Monday, September 14, 2009

Ceritera 8

Ceritera 8

Orang semakin berkurang di rumah menandakan kenduri bakal tamat tidak lama lagi. Begitu ramai juga hadirin yang datang pada malam ini. Kenduri arwah Hazwan, sepupu kepada Zahid dihadiri hampir dua ratus orang. Kini bilangan hadirin yang masih ada di rumah boleh dibilang dengan jari. Kebanyakan mereka terdiri daripada ahli keluarga Zahid sendiri. Kenduri tersebut diadakan di rumah arwah datuk Zahid setelah hampir setahun sepupunya itu meninggal dunia akibat penyakit leukimia.

Dalam keramaian orang di rumah pusaka itu, tidak kelihatan kelibat ibu dan ayahnya. Sehingga pada waktu ini, ayah dan ibu Zahid masih belum muncul di kampung. Sedikit kerisauan mula terbit dalam hati Zahid. Dia kemudian terus berjalan dari ruang tamu menuju ke tangga beranda. Dia kemudian duduk di atas tangga itu. Mungkin Zahid menanti kepulangan ibu dan ayahnya.

Sementara itu, di dapur pula Sheera dan Yasmin sedang sibuk membasuh pinggan yang ternyata begitu banyak. Turut membantu mereka berdua ialah Mak Lin, ibu saudara mereka yang merupakan adik ipar ayah mereka. Mak Uchu pula sementara itu membantu mengelap pinggan yang dicuci dengan kain. Mak Tam pula sementara itu sibuk melayani anak kecilnya yang terjaga dari tidur. Keriuhan jelas dapat didengar di ruang dapur tersebut. Di dapur itu, didengari juga perbualan antara Cik Long dan Mak Lang. Mereka berdua ternyata sakan bersembang sambil menyusun bahan-bahan masakan ke dalam besen yang akan dimasak malam ini untuk kenduri esok. Perbualan mereka berdua dapat didengari dengan jelas di seluruh ruang dapur itu.

“Oooi, tu nak buat kari kan?” soal Mak Lang pada Cik Long sambil memuncungkan bibirnya ke arah daging yang ada di dalam besen.

“Oooi, tak payahlah nak sibuk-sibuk tolonglah,” balas Cik Long. “Hang esok nak bertunang ni…”

“Alah Cik Long, baru nak bertunang, bukan nak kahwin lagi,” sampuk Sheera yang mendengar perbualan mereka.

“Betul tu,” kata Mak Lang. “Orang nak tolong tu, terima ajalah,” katanya lagi. Sementara itu sifat ingin tahu dalam diri Yasmin tiba-tiba muncul sebaik mendengar perkataan ‘bertunang’ dari mulut kakaknya.

“Siapa tunang Mak Lang?” soal Yasmin.

“Hah, Yasmin tak tau ke?” soal Cik Long kemudian.

“Lah, manalah Yasmin tau. Hari ni baru je tau yang Mak Lang nak bertunang, macam mana nak tau siapa bakal tunang Mak Lang tu..”

“Oh, ya tak ya, lupa pulak. Hangpa semua baru tau hari ni…” kata Cik Long. Sementara itu, Mak Uchu tersenyum sendirian.

“Kalau dah blur tu, memang tak boleh buat apa dah…” kata Mak Uchu. “Yasmin, kalau nak cakap dengan Cik Long kamu ni, hang kena cakap terperinci sikit. Bagi dia senang faham.

“Eh, tu bukannya blur. Tu Cuma terlupa jelah,” balas Cik Long.

“Yelah tu…” kata Mak Uchu. Sambil itu dia melihat jam di dinding. Dia kemudian terus bangun meninggalkan kerja mengelap pinggan. “Uuih, dah lambat ni. Aku nak pi sembahyang dulu,” katanya kemudian. Dia kemudian terus berjalan menuju ke bilik air.

“Alamak Mak Uchu, relekslah. Baru pukul sepuluh,” kata Sheera yang sebelum ini membisu. Namun kata-kata Sheera itu tidak lagi didengari Mak Uchu kerana dia telahpun masuk ke dalam bilik air.

“Alah, macam akak tak kenal dengan Mak Uchu tu. Pantang kalau dia sembahyang lambat…” kata Yasmin kemudiannya. Pada masa yang sama, Cik Long duduk di tempat yang ditinggalkan Mak Uchu. Kini Cik Long pula yang mengelap pinggan. Sheera kemudian memerhatikan Cik Long sambil tersenyum.

“Hah, cakap pasal tadi, siapa bakal tunang Mak Lang tu?” soal Sheera kepada Cik Long.

“Tunang Mak Lang?” soal Cik Long. “Uuih, tunang Mak Lang tu handsome habis. Kalau Cik Long ni tak kahwin lagi, boleh jatuh hati Cik Long ni,” kata Cik Long.

“Lah, ke situ pulak Cik Long ni,” kata Sheera sambil meletakkan pinggan yang baru dicucinya ke dalam besen di hadapan Cik Long. Pinggan-pinggan yang ada di dalam besen itu kemudian nanti akan dicuci oleh Cik Long kemudian.

“Tapi betul, memang handsome orang tu…” kata Mak Lin tiba-tiba mencelah perbualan Sheera dan Cik Long.

“Handsome sangat ke?” soal Yasmin pula. Dia seperti tidak yakin dengan apa yang diperkatakan oleh Mak Lin dan Cik Long.

“Lah, tak percaya ke? Ni betul…” kata Cik Long. “Muka dia tu, macam muka… alah muka…. muka siapa tu?...”soal Cik Long pada Mak Lin.

“Macam Yusri KRU tu…” jawab Mak Lin.

“Lah, tu bukan handsome, tapi tu cute,” kata Sheera dan Yasmin serentak.

“Kaya pun kaya…” kata Cik Long. “Betul tak Mak Lang?” tanya Cik Long sambil menyakat Mak Lang yang berjalan mundar-mandir di dapur sedang sibuk melakukan kerja.

“Kaya?” soal Yasmin dan Sheera serentak lagi.

“Bapak orang tu, dia tu tauke besar hotel kat Penang,” kata Mak Lin pula.

“Anak Datuklah katakan…” kata Cik Long pula.

“Huh, anak Datuk!” kata Sheera sambil berpandangan dengan Yasmin yang berdiri di sebelahnya.

“Hebat jugak Mak Lang ni ya!” kata Yasmin pula. “Tapi, macam mana pulak Mak Lang boleh kenal dengan dia tu?” soal Yasmin.

“Lah, nak buat macam mana, dah tu jodoh Mak Lang kamu,” kata Cik Long.

“Untung Mak Lang tu, dapat suami orang kaya…” kata Yasmin. Sambil itu, matanya memerhatikan ke arah besen yang diletakkan di tepi sinki. Pinggan kotor yang terdapat di dalam besen itu telah tiada. Maka kerja Yasmin pun telah selesai. Dia kemudian duduk di sebelah Cik Long kemudian untuk membantunya mengelap pinggan yang basah. Sebaik Yasmin duduk di sebelahnya, Cik Long bersuara kembali.

“Hah, cakap pasal kaya kan, Cik Long dengar Pak Lan kamu nak beli kereta baru,” kata Cik Long.

“Eh, ni apa pulak kaitan kereta dengan orang kaya ni pulak Cik Long?” soal Yasmin.

“Memang ada kaitan pun, sebab kereta yang suami Mak Lin kamu ni nak beli bukan calang-calang kereta,” kata Cik Long.

“Kereta apa Cik Long? Keretapi?” soal Sheera berseloroh.

“Ish, ada ke keretapi. Ni kereta betul-betullah,” balas Cik Long. “Apa nama kereta tu? Aduh lupa pulak….” soalnya sendirian sambil Cuma mengingati nama kereta yang cuba diberitahunya itu.

“Alahai Cik Long ni, lupa lagi ke?” soal Yasmin sambil menunggu nama kereta yang ingin diberitahu Cik Long. Beberapa ketika kemudian barulah Cik Long bersuara.

“Hah, dah ingat dah! Kereta Toyota Camry!” kata Cik Long dalam nada yang sedikit riang. Mungkin gembira kerana berjaya mengingati nama kereta tersebut.

“Hah, Camry?” soal Sheera dan Yasmin serentak terkejut dengan apa yang diberitahu Cik Long tadi.

“Biar betul Cik Long, takkan Camry kot…” kata Yasmin kemudian.

“Lah, korang tak percaya ke? Tanyalah Mak Lin sebelah kamu tu…” kata Cik Long.

“Betul ke Mak Lin?” soal Sheera pada Mak Lin yang berdiri di sebelahnya. Mak Lin yang mendengar pertanyaan itu hanya mengangguk bersetuju dengan pertanyaan itu.

“Huh, dasyat tu…” kata Sheera spontan selepas mendapat jawapan daripada pertanyaannnya tadi.

Selepas itu masing-masing membisu. Sheera tidak berani lagi untuk menyoal Mak Lin apabila melihat wajah ibu saudaranya itu yang kelihatan sedikit muram selepas disoalnya tadi. Mungkin ibu saudaranya itu kurang senang apabila bercakap mengenai perkara itu. Bagi Sheera dan Yasmin pula, mereka ternyata terkejut dengan perkhabaran itu. Mereka tidak menyangka bahawa suami Mak Lin iaitu Pak Lan ingin membeli sebuah kereta mewah. Bagi mereka, kereta yang ingin dibeli itu telah melebihi daripada kemampuan Pak Lan.

Apabila pinggan mangkuk telah selesai dicuci, Sheera kemudian terus menuju ke bahagian atas rumah meninggalkan adiknyanya yang masih lagi sedang sibuk mengelap pinggan bersama Cik Long. Di bahagian atas rumah, Sheera mencari kelibat abangnya. Dia terus menuju ke ruang tamu rumah, kawasan yang menempatkan televisyen. Di situ, kelihatan Ayah Long, Pak Tam, dan Pak Uchu sedang asyik menonton televisyen. Mereka sedang menonton filem Too Fast Too Furious yang disiarkan di TV3. Sementara itu, di penjuru kanan ruang tamu tersebut, kelihat Pak Lan sedang asyik menggunakan komputer riba. Mungkin dia sedang melayari internet ketika ini. Kelihatan juga anak-anaknya yang seramai lima orang duduk berhampiran dengannya.

Di penjuru sebelah kiri pula kelihatan sepupu-sepupu Sheera- semuanya lebih muda daripada Sheera, sedang leka bermain Monopoly. Ada ketika kedengaran gelak ketawa daripada mereka. Keceriaan jelas tergambar pada wajah mereka. Sheera tersenyum seketika apabila melihat telatah mereka. Mata Sheera kemudian mula kembali mencari kelibat abangnya di ruang tamu. Namun, kelibat abangnya itu tidak kelihatan. Matanya kemudian beralih ke arah pintu yang ada di ruang tamu itu. Pintu yang bersambungan dengan kawasan beranda rumah itu kelihatan terbuka. Sheera kemudian terus berjalan menuju ke pintu itu. Dia pasti bahawa abangnya berada di kawasan beranda.

Seperti yang dijangkanya, abangnya yang dicari itu berada di kawasan beranda rumah. Abangya itu sedang duduk di atas tangga batu di beranda. Dilihatnya abang kesayangannya itu sedang termenung seperti memikirkan sesuatu. Mungkin juga abangya itu keletihan setelah seharian melakukan kerja bagi persiapan kenduri hari ini. Sheera kemudian duduk di sebelah abangnya di atas anak tangga yang sama diduduki oleh abangya.

“Abang letih ke?” soal Sheera sebaik duduk. Zahid terkejut dengan pertanyaan Sheera itu. Dia ternyata tidak menyedari adiknya itu duduk di sebelahnya.

“Adalah sikit-sikit. Alah biasalah tu. Bukan selalu,” balas Zahid.

“Abang ni fikir pasal apa ni? Nampak senyap je ni?” soal Sheera.

“Tak ada apa. Abang Cuma risau dengan ibu ni. Sampai sekarang tak sampai-sampai lagi ni, apa cerita ni…” balas Zahid.

“A aa lah abang. Ni kenduri pun dah habis, tapi batang hidung ibu pun tak nampak lagi. Heran juga ya… Kenapa ibu tak sampai lagi?” soal Sheera pula.

“Kot ya pun, ibu telefonlah dulu….bagitau ke…” kata Zahid.

“Abang tak telefon ibu?” soal Sheera.

“Dah, tapi tak berjawab pun”

“Ayah, telefon tak?”

“Pun sama, tapi tak berjawab jugak”

“Hai pelik ni. Ke mana pulak ibu dengan ayah ni?” soal Sheera kemudian.

“Entahlah, harap-harap sampailah mereka tu…” kata Zahid. Selepas itu Zahid membisu. Begitu juga Sheera yang turut membisu kemudian. Masing-masing senyap tanpa berbicara apa-apa. Hanya bunyi cengkerik di waktu sahaja yang kedengaran ketika ini selain daripada bunyi anak-anak kecil ketawa yang sedang leka bermain di atas rumah serta bunyi kuat televisyen yang ditonton di ruang tamu. Agak lama juga mereka membisu. Masing-masing hanya memerhatikan ke arah langit yang begitu cerah malam ini. Cahaya bulan telah menerangi sedikit langit pada waktu malam ini. Sheera dan Zahid ternyata terpegun melihat keindahan langit itu.

“Cantik kan langit malam ni?” soal Sheera menghilangkan kebisuan mereka.

“Ya, memang cantik. Tu semua sebab cahaya bulan yang ada malam ni,” balas Zahid. “Bila abang tengok langit macam ni, teringat abang dengan manusia kita,” katanya lagi.

“Kenapa?”

“Langit cerah macam ni takkan ada kalau tiadanya cahaya bulan. Kalau tak ada cahaya bulan, langit walau secantik mana sekalipun tak akan dapat dilihat. Macam tu jugak dengan menusia. Walau secantik mana sekalipun seseorang tu, setampan mana sekalipun seseorang tu, kalau tak ada cahaya iman, tak akan berseri wajahnya,” kata Zahid.

“Betul tu abang…” sahut Sheera ringkas.

“Sheera macam langit tu ke?” soal Zahid tersenyum.

“Insyaallah. Kalau boleh Sheera bukan nak jadi secantik langit tu saja, tapi nak juga jadi secantik langit yang disinari cahaya bulan, langit yang cerah disinari cahaya bulan,” balas Sheera.

Zahid hanya tersenyum mendengar jawapan adiknya itu. Bagi diri Zahid, adiknya itu memang telah menjadi seperti langit malam yang disinari cahaya bulan itu. Namun dia tidak mahu menyatakan akan hal itu kepada adiknya.

“Abang dah solat?” soal Sheera kemudian. Zahid yang mendengar pertanyaan adiknya itu hanya menganggukkan kepalanya sahaja menjawab. Dia membisu kembali. Agak lama juga Zahid membisu. Akhirnya Sheera memecahkan kebisuan abangnya itu. “Abang tau tak cerita Pak Lan?” soal Sheera.

“Hah, cerita Pak Lan? Kenapa?” soal Zahid kehairanan.

“Tau tak?”

“Tak, kenapa?” soal Zahid kembali.

“Bunyinya macam Ripley’s Believe It or Not je….” Kata Sheera.

“Kenapa Sheera kata macam tu pulak? Apa Pak Lan tu nak kahwin lain ke?” soal Zahid bergurau.

“Ish, ada ke nak kahwin lain. Mak Lin tu dah habis cantik dah. Kalau Pak Lan cari lain, hai bodohlah Pak Lan tu….”

“Habis tu pasal apa?” soal Zahid yang semakin ingin tahu perkara yang cuba disampaikan Sheera.

“Kereta…”

“Kereta?” soal Zahid yang semakin hairan.

“Abang tau tak yang Pak Lan nak beli kereta baru?” soal Sheera.

“Oh, kereta baru. Alah biasalah tu. Apa yang nak dihairankan sangat tu. Biasalah kalau nak beli kereta baru. Kereta yang dia pakai sekarang ni pun dah berzaman dia pakai. Tu Honda Accord lama dia tu, dah berapa lama dia pakai, sebelum dia kahwin dia dah beli. Tu pun dia beli kereta second hand,” kata Zahid sambil memerhatikan kereta Honda Accord yang diletakkan bersebelahan beranda tempat dirinya berada kini.

“Kalau setakat kereta biasa-biasa je tu tak pelah…” kata Sheera.

“Apasal Sheera kata macam tu pulak?” Zahid kehairanan.

“Kereta yang dia nak beli ni bukan kereta Proton, buka Perodua, bukannya kereta buatan Malaysia,” kata Sheera.

“Alah, Pak Lan tu memang macam tu. Dia bukannya suka sangat kereta buatan Malaysia ni,” balas Zahid. “Tengok kereta dia sekarang cukuplah, sanggup beli yang second hand walhal boleh beli kereta baru macam Proton Iswara masa tu, tapi dia tak nak. Dia kata, dia tak minat kereta buatan Malaysia,” kata Zahid.

“Ya, betul tu. Tapi kereta yang dia nak beli ni kereta Toyota…” kata Sheera.

“Ha, okaylah tu. Kereta Toyota kan memang bagus. Toyota Vios tu, okay apa,” kata Zahid.

“Masalahnya, buka Vios yang Pal Lan nak beli,” kata Sheera.

“Habis tu?”

“Toyota Camry”

“Hah, Camry?” soal Zahid terkejut. Matanya sedikit terbuka luas sebaik mendengar kata-kata adiknya. Memang Zahid ternyata begitu terkejut.

Sheera memerhatikan abangnya itu. Abangnya ternyata terkejut. Abangnya itu kemudian terdiam seketika. Dia seperti terkenangkan sesuatu, atau mungkin sedang memikirkan sesuatu. Beberapa ketika kemudian, abangnya ketawa beredekah-dekah. Sheera kehairanan melihat abangnya itu.

“Kenapa abang gelak pulak ni?” soal Sheera. “Tadi terkejut, sekarang ni pula ketawa pulak…”

Namun pertanyaan Sheera itu tidak dijawab Zahid. Dia terus ketawa. Kelucuan ternyata telah menggelikan hatinya. Namun kelucuan yang diketawakan Zahid itu langsung tidak difahami Sheera.

“Apa yang lucunya abang?” soal Sheera. Kali ini pertanyaan Sheera didengari Zahid. Ketawanya kemudian semakin mengecil. Sebaik semakin perlahan ketawanya, barulah Zahid menjawab.

“Apa Sheera ni nak buat lawak ke? Lucu pulak bila abang dengar apa yang Sheera cakap tadi…” kata Zahid.

“Lawak apa ke mendanya… Ni memang betul, memang betul abang,” kata Sheera pula.

“Hah, betul?”

Ya, betul, ni betul-betul abang, bukannya cobaan…” balas Sheera.

“Serius?”

“Ya….”

“Wah, dasyatlah kalau macam tu. Abang ingat Sheera main-main je…” kata Zahid. “Tapi, macam mana Sheera boleh tahu pasal tu?” soalnya.

“Cik Long cerita tadi masa basuh pinggan” balas Sheera.

“Tapi, macam mana Pak Lan tu dapat duit hah? Abang hairanlah, sebab Pak Lan buka kerja besar pun, kerani sekolah je dia tu…. Camry tu bukannya puluh-puluh ribu, tapi ratus-ratus ribu tu…” kata Zahid.

“Tulah, Sheera pun hairan. Manalah dia dapat banyak duit nak beli kereta tu?” soal Sheera.

“Dia menang ekor kot..” kata Zahid tersenyum.

“Ish, abang ni. Tak baik tau cakap macam tu kat Pak Lan”

“Tapi, kalau pikir-pikir balik, Pak Lan tu memang citarasa dia tinggi pun,” kata Zahid. “Tengok masa dia belum kahwin pun bukan main hebat citarasa dia tu. Baju nak branded-branded, jam, wallet, boleh kata semualah barang-barang dia tu semuanya berjenama”

“Kot ya pun citarasa tinggi, ukurlah badan sendiri dulu. Abang yang kerja bank pun pakai Persona je…” kata Sheera.

“Abang sokong produk Malaysia….” kata Zahid tersenyum.

“Yang jadi mangsa nanti siapa? Anak-anak dia jugak nanti…. Kalaupun ada citarasa tinggi, kena ikutlah kemampuan yang ada,” kata Sheera. “Kesian bila Sheera tengok Mak Lin tu”

“Mak Lin tu pun satu. Ikut je apa yang Pak Lan tu nak buat. Dia jadi macam patung je…” kata Zahid.

“Sebab macam patunglah dia dah ada lima orang anak…” kata Sheera.

“Ish, ke situ pulak Sheera ni….” kata Zahid. “Tapi abang memang kesian betul dengan Mak Lin tu, taat habis dengan suami dia tu,” katanya lagi.

“Zaman sekarang ni bukan senang nak jumpa orang macam Mak Lin tu. Satu dalam seribu orang macam dia tu,” kata Sheera. “Tapi sayang, Pak Lan tak hargai pun Mak Lin tu”

“Kalau abanglah kan, abang kalau boleh nanti kalau nak cari calon isteri, abang nak orang macam Mak Lin tu,” kata Zahid.

Sheera memandang Zahid dengan sedikit terkejut. Dia sedikit terkejut dengan pernyataan abangnya itu.

“Isteri? Hai tiba-tiba cakap pasal tu, kenapa? Dah ada calon ke?” soal Sheera berseloroh.

“Aik, cakap pun tak boleh ke?” soal Zahid.

“Aik, marah nampak?” soal Sheera kembali.

“Aik, kita aik dia dia aik kita balik…” kata Zahid tersenyum.

“Tapi abang, kalau abang nak orang macam Mak Lin tu, abang janganlah jadi pulak macam Pak Lan tu,” kata Sheera.

“Insyaallah tak”

Selepas itu, masing-masing membisu kembali. Beberapa ketika kemudian, Zahid bangun dari duduknya. Dia kemudian mendaki anak tangga menuju ke bahagian atas rumah.

“Jom kita pi naik rumah. Hari dah makin lewat ni. Malam pun makin makin sejuk ni. Mungkin sat lagi nak hujan kot,” kata Zahid sambil menaiki anak tangga. Ternyata malam itu agak berbeza kedinginannya. Mungkin hujan akan turun tidak lama lagi.

Sheera kemudian bangun dan mengikut abangya naik ke atas rumah. Sambil menaiki tangga, Sheera cuba menyoal abangya lagi. “Abang, siapa calon isteri abang tu? Sheera kenala ke? Kawan abang ke? Ke, orang yang baru abang kenal?” soal Sheera bertubi-tubi.

“Ish, tak adalah. Mana ada,” balas Zahid.

“Alah, abang tipu. Baik abang cakap betul-betul. Nanti Sheera bagitau ibu karang,” kata Sheera.

“Ibu? Kenapa nak bagitau ibu pulak?” soal Zahid.

“Pin…pin…pin…”

Tiba-tiba kedengaran bunyi hon kereta memecah sedikit kesunyian malam di rumah pusaka itu. Terus mata Zahid dan Sheera beralih ke arah halaman rumah. Dilihat mereka kemudian sebuah Proton Perdana berwarna hitam masuk ke halaman rumah. Mereka kemudian berpandangan antara satu sama lain.

“Ayah, ibu!” kata mereka serentak.

Mereka kemudian turun semula dari rumah dan terus menuju ke halaman rumah menghampiri kereta yang baru memasuki tadi. Sebaik enjin kereta dimatikan, pintu kereta itu dibuka. Seorang wanita kemudian keluar sebaik pintu kereta dibuka. Sekali lagi Sheera dan Zahid berpandangan antara satu sama lain. Mereka kehairanan.

“Ibu?’ soal mereka serentak.

“Hello anak ibu,” sapa wanita itu. Wanita itu adalah ibu kepada Zahid, Sheera dan Yasmin. Dia kemudian terus memeluk erat kedua-dua anaknya itu kemudian. “Mana adik?” soalnya.

“Er, dia ada kat dapur,” balas Zahid ringkas.

“Ibu, ayah mana?” soal Sheera kehairanan.

“Oh, ya lupa pulak ibu nak bagitau. Ayah tak boleh balik sebab dia ada kursus kat KL,” balas Ibu.

“Kursus? Kenapa tak bagitau awal-awal?” soal Zahid pula. Sambil itu, Ibu membuka bonet belakang kereta. Dia kemudian mengeluarkan beg pakaian dari bonet itu. Besar juga beg yang dikeluarkan Ibu itu.

“Besarnya ibu. Macam nak duduk lama je kat sini,” kata Sheera sebaik melihat beg yang dikeluarkan ibunya itu.

“Ayah kamu ada kursus last minute. Lepas Subuh pagi tadi dia kena pergi KL. Kerani sekolah tulah yang silap bagitau ayah,” terang Ibu sambil menutup kembali bonet kereta.

“Kenapa ibu bawa beg besar sangat ni? Kita dok kat sini pun bukannya lama sangat ibu,” soal Sheera yang masih lagi kehairanan dengan beg besar yang dibawa ibunya.

“Oh, ya lupa pulak!” kata Ibu. Dia menoleh ke arah Zahid. “Boleh ibu tinggal rumah kamu lepas kenduri ni?” soalnya.

“Eh, boleh apa salahnya,” balas Zahid. “Ada ibu kat rumah baru best,” katanya lagi.

“Ibu nak duduk sebulan. Boleh tak?” soal Ibu.

“Hah, sebulan!” kata Sheera dan Zahid serentak terkejut.

“Ya,” balas Ibu ringkas.

“Tapi, kenapa ibu? Ibu gaduh dengan ayah ke? Tak pernah pun sebelum ni ibu gaduh dengan ayah,” kata Sheera.

“Eh, mana adalah. Lepas ayah kursus tiga hari ni, dia lepas tu pi Brunei,” balas Ibu. “Ayah ada kat sana dalam sebulan. Daripada dok sorang-sorang kat Penang tu, baik ibu dok dengan abang kamu ni”

“Hah, ayah pi Brunei? Sebulan?” soal Sheera. “Ayah kahwin lain ke? Kahwin dengan orang sana ke?”

“Coih, jangan sebut-sebut perkara tu,” kata Ibu sepantas kilat memberi reaksi. “Nanti jadi betul-betul tak pasal-pasal je. Ayah pi sana sebab dia ikut program pertukaran sekolah antara Brunei dan Malaysia,” katanya.

“Oh, kalau macam tu, tak pelah. Zahid okay je,” kata Zahid.

Mereka kemudian berjalan menuju ke dalam rumah. Di dalam rumah, masing-masing ternyata gembira dan terkejut dengan kedatangan Ibu. Cik Long, Mak Lin, Mak Lang, Mak Tam, semuanya naik ke atas rumah untuk melihat Ibu yang baru tiba dari Pulau Pinang.

* * *
Khadijah menutup kembali buku yang dibacanya. Matanya kemudian terus melihat pada jam di dinding. Waktu sudah menghampiri pukul 7 malam. Ternyata dia begitu leka membaca buku yang ditulis Zahid itu. Dia kemudian terus bangun dari duduknya. Namun sebelum bangun, dia melihat ke arah luar rumah. Kelihatan Murni rakannya itu sedang leka berbual menerusi telefon. Pada fikiran Murni, mungkin seseorang yang istimewa sedang berbual dengan Murni. Khadijah tersenyum sendirian melihat telatah rakannya itu.

Dia kemudian terus menuju ke bilik air. Sudah tiba masanya untuk membersihkan dirinya. Selepas itu, bolehlah dia terus menunaikan solat Maghrib. Kesegaran selepas mebersihkan diri sudah pasti akan menambahkan lagi kekusyukan dalam solat nanti. Setelah selesai membersihkan diri, terus dirinya menuju ke bilik hadapan rumah rakannya itu. Di bilik itu nantilah, dia akan menunaikan solat fardhu Maghrib. Perjalanan dirinya menuju ke bilik itu terhenti seketika ketika dia berada di ruang tamu. Kelihatan Murni sedang duduk di sofa sambil menonton televisyen.

“Tadi, sakan nampak. Bual punya lama,” kata Khadijah. “Awat, yang teristimewa telefon ke?” soal Khadijah cuba menyakat Murni.

“Ish, tak adalah. Aku telefon mak akulah tadi,” balas Murni. “Biasalah, bila ada apa-apa hal, mestilah nak mengadu kat mak aku, nak mengadu kat siapa lagi…”

“Hang ni memang anak maklah,” kata Khadijah tersenyum.

“Mestilah. Hanya ibu kita je yang tahu keseluruhan pasal kita. Dia je yang tahu keseluruhan diri kita. Dia yang paling faham dengan perangai kita. Jadi kalau ada masalah, dia boleh tolong kita,” kata Murni.

“Ya, betul tu. Kasih ibu sampai ke syurga….” balas Khadijah. “Pengorbanan ibu tak akan terhenti sampai bila-bila pun. Semuanya hanya untuk anaknya sahaja. Dialah orang yang paling setia dengan kita. Dialah orang paling faham dengan kita. Tapi sayang, anak-anak langsung tak sedar semua tu,” kata Khadijah.

“Agama yang tak diisi dalam jiwa punca semua tu jadi,” kata Murni.

“Habis tu, salah ibu kembali anak-anak jadi macam tu?” soal Khadijah.

“Bukan salah ibu, tapi anak itu sendiri kerana tak ikut apa yang diajar ibunya,” balas Murni.

“Opps, ralik pulak aku ni. Aku nak pi solat dulu yer,” kata Khadijah. Dia kemudian masuk ke dalam bilik. Namun, beberapa ketika kemudian dia keluar dari bilik itu kembali. “Oh ya, lupa pulak. Aku nak tanya hang, boleh tak beberapa hari ni aku dok rumah hang jap?” soal Khadijah.

“Kenapa?” soa Murni kehairanan

“Kat rumah aku tak dak siapa pun. Semua pi Penang ada urusan sikit,” balas Khadijah.

“Kenapa hang tak ikut depa?” soal Murni.

“Kalau nak diikutkan, memang aku nak pergi. Tapi Ibu tak bagi aku pergi. Dia kata tak elok aku pergi dalam keadaan aku macam ni. Dia suruh aku banyak-banyak berehat,” balas Khadijah.

“Banyak-banyak berehat?” soal Murni kehairanan. “Apa yang jadi kat hang? Hang sakit ke?” soalnya lagi.

Namun, Khadijah tidak membalas pertanyaan rakannya itu. Dia kemudian masuk kembali ke dalam bilik untuk solat Maghrib. Pertanyaan yang tidak berbalas itu menyebabkan Murni sedikit kehairanan. Televisyen yang ditontonnya sebelum ini langsung tidak diperhatikannya lagi.

“Apasal dia tak boleh ikut pulak? Dia sakit ke?” soal Murni sendirian. “Kot ya pun sakit, takkan sampai tak boleh ikut famili sendiri? Jalan jauh sikit, takkan tak boleh. Lagipun nampak Khadijah tu sihat je. Dia okay je. Tapi selalunya orang yang tak boleh jalan jauh ni cuma satu je, orang yang mengandung,” katanya. “Eh, Khadijah ni mengandung ke?”






























Tamat Ceritera 8

No comments: