Ceritera 7
Pagi yang gelap kini sudah terang. Sudah hampir seminggu Yasmin berada di rumah abangnya. Dia tidak pulang ke rumah mereka di Butterworth. Yasmin ternyata lebih selesa untuk berada di rumah abangnya. Sheera pula sementara itu telah hampir dua minggu berada di rumah abangnya. Minggu hadapan dia akan pulang ke USM untuk menyambung semesternya.
Tepat pukul 8 pagi, Sheera dan Yasmin turun dari bilik masing-masing menuju ke dapur. Hari ini agak lambat mereka bersarapan. Pada fikiran mereka ketika ini, sudah semestinya abang mereka telahpun berada di tempat kerja. Hari ini adalah hari Jumaat, penghulu kepada segala hari. Hari ini jugalah merupakan hari Jumaat terakhir Sheera di sini. Sebaik mereka tiba di ruang tamu, mereka terkejut. Mereka tergamam di dapur.
“Abang?” soal Yasmin sebaik melihat kelibat abangnya di ruang dapur sedang menikmati hidangan roti bakar sambil membaca surat khabar.
“Tak kerja ke?” soal pula Sheera. Zahid kemudian menutup surat khabar yang sedang dibacanya. Dilipatnya kemudian surat khabar itu sebelum diletakkan di atas meja makan.
“Cuti,” balas Zahid ringkas. Dia kemudian mengambil sekeping roti bakar dalam piring di atas meja makan. Terus digigitnya roti itu sebelum dikunyahnya.
“Cuti? Kenapa?” soal Sheera kehairanan.
“Kot ya pun, duduklah dulu. Mai makan,” ajak Zahid kepada Sheera dan Yasmin. Sepatah kata langsung tidak keluar dari mulut Yasmin dan Sheera. Mereka terus duduk berhampiran abangnya. Masing-masing ingin tahu sebab abang mereka itu bercuti hari ini.
“Abang sakit balik ke?” soal Sheera sebaik duduk. Zahid tersenyum. Dia hanya menggelengkan kepalanya untuk menidakkan pertanyaan Sheera.
“Hari ni kita nak balik kampunglah. Tak kan tak tahu kot,” kata Zahid kemudian.
“Kampung? Apasal?” soal Yasmin yang sebelum ini membisu sahaja.
“Lah, minggu lepas lagi ibu dah bagitau kita kan?” soal Zahid kepada adik-adiknya.
“Bila? Ada ke?” soal Yasmin kehairanan.
“A aa abang. Bila? Pasal apa?” soal Sheera pula. Dia kemudian mengambil sekeping roti bakar dari piring abangnya. Lantas dia kemudian mengoyakkan sedikit roti itu sebelum dimasukkan ke dalam mulutnya.
“Oh, lupa pulak. Hangpa tak tau. Abang je yang tau. Ibu telefon abang minggu lepas. Dia suruh kita balik kampung hari ni. Pak Tam nak buat kenduri arwah esok,” terang Zahid. Dia kemudian bangun mengambil cawan yang berada di atas kabinet dapur. Terus dirinya kemudian menuangkan teh yang dibancuhnya di dalam teko tadi ke dalam cawan itu. Dia kemudian kembali ke meja makan sambil membawa cawan yang berisi air teh itu.
“Kenduri arwah siapa?” soal Sheera.
“Arwah Abang Hazwan kot,” kata Yasmin pula. Dia juga telah mula memakan roti bakar yang disediakan abangnya.
“Yup, betul tu,” kata Zahid. Dia kemudian menghirup teh yang baru dituangnya.
“Bila nak balik?” soal Sheera kemudian.
“Pukul 8.30 pagi,” balas Zahid. Yasmin dan Sheera kemudian memberikan reaksi seperti orang yang terkejut. Lantas menyebabkan Zahid menyoal mereka kemudian, “Kenapa, tak boleh ke?”
* * *
Perjalanan tiga beradik menuju ke kampung tidaklah mengambil masa yang begitu lama dan tidaklah juga terlalu jauh dari rumah Zahid di Taiping. Hanya mengambil masa empat puluh minit, maka tibalah mereka di kampung. Kampung mereka terletak di Selinsing tidak jauh dari pusat bandar Taiping iaitu kira-kira 15 km dari pusat bandar. Di situlah satu-satunya kampung yang mereka ada. Namun rumah kampung mereka kini tidak lagi didiami oleh datuk dan nenek mereka memandangkan kedua-duanya telahpun meninggal dunia. Rumah pusaka tersebut kini didiami oleh Pak Uchu, adik bongsu dalam keluarga ayah mereka.
Kawasan rumah kampung tersebut ternyata begitu mempesona untuk mata memandang. Begitu indah kawasan di sekitar rumah tersebut. Rumah pusaka itu terletak betul-betul di tengah kawasan sawah padi yang menyebabkan seolah-olah rumah itu kelihatan seperti berada di atas sebuah pulau yang dikelilingi oleh hamparan sawah padi yang menguning. Sayup-sayup kelihatan rumah itu dari jalan besar yang dilalui Zahid. Tumpuan ternyata pasti tertumpu ke arah rumah itu kepada sesiapa sahaja yang memandang ke arah sawah semasa melalui di jalan besar kerana itulah satu-satunya rumah yang berada di tengah sawah di kawasan tersebut. Lokasi rumah itu sebenarnya dipilih sendiri oleh arwah nenek mereka sewaktu nenek dan datuk mereka baru berkahwin dulu.
Proton Persona milik Zahid mula memasuki jalan kampung, keluar dari jalan besar. Keretanya itu akan dipandu terus menuju ke rumah kampung yang semakin jelas kelihatan di hadapan. Keterujaan semakin bertambah terutamanya Sheera yang jarang pulang ke kampung, apabila semakin hampir mereka dengan rumah itu. Sebaik menghampiri rumah itu, Zahid menggerakkan keretanya itu memasuki halaman rumah kampung itu. Kelihatan beberapa buah kereta berada di halaman itu. Namun tidak kelihatan kereta ayah mereka. Tahulah Zahid bahawa ayah dan ibu mereka masih belum tiba lagi di kampung.
“Mana ibu?” soal Sheera.
“Nanti sampailah tu…” kata Zahid.
Sebaik enjin dimatikan, mereka keluar dari kereta. Zahid merupakan orang pertama yang keluar dari keretanya diikuti Sheera dan Yasmin. Zahid terus berjalan menuju ke dapur rumah itu. Dia tahu, sudah pasti kawasan dapur telah semestinya dipenuhi oleh sanak saudaranya ketika ini. Pada fikiran Zahid ketika ini, dia tahu kebanyakan ahli keluarganya kini sedang sibuk untuk membuat persiapan bagi kenduri doa selamat arwah Hazwan yang akan diadakan pada hari esoknya. Pada fikiran Zahid ketika ini juga, dia tahu bahawa semua sanak saudara telahpun berada di kampung kecuali ayah dan ibunya.
Zahid memasuki dapur rumah. Dilihatnya ketika ini, beberapa wanita sedang sibuk memotong bawang dan bahan-bahan lain. Wanita-wanita itu adalah ibu saudaranya iaitu Cik Long, Mak Uchu, Mak Lang, Mak Tam, dan juga Mak Lin. Kelihatan juga kelibat Ayah Long di dapur tersebut. Masing-masing kelihatan sibuk melakukan tugas masing-masing. Kemunculan Zahid di dapur itu seperti tidak disedari mereka.
“Assalamualaikum, sibuk nampak!” kata Zahid sebaik kakinya melangkah masuk ke ruang dapur. Semua yang sedang sibuk melakukan kerja di dapur terhenti seketika. Mata mereka kemudian dialihkan ke pintu dapur. Masing-masing tersenyum sebaik melihat kelibat Zahid di muka pintu.
“Waalaikumussalam. Bila sampai ni? Tak sedar pun,” soal Cik Long yang duduk di sebelah Mak Tam kepada Zahid.
“Hah, Cik Long tak sedar ke bunyi kereta tadi?” soal Zahid sedikit kehairanan.
“Mana nak dengarnya. Bunyi mesin nyiur tu kuat sangat,” kata Mak Tam yang duduk di sebelah Cik Long.
“Sorang je ke yang datang? Lain mana?” soal Mak Uchu pula yang duduk di satu penjuru di dapur.
“Ada… ni ada kat belakang ni,” balas Zahid sambil menoleh ke belakang. Namun dia kehairanan apabila melihat tiada kelibat adik-adiknya di belakangnya. “Aik mana pergi pulak ni diorang ni?” soal Zahid kehairanan.
“Mana? Yang nampak kamu ada lah,” kata Mak Uchu.
“Tadi ada. Tapi sekarang ni dah tak ada,” balas Zahid sedikit tersenyum.
“Alah macam chipsmore lah tu. Kejap ada, kejap dah tak ada,” kata Cik Long pula. Sekali lagi Zahid tersenyum mendengar kata-kata Cik Long itu.
“Semua dah ada ke kat sini?” soal Zahid yang masih terpacak berdiri di muka pintu.
“Lah, kot ya pun, mailah dok kat sini dulu. Takkan nak jadi jaga pulak kat pintu tu,” kata Cik Long kepada Zahid. Sekali lagi senyuman terukir di wajah Zahid. Dia kemudian melangkah menghampiri Cik Long sebelum duduk di sebelah ibu saudaranya itu.
“Ibu kamu mana?” soal Cik Long.
“Entah,” balas Zahid ringkas.
“Aik, mak sendiri pun boleh entah?” soal Cik Long kehairanan.
“Lah, kak ni boleh tanya pulak soalan tu kat Zahid. Manalah dia tahu mak dia datang ke belum. Zahid dengan maknya tu dah tinggal berjauhan,” kata Mak Uchu tiba-tiba membalas kehairanan Cik Long.
“Aik, ya ke?” soal Cik Long kehairanan lagi.
“Tulah, kalau dah blur tu, tak boleh buat apa,” kata Mak Tam yang berada di sebelah Cik Long.
“A aa kan,” kata Mak Lang pula yang sebelum ini hanya membisu. Dia ternyata lebih menumpukan kepada kerja yang sedang dilakukannya berbanding melayan perbualan yang kedengaran di ruang dapur.
“Tapi hairanlah, macam mana Ayah Long boleh terpikat dengan Cik Long kan?” soal Mak Uchu berseloroh. Ayah Long yang sedang sibuk mengisar kelapa pada mesin pengisar tersenyum mendengar soalan Mak Uchu itu.
“Yang blur tu yang mahal tu. Tu yang terpikat tu,” balas Ayah Long berseloroh. Selorohnya itu kemudian disambut dengan gelak ketawa di dapur. Masing-masing geli hati mendengar jawapan yang dibalas Ayah Long itu. Zahid yang duduk di sebelah Cik Long juga turut mengukir senyuman mendengar kata-kata bapa saudaranya itu. Selepas itu ruang dapur sepi seketika.
“Pak Tam mana?” soal Zahid kepada Cik Long. Sambil itu tangannya juga turut mula membantu Cik Long yang sedang memotong daging.
“Alah Pak Tam kamu tu kat mana lagi…” kata Ayah Long sambil memerhatikan Mak Tam.
“Alah mana lagi kalau tak melayan motor buruk arwah atuk kamu tu,” kata Mak Tam menyambung percakapan Ayah Long.
“Dia memang berkenan dengan motor arwah atuk kamu sejak kecil lagi,” kata Cik Long pula. “Dulu-dulu masa kecik, puaslah atuk kamu tu kejar satu kampung Pak Tam kamu tu sebab bawak motor masa umur tujuh tahun. Cik Long ingat lagi masa tu, atuk kamu tu nak pi pekan sebab nak jumpa Pegawai Daerah. Tapi lambat jumpa Pegawai Daerah tu disebabkan Pak Tam kamu tu curi-curi bawak motor atuk,” kata Cik Long.
“Habis tu apa jadi?” soal Zahid dengan penuh minat.
“Apa lagi, habis kecoh satu kampung dengan gelagat atuk kamu kejar Pak Tam dan gelagat Pak Tam lari dari atuk yang kejar dia. Satu kampung tergelak dengan telatah dua beranak tu,” kata Cik Long.
“Lepas tu last sekali, motor yang Pak bawa tu terbabas masuk dalam bendang. Habis berselut motor tu sekali dengan Pak Tam berselut,” kata pula Mak Uchu.
“Beselut?” soal Zahid tersenyum.
“Assalamualaikum,” sapa seorang lelaki yang baru masuk ke dapur. Mata masing-masing yang berada di dapur tertumpu ke arah pintu dapur. Kelihatan seorang lelaki separuh abad sedang berdiri di muka pintu. Keseluruhan badannya diselaputi dengan lumpur.
“Pak Tam ke ni?” soal Zahid spontan sebaik melihat kelibat lelaki itu. Dan ternyata lelaki itu adalah Pak Tamnya yang baru sahaja mereka bualkan sebentar tadi. Muka Pak Tam yang dipenuhi lumpur jelas sekali membuatkan Zahid yang memandangnya tidak mengecam wajahnya.
“Lumpur?” soal Zahid lagi.
“Awat, accident masuk bendang lagi ke?” soal Mak Uchu tersenyum.
“Tiba-tiba pulak tadi motor tu brek rosak,” balas Pak Tam.
“Habis tu motor mana?” soal Cik Long. Belum sempat Pak Tam menjawab pertanyaan Cik Long, dua kelibat individu muncul di belakang Pak Tam. Mata masing-masing di dapur kemudian pula tertumpu pada dua individu di belakang Pak Tam. Kelihatan dua gadis manis sedang berdiri di belakang Pak Tam.
“Lah, Sheera, Yasmin!” kata Mak Lang tiba-tiba. Sekali lagi Mak Lang yang selalu membisu mengeluarkan suaranya. Dan ternyata apa yang diperkatakan Mak Lang itu adalah tepat. Dua gadis yang berdiri di belakang Pak Tam itu ialah Sheera dan Yasmin. Mereka juga kelihatan diselaputi dengan lumpur sawah menyebabkan mereka juga tidak dapat dicam dengan baik oleh semua orang yang berada di dalam dapur. Pak Tam yang terkejut mendengar kata-kata Mak Lang itu terus menoleh ke belakang untuk melihat kelibat dua gadis yang merupakan anak saudaranya.
“Hangpa pun joint dengan Pak Tam ke?” soal Pak Tam kepada Sheera dan Yasmin. Sheera dan Yasmin hanya tersenyum mendengar pertanyaan bapa saudara mereka itu. Pak Tam kemudian menoleh kembali ke dalam dapur. Dia memandang tepat wajah Cik Long seraya berkata, “Nak pi mandi. Busuk ni. Banyak pulak lumpur yang kena”
Pak Tam kemudian terus menuju ke tingkat atas untuk mengambil tuala. Gelagat Pak Tam itu ternyata menceriakan suasana di dapur. Sebaik Pak Tam beransur berjalan menuju ke atas, Sheera dan Yasmin pula masuk ke dalam dalam dapur. Mata masing-masing kemudian tertumpu pada dua gadis itu. Sheera dan Yasmin yang menyedari pandangan semacam orang di dalam dapur itu hanya tersenyum. Mereka berdiri terpacak di muka pintu.
“Ni kenapa pulak?” soal Cik Long sebaik melihat sekali lagi keadaan Sheera dan Yasmin yang dipenuhi dengan lumpur.
“Awat hangpa tumpang motor Pak Tam kamu ke?” soal Mak Tam pula.
“Eh, tak…” balas Yasmin tersenyum tersipu-sipu.
“Err,… tadi…” kata Sheera tersekat-sekat. Dia seperti sedang berfikir mencari alasan yang baik untuk diberikan pada Cik Long dan Mak Tam serta yang lain.
“Tadi kami terbabas,” kata Yasmin tiba-tiba sambil tersenyum.
“Ya, ya… Kami accident sikit tadi…” kata Sheera.
“Lepas tu, tak tau macam mana pulak, boleh termasuk dalam bendang,” kata Yasmin pula menyambung percakapan Sheera.
“Ya, betul, betul tu…” kata Sheera pula. Dua individu yang bercakap itu seperti dikawal oleh satu otak sahaja. Begitu tersusun kata-kata mereka tanpa berlaku sebarang percanggahan kata. Mereka seolah-olah tahu apa yang akan mereka katakan selepas itu. Bunyinya seperti dirancang, namun hakikatnya itu adalah aksi spontan yang ditampilkan oleh dua beradik itu.
Sebenarnya mereka terjatuh ke dalam bendang kerana leka mengambil buah rambutan di belakang rumah sebentar tadi. Sebaik turun sahaja dari kereta, mereka terus menuju ke belakang rumah untuk melihat pokok rambutan tersebut. Kerana keasyikan melihat buah yang ada, tanpa disedari mereka terjatuh ke dalam bendang yang terletak berhampiran. Itulah cerita sebenar yang tidak mereka ceritakan pada semua orang yang ada di dapur.
“Ye lah tu,” kata Zahid sebaik mendengar alasan yang diberikan mereka berdua. Dia ternyata tahu bahawa dua adiknya itu hanya mereka-reka cerita sahaja.
“Err, kami nak mandi dulu..” kata Sheera. Mereka kemudian mula berjalan menuju ke tingkat atas. Mungkin mahu mengambil tuala di atas. Namun perjalan mereka terhenti di pertengahan jalan apabila Cik memanggil mereka.
“Eh, nak pi mana pulak tu?” soal Cik Long.
“Mandi,” balas Yasmin ringkas.
“Kamu nak mandi dengan Pak Tam kamu ke?” soal Cik Long bersahaja.
“Ish, takkan pulak,” balas Sheera serta-merta. “Siapa masuk dulu, dia mandi dulu”
“Tapi, kalau mandi sekali pun apa salahnya…” kata Yasmin pula tersengih.
“Hah?” soal Cik Long kehairanan. “Biar betul..”
“Lawak jelah Cik Long,” kata Yasmin selepas itu. Mereka kemudian manaiki tangga menuju ke tingkat atas. Namun beberapa anak tangga mereka mendaki, mereka berhenti. Sheera menoleh ke belakang.
“Abang, bak kunci kereta,” minta Sheera.
“Hah, nak buat apa?” soal Zahid kehairanan.
“Ambik tuala. Lupa pulak beg tak bawak keluar lagi tadi,” balas Yasmin pula tersengih.
“Nah,” kata Zahid sambil mengeluarkan kunci keretanya dari poket seluar. Dia kemudian membaling kunci tersebut ke arah Sheera. Sheera serta-merta Cuma menyambut kunci tersebut. Namun kunci yang dibaling oleh abangnya itu tidak berjaya disambutnya.
“Adoi!” jerit Mak Uchu tiba-tiba. Kunci yang dibaling Zahid itu tersasar dan mendarat tepat di atas kepala Mak Uchu yang duduk berhampiran tangga.
“Opps” kata Zahid, Yasmin, dan Sheera serentak.
“Huh, nasib baik kunci kereta je. Kalau batu tadi…” kata Cik Long.
“Apa lagi, Pak Uchu kena berjagalah kat hospital jaga bini dia…” kata Mak Tam pula mengusik Mak Uchu. Sementara itu, Mak Uchu mengosok-gosok kepalanya yang dihentam oleh kunci kereta Zahid sebentar tadi.
“Yelah tu. Orang sakit ni, korang ketawa pulak ye…” kata Mak Uchu. Sementara itu, Sheera yang berdiri di anak tangga turun menghampiri Mak Uchu. Dia kemudian mengambil kunci kereta yang jatuh di atas lantai.
“Sori..” kata Sheera. Dia kemudian berjalan keluar dari dapur menuju ke kereta abangnya. Yasmin juga turut mengikut Sheera selepas itu.
Sejurus mereka keluar, Pak Tam turun dari tingkat atas dengan hanya bertuala. Dia kemudian terus menuju ke bilik air yang terletak di penjuru dapur. Namun langkahnya terhenti sebaik kakinya menghampiri muka pintu bilik air.
“Bila nak masak semua ni?” soal Pak Tam.
“Lepas sembahyang Jumaat ni,” balas Cik Long yang masih sibuk memotong daging.
“Aik?” soal Zahid serta merta sebaik mendengar jawapan Cik Long itu. “Cop,cop,cop…” kata Zahid kemudian.
“Apa cop copnye ni?” soal Pak Tam. “Ingat ni main aci ligan ke?”
“Tak, bukan apa,… tapi Zahid hairanlah, kenapa nak masak petang ni pulak? Bukan esok ke baru nak kenduri?” soal Zahid.
“Betullah tu,” kata Mak Tam pula.
“Habis tu, kenapa masak petang ni pulak? Masak jelah esok,” kata Zahid.
“Sebab malam ni kenduri,” balas Cik Long pula. Zahid tambah keliru mendengar jawapan Cik Long itu.
“Aik, tadi Mak Tam kata esok kenduri, tapi Cik Long kata malam ni pulak kenduri. Mana satu yang betul ni?” soal Zahid kehairanan.
“Ya Allah, betullah tu. Tak faham-faham lagi ke?” soal Pak Tam pula. Dia kemudian masuk ke dalam bilik air sebelum menutup pintu.
“Yang Zahid faham memang ada kenduri. Tapi kenduri tu bukan esok ke?” soal Zahid lagi.
“Betullah tu esok ada kenduri. Malam ni pun ada kenduri. Malam ni kenduri arwah Hazwan,” kata Cik Long. Dia baru sahaja selesai memotong ketulan daging terakhir yang ada di dalam besen plastik. Dia kemudian bangun dan terus menuju ke sinki untuk mencuci tangan menghilangkan bau daging yang melekat di tangannya. Sementara itu, Zahid masih lagi dalam keadaan bingung.
“Kalau malam ni kenduri arwah Hazwan, habis tu esoknya kenduri apa pula?” soal Zahid sambil meletakkan pisau di atas papan pemotong. Dia juga telah selesai memotong daging.
“Esok kenduri bertunang Mak Lang kamu,” balas Mak Tam pula. Serta-merta wajah Zahid berubah. Dia ternyata terkejut dengan apa yang diberitahu oleh Mak Tam. “Eh, mak kamu tak bagitau ke?” soal Mak Tam lagi.
“Mak Lang nak bertunang?” jerit Zahid tiba-tiba. Dia ternyata terkejut.
“Kenapa, tak percaya ke?” soal Mak Lin yang sebelum ini langsung tidak pernah bersuara. Dia ketika ini sedang membasuh daging yang telah selesai dipotong oleh Cik Long dan Zahid tadi di sinki.
Zahid serta-merta terus memandang tepat ke arah Mak Lang. Dia seakan tidak percaya dengan berita mengejut yang baru diterimanya itu. Ibunya langsung tidak pernah memberitahu kepadanya akan majlis pertunangan Mak Lang yang akan berlangsung esok. Mungkin ibunya terlupa atau mungkin juga sengaja tidak diberitahu kepada Zahid. Sementara itu, Zahid terus memandang tepat ke arah Mak Lang dengan wajah yang benar-benar terkejut. Tiada kata-kata lagi yang dapat diungkapkan Zahid dengan kejutan yang diterimanya itu. Mak Lang yang menyedari dirinya dipandang dengan tajam oleh Zahid kemudian bersuara.
“Kenapa, salah ke Mak Lang nak bertunang?” soal Mak Lang. Zahid tidak menjawab pertanyaan itu. Dia hanya membisu sambil sedikit senyuman terukir di wajahnya. Ternyata kali ini dia benar-benar menerima kejutan.
* * *
“Karipap?” soal Murni sambil menghulurkan piring berisi karipap kepada Khadijah. Pembacaan Khadijah kemudian terus terhenti. Dia kemudian terus meletakkan buku yang dibacanya di atas meja kopi. Dia kemudian terus mengambil karipap dari piring yang dihulurkan Murni itu. Murni kemudian meletakkan piring tersebut di atas meja kopi.
“Buat ke?” soal Khadijah.
“Tak, beli,” balas Murni ringkas.
“Beli? Bila?” soal Khadijah.
“Tadi. Masa hang solat Asar tadi,” balas Murni. Dia kemudian duduk di sebelah Khadijah. Matanya pada masa yang sama merenung tajam ke arah buku yang dibaca Khadijah. Buku itu kini berada di atas meja kopi di hadapannya. Khadijah menyedari akan renungan tajam rakannya itu pada buku yang diletakkannya di atas meja kopi itu. Dia tahu rakannya itu ternyata ingin tahu akan buku yang dibacanya itu. Namun dirinya hanya membisu sahaja membiarkan rakannya itu berada dalam keadaan tertanya-tanya. Sambil itu, dirinya mula menikmati karipap yang diberikan Murni tadi. Ternyata kuih tersebut begitu sedap buat Khadijah.
“Sedap!” kata Khadijah. “Hang beli kat mana?” soalnya pula sebaik selesai mengunyah karipap itu.
“Beli kat sini je…” balas Murni ringkas. Dia sementara itu masih lagi merenung tajam buku yang ada di atas meja kopu itu. Lama juga dia memandang buku itu dari jauh. Dia seperti sedang memikirkan sesuatu semasa melihat buku itu. Beberapa ketika kemudian, dia bersuara. “Buku tu… hang dapat mana?” soal Murni yang inginkan kepastian.
“Buku?” soal Khadijah sedikit kehairanan. Dia masih lagi sedang menikmati karipap yang dibawa Murni dari dapur tadi. Ternyata dia begitu berselera menikmati karipap itu.
“Alah, buku yang hang dok kusyuk baca tu,” balas Murni sambil menjeling ke arah buku yang ada di atas meja kopi.
“Oh, buku tu…” kata Khadijah sambil melihat tepat ke arah buku yang dijeling Murni itu.
“Buku tu, Abang Zahid tulis kan?” soal Murni kemudian. Pertanyaan Murni itu tidak dijawab dengan serta-merta oleh Khadijah. Dia membisu sebaik mendengar pertanyaan rakannya itu. Lama juga Khadijah membisu. Dia seperti mengenangkan sesuatu sebaik ditanya rakannya itu. Mungkin kenangan lama menerjah kembali ke ingatannya. Murni menanti dengan sabar jawapan dari Khadijah. Ternyata Khadijah terlalu lama membisu. Akhirnya kerana terlalu lama membisu, Murni bersuara, “Sorilah kalau yang aku tanya tadi buat hang rasa tak selesa pulak”
“Tak, tak de apa pun,” balas Khadijah.
“Habis tu, buku tu memang Abang Zahid tulis?” soal Murni sekali lagi. Kali ini soalan yang ditanya Murni itu mencetuskan senyuman di wajah Khadijah. Khadijah kemudian mengangguk mengiakan pertanyaan rakannya itu.
“Dah lama dia bagi buku ni. Masa tu aku baru je kerja,” kata Khadijah. “Buku yang dia tulis memang tebal. Sampai sekarang pun aku tak habis baca lagi,” katanya lagi.
“Memang tebal,” kata Murni sambil memerhatikan buku di atas meja kopi itu.
“Tulah aku harap dalam sehari dua ni, aku bolehlah habiskan buku ni,” kata Khadijah.
“Lepas tu, boleh aku baca?’ soal Murni.
“Tengoklah,” balas Khadijah ringkas. Dia kemudian mengambil buku yang diletakkannya tadi di atas meja kopi. Terus kemudian dia membuka halaman buku yang dibacanya sebelum ini. Matanya terus tertumpu pada buku itu.
Murni hanya memerhatikan sahaja gelagat Khadijah itu. Ternyata rakannya itu begitu asyik membaca buku yang telah diketahuinya ditulis oleh Zahid. Dengan jelas Murni dapat melihat wajah Khadijah yang kadangkala ceria dan kadangkala sedikit muram sepanjang dia melihat Murni membaca buku itu. Mungkin tulisan yang ditulis Zahid itu berjaya menyentuh perasaan Khadijah. Keinginannya untuk mebaca buku itu juga semakin meluap-luap. Dia ternyata tidak sabar untuk membaca pula buku itu. Namun, semuanya bergantung kepada Khadijah. Khadijah sahajalah yang boleh membenarkan dirinya untuk membaca buku itu. Buku itu khas daripada Zahid untuk Khadijah.
Mata Khadijah terus tertumpu pada buku tersebut. Dia terus membaca buku itu tanpa menyedari bahawa Murni telah manuju ke dapur. Fikirannya ternyata hanya tertumpu pada buku itu. Isi dalam buku itu dibaca Khadijah dengan teliti.
“Kadangkala, seseorang itu mempunyai keinginan yang begitu tinggi hingga kadangkala melebihi daripada kemampuannya sendiri. Mengapa ini berlaku? Adakah kerana nama? Adakah kerana penghormatan? Atau mungkin kerana sikap takbur yang ada dalam hati? Semuanya itu mungkin kerana hati yang tidak bersih. Hati itu yang terlalu kotor. Sedangkan Rasulullah pun punyai sedikit kekotoran pada hatinya, inikan pula manusia biasa. Mereka ini sanggup bergolok gadai semata-mata mahu kelihatan seperti kaya. Mereka sanggup menyusahkan keluarga sendiri semata-mata mahu kononnya ingin mendapat penghormatan daripada orang lain. Anak entah ke mana, isteri entah di mana, dirinya masih tidak sedar. Bukankah bodoh orang seperti itu?”
Sebaik Khadijah membaca perenggan itu, dia menutup seketika buku tersebut. Dia merenung jauh ke tingkap. Dia seperti terfikirkan sesuatu.
“Macam pernah dengar je kisah ni? Macam sindir seseorang je ni? Tapi siapa ha?” soal Khadijah sendirian.
Tamat Ceritera 7
No comments:
Post a Comment