Ceritera 1
“Tiada pena yang mampu bergerak sendiri melainkan adanya seorang penulis. Hakikatnya tanpa seorang penulis, tidak bergunalah pena itu. Apabila satu pena itu menyentuh sehelai kertas, maka pasti ada pengkisahannya daripada seorang penulis itu. Dan kisah ini datang daripada seorang yang benar-benar merasai cinta yang sebenar.”
“Khadijah... Ijah.....oh Ijah..,” panggil Murni menghentikan pembacaan Khadijah. Khadijah sedikit terkejut apabila dipanggil Murni . Dia benar-benar kusyuk membaca buku yang dipegangnya itu. “Buku apa yang hang pegang tu? Nampak macam menarik je. Yalah sampai aku panggil hang banyak kali pun hang tak dengar,” kata Murni kepada Khadijah.
“Tak dak apa. It’s just a book. Emm.. yang hang ni pulak yang kalut panggil aku ni pasal apa?” soal Khadijah kepada Murni.
“Aik? Hang tanya aku pulak. Nak panggil apa lagi, kalau tak nak panggil hang makan. Jom, lauk dah terhidang atas meja tu. Hang ralik betul sampai aku hidang makanan atas meja pun hang boleh tak sedar. Kusyuk sangat hang baca buku tu,” kata Murni sambil jari telunjuknya menunjuk ke arah buku yang dipegang Khadijah.
“Tak dak apa buku ni. Buku biasa je. Aku biasalah, kalau baca buku ke, apa-apa bahan bacaan pun, aku memang tak sedar sekeliling bila dah mula membaca,” Khadijah membalas. Dia kemudian bangun dari sofa di ruang tamu dan berjalan menuju ke meja makan yang terletak berhampiran. Murni kemudian mengikut Khadijah dari belakang berjalan menuju ke meja makan.
Setibanya mereka di meja makan, Khadijah menghentikan langkahnya. Dia berdiri berhampiran meja makan tersebut. Matanya memerhatikan lauk-pauk yang terhidang di atas meja tersebut. Hidangan tengah hari ini nampaknya begitu menyelerakan buat Khadijah.
“Ni beli ke,.. buat?” soal Khadijah sambil matanya masih lagi memerhatikan lauk-pauk yang berada di atas meja.
“Beli pun ada..... buat pun pun ada....” Murni membalas.
“Apa yang buat, apa yang hang beli?”
“Yang aku buat air merah tu.... dengan.... air basuh tangan tu... he, he, he,..” Murni membalas sambil tersengih.
“Ceh...”
Khadijah dan Murni kemudian duduk di kerusi di meja makan tersebut. Khadijah membasuh tangannya dahulu diikuti Murni. Murni kemudian menyendukkan nasi ke pinggan Khadijah sebelum disendukkan ke pinggannya pula. Mereka kemudian menikmati hidangan tengah hari dengan penuh berselera. Tiada langsung perbualan kedengaran semasa mereka sedang menikmati hidangan tengah hari itu. Mereka makan dengan senyap tanpa berbual apa-apa pun. Mungkin hidangan hari ini begitu menyelerakan sehingga mereka tidak mahu membazirkan sedikit masa pun untuk berbual ketika mereka sedang menikmati hidangan.
* * *
Pagi yang dingin tidak sama sekali menjadikan Zahid untuk menghentikan mandiannya. Pukul empat pagi, dia telah bangun. Bangun untuk mendekatkan diri dengan penciptaNya, Allah yang Maha Esa. Dia bangun untuk bertahajud. Amalan solat tahajud ini telah menjadi rutin hariannya sejak tujuh tahun yang lalu. Baginya semakin dekat dirinya dengan Allah, semakin tenanglah kehidupan sehariannya. Hakikatnya, mungkin Zahid adalah insan di antara sejuta yang sanggup mengorbankan waktu tidurnya semata-mata untuk mendekatkan dirinya lagi dengan Allah. Pengorbanan yang dibuat yang pasti besar ganjarannya di sisi Allah.
Sebaik sahaja selesai membersihkan dirinya, dia kemudian terus menghamparkan sejadah sejurus dirinya lengkap berpakaian untuk bersolat. Sebaik sejadah dihampar, kakinya memijak sejadah tersebut. Dia berdiri dengan tenang di atas sejadah itu. Selepas dirasakan dirinya bersedia, Zahid mula melafazkan niat solat dan kemudian mengangkat tangannya sambil bertakbir serta pada masa yang sama, berniat di dalam hatinya untuk bersolat. Yang pasti, solatnya itu dilakukan hanya kerana Allah semata-mata. Dia kemudian meneruskan solat sunatnya itu dengan penuh kekusyukan. Wajahnya dapat dilihat dengan jelas begitu tenang ketika ini. Terbuktilah bahawa Zahid benar-benar kusyuk ketika ini. Mungkin segala masalah hariannya yang menimpa dirinya tidak langsung terlintas di fikirannya ketika ini. Itulah nikmat sebenar apabila bersolat, kekusyukan yang memberi ketenangan.
Zahid melaksanakan pelbagai lagi solat sunat selepas itu. Antara solat sunat yang dilaksanakannya adalah solat sunat Tahajud, solat sunat Hajat, solat sunat Taubat, solat sunat Tasbih serta beberapa lagi solat-solat sunat. Hampir sejam masa diperuntukkan oleh Zahid menjalankan ibadah solat sunat pada awal pagi ini. Keadaan paling sayu semasa menjalankan ibadat solat sunat ini adalah ketika Zahid melaksanakan solat sunat Taubat. Ketika inilah air mata tanpa disedarinya mengalir membasahi pipinya. Perasaan sayu jelas dirasai oleh Zahid. Dia ternyata begitu menyesal terhadap perbuatan dosanya yang lalu. Walaupun dosa-dosanya itu tidaklah begitu besar di sisi Allah, namun bagi Zahid dia tetap menyesalinya. Apabila selesai solat tersebut, dia beristighfar. Ketika inilah rasa sayunya tidak dapat dibendung lagi. Air matanya mengalir tanpa henti. Dia sayu kerana takut terhadap azab Allah atas dosa-dosa yang pernah dilakukannya. Harapannya hanya satu, moga Allah mengampuni terhadap segala dosa yang pernah dilakukannya.
Selepas selesai melaksanakan ibadah solat sunat, Zahid kemudian meneruskan paginya itu dengan bacaan al-Quran, bacaan yang akan dibacanya sehingga masuknya waktu solat fardhu Subuh. Tepat pukul 6 pagi, azan Subuh kedengaran menandakan telah masuknya waktu solat fardhu Subuh. Sebaik selesai berkumandang azan itu, Zahid terus bangun dari sejadah untuk mendirikan solat fardhu Subuh. Solat Subuh yang mempunyai dua rakaat itu dilaksanakan Zahid dengan penuh kekusyukan seperti kekusyukannya ketika melaksanakan solat-solat sunat yang dilaksanakannya sebelum ini.
Apabila jam tepat menunjukkan pukul 7 pagi, Zahid terus turun ke bawah menuju ke luar rumahnya. Namun sebelum itu, dia menukar dahulu pakaiannya ke pakaian sukan. Selepas selesainya urusan penukaran pakaian itu, barulah Zahid keluar dari biliknya yang terletak di tingkat atas. Zahid menuruni anak tangga dengan penuh berhati-hati. Sifat berhati yang mula timbul selepas dia terjatuh dari tangga dua hari yang lalu. Pada masa itu, Zahid kelam kabut untuk menuju ke tempat kerjanya. Dia menuruni anak tangga dengan pantas ketika itu. Akibat tidak berhati-hati, kakinya tidak memijak anak tangga tersebut dengan baik. Akibatnya, Zahid terjatuh dari anak tangga itu. Mujurlah tidak berlaku sebarang kecederaan pada dirinya.
Sebenarnya Zahid pada ketika ini sedang bersiap-siap untuk menuju ke Taman Tasik Taiping, taman tasik tertua di Malaysia. Apa lagi yang akan dilakukannya di sana jika tidak untuk beriadah. Dia akan berjoging di sana. Telah menjadi rutin hariannya untuk ke sana sama ada pada hujung minggu ataupun pada hari bekerja. Baginya, kualiti bekerja bergantung kepada kecerdasan otak seseorang. Dengan beriadah seperti berjoging setiap hari, badannya akan dapat dicergaskan seterusnya mencergaskan otaknya. Hasilnya, kualiti kerja dirinya sudah semestinya akan meningkat. Namun, bukan semua orang mempunyai fikiran seperti Zahid itu. Malas menjadi sebab utama kebanyakan masyarakat hari ini jarang untuk bersenam.
Sebaik kakinya memijak kawasan luar rumah, dia terus berjalan menuju ke keretanya. Proton Persona berwarna hitam itu dimiliki Zahid sebaik sahaja dia mendapat pekerjaan sebagai akauntan di bank Maybank cawangan Taiping setahun yang lalu. Enjin kereta tersebut dihidupkan Zahid. Dia kemudian membiarkan enjin tersebut hidup selama sepuluh minit bagi memanaskannya. Setelah dibiarkan dalam tempoh tersebut, barulah Zahid masuk ke dalam kereta untuk dipandu menuju ke taman tasik. Rumahnya yang terletak di Kampung Jambu tidaklah begitu jauh dari destinasi yang ingin ditujuinya. Sepuluh minit perjalanan, maka tibalah dia di sana.
Pagi Ahad ini, orang agak ramai di kawasan taman tasik. Begitu juga dengan kawasan parkir kereta yang rata-rata kebanyakannya telah penuh. Namun Zahid berjaya juga menjumpai parkir yang kosong. Parkir tersebut terletak berhampiran kawasan Zoo Taiping, zoo tertua di Malaysia. Setelah kereta diletakkan dengan baik di parkir itu, Zahid dengan pantas keluar dari keretanya dan terus berjalan menuju ke menara jam yang terletak di dalam kawasan taman tasik, kira-kira setengah kilometer dari tempat dia berada sekarang. Dia akan ke sana untuk bertemu dengan Izham rakan baiknya yang mungkin telah menunggunya di sana. Telah menjadi rutinnya untuk berjoging bersama rakan baiknya, Izham pada setiap hujung minggu.
Setelah lima belas minit berjalan, akhirnya bertemulah Zahid dengan Izham yang telah menunggu berhampiran dengan menara jam yang terletak di dalam kawasan taman tasik. Nampaknya kali ini Zahid sedikit terlewat daripada kebiasaan. Selalunya, Zahidlah yang akan menunggu Izham di menara jam tersebut. Namun kali ini Zahid ditewaskan Izham. Izham sampai lebih awal berbanding Zahid. Semakin kaki Zahid melangkah menghampiri Izham, semakin meleret senyumannya. Senyuman yang mungkin dijelmakannya untuk menyatakan bahawa dirinya telah menjadi juara yang sampai awal untuk minggu ini.
“Assalamualaikum,” sapa Zahid sebaik menghampiri Izham.
“Waalaikumussalam,” balas Izham. “Awal sampai?” soal Izham memerli Zahid.
“Aku lewat sampai ke, atau hang yang sampai lebih awal daripada kebiasaan aku sampai kat sini?” soal Zahid pula membalas perlian Izham. “Pukul berapa hang sampai sini?” soal Zahid.
“7 pagi,” balas Izham ringkas.
“Patutlah… Aku selalu sampai sini pukul 7.10,” kata Zahid.
“Apa lagi, jomlah!” ajak Izham kepada Zahid, ajakannya untuk memulakan sesi berjoging bersama. Tanpa membalas apa-apa, Zahid terus membuat regangan sebaik diajak Izham. Dia memulakan regangan dengan menarik nafas yang panjang. Izham selepas itu juga mula melakukan aktiviti regangan yang baru dilakukan Zahid itu.
Selepas nafas ditarik dan dihembus beberapa kali, mereka kemudian membuat regangan kepala diikuti regangan tangan. Selepas itu bahagian pinggang pula diregangkan sebelum dituruni ke bahagian kaki. Sejurus selesai regangan kaki, mereka menarik dan menghembus nafas beberapa kali. Selepas itu barulah mereka mula berjoging. Aktiviti regangan itu dijalankan mereka selama lima minit. Mereka berjoging menuju ke arah timur taman tasik, arah menuju ke Zoo Taiping jika berjoging melalui laluan joging yang terdapat di taman tasik tersebut.
“Nampak hang ni macam ada problem je?’ soal Izham kepada Zahid sambil mereka mula berjoging. Izham menyoal demikian apabila melihat wajah Zahid yang kelihatan sedikit pucat ketika itu.
“Bagi aku lima sebab yang menyebabkan hang kata aku ada problem?” soal Zahid kembali.
“Muka hang tu pun dah memberikan lima sebab yang menyebabkan aku kata macam tu,” balas Izham.
“Muka aku ni nampak macam ada problem? Macam tu?” soal Zahid yang ingin mendapatkan kepastian.
“Bukan nampak macam ada problem, tapi memang ada problem,” kata Izham. “Apa masalah hang ni?” soal Izham pula.
“Tak ada apalah. Benda kecik je,” balas Zahid. “Cuma masalah kerja je,” kata Zahid lagi.
“Ye lah tu,” balas Izham yang tahu bahawa Zahid tidak berterus terang dengannya.
“Alah nanti aku ceritalah kat hang. Tak bestlah kalau cakap sekarang. Time joging macam ni kita kena enjoy, releks,’ kata Zahid.
“Kenapa? Berat sangat ke problem hang tu?” soal Izham.
“Emm, nantilah aku cerita kat hang,” jawab Zahid. Dia kemudian melajukan jogingnya meninggalkan Izham di belakangnya.
“Lah, tunggulah. Laju sangat ni,” kata Izham sebaik Zahid melajukan jogingnya. Zahid tidak menghiraukan kata-kata Izham itu. Dia terus meninggalkan Izham di belakangnya.
Mereka menghabiskan masa berjoging selama sejam di taman tasik itu. Kira-kira pukul 8.20 pagi, barulah mereka menghentikan akviti riadah mereka itu. Mereka kemudian terus menuju ke kereta masing-masing. Kereta masing –masing kemudian dipandu menuju ke Restoran Bumi yang bersebelahan dengan bangunan CIMB cawangan Taiping, kira-kira setengah kilometer dari Taman Tasik Taiping.. Mereka akan bersarapan di sana, aktiviti yang mesti dilakukan mereka setiap minggu. Di restoran itulah mereka menghabiskan masa berbual mengenai segala masalah atau segala perkara menarik yang berlaku sepanjang enam hari mereka bekerja.
Zahid meletakkan keretanya berhampiran pasaraya The Store yang terletak berhampiran restoran tempat mereka tujui sementara kereta Izham pula diletakkan betul-betul di hadapan bangunan Restoran Bumi. Tuah memihak Izham untuk hari ini. Sebaik sahaja mereka berdua memasuki restoran tersebut, pelayan di restoran tersebut terus menyapa mereka berdua.
“Encik berdua nak macam biasa ke?” soal pelayan wanita itu. Pelayan itu mungkin berusia belasan tahun jika dilihat pada fizikal tubuhnya. Namun hakikatnya pelayan itu telah berusia 30 tahun dan telah pun berkahwin serta mempunyai dua orang anak. Pelayan itu merupakan anak kepada pengurus restoran tersebut. Dia telah biasa melayan Izham dan Zahid apabila mereka berdua ke restoran itu. Maka tidak hairanlah sebaik mereka berdua masuk sahaja ke restoran tersebut, pelayan itu terus menyoal soalan sebegitu. Pelayan itu telah tahu apa yang ingin diminta oleh mereka berdua.
“Ya, macam biasalah…” balas Izham sambil tersenyum kepada pelayan tersebut. Dia kemudian duduk di meja yang terletak jauh ke dalam restoran, meja yang berhampiran dengan kawasan dapur restoran.
“Lah awat hang ambil meja kat dapur ni? Tak ada meja lain ke? Banyak lagi meja kosong tu…” kata Zahid kepada Izham apabila melihat rakannya itu memilih meja yang berhampiran dengan kawasan dapur restoran.
“Alah apa salahnya. Sekali-sekala kita ambillah bau dari dapur…” balas Izham tersengih. Dia kemudian duduk di kerusi di meja yang dipilihnya itu.
“Yalah tu…”
“So, ceritalah,” kata Izham kepada Zahid sebaik rakannya itu duduk di kerusi.
“Cerita apa pulak ni?” soal Zahid kehairanan.
“Lah, dia boleh buat lupa pulak. Tadi hang kata nak cerita kat aku problem hang,” balas Izham.
“Oh… tu”
“Ceh”
“Tapi macam mana hang boleh tau hah yang aku ada problem?” soal Zahid.
“Aku kawan hang. Aku boleh cam hang kalau nampak lain sikit,” balas Izham.
“Lain macam mana?”
“Muka hang tu, pucat nampak. Tu yang aku agak hang ni mesti ada problem…” kata Izham.
“Semalam aku tak dapat tidur,” balas Zahid ringkas.
“Sungguh?”
“Yalah. Takkan aku main-main pulak cakap kat hang ni….”
“Kenapa?” soal Izham.
“Adik aku…”
“Siapa?” soal Izham. “Si Sheera ke… si Yasmin?” soal Izham lagi.
“Kalau si Sheera aku tak kisah sangat…”
“Jadi,… Yasmin?” soal Izham. Belum pun sempat Izham ingin menyoal Zahid, pelayan tadi tiba-tiba muncul di meja mereka.
“Encik, ni teh O panasnya,” kata pelayan itu sambil meletakkan dua gelas teh panas di atas meja. “Roti canai kejap lagi sampai. Sorilah lambat sikit roti canai tu. Kena buat uli lain. Yang dah siap diuli semua habis,” kata pelayan itu lagi.
“Habis?” soal Izham.
“Ya encik. Hari ni ramai pulak orang nak beli roti canai kat sini…” balas pelayan itu. Dia kemudian meniggalkan meja itu menuju kembali ke dapur.
“Apa yang tak kena dengan Yasmin tu?” soal Izham kembali kepada tajuk perbualan mereka tadi.
“Malam semalam dia telefon. Dalam pukul 12.30 semalam. Dia menangis masa dia telefon,” balas Zahid memberitahu Izham.
“Kenapa?”
“Entahlah. Aku pun tak tau. Tapi dia cakap yang dia takut sangat. Takut apa aku pun tak tau. Dia ada cakap juga yang dia tak larat…” kata Zahid. Wajahnya begitu serius mengingati kembali terhadap apa yang diperkatakan Yasmin menerusi telefon tengah malam semalam.
“Apa sebab dia kata macam tu?” soal Izham cuba mendapatkan kepastian.
“Entah. Aku tak sempat nak tanya. Belum pun aku nak tanya, dia dah letak telefon. Macam manalah aku nak tahu,” balas Zahid.
“Pelik. Dia yang telefon, dia jugak yang letak telefon tu dulu…” kata Izham kehairanan. “Kalau nak kata dia telefon sebab nak megadu kat hang, dia tak bagitau pun masalah dia kat hang…” kata Izham lagi.
“Habis tu macam mana ni? Apa yang aku kena buat ni?” soal Zahid.
“Alah simple je. Apalah susah sangat. Tengah hari nanti hang jumpalah dia. Tanya dia. Bukan jauh pun dia tu. Kat sini jugak sekolah dia. MRSM Taiping je. Dekat je,” balas Izham memberi jawapan terhadap soalan Zahid tadi.
“Ha aa lah. Ya tak ya jugak. Tak terpikir lah pulak…” kata Izham.
“Tulah, hang kerja kuat sangat. Sampai problem kecik macam ni pun hang tak boleh nak settle sendiri. Nasib baik aku ni ada,” kata Izham.
“Terima kasihlah….” balas Zahid.
“Aik? Terima kasih je? Belanja-belanja tak de ke?” soal Izham cuba menceriakan wajah Zahid yang kelihatan agak kusut ketika ini.
“Yalah. Yalah. Aku belanja hang hari ini,” balas Zahid sambil tersenyum. Wajahnya sedikit berseri dengan senyuman tersebut. Hilang sedikit kekusutan yang kelihatan di wajahnya. “Izham, hanglah sahabat dunia akhirat aku…” kata Zahid.
“Kalau tidak apa gunanya sahabat, kalau sahabat tak tolong sahabat kan? Tu baru namanya bersahabat,” kata Izham. “Dahlah tu. Minum teh tu. Nanti sejuk pulak,” kata Izham lagi.
“Eleh, suruh orang. Hang tak minum lagi,” balas Zahid. Dia kemudian terus memegang gelas yang berada di atas meja. Zahid kemudian terus meneguk air teh itu seperti dia meneguk air sejuk sahaja gayanya. Serta-merta Zahid menyembur kembali air yang cuba diminumnya. Izham ketawa sebaik melihat aksi Zahid itu.
“Ooi, tulah. Lain kali hati-hatilah sikit. Awat hang ingat air teh tu macam fresh orange ke? Selamba je hang teguk air teh panas tu,” kata Izham sambil ketawa. “Kalau ada problem pun, tengok-tengoklah apa yang nak masuk dalam mulut hang tu. Jangan main belasah teguk je,” kata Izham lagi.
“Oooi, hang gelak kat aku hah?”
Mujurlah hanya Izham dan Zahid sahaja yang berada di restoran tersebut. Sekiranya terdapat orang lain di restoran itu, malu besarlah Zahid pagi itu. Beberapa ketika kemudian, roti canai berserta kuah kacang dal sampai di meja mereka. Maka mereka kemudian teruslah menikmati hidangan yang telah sampai di meja mereka itu. Dua sahabat itu makan dengan penuh berselera. Dua sahabat itu ternyata menikmati hidangan mereka itu.
Tamat Ceritera 1
No comments:
Post a Comment