Macam pernah nampak je dia…” kata Sheera pula.
“Pernah nampak?” soal Ibu sekali lagi kehairanan. Ibu kemudian duduk di kerusi di luar wad itu.
“Rasa-rasanya…. Rasanya…” kata Yasmin sebelum duduk di sebelah Ibu. Sheera juga kemudian duduk di sebelah Yasmin. “Adik rasa adik dah tahu siapa orang tu…” kata Yasmin kemudian. Dia seperti telah dapat mengingati wanita yang sedang melawat Zahid itu.
“Siapa dia?” soal Ibu dan Sheera serentak.
“Dialah perempuan yang abang jumpa masa kenduri Mak Lang dulu…” terang Yasmin. “Ingat tak?”
“Masa kenduri dulu?” soal Sheera sambil cuba mengingati kembali peristiwa yang berlaku beberapa bulan yang lalu semasa kenduri Mak Lang.
“Alah, yang Cik Long dok kecoh-kecoh dulu tu…” kata Yasmin lagi cuba membantu kakaknya mengingati kembali.
“Oh…. Oh….. a ha… betul, betul tu. Baru akak ingat. Memang betul… perempuan tulah yang abang jumpa dulu… ya, betul tu….” kata Sheera sebaik dapat mengingati kembali terhadap apa yang diperkatakan oleh adiknya itu. “Patutlah akak macam pernah nampak perempuan tu…”
“Siapa nama dia tadi?” soal Yasmin.
“Khadijah…” balas Sheera.
“Jadi, Khadijah ni sebenarnya siapa dengan abang?” soal Yasmin. “Abang tak pernah cerita pun…”
“Ya, siapa dia ni?” soal Ibu pula.
“Itu, kena tanya abang sendirilah…” balas Sheera.
“Ke, dia tu special abang….” kata Yasmin membuat andaian.
“Cantik…. Cantik orangnya… sangat manis dan cantik…” kata Ibu pula.
“Entahlah…. Tak pasti,” balas Sheera. “Kalau betul apa yang ibu cakap, rasanya pilihan abang ni satu pilihan yang cukup sempurna…”
“Kalaulah betul….” kata Ibu tersenyum.
“Abang takkan cerita pasal kawan-kawan dia, tambah-tambah kalau orang tu perempuan,” kata Sheera. “Macam manalah kita nak tahu…”
Beberapa minit kemudian, Khadijah keluar dari bilik itu. Dia kemudian terus berjalan menuju ke pintu keluar wad tersebut. Dia mencari-cari kelibat Sheera, Ibu, dan Yasmin. Ibu yang terlihat Khadijah telah keluar dari bilik itu terus bangun dan menghampirinya. Sheera dan Yasmin kemudian turut mengikut langkah Ibu.
“Emm… saya mintak diri dululah ya mak cik…” kata Khadijah kepada Ibu. Sambil itu tangannya dihulurkan kepada Ibu untuk bersalam. Ibu menyambut salam itu.
“Ya… terima kasih ya…” balas Ibu.
“Terima kasih sebab bagitau saya…” kata Khadijah pula sebaik bersalaman pula dengan Sheera. Dia kemudian menyalam pula tangan Yasmin.
“Sama-sama. Itu tanggungjawab saya nak bagitau keadaan abang,” balas Sheera.
“Saya harap, Abang Zahid cepat sembuh,” kata Khadijah kepada Ibu.
“Insyaallah…” balas Ibu. “Doakanlah untuk dia juga ya…”
“Ya… pasti…” balas Khadijah. “Saya tumpang simpati…”
“Emm… nanti kalau ada apa-apa berita pasal abang saya bagitau akak,” kata Sheera. Khadijah kemudian tersenyum kepada Sheera.
“Saya balik dulu ya…” kata Khadijah. “Assalamualaikum”
“Waalaikumussalam…” jawab Ibu. Mereka kemudian melihat Khadijah berjalan menuju ke tangga. Pandangan mereka tidak beralih dari Khadijah sehinggalah dia hilang menuruni anak tangga.
“Abang?” soal Yasmin sebaik Khadijah hilang dari pandangan. “Abang Zahid?” soalnya lagi. “Pelik ni…”
“Entahlah…” kata Ibu tersenyum.
“Khadijah tu muda setahun dari abang…” terang pula Sheera.
“Oh, gitu…” balas Yasmin. “Ke, dia tu adik angkat abang?” soalnya pula. “Atau mungkin kawan yang special…”
“Nampaknya, banyak soalan yang abang kena jawab bila dia dah sedar nanti…” kata Sheera.
“Ya, betul tu…” kata Ibu tersenyum. “Banyak yang dia kena bagitau kat kita…”
* * *
“Aku pun tak sangka, rupa-rupanya aku orang yang pertama melawat dia…” kata Khadijah sambil melihat gambar Zahid di atas kabinet.
“Tapi, aku hairanlah… kenapa Sheera boleh bagitau hang? Kenapa hang orang pertama yang dia bagitau?” soal Murni yang duduk di sebelahnya.
“Entah, sampai sekarang pun aku tak faham, apa sebab dia boleh tergerak nak bagitau aku masa tu… entahlah…” balas Khadijah. “Tapi, kalau tak kerana dia, aku rasa aku memang tak tahu yang Abang Zahid tengah sakit masa tu”
“Tapi memang pelik… Abang Izham, kawan abang dia sendiri pun dia tak bagitau lagi masa tu, hang dulu yang dia telefon…” kata Murni masih lagi melahirkan rasa hairannya terhadap tindakan Sheera.
“Sheera seorang saja yang tahu sebab dan alasan dia buat macam tu…”
“Okay, yang pasal tu aku faham. Tapi macam mana pulak Sheera tu membantu Abang Zahid untuk pulih dengan cepat? Setakat yang hang cerita kat aku ni, dia cuma maklumkan keadaan Abang Zahid kat hang je…”
“Ya, dan dia jugaklah yang bantu aku memudahkan aku untuk menjawab jawapan kepada soalan Abang Zahid…” terang Khadijah tersenyum. Dia kemudian membisu seolah-olah seperti tekenangkan kisah silamnya. Buku di tangannya masih lagi dipeluknya.
Suasana di ruang tamu itu kembali sepi setelah sekian lama Murni dan Khadijah berbual. Sejak selesai bersarapan, Khadijah masih lagi berada di ruang tamu itu sambil membaca buku novel yang ditulis oleh Zahid. Pembacaannya itu kadang kala terhenti seketika apabila Murni beberapa kali muncul di ruang tamu itu. Apabila rakannya itu berada di ruang tamu itu, mereka pasti akan berbual-bual mengenai pelbagai perkara. Kini Khadijah kembali membisu sambil dirinya terus memeluk buku yang dibacanya.
“Jadi, macam mana hang kata Sheera membantu?” soal Murni ingin tahu setelah lama Khadijah membisu.
“Sebenarnya hari tu, bukan sekali je aku jumpa Sheera…” terang Khadijah.
“Jadi, ada dua kalinya?” soal Murni.
“Ya…” balas Khadijah. “Tengah hari tu, sekali lagi Sheera telefon aku, tapi kali ni dia telefon guna nombor dia…. Dia cakap yang dia nak jumpa aku…. Dia cakap, dia ada perkara yang nak cakap kat aku…”
“Jadi, hang jumpa?”
“Orang dah ajak dengan baik, kenapa pulak aku perlu tolak dengan cara yang baik?” soal Khadijah tersenyum. “Dan petang tu, aku jumpa Sheera. Mula-mula kami cadang nak jumpa kat hospital, tapi dia tukar, kata nak jumpa kat taman tasik pulak,” terang Khadijah. Dia kemudian tersenyum sebaik menghabiskan kata-katanya itu. Kedengaran sedikit ketawa kecil dari Khadijah sambil tersenyum. “Tak sampai sehari aku kenal dengan dia, aku dengan dia dah nak berjumpa lagi… seolah-olah, macam aku dengan Sheera ni dah rapat lama dah, dah kenal lama…”
“Itulah namanya jodoh… Jodoh kekeluargaan…” balas Murni tersenyum.
“Entahlah, tak tau nak cakap sebabnya. Tapi, yang pasti, mungkin sifat dia yang ramah yang buat aku tak rasa kekok nak jumpa dia…”
“Jadi, apa yang Sheera cakap kat hang petang tu?”
“Banyak. Banyak sangat…” balas Khadijah. “Segala yang sebelum ni aku tak pernah tahu, dia bagitau pada aku. Dan mungkin itulah sebabnya dia mengerakkan hati aku ni…”
Khadijah kemudian membuka kembali buku yang dipeluknya. Dia kemudian menyambung kembali pembacaannya. Seolah-olah seperti telah faham dengan cara Khadijah, Murni kemudian kembali ke meja makan di ruang tamu itu menyambung kembali kerja pada komputer ribanya. Masing-masing kemudian melakukan aktiviti sendiri dan tidak lagi berbual. Murni tahu, apabila buku yang dipegang Khadijah itu dibuka semula, maka rakannya itu pasti akan membisu kembali dan tidak lagi berbual dengannya.
* * *
“Assalamualaikum…”
“Waalaikumussalam”
“Dah lama tunggu?”
“Emm… eh tak adalah. Baru jugak sampainya…”
“Akak mintak maaf, terlewat sedikit”
Petang Sabtu itu, Sheera dan Khadijah bertemu sekali lagi. Kali ini mereka berjumpa di Taman Tasik Taiping. Tanpa mereka sedari, lokasi mereka berjumpa itu merupakan lokasi yang sama yang selalu dikunjungi Zahid setiap kali berjumpa Izham. Mungkin tarikan lokasi itu begitu kuat bagi sesiapa sahaja yang melaluinya. Ternyata kawasan jambatan itu menarik perhatian ramai. Petang itu, langit begitu cerah tanpa menunjukkan tanda-tanda untuk hujan turun. Tidak seperti hari sebelumnya, hari ini setitis air hujan pun tidak menimpa bumi Taiping. Perjumpaan Sheera dan Khadijah merupakan satu perjumpaan yang sangat unik. Sheera merupakan orang yang bertanggungjawab mengaturnya, manakala Khadijah merupakan individu yang dijemput Sheera. Namun bagi Khadijah, dia langsung tidak tahu sebab adik Zahid itu mahu berjumpa dengannya. Maka tidak hairanlah dia merasakan sedikit debaran dalam hatinya. Namun, debaran itu langsung tidak menghalang dirinya untuk berjumpa Sheera.
“Saya yang patutnya mintak maaf,” kata Sheera. “Buat susah-susah akak je nak jumpa saya…”
“Eh, tak apa. Kalau orang dah jemput, akak akan datang,” balas Khadijah.
“Yalah, saya pun nak ucap terima kasihlah sebab akak sudi datang jumpa saya…” kata Sheera. “Sebenarnya saya terkejut pagi tadi bila dapat tau yang akak ni kenalan abang. Yalah, selama ni abang tak pernah pun cerita pasal kawan-kawan dia tambah-tambah kalau kawan tu orang perempuan” terang Sheera. “Abang ni dia memang perahsia orangnya. Dan memang tak hairanlah kalau dia selalu buat orang lain terkejut. Bila saya tau ada kenalan perempuan, dan orangnya memang cantik, maksud saya orangnya akak, saya memang betul-betul terkejut”
“Akak dah lama kawan dengan Abang Zahid,” balas Khadijah tersenyum. “Ya, memang sangat lama akak dah kenal dia…”
“Jadi,… akak dengan abang macam mana?”
“Macam mana?” soal Khadijah kehairanan.
“Emm, maksud saya hubungan akak dengan abang”
Khadijah tersenyum sebaik mendengar pertanyaan Sheera itu. Pandangannya kemudian dilontarkan ke arah tasik di hadapannya. Air tasik ternyata kelihatan begitu tenang seolah-olah mahu menyatakan kepadanya bahawa suasana pada petang itu begitu tenang dan mendamaikan. Ketenangan tasik itu juga setenang jiwanya ketika ini. Hakikatnya, Khadijah memang merasai kedamaian itu.
“Akak dengan abang kamu… kami memang dah lama berkawan. Sejak dari sekolah rendah lagi, akak dah kawan dengan abang kamu. Kemudian naik sekolah menengah, akak masih lagi kawan dengan dia, sampailah masuk universiti…”
“Selama tu abang tak pernah bagitau pasal akak…” kata Sheera. “Abang memang perahsia…”
“Dia memang pendiam. Tak banyak cakap. Apa yang penting je, itulah yang dikatanya…” terang Khadijah. “Sebab tu, tak banyak orang yang bermusuh dengan dia. Dan abang kamu banyak tolong akak…”
“Ya, dia memang pemurah dengan pertolongannya…”
“Dari sekolah rendah, sampai universiti… banyak yang abang kamu tolong,” kata Khadijah. “Tapi yang penting, abang kamu cukup ambil berat pasal pelajaran akak. Setiap kali keputusan exam, dia mesti tanya akak”
“Ya, macam tu jugalah dengan saya dan adik saya. Dia memang pentingkan pelajaran kami. Memang ambil berat”
“Selalu dia nasihatkan akak…. Belajar rajin-rajin, belajar elok-elok, usaha sungguh-sungguh….. setiap kali abang kamu telefon atau jumpa akak”
“Mungkin akak cukup penting buat dia…” balas Sheera. “Tapi jujur saya cakap yang saya memang tak sangka abang ada kawan perempuan secantik akak ni. Maksud saya, tak pernah terlintas di fikiran saya abang akan ada kawan macam akak ni…”
“Dia seorang yang perahsia… Tapi tulah, akak memang tak sangka abang kamu boleh sakit macam ni…”
“Memang semua akan terkejut dengan apa yang terjadi kat abang. Dia tak pernah cerita kat sesiapa pun. Cuma kami sekeluarga je yang tahu…”
“Sebab tu, akak memang terkejut bila kamu bagitau kat akak. Bila akak tengok sendiri abang kamu terlantar atas katil, akak memang tak percaya yang orang tu abang kamu,” kata Khadijah. Wajahnya kelihatan begitu serius. “Tak terlintas di fikiran akak yang abang kamu ada asma…”
“Memang betul tu. Abang tak suka cerita pasal masalah kesihatan dia. Bagi dia, biarlah apa yang dia rasa tu, maksudnya rasa sakit dia tu hanya dia sorang je yang tahu. Sebab abang tak nak keceriaan dia dengan kawan-kawan dia akan hilang…”
“Memang abang kamu seorang yang ceria. Sentiasa tersenyum dan sentiasa kelihatan seolah-olah tak pernah ada sebarang masalah. Tak pernah akak nampak dia kelihatan muram…”
“Itulah Zahid yang semua orang kenal. Dan itulah abang yang saya kenal. Dia adalah penceria bagi setiap orang. Dalam sifatnya yang pendiam itu, wajahnya mampu menceriakan orang lain”
“Tapi hakikatnya dia yang merasakan kepedihan itu berseorangan…” kata Khadijah.
“Abang memang tak pernah cerita kat sesiapa pun. Walaupun Abang Izham sekalipun dia tak pernah cerita. Ya, memang Abang Izham tahu yang abang tak sihat, tapi dia tak tahu apa sebabnnya abang tak sihat…”
“Apatah lagi kalau akak ni…” balas Khadijah sedikit tersenyum.
“Sebenarnya, dah lama abang sakit ni. Abang kena asma sejak dia kecil lagi. Tapi, bila dah makin besar, asma tu makin hilang. Pernah juga masa kecil-kecil dulu… saya ingat lagi masa tu, Ibu selalu ulang-alik ke klinik bawa abang bila kena asma… memang teruk masa tu abang sakit,” kata Sheera. Sambil itu dia memandang ke bawah melihat air tasik di bawah jambatan. Kelihatan beberapa ekor anak ikan berenang-renang di bawah jambatan. Pada masa yang sama juga, beberapa orang melalui kawasan tempat mereka berada. Hal ini menyebabkan perbualan mereka terhenti seketika. Sebaik sahaja tidak ada orang lagi berhampiran, barulah Sheera menyambung percakapannya. “Bila dah tak kena lagi asma, alhamdulillah abang dapat hidup macam orang lain. Ibulah orang yang paling gembira dengan keadaan abang tu”
“Ibu mana yang tak gembira kalau anaknya tu dah sihat…”
“Tapi, tulah… tak sangka penyakit asma tu boleh datang balik. Bila abang naik form 4, penyakit tu datang balik. Masa tu, abang dah tak sekolah SMDB lagi. Dia dah pindah ke MRSM Langkawi. Masa kat sanalah, penyakit abang datang semula,” terang Sheera. “Akak ni muda dari abang kan?” soal Sheera.
“Ya. Muda setahun dari abang kamu. Tapi jarak tarikh tak jauh pun,” jawab Khadijah.
“Tapi, abang boleh dikatakan sebaya dengan akak…” kata Sheera.
“Ya, tu akak tahu. Sebab masa kat universiti dulu, akak belajar tahun yang sama dengan abang kamu”
“Akak tau sebab abang boleh belajar sama tahun dengan akak?”
“Dia cuma cakap yang dia tangguh sebab dia tak sihat…”
“Ya, betul tu. Tapi abang tak cakap yang dia sakit apa bukan?”
“Ya…”
“Lepas SPM, alhamdulillah abang dapat juga hadapi SPM walaupun keadaan kesihatan dia tak menentu,… abang dapat tawaran ke luar negara. Tapi sayang, sebab masalah kesihatan, dia kena tolak tawaran tu. Memang sedih masa tu… Dan akhirnya abang dapat tawaran belajar ke Matrik Penang…”
“Ya, itu akak tau. Tapi masa kat matrik tu, abang kamu ada tangguh kan?” soal Khadijah.
“Betul tu. Tahun pertama tu, dia kena tangguh setahun sebab tak berapa sihat. Jadi, kat situ pun abang dah rugi setahun…” terang Sheera. “Tahun berikutnya, alhamdulillah abang dapat juga belajar. Ibulah orang yang paling gembira bila abang dapat belajar macam biasa balik. Yalah, dah hampir tiga tahun abang bergelut dengan asma dia, dan memang abang juga kena bergelut dengan pelajarannya…”
“Bukan mudah nak jadi macam abang kamu…”
“Bila abang dah habis, keputusan yang dapat pun memang bagus, abang dapat tawaran belajar kat USM. Dan sekali lagi, abang terpaksa tangguh setahun bila belajar kat sana sebab tak berapa sihat juga…” terang Sheera. “Dan abang dah rugi setahun lagi. Jadi semuanya abang dah rugi hampir dua tahun”
“Tapi, abang kamu tetap berjaya juga bukan?” kata Khadijah cuba menaikkan balik semangat Sheera.
“Ya, saya memang kagum dengan abang. Walau banyak mana pun rintangan yang dia kena hadapi, abang tetap juga berjaya. Ya, bukan senang nak jadi Zahid… bukan mudah…” kata Sheera. “Tapi rintangan yang dia hadapi tu bukan setakat asma yang dia hadapi, tapi ada rintangan lain yang dia kena tempuh…”
“Maksudnya?”
“Selain asma, abang jugak kena satu lagi penyakit. Tapi penyakit ni lagi susah nak dihadapinya. Dan penyakit ni timbul kesan daripada asma yang dia hidapi tu. Tekanan hari demi hari akhirnya menyebabkan abang menjadi murung. Akhirnya doktor sahkan abang hidapi depression”
“Depression?” soal Khadijah terkejut. Dia ternyata langsung tidak mengetahui perkara yang diceritakan Sheera itu. Tidak pernah didengarnya Zahid menghidapi penyakit sebegitu.
“Emm, Bahasa Melayunya, kemurungan,” balas Sheera. “Doktor sahkan masa abang form 5, dalam awal tahun…”
“Maknanya, masa tu akak dah ada kat sanalah…”
“Akak kat sana?”
“Yalah, masa akak masuk MRSM Langkawi, akak form 4, abang kamu form 5…”
“Jadi, akak ni satu maktab dengan abang?” soal Sheera sedikit terkejut dengan pernyataan Khadijah.
“Ya…”
“Oh, saya tak tau pun pasal tu…”
“Tapi, akak nampak dia okay je masa dia form 5…”
“Pada mata orang, memang abang tak nampak macam ada sebarang masalah. Tapi hakikatnya, abang sorang saja yang tahu. Macam yang saya cakap tadi, abang memang perahsia…”
“Tapi, akak memang terkejut bila Sheera cakap macam tu. Yalah, memang akak tak sangka. Tapi, macam mana abang boleh dapat kemurungan? Apa sebabnya?” soal Khadijah sambil matanya terus melihat ke arah tasik. Sekali sekala kelihatan ikan kecil berenang-renang berhampiran jambatan tempat mereka berada mengocakkan sedikit air tasik.
“Bukan mudah nak jadi Zahid…. Bukan mudah…. Saya tahu, siapa-siapa pun, kalau sakit teruk macam abang, tak ada siapa yang mampu hadapi dengan penuh tenang…Sama juga macam abang, dia jugak manusia biasa. Bila abang sakit teruk masa kat MRSM dulu, abang banyak tertinggal pelajaran. Selalu abang ambil cuti sakit, balik rumah untuk berehat. Kalau teruk sangat, abang kena bawa pergi hospital. Pernah satu masa dulu, abang cuti sampai sebulan, berterusan. Jadi, memang abang rugi banyak sebab tak dapat belajar. Dan sebab itulah abang mula rasa tertekan bila nak kejar balik apa yang dia tertinggal…”
“Ya, memang satu yang menekan…”
“Tambah pula, kawan-kawan dia yang lain semuanya hebat-hebat belaka. Yalah, semuanya pelajar-pelajar yang terpilih… Tambahlah tertekan abang bila nak kejar balik bab yang tertinggal. Tapi syukurlah, ada beberapa kawan rapat abang yang sudi nak membantu. Tapi… semua tu masih tak cukup,” kata Sheera. Dia kemudian membisu seketika. Beberapa tapak dia melangkah menghampiri pemegang jambatan. Kedua-dua tangannya kemudian diletakkan di atas pemegang jambatan itu. Barulah dia menyambung kembali bicaranya. “Semakin hari, abang semakin tertekan. Dan kerana tekanan itulah, akhirnya menghasilkan kemurungan dalam diri abang. Dan kemurungan itu bertambah teruk sehingga dia mengalami masalah halusinasi”
“Sampai macam tu sekali Abang Zahid jadi…” kata Khadijah melahirkan rasa terkejut.
“Saya ingat lagi masa tu, abang ada balik ke rumah. Dia kemudian mengadu kat ibu yang dia ada dengar suara orang pada waktu tertentu, tapi abang tak nampak orang yang bercakap tu. Masa tu abang macam dalam ketakutan sedikit. Boleh kata banyak masa dia yang sebelum ni bersendirian, tak lagi bersendirian selepas tu. Sepanjang masa kebanyakannya, pasti ada orang yang teman dia… Kesian ibu masa tu, sepanjang masa risaukan keadaan abang…tambah-tambah bila abang pulang balik ke asrama. Lama kelamaan lepas tu, penyakit abang semakin melarat. Sampai ke satu tahap, dia tak dapat nak tidur pada waktu malam. Dan akhirnya, satu hari abang tak dapat lagi pulang ke asrama. Dia jadi takut sangat…” terang Sheera sambil Khadijah mendengar dengan penuh minat mengenai keadaan Zahid itu.
“Akak memang tak pernah dengar semua cerita ni… walaupun akak satu maktab dengan dia dulu…”
“Sebab masa semua tu berlaku, abang baru form 4. Jadi, memang akak tak tahu. Tambah pula masa tu, kawan-kawan rapat abang, cikgu-cikgu kat sana yang tahu pasal keadaan abang, semuanya tutup mulut pasal keadaan abang tu…Tak nak perkara ni diketahui oleh orang ramai. Masing-masing tak nak keadaan abang masa tu bertambah teruk kalau ramai lagi yang tahu. Sebab tu, bila akak masuk ke MRSM, akak nampak abang sihat, sebab masa tu abang dah pulih bila dia form 5. Dan kisah lama abang tu langsung tak diceritakan pada siapa-siapa pun, ” kata Sheera. “Memang semua orang banyak bantu abang…. Ya, semua orang….”
“Jadi, bagaimana abang kamu boleh pulih semula?”
“Semuanya mula pulih bila ibu bawa abang ke hospital dapatkan rawatan di sana. Kawan-kawan ayah yang nasihatkan supaya bawa abang ke hospital. Masa tu abang baru je masuk form 5. Selepas doktor buat check-up, akhirnya abang dirujuk ke bahagian psikiatri,” terang Sheera. Dia kemudian memandang Khadijah. “Tapi abang bukanlah ‘gila’ bila dirujuk ke sana…”
Khadijah tersenyum sedikit sebaik Sheera berkata begitu. “Ya, akak faham. Bukan semua yang dirujuk ke sana ada masalah tu…”
“Di bahagian psikiatri itulah abang mendapatkan rawatan yang sebenar. Apa yang doktor cakap masa tu,… abang ni alami depression. Mungkin akibat tekanan di sekolah. Yalah, itu memang diakui….” kata Sheera. “Doktor tu kata lagi, masalah kemurungan ni adalah satu perkara biasa kalau nak terjadi pada golongan remaja macam abang. Dan akibat daripada tekanan kuat yang dialami itu, sejenis cecair dalam otak, emm… saya tak ingat apa namanya, tapi yang saya tahu, cecair itu dihasilkan berlebihan dalam otak apabila seseorang mengalami tekanan. Kesan daripada cecair yang berlebihan itu, maka itulah puncanya abang boleh dengar suara-suara yang diistilahkan sebagai halunisasi”
“Dan abang pulih kan lepas tu?”
“Ya. Alhamdulillah. Abang dapatkan rawatan di sana. Banyak ubat yang diberi, memang cukup banyak… dan semua ubat tu adalah untuk memulihkan balik keadaan abang,” balas Sheera. “Ubat tu terus diambil sampailah dia masuk universiti… dan mungkin juga sampai ke hari ni…”
“Akak dah tak tau nak cakap apa lagi bila dengar semua ni. Memang akak sangat terkejut dan tak sangka sebenarnya…” balas Khadijah. “Abang Zahid yang selama ni sihat, ceria, dan tak pernah nampak ada masalah rupa-rupanya menghadapi banyak dugaan…”
“Dugaan itulah yang mematangkannya…” balas Sheera. “Dan sekarang ni abang dah berjaya. Walaupun banyak dugaan, tapi dia kuat untuk hadapinya. Sekarang ni pulak, Yasmin, adik bongsu kami menghadapi perkara yang sama macam mana abang hadapi dulu…”
“Dia sakit jugak?”
“Asma tidak. Tapi masalah kemurungan. Dia pulak yang hadapi sekarang ni,” jawab Sheera. “Mungkin dia tertekan bila dia lihat abang sakit dulu. Mungkin itulah penyebabnya…” terangnya. “Dia belajar kat MRSM Taiping sekarang...”
“Oh, dekat je lah…”
“Sekarang ni, dia selalu ulang-alik ke klinik psikiatri Hospital Taiping dapatkan bekalan ubat dan dapatkan rawatan. Abang yang selalu bawa dia sebab ibu dengan ayah ada kat Penang. Pernah satu masa dulu Yasmin telefon abang mengadu yang dia takut sangat. Sebabnya dia terdengar suara-suara misteri yang orang lain tak dengar,” kata Sheera.
“Oh, sama macam abang kamu…”
“Yalah, sama…memang sama…” kata Sheera. Dia kemudian menapak mengampiri Khadijah yang berdiri di sebelah kirinya. Tangannya kemudian diletakkan di bahu Khadijah. Dia kemudian berkata, “Akak, saya cuma nak bagitau akak saja. Yalah, bukan semua orang tahu apa yang sebenarnya berlaku pada abang. Saya bagitau akak semua ni sebab saya rasa, akak orang yang cukup penting buat abang….Cuma satu saja yang saya harap kat akak, kalau akaklah orang yang mampu membahagiakan abang, maka akak bahagiakanlah dia….” kata Sheera dengan serius. Matanya tepat memandang pada anak mata Khadijah. “Bukan apa, mungkin abang dah tak punyai masa lama lagi. Dan selagi ada kesempatan, akak rebutlah peluang yang ada…”
Khadijah membisu. Tiada kata-kata yang mampu diungkapkannya. Kata-kata Sheera begitu tajam dan mendalam kepadanya. Kata-kata satu harapan dari seorang adik yang begitu menyayangi abangnya. Harapan yang diberikan kepadanya itu membuatkan Khadijah kelu untuk berkata. Segala kisah yang diceritakan Sheera itu membuatkan kata-kata itu menjadi lebih mendalam dan bermakna. Memang benar, mungkin masa untuk Zahid tidak panjang lagi. Perasaan itu dirasakan begitu kuat ditambahkan pula dengan keadaan kesihatan Zahid ketika ini. Pengharapan Sheera itu satu beban yang begitu besar untuk dipikulnya.
“Akak, satu saja yang saya harap… akak ambillah kesempatan selagi waktu masih ada. Dah lama abang menderita…. Dan abang perlu merasakan kemanisan hidup setelah lama bertarung dengan dugaan,” kata Sheera. “Saya harap, abang akan bahagia selagi masih ada kesempatan…”
Khadijah melihat Sheera. Anak matanya tepat memandang bebola mata Sheera. Kelihatan kejernihan mata yang ternyata menunjukkan harapan Sheera itu. Sheera sedikit tersenyum. Dia kemudian melepaskan tangannya yang diletakkan di bahu Khadijah. Perlahan-lahan dia mengundurkan diri. Perlahan-lahan dia mula jauh dari Khadijah. Dia kemudian mula berjalan meninggalkan Khadijah yang masih berdiri di tempat yang sama. Beberapa tapak dia melangkah, dia berhenti. Dia kemudian menoleh ke belakang melihat kembali Khadijah.
“Assalamualaikum…” kata Sheera kemudian.
“Waalaikumussalam…”
Petang itu Khadijah pulang dengan dibayangi kata-kata Sheera itu. Masih lagi terngiang-ngiang di telinganya akan kata-kata harapan Sheera itu. Sepanjang pemanduannya menuju ke rumah, kata-kata itu terus bermain di telinganya seperti pemain MP3 yang diulang-ulang. Sehingga dia tiba di rumah, dia masih terus teringat akan kata-kata itu. Ternyata kata-kata itu memberi kesan yang cukup mendalam kepada Khadijah. Mungkin kata-kata itu akan mengubah hidupnya pada masa akan datang.
Tamat Ceritera 17
No comments:
Post a Comment