Ceritera 9
Zahid turun dari biliknya setelah selesai membaca al-Quran. Dia terus menuju ke dapur untuk meneguk sedikit air bagi menghilangkan dahaganya. Sebaik tiba di dapur rumahnya itu, dilihatnya ibunya sedang mencuci pinggan.
“Alah ibu, tak payahlah basuh pinggan tu. Nanti Zahid basuhkan,” kata Zahid kepada ibunya sambil membuka pintu peti sejuk. Dia kemudian mengambil kotak jus oren dari peti sejuk itu.
“Alah, sikit je ni. Saja je ibu nak basuh. Dah ternampak tu, ibu basuh ajelah. Ibu rimaslah tengok pinggan-pinggan ni,” balas Ibu.
“Alah ibu ni, sikit je tu. Takkan rimas kot,” kata Zahid sambil mengambil gelas kosong di atas meja. Dia kemudian menuang jus dalam kotak itu ke dalam gelas yang baru diambilnya itu. Selepas itu dia meminum jus itu.
“Adik kamu mana?” soal Ibu sebaik selesai membasuh pinggan. Dia kemudian mengelap tangannya yang basah dengan tuala kecil yang disangkut bersebelahan dengan cermin sinki membasuh tangan.
“Dia tengah tengok TV” balas Zahid ringkas. Dia kemudian menghabiskan jus yang masih ada dalam gelas yang dipegangnya.
“Kamu tak tengok?” soal Ibu.
“Zahid?” soal Zahid. Dia kemudian terus mebasuh gelas yang digunakannya tadi. “Tengoklah dulu, kalau ada mood,” balas Zahid kemudian.
“Ye lah tu…” balas Ibu. Dia sememangnya tahu bahawa anaknya itu kurang gemar untuk menonton televisyen terutama pada waktu malam. Dia kemudian meninggalkan Zahid di dapur menuju ke ruang menonton, tempat Yasmin kini berada.
Setibanya di ruang menonton, kelihatan anaknya sedang duduk di atas sofa asyik menonton televisyen. Mata Ibu kemudian terus beralih ke arah televisyen Drama melayu sedang ditonton Yasmin.
“Adik tengok drama apa tu?” soal Ibu sambil duduk di sebelah Yasmin.
“Drama melayulah,” balas Yasmin.
“Lah, tu ibu taulah. Nak loyar buruk pulak…”
“Drama Ku Milikmu, boleh tahanlah jugak drama ni,” balas Yasmin menerangkan drama yang sedang ditontonnya di TV3.
“Adik selalu tengok ke drama ni kat asrama?” soal Ibu.
“Tak jugak. Curi-curi tengok je…” balas Yasmin tersenyum.
“Ish, tak elok macam tu…”
Beberapa ketika kemudian, Zahid muncul di ruang menonton. Dia kemudian terus duduk di sebelah ibunya. Matanya kemudian terus tertumpu ke arah televisyen di hadapannya. Yasmin dan Ibu kehairanan melihat Zahid. Jarang sekali untuk melihat Zahid menonton televisyen.
“Best ke drama ni?” soal Zahid.
“Ni, kenapa tiba-tiba abang nak tengok TV ni?” soal Yasmin kembali.
“Lah, salah ke abang nak tengok TV, adik?” soal Zahid kembali.
“Bukan ke abang ni jarang tengok TV?” soal Yasmin kembali.
“Memanglah. Kalau tengok sorang-sorang memang boring. Tapi ada ramai-ramai ni baru rasa best sikit,” balas Zahid.
Pada masa yang sama, drama Ku Milikmu yang sedang ditonton baru sahaja tamat siarannya dan akan bersambung ke minggu hadapan. Selepas itu, skrin televisyen itu menunjukkan beberapa iklan televisyen. Antara iklan yang disiarkan ialah iklan tuala wanita Kotex. Dan pada waktu iklan tersebut, Yasmin bersuara.
“Shhh, diam sikit,” pinta Yasmin. “Lepas ni ada cerita best...” katanya kemudian.
“Cerita? Cerita apa?” soal Zahid kehairanan.
“Alah, abang tengok ajelah…”
“Ibu rasa ibu tau drama apa yang best tu…” kata Ibu kemudian.
“Drama apa?” soal Zahid yang kehairanan. Dan serentak dengan itu persoalan yang timbul itu terjawab. Drama Kisah Kaisara 2 dilihatnya muncul di skrin televisyen. Babak permulaan drama popular itu dimulakan dahulu sebelum montaj pembukaan drama ini disiarkan. Dan apabila montaj itu terpapar di skrin, Yasmin tiba-tiba menyanyi mengikut rentak lagu yang kedengaran.
“1,2,3 menghitung dan mengira
A,B,C,D, membaca dan mengeja
Meniti usia
Mengenal dunia
A, tunggu dahulu
O, belum ku mahu
U, mungkin ku perlu
A,E,I,O
A, tunggu dahulu
O, belum ku mahu
U, mungkin ku perlu
Kan ku beritahu
K.A.I.S.A.R.A
Kaisara!”
Zahid ternyata terkejut selepas itu. Ternyata dia terkejut melihat adiknya itu menyanyikan lagu tema bagi drama Kisah Kaisara 2. Adiknya ternyata peminat fanatik Drama Kisah Kaisara 2 itu. Drama lakonan Sari Yanti, Wan Sharmila, Elliza, Farid Irwan, Faralyana, Faizul Hafiz, dan Norman Hakim itu merupakan siri drama televisyen paling popular di Malaysia bagi tahun 2007. Kini drama tersebut telah memasuki musim ke dua. Ramai yang menonton drama ini termasuklah Zahid sendiri. Walaupun dia jarang menonton televisyen, namun bagi drama ini, dia ternyata tidak melepaskan peluang untuk menontonnya.
“Lah, Kaisara ke… ingatkan apalah tadi…” kata Zahid.
“Hafal ya lirik lagu tema tu…” usik pula Ibu.
“Alah, bukan panjang pun lirik lagu tu…” balas Yasmin.
“Macamlah best sangat drama Kaisara ni,” kata Zahid.
“Yalah tu. Ingat adik tak tau abang pun tengok Kaisara…” balas Yasmin. “Siap download lagi drama ni dari web TV3 tu…”
“Wah, fanatik jugak abang kamu ni ya…” kata Ibu kemudian. Dia tidak menyangka anak sulungnya itu meminati drama yang sedang bersiaran ketika ini di TV3.
“Best Kisah Kaisara ni. Teringat pulak masa zaman sekolah dulu bila tengok drama ni,” kata Zahid.
“Shhh, dah start ni…” kata Yasmin.
Selepas itu masing-masing membisu. Mata masing-masing tertumpu di skrin televisyen menonton drama itu. Episod Kisah Kaisara kali ini ialah Surat Berantai. Mungkin episod kali ini lebih menarik buat Zahid kerana dirinya menonton bersama-sama ibu dan adiknya.
“Hana tu jahat giler kan?” soal Zahid.
“A aa. Lagi jahat daripada Yani dulu. Ni jahat habis-habisan,” balas Yasmin.
“Tapi cun jugak Hana tu kan?” soal Zahid.
“Okaylah jugak. Tapi adik rasa Kaisara tu lagi cun…” kata Yasmin pula.
“Eh, ya ke? Abang rasa Hana tu lagu cunlah,” kata Zahid. “Siapa nama sebenar dia ha?”
“Faralyana,” balas Yasmin. “Tapi adik rasa Sari Yanti tu lagi cantiklah…”
“Taklah. Si Hana tu yang cantik”
“Tak, Sari Yanti tu…”
“Tak….”
“Dah cukup tu. Si Haris tu lagi handsome tau…” kata Ibu tiba-tiba menghentikan terus perbalahan kecil antara Yasmin dan Zahid. Serta-merta mata Zahid dan Yasmin memandang ke arah ibu mereka.
“Hah? Ibu pun tengok ke?” soal Yasmin dan Zahid serentak.
“Kenapa, tak boleh ke?” soal Ibu kembali.
Ternyata bukan sahaja Zahid dan Yasmin merupakan peminat fanatik Kisah Kaisara, tetapi ibu mereka juga turut menjadi peminat setia drama itu. Memang terbuktilah bahawa drama tersebut begitu popular dalam kalangan penonton televisyen.
Setengah jam kemudian, maka tamatlah sudah drama tersebut. Zahid kemudian terus naik ke biliknya. Begitu juga Ibu yang turut menuju ke bilik di tingkat atas. Namun bagi Yasmin pula, dia masih di situ menonton rancangan seterusnya. Yasmin memang cukup dikenali sebagai ‘burung hantu’ dalam kalangan keluarganya. Maka tidak hairanlah dia masih belum menuju ke biliknya walaupun hari semakin lewat.
Seperti biasa, Zahid melakukan aktiviti hariannya sebelum tidur. Namun perbezaan kali ini ialah Zahid tidak lagi menulis novel pada waktu malam kerana novel yang ditulisnya itu telah tamat dikarang. Novel itu kini berada di tangan Khadijah. Sebaik selesai mencuci mukanya dan mengambil wuduk, seperti biasa Zahid terus menuju ke meja kerjanya dan terus mengambil naskah al-Quran. Dia membaca beberapa muka ayat dalam kitab suci itu sebelum beralih muka surat ke surah as-Sajadah dan al-Mulk. Seperti biasa dia membaca dua surah tersebut. Setelah selesai, dia kemudian terus membentangkan sejadah dan kemudian mendirikan beberapa solat sunat.
Setelah selesai sahaja solat, dia kemudian terus membuka laci meja kerjanya. Seperti biasa di mengeluarkan plastik ubat yang ada di dalam laci itu. Dia kemudian menelan ubat-ubatan tersebut mengikut dos yang telah ditetapkan. Sebaik selesai urusan itu, Zahid terus membaringkan dirinya di atas katil. Dia akhirnya akan melelapkan matanya. Namun untuk malam itu, dia merasakan seperti ada sesuatu yang tidak kena pada dirinya. Dia merasakan dirinya tidak begitu mengantuk, suatu yang jarang berlaku pada diri Zahid. Puas Zahid cuba untuk melelapkan matanya, namun gagal. Setelah hampir sejam dia cuba melelapkan matanya, akhirnya dia mengalah. Zahid bangun semula dan terus menuju ke meja kerjanya. Dia kemudian duduk di atas kerusi kerjanya. Dia kemudian mengambil sebuah buku cerita bertajuk Harry Potter and the Half-Blood Prince hasil tulisan J.K. Rowling untuk dibaca dengan harapan supaya dia akan merasa mengantuk beberapa ketika kemudian.
Agak lama juga dia membaca buku itu. Namun setelah hampir tiga puluh minit membaca, dia masih lagi berada dalam keadaan yang segar. Dia masih belum lagi berada dalam keadaan mengantuk. Dalam keasyikan membaca buku fantasi paling popular di dunia itu, tiba-tiba perut Zahid berkeroncong. Tahulah Zahid bahawa dia kembali lapar.
“Alamak, berbunyi pulak perut ni…” kata Zahid sendirian.
Disebabkan dirinya masih lagi berada dalam keadaan yang segar, dia menutup buku yang dibacanya. Zahid kemudian terus keluar dari biliknya. Dia akan menuju ke dapur untuk mengisi sedikit perutnya yang mula berbunyi. Keadaan luar bilik agak gelap. Semua lampu rumah telah dipadamkan menunjukkan bahawa adiknya Yasmin telahpun tidur di biliknya. ‘Burung hantu’ dalam keluarganya itu telah selesai menonton televisyen. Zahid menuruni anak tangga dengan berhati-hati. Setibanya di ruang menonton, dia meraba-raba dinding mencari suis lampu bagi ruang menonton tersebut. Setelah beberapa ketika, barulah dia dapat menyentuh suis lampu yang dicarinya dan kemudian terus memetik suis lampu itu. Kawasan ruang tamu itu kemudian terang kembali.
Zahid kemudian terus menuju ke dapur. Dia tidak membuka lampu di dapur itu. Kawasan dapur rumahnya hanya diterangi dengan cahaya lampu di ruang menonton. Dia terus membuka peti sejuk di dapur. Cahaya lampu peti sejuk itu menerangi sedikit kawasan dapur. Dia cuba melihat ke dalam peti sejuk itu mencari makanan yang mungkin boleh dimakannya. Akhirnya mata Zahid difokuskan pada mi segera Maggi yang terdapat dalam peti sejuk itu. Dia kemudian mengambil sebungkus mi segera itu untuk dikeluarkan dari peti sejuk. Dia akan memasak mi segera untuk menghilangkan sedikit bunyi perutnya yang berkeroncong.
Zahid kemudian mengambil periuk kecil yang terdapat dalam kabinet di bahagian bawah. Dia kemudian mengisi air ke dalam periuk itu seterusnya memanaskan air itu di atas dapur memasak. Setelah air mula mendidih, dia memasukkan mi segera itu ke dalam periuk. Dia kemudian memasukkan pula perencah mi segera. Setelah itu, dia mengacau dengan senduk mi itu.
“Hah, buat apa tu!” tiba-tiba kedengaran bunyi sergahan dari belakang Zahid. Suara wanita itu ternyata sangat memeranjatkan Zahid.
“Mak ooi!!” jerit Zahid terkejut sebaik mendengar sergahan itu. Serta-merta dia kemudian menoleh ke belakang. Rupa-rupanya, ibunya yang menyergahnya. Sergahan ibunya itu ternyata sangat mengejutkan Zahid sehinggan menyebabkan jantungnya berdegup dengan kencang. Muka Zahid sedikit pucat kerana terkejut.
“Aik, takut nampak,” kata Ibu kemudian.
“Fuh, ingatkan siapalah tadi. Terkejut gila Zahid ni…”
“Hai takkan terkejut kot?” soal Ibu.
“Mau tak terkejut. Tengah-tengah malam ni tiba-tiba ada orang sergah…” balas Zahid. “Kalau Zahid ni ada sakit jantung, tak pasal-pasal je jadi arwah nanti,” katanya lagi.
“Alah, sorilah. Ibu acah je tadi…” balas Ibu. “Kamu ni buat apa tengah-tengah malam ni?” soalnya kemudian sambil melihat jam di dinding. Jam tersebut telah menunjukkan pukul 12.30 pagi. “Dah lewat malam ni…”
“Ibu pulak kenapa tiba-tiba datang ke dapur ni?” soal Zahid kembali.
“Ibu laparlah. Tak boleh nak tidur. Tak mengantuk,” balas Ibu.
“Samalah tu. Zahid pun tak mengantuk jugak. Perut pulak tiba-tiba berbunyi,” kata Zahid. Dia kemudian mencedok mi segera yang telah masak ke dalam mangkuk. Selepas itu dia membawa mangkuk itu ke meja makan. “Ibu nak Maggi jugak ke?”
“Pun boleh…” balas Ibu.
“Zahid masakkan ye…”
“Pun boleh…”
“Tak pun, ibu ambil je lah Maggi tu. Biar Zahid masak lain untuk Zahid,” balas Zahid.
“Pun boleh…” balas Ibu tersenyum. Dia kemudian mengambil mangkuk berisi mi segera itu yang baru sahaja diletakkan di atas meja oleh anaknya itu.
Zahid kemudian melakukan tugas yang sama. Dia memasak lagi sebungkus mi segera, kali ini untuk dirinya pula. Setelah beberapa minit kemudian, mi tersebut telah masak dan kemudian terus dituangkan ke dalam mangkuk. Sekali lagi dia membawa mangkuk ke meja makan. Pada tengah malam itu, dua beranak itu menikmati hidangan mi segera sebagai pengalas perut bagi menghilangkan kelaparan.
Ibunya selesai dahulu diikuti Zahid kemudian. Selapas itu, ibunya terus naik ke tingkat atas menuju ke bilik. Zahid sementara itu masih lagi berada di dapur. Dia duduk sebentar di atas kerusi seperti sedang memikirkan sesuatu. Beberapa ketika kemudian, barulah Zahid naik kembali ke biliknya. Dalam perjalanan menuju ke biliknya, kakinya tiba-tiba terhenti di hadapan pintu bilik ibunya. Dilihatnya pintu bilik itu tidak tertutup rapat. Dengan perlahan-lahan, Zahid membuka pintu itu untuk melihat ibunya yang berada di dalam. Dia melihat ke arah katil bilik, namun tidak kelihatan kelibat ibunya itu. Dia kemudian memasuki bilik itu. Dia mencari kelibat ibunya di dalam bilik itu. Rupa-rupanya ibunya itu berada di balkoni rumah yang bersambungan dengan bilik itu. Terus Zahid kemudian menghampiri ibunya itu.
“Ibu tak tidur lagi ke?” soal Zahid. Serta-merta pandangan Ibu yang sebelum ini dilontarkan jauh ke arah langit yang cerah beralih ke arah Zahid yang tiba-tiba muncul di sisinya.
“Entahlah. Ibu tak rasa mengantuk lagilah,” balas Ibu.
“Kenapa, ibu teringat ayah eh?” soal Zahid mengusik ibunya.
“Bulan yang indah takkan berseri tanpa bintang di sisinya…” kata Ibu.
“Dan bintang itu pula akan kesepian kalau tiada bulan di sisinya…” kata Zahid pula.
“Fitrah manusia untuk mempunyai perasaan rindu dan sepi…”
“Jadi nampaknya, bintang sekarang sedang rindukan bulan?” soal Zahid. Ibunya hanya tersenyum mendengar pertanyaan Zahid itu. Dia tidak menjawab pertanyaan itu. Namun, Zahid tahu ibunya itu rindukan ayahnya.
“Ibu,…” kata Zahid. “Macam mana ibu kenal ayah?” soal Zahid.
“Hah?” soal Ibu kehairanan. Dia sedikit terkejut mendengar pertanyaan anaknya itu. “Kenapa tiba-tiba Zahid tanya ibu?”
“Zahid tak pernah pun dengar ibu cerita pasal tu…” kata Zahid. “Lagipun Zahid hairan macam mana ibu boleh kahwin dengan ayah. Sebelum tu ibu bukan Muslimah lagi kan…”
Sedikit senyuman kemudian terukir di wajah Ibu. Kenangan lalu diimbas kembali dalam kotak fikirannya sebaik mendengar pertanyaan anaknya itu. Agak lama juga dia mengenangkan kembali peristiwa lampau itu. Beberapa ketika kemudian, barulah Ibu bersuara kembali.
“Ibu bukannya tak nak cerita. Ibu cuma rasa perkara tu peribadi sangat untuk ibu,” kata Ibu. “Ibu kenal ayah sejak ibu di tingkatan lima. Masa tu baru awal tahun, bulan Januari, seorang cikgu baru datang sekolah ibu. Kebetulan pula, dia mengajar Add Math di kelas ibu,” katanya lagi.
“Dan cikgu tu ayah?” soal Zahid. Ibunya hanya tersenyum mendengar pertanyaanya itu.
“Mula-mula dia masuk kelas, ibu ingat dia ni mesti garang. Tapi bila lama-lama dia mengajar, ibu rasa selesa pulak,” kata Ibu.
“Masa tu, ayah handsome tak?” soal Zahid.
“Kenapa, sekarang dah tak handsome?” soal Ibu tersenyum.
“Sekarang handsomenya lain…” balas Zahid tersenyum.
“Memang boleh dikatakan cukup handsome. Maklumlah, cikgu fresh lagi, baru keluar dari maktab. Masa tu ramai jugaklah yang terpikat dengan ayah kamu tu,” kata Ibu.
“Ibu?”
“Adalah jugak. Tapi taklah sampai fanatik sangat, sampai nak bagi bunga ke, surat cinta ke,” balas Ibu.
“Wah hebat jugak ya saham ayah masa tu…”
“Masa tu, Add Math ibu memang cukup-cukup lemah. Bukan ibu tak faham apa yang diajar, tapi bila nak jawab soalan, ibu tak tau macam mana cara nak jawab soalan tu,” kata Ibu.
“Dan masa tu ibu mintak tolong ayah?” soal Zahid.
“Pada satu hari tu, hati ibu tergerak nak jumpa ayah kamu tu,” kata Ibu. “Ibu nak mintak tolong dia bantu ibu dalam Add Math. Dan ayah kamu tu memang sudi tolong ibu. Maklumlah pelajar kelas dia masa tu,” katanya. “Dia kata, tak ada seorang pun pelajar dia yang jumpa dia nak minta tolong dalam pelajaran, ibulah orang pertama. Lagipun ibu sorang je pelajar Cina dalam kelas dia. Jadi memang ibu ni jadi tumpuanlah sikit dengan ayah kamu tu”
“Dan lepas tu ibu kenal lebih rapat lagi?”
“Tak. Add Math ibu makin baik. Dan alhamdulillah, SPM tahun tu, ibu dapat straight A. Lepas tu, tahun berikutnya, ibu sambung belajar kat UM,” terang Ibu.
“Macam tu je? Habis tu, bila yang ibu kenal ayah dengan rapat?” soal Zahid.
“Semuanya bermula masa ibu tahun dua di UM dulu. Masa tu, ibu pergi ke kafeteria. Sarapan masa tu. Kemudian ibu ternampak seorang pelajar lelaki tu tergesa-gesa tinggalkan kafeteria. Ibu kenal pelajar lelaki tu sebab satu kuliah dengan ibu,” kata Ibu.
“Dan pelajar tu ayah?” soal Zahid.
“Tak. Dia sebaya dengan ibu,” balas Ibu. “Masa dia kelam-kabut tu, dia tertinggal satu buku tebal atas meja kafeteria. Ibu yang ternampak buku tu cuba panggil dia. Tapi dia dah tak dengar. Dia dah jauh. Jadi ibu pun pergilah ke meja pelajar tadi tu. Ibu pun terus ambil buku tebal yang tertinggal atas meja tu”
“Buku apa? Novel cinta ke?” soal Zahid ingin tahu.
“Buku tu lebih daripada novel,” balas Ibu sambil tersenyum. “Buku tu adalah kitab. Satu buku kitab yang terus mengubah hati ibu,” katanya.
“al-Quran?”
“Tafsir al-Quran,” balas Ibu menambah sedikit penyataan Zahid. “Ibu tak sangka yang buku yang ditinggalkan pelajar tu adalah tafsir al-Quran. Jadi ibu pun ambil tafsir tu dan bawa balik. Ibu akan bagi kembali buku tu pada pelajar tu bila waktu kuliah nanti pada hari esoknya” kata Ibu. “Pada malamnya, bila ibu duduk sorang-sorang dalam bilik, ibu perhati kembali tafsir tu”
“Dan?”
“Hati ibu tergerak nak tengok isi kandungan tafsir tu. Bukan apa, sebab ibu pun nak tahu jugak apa kandungan tafsir tu. Ibu hairan, mengapa kebanyakan orang Islam terlalu ‘membanggakan’ diri dengan mengatakan kitab al-Quran itu adalah kita yang sebenar, satu kitab yang lengkap untuk setiap manusia, yang mengandungi semua aspek kehidupan,” kata Ibu. “Jadi ibu pun cuba buka, nak lihat sendiri kandungan al-Quran itu”
“Jadi apa yang ibu nampak?” soal Zahid.
“Entahlah macam mana, ibu tergerak nak buka halaman belakang tafsir tu. Ibu kemudian terus terlihat satu terjemahan surah ni. Surah tu surah al-Ikhlas atau surah Tulus kalau diterjemahkan dalam Melayu. Maksud surah tu ternyata menarik minat ibu. ‘Katakan: Allah itu Esa. Allah itu tempat meminta. Tiada beranak dan tiada diperanakkan. Dan tiada seorang pun yang serupa dengan Dia’. Begitulah maksud surah tu,” kata Ibu membacakan maksud surah al-Ikhlas.
“Apa yang buat ibu tertarik dengan surah tu? Surah tu pendek je”
“Tiada beranak dan tiada diperanakkan,” balas Ibu. “Ayat itulah yang terus serta-merta menarik ibu untuk mendalami lagi Islam. Belum pernah ibu jumpa dalam mana-mana agama di dunia ni, yang mengamalkan konsep satu Tuhan. Dan Islam percaya pada satu Tuhan. Itulah kunci utama mengapa ibu tertarik dengan Islam. Dalam agama Kristian, ibu diajar dengan konsep anak Tuhan, jelmaan Tuhan, dalam erti kata lain, Kristian mengajar bahawa Tuhan itu seolah-olah berkeluarga,” terang Ibu.
“Maha Suci Allah,” kata Zahid. “Betapa indahnya al-Quran itu. Dengan hanya satu surah yang sangat pendek, ibu boleh tertarik dengan Islam,” katanya lagi.
“Allah itu pemberi hidayah,” kata Ibu. “Dan mulai saat itulah, ibu mula mendalami mengenai Islam”
“Tapi, apa perkaitannya dengan ayah? Macam mana sebenarnya ibu boleh jumpa balik dengan ayah?” soal Zahid kehairanan.
“Nah, inilah permulaannya,” kata Ibu. “Selepas saja ibu memulangkan kembali tafsir tu pada pelajar lelaki tu, ibu terus menuju ke perpustakaan. Ibu nak cari kalau-kalau ada tafsir Quran di situ. Dan alhamdulillah, ibu dapat juga dapatkan senaskah tafsir al-Quran di perpustakaan tu. Ibu terus pinjam tafsir tu,” terang Ibu.
“Librarian tak hairan ke bila ibu buat pinjaman tafsir tu?’ soal Zahid.
“Tak. Ibu cakap kawan ibu yang suruh ambil tafsir tu,” balas Ibu. “Sebaik sahaja ibu pinjam tafsir tu, ibu terus baca isinya. Hampir seminggu jugalah ibu baca, dan kemudian ibu terpaksa pulangkan balik. Walaupun ibu dah baca, ibu tak dapat baca keseluruhan tafsir tu. Jadi ibu memang tak puas baca tafsir tu,” kata Ibu.
“So, apa seterusnya?”
“Ibu ke kedai buku pula. Ibu nak beli terus tafsir kat kedai buku. Lagi senang, sebab ibu tak perlu lagi tergesa-gesa pulangkan tafsir tu pula. Bolehlah ibu mendalami dengan lebih lagi isi al-Quran,” kata Ibu. Dia seketika terdiam. Mungkin sedang mengingati kembali dalam kotak fikirannya peristiwa yang berlaku dahulu. Beberapa ketika kemudian, Ibu menyambung bicaranya. “Pada waktu di kedai buku, apabila ibu di kaunter bayaran, seorang lelaki yang penuh kehairanan menegur ibu”
“Ayah?”
“Dia kehairanan dengan ibu. Yalah, maklum sajalah, seorang gadis Cina pergi ke kedai buku beli satu tafsir al-Quran. Mana-mana orang Islam yang tengok pun pasti kehairanan,” kata Ibu. “Masa tu, ibu tak cam pun muka ayah kamu. Dia yang mula-mula cam ibu. Dia terus tanya sama ada ibu ni bekas pelajar dia. Ibu mula-mula memang teragak-agak nak jawab, tapi bila dia cakap yang dia pernah mengajar ibu masa ibu tingkatan lima dahulu, kira-kira dua tahun dulu masa tu, barulah ibu ingat balik”
“Kenapa, ayah lain sangat ke?” soal Zahid.
“Ayah dia berjambang sikit masa tu. Tu yang ibu tak cam,” balas Ibu.
“Tapi, apa yang ayah buat kat KL?” soal Zahid.
“Masa tulah ayah kamu sambung belajar lagi. Dia buat Master kat UM,” balas Ibu.
“Kat UM jugak? Wah, satu kampuslah dengan ibu!” kata Zahid.
“Ibu pun tak sangka, orang yang pernah jadi cikgu ibu sekarang belajar satu kampus dengan ibu. Tapi masa tu ibu tak tahu pun yang ayah kamu pun belajar di situ. Lepas berjumpa kat kedai buku tu, baru ibu tahu,” kata Ibu.
“Jadi, lepas tu ibu kenal lebih rapat dengan ayah?” soal Zahid ingin tahu.
“Tak juga. Ibu masih lagi anggap ayah kamu tu macam cikgu lagi. Tapi kalau nak dilihat daripada segi umur, umur ibu dengan ayah kamu tu pun bukannya jauh sangat.. Lima tahun je beza umur,” kata Ibu.
“Itu Zahid tahu”
“Sejak daripada peristiwa di kedai buku tu, ibu taklah cuba nak rapat dengan ayah kamu tu, tapi ayah kamu yang cuba nak rapat dengan ibu,” kata Ibu. “Ya, dulu masa sekolah mungkin juga ibu dengan ayah rapat, tapi tu rapat sebagai seorang pelajar dengan guru. Tapi yang ni lain sikit”
“Sebagai seorang kekasih?” soal Zahid.
“Tak. Seorang sahabat,” balas Ibu tersenyum. “Ayah kamu cuba rapat dengan ibu. Dia nak jadi kawan ibu pula”
“Ayah dah suka kat ibu ke?”
“Tak juga. Tapi sebenarnya apa yang menyebabkan ayah kamu nak rapat dengan ibu adalah kerana Islam. Maksud ibu, sebab ibu mula tertarik dengan Islam, ayah kamu mula tertarik nak rapat dengan ibu,” balas Ibu. “Tapi sebenarnya, ayah taklah ada perasaan apa-apa kat ibu. Dia cuma rapat sebab nak tolong ibu. Tolong ibu nak kenal lebih dalam apa itu Islam”
“Apa yang ayah tolong?”
“Banyak sebenarnya. Terus terang ibu cakap, kalau tak kerana ayah kamu yang tolong bimbing ibu, belum tentu sekarang ni ibu seorang Islam, belum tentu kamu ada sekarang,” balas Ibu tersenyum. “Kawan-kawan Melayu ibu semuanya tak nak tolong ibu kenal lebih dalam dengan Islam. Nasib baik ayah kamu ada” kata Ibu mengenangkan kembali kisah lamanya. “Ibu ingat lagi, ayahlah yang bawa ibu ni pergi ke pusat Islam, semata-mata nak ibu kenal lebih mendalam. Di sanalah macam-macam perkara yang ibu belajar mengenai Islam”
“Sesungguhnya dakwah itu bukannya mudah, dan bukannya semua mampu melaksanakannya,” kata Zahid.
“Setelah hampir dua bulan ibu ulang alik ke pusat Islam tu, belajar pelbagai perkara mengenai Islam dengan lebih mendalam akhirnya pada penghujung bulan Ramadhan tahun itu, ibu mengucapkan kalimah syahadah. Ibu akhirnya menjadi seorang Muslimah,” terang Ibu. Sedikit air mata seperti bergenang di kelopak matanya. Mungkin sedikit sayu atau mungkin juga gembira apabila mengingati kembali saat dirinya memeluk agama Islam.
“Jadi, bukan kerana ibu nak kahwin dengan ayah, ibu masuk Islam?” soal Zahid.
“Tak, Zahid,” balas Ibu. “Islam itulah sebenarnya sebab ibu memeluk Islam”
“Maksudnya?”
“Ibu masuk Islam kerana keindahan Islam itu sendiri. Islam yang mengajar umatnya terhadap Allah Yang Esa, Islam yang mengajar umatnya untuk menghormati antara satu sama lain walaupun bukan agama yang sama, Islam yang mengajar umatnya supaya mengangkat dengan tinggi martabat kaum hawa, Islam yang mengajar keadilan terhadap semua orang tidak mengira kedudukan, pangkat, atau keturunan, Islam yang mengajar umatnya supaya senantiasa mengingati Allah dalam apa jua keadaan, Islam yang mengajar keserderhaan dalam hidup, Islam yang mengajar umatnya supaya senantiasa menuntut ilmu sehingga ke akhir hayat, Islam yang mengajar umatnya supaya mencintai akhirat tanpa melupakan dunia. Dan kerana semua keindahan dan keunikan Islam itulah, ibu ambil keputusan untuk memeluk Islam,” kata Ibu.
“Jadi, macam mana ibu dengan ayah boleh berkahwin?” soal Zahid ingin tahu.
“Ayah tertarik dengan ibu sebaik sahaja ibu memeluk Islam,” balas Ibu sedikit tersenyum. “Ayah mula rapatkan dirinya dengan ibu. Mula-mula ibu tak sedar, ibu rasa macam biasa je. Ibu anggap ayah macam sebelum ni juga, seorang guru. Tapi lama-kelamaan, satu kuasa maha hebat terus mengubah perasaan dan hati ibu ni. Perlahan-lahan ibu mula jatuh hati pada ayah kamu. Mungkin sebab usaha ayah bantu ibu ke arah Islam selama ni telah terus mengetuk pintu hati ibu. Ibu jadi sangat terharu dan terhutang budi dengan ayah,” kata Ibu. “Tapi, ibu tak berani nak luahkan pada ayah. Ibu takut cuma bertepuk sebelah tangan saja. Jadi ibu biarkan sahaja perasaan tu. Ibu akui, sejak ibu masuk Islam, memang ibu dengan ayah kerap berjumpa. Tapi semuanya masih berkisar kepada mengenali Islam. Tapi satu hari tu, ayah bawak ibu ke satu masjid. Ibu tak ingat nama masjid tu, tapi di situlah segala-galanya berubah,” kata Ibu. “Ayah kamu tanpa ibu duga meluahkan perasaannya pada ibu di hadapan masjid tu,” katanya kemudian.
“Ibu?” soal Zahid.
“Tangan yang dirasakan bertepuk sebelah tangan sebelum ini rupa-rupa bertepuk dengan yang sebelah lagi. Ibu terkejut dan memang tak menduga. Hanya Allah sahajalah yang tahu macam mana perasaan ibu masa tu. Tersangat gembira kerana tak menyangka ayah pun ada simpan perasaan kat ibu macam mana ibu juga simpan perasaan kat ayah,” balas Ibu.
“Jadi?”
“Ibu dengan hati yang terbuka terus menerima ayah dengan penuh kesyukuran terhadap Allah,” balas Ibu. “Ayah kemudian terus jumpa atuk dan nenek. Lima bulan lepas tu ayah dan ibu diijabkabul. Dan setahun lepas tu, kamu pun dilahirkan,” terang Ibu tersenyum.
“Oh ya, bercakap pasal atuk dengan nenek, macam mana mereka boleh terima keislaman ibu? Mereka tak bantah ke?” soal Zahid.
“Mak mana yang tak sayangkan anak. Ayah mana yang tak kasihkan anak. Tambah pula ibu ni anak tunggal mereka. Memang mula-mula bila ibu bagi tahu hajat ibu itu, mereka berdua memang membantah sekeras-kerasnya. Maklumlah, nenek dengan atuk kamu dulu seorang yang berpegang kuat pada ajaran Kristian. Macam-macam usaha mereka nak bagi ibu jauh kembali daripada Islam. Tapi semakin mereka menentang ibu, semakin ibu dekat dan bertambah kuat dengan Islam,” terang Ibu. “Terus terang ibu cakap, ibu pernah menangis sebab tentangan mereka berdua. Ibu dah tak tahu macam mana nak buat lagi. Nah, di sinilah sekali lagi ayah kamu mainkan peranan”
“Apa peranannya?”
“Mudah je. Satu hari tu, ayah bawa senaskah kitab Injil lama, senaskah kitab Injil baru senaskah kitab al-Quran ke rumah ibu”
“Ayah nak buat apa dengan semua naskah kitab tu?”
“Pada satu hari tu, ayah berjumpa dengan nenek dan atuk. Ayah mengajak atuk untuk berdebat mengenai Islam dan Kristian supaya mereka tahu yang pilihan ibu bukanlah satu pilihan yang salah,” kata Ibu.
“Debat?” soal Zahid. “Debat yang bagaimana?” soal Zahid ingin tahu.
“Mudah je. Ayah akan gunakan al-Quran bagi membuktikan segala hujah-hujahnya mengenai kebenaran Islam, dan bukti-bukti yang ada itu akan dibandingkan dengan kitab Injil orang Kristian. Ayah juga menggunakan kitab Injil itu sendiri bagi menunjukkan percanggahan yang terdapat dalam kitab orang Kristian itu,” terang Ibu.
“Dan atuk bersetuju?” soal Yasmin. Dia tiba-tiba muncul di sebelah Zahid dan Ibu. Zahid dan ibu ternyata begitu terkejut dengan kemunculan secara tiba-tiba Yasmin.
“Huh, buat terkejut je. Lain kali bagilah salam dulu. Masuk yang ni, dah kali kedua abang terkejut,” kata Zahid kemudian.
“Alah, sorilah. Adik rasa tak mengantuklah. Bila adik keluar dari bilik, adik nampak pintu bilik ibu terbuka. Tu yang adik masuk. Lepas tu nampak abang dengan ibu dok bersembang kat balkoni ni,” balas Yasmin. “Ha ibu, lepas tu apa yang jadi?” soalnya kembali kepada tajuk perbualan tadi.
“Seorang paderi dicabar oleh seorang lelaki Islam yang biasa, mana mungkin atuk tak menerima cabaran itu,” balas Ibu. “Atuk memang terus bersetuju. Hari berikutnya maka bermulalah perdebatan hebat itu. Ayah mengeluarkan hujahnya, begitu juga dengan atuk kamu. Ibu dengan nenek pula menjadi penonton dalam perdebatan itu. Dalam hujahan-hujahan yang diberikan, hujah ayahlah yang lebih mantap berbanding dengan hujah atuk kamu. Masa tu atuk kamu tak tau yang lelaki biasa yang berdebatnya itu bukan calang-calang orang. Ilmunya penuh di dada. Atuk tak tahu yang ayah tu anak kepada seorang ustaz di Selinsing,” terang Ibu.
“Kesudahannya?” soal Yasmin ingin tahu kepada ibunya. Walaupun baru sahaja mendengar cerita ibunya itu, dia seakan-akan seperti telah lama berada di situ.
“Debat itu berlansung selama tiga hari. Dan pada hari ketiga itulah, atuk kamu mengalah. Buat pertama kalinya atuk kamu mengakui kebenaran Islam itu”
“Jadi atuk masuk Islam lepas tu?” soal Zahid.
“Tak juga. Dia cuma cakap yang Islam itu mampu membahagiakan ibu. Dan dia cakap, dia tak akan membantah lagi niat ibu itu. Akhirnya hilanglah halangan terbesar ibu untuk memeluk Islam, semuanya kerana bantuan ayah,” balas Ibu. “Sejak hari itu jugalah, atuk dan nenek perlahan-lahan mula belajar tentang Islam. Jejak ibu diikuti atuk dan nenek. Akhirnya, setahun lepas itu, atuk dan nenek kamu memutuskan untuk memeluk Islam”
“Maha Suci Allah… sungguh hebat al-Quran itu. Boleh melembutkan terus hati seorang paderi yang berpegang teguh dengan ajaran Kristian kapada Islam,” balas Zahid dengan penuh kesyukuran.
“Ha, cakap pasal atuk dan nenek, mereka semalam ada telefon ibu. Mereka dah rindu benar nak jumpa kamu berdua. Sheera dah pun jumpa mereka masa nak balik USM hari tu, kamu berdua bila lagi?” soal Ibu.
“Insyaallah…” balas Yasmin dan Zahid serentak.
Ibu kemudian berjalan menghampiri hujung balkoni. Dia kemudian memegang besi pada balkoni itu. Sambil itu matanya memerhatikan bintang yang kelihatan jelas di langit.
“Dalam masa setahun sahaja selepas ibu memeluk Islam, ibu dah lengkap melakukan kesemua ibadah wajib yang perlu dilakukan. Al-Quran, dalam masa tiga bulan sahaja, ibu dah boleh baca dengan lancar. Solat lima waktu pula, tak sampai sebulan ibu dah boleh menyesuaikan diri. Mula-mula memang tak biasa. Ada ketikanya ibu terlupa nak solat. Tapi itu dululah,” terang Ibu. Zahid kemudian merapatkan dirinya ke arah Ibu. Matanya juga memandang ke arah langit. Yasmin kemudian mengikut dari belakang.
“Tapi, orang Islam yang dilahirkan Islam sejak lahir lagi, sampai umur dah separuh abad pun masih belum lancar baca al-Quran. Masih belum cukup solat lima waktunya…” kata Zahid.
“Kalau kita bersungguh, tak ada masalah untuk semua tanggungjawab itu,” balas Ibu. “Yang penting semuanya terletak pada hati kita ni juga,” kata Ibu sambil meletakkan tangannya di atas dada.
“Yalah. Kalau tak kerana ibu masuk agama Islam, tak adalah lelaki Ciyu kat sebelah ibu ni,” balas Yasmin.
“Ciyu?” soal Ibu kehairanan.
“Ciyu… Melayu kacukan Cina. Jadilah Ciyu…” balas Yasmin tersengih.
“Yelah tu…” balas Ibu. “Tapi, ibu cuma nak ingatkan kat Zahid dan Yasmin, kita sebagai orang Islam, perlulah mengamalkan ajaran Islam sepenuhnya sebab Islam itu sempurna. Kalau tak mengamalkan Islam dengan sempurna, tak tutup aurat, solat lima waktu tak cukup, bergaul bebas tak mengenal jantina, bagaimanalah kita nak rasa hidup yang sempurna”
“Betul tu ibu. Walau sekaya, sehebat mana pun seseorang tu, kalau Islamnya tak lengkap, maka tak sempurnalah hidupnya,” sambut Zahid.
“Dan sebab tu yang kaya masih terus mahu jadi lebih kaya, kerana tak merasakan kesempurnaan dalam hidup,” kata Ibu. “Ibu bersyukur sangat sebab ibu dapat hidayah dari Allah. Sekarang ibu dah merasakan kesempurnaan hidup. Tapi sayang, orang Islam sekarang pula meninggalkan ajaran Islam. Zina dah jadi macam satu senaman harian mereka, arak dah jadi seperti penghilang kehausan utama mereka, judi menjadi sumber rezeki terpenting mereka. Ibu memang sedih dengan semua tu,” kata Ibu.
“Dunia hampir tiba dengan kiamat…” balas Yasmin pula. “Tapi sekarang ini masih ada lagi yang taat pada perintah-Nya”
“Tapi jumlahnya terlalu kecil,” balas Ibu.
“Moga kita semua dilindungi Allah…” kata Zahid.
Zahid kemudian memalingkan mukanya ke arah jam dinding di bilik ibunya. Dia terkejut apabila melihat jam tersebut menunjukkan pukul 2.30 pagi. Sungguh tidak disangka dirinya bahawa masa terlalu lewat buatnya.
“Alamak ibu, dah nak dekat pukul 3 pagi dah ni,” kata Zahid kemudian.
“Hah, 3 pagi?” soal Ibu terkejut. “Lewat sangatlah ni!”
“Err… tulah ralik sangat bersembang,” kata Zahid.
“Eh, lewat ke? Rasanya taklah lewat sangat,” balas Yasmin.
“Yelah, adik tu burung hantu kat rumah ni. Time macam ni pun adik boleh kata awal lagi…” balas Zahid kemudian. “Okaylah ibu. Zahid masuk bilik dulu ya. Nak tidur kejap,” kata Zahid kemudian kepada ibunya pula.
“Okay… good night…” balas Ibu.
“Good night?” soal Yasmin hairan. “Ni dah morning ibu,” katanya kemudian.
“Hah, anak dara ibu ni pulak tak reti nak tidur ke?” soal Ibu kembali.
“Yelah ibu. Nak pi tidurlah ni,” balas Yasmin. Dia kemudian dengan perlahan keluar dari bilik ibunya kembali menuju ke biliknya yang terletak bersebelahan.
Hari itu, tiga beranak tidur begitu lewat. Zahid hanya sempat tidur selama sejam sebelum dia bangun semula untuk menunaikan solat sunat dan amalan-amalan sunat yang lain. Pada paginya, Zahid ternyata keletihan. Dia merasakan dirinya begitu lemah. Kesudahannya, Zahid memohon cuti kerja dek kerana tidur lewat malam sebelumnya. Hari itu, Zahid tidak pergi bekerja. Masa paginya dihabiskan dengan tidur. Selama tiga jam tidur pada waktu pagi, barulah Zahid menemui semula kesegaran.
Tamat Ceritera 9
No comments:
Post a Comment