Ceritera 12
“Abang tak rasa nak bangun dari sinilah,” jawab Zahid yang masih lagi menutup hidungnya dengan kertas surat khabar.
“Habis tu nak tunggu sampai dah semput, baru nak bangun?” soal Sheera.
Zahid terdiam sebaik mendengar pertanyaan adiknya itu. Memang benar kata-kata Khadijah itu. Dia pasti akan semput jika berada lama lagi di tempat dia kini berada. Asap yang semakin banyak sudah pasti akan melemaskannya.
“Abang tu bukannya tahan dengan asap ni…” kata Sheera. “Karang orang lain sambut kenduri kat sini, abang sambut kenduri kat hospital,” katanya.
“Yalah, yalah abang tahu,” balas Zahid sambil bangun dari tempat duduknya.
“Sheera cuma nak ingatkan abang je… Takut perkara yang sama berulang semula,” kata Sheera.
“Yalah Sheera si manis. Abang tahu Sheera sayangkan abang,” balas Zahid sambil mencubit pipi adik kesayangannya itu. Dia kemudian mula berjalan meninggalkan kawasan memasak yang semakin dipenuhi dengan asap kayu api.
“Eh, abang nak pergi mana pulak tu?” soal Sheera menghentikan langkah Zahid.
“Lah, tadi suruh orang pergi dari sini, sekarang soal pulak?” balas Zahid. “Abang nak naik ataslah berehat je kat sana”
“Kalau abang naik atas rumah pun, asap boleh masuk jugaklah abang,” balas Sheera.
“Habis tu, nak pi mana? Dok dalam jamban tu?” soal Zahid sambil melihat ke arah tandas yang terletak berhampiran dapur.
“Kalau nak, abang doklah kat sana,” balas Sheera spontan. Dia kemudian menyambung percakapannya, “Tu, abang pi je rumah Tok Su kat hujung sana. Tok Su dah bagitau kat Sheera tadi. Abang berehat ajelah kat sana. Dia dah tau abang tak boleh kena asap banyak-banyak macam ni. Rumah Tok Su tu kan jauh sikit dari sini”
“Uih, jauh tu…” balas Zahid.
“Alah, tak de jauh mana pun. Jalan kaki sikit, sampailah rumah dia…” kata Sheera.
“Cucu perempuan dia tu ada tak?” soal Zahid.
“Ish, abang ni! Takkanlah si Suraya tu ada kat rumah. Dah tentu-tentu dia ada kat sini. Kalau tidak masakan Tok Su boleh suruh abang pergi rumah dia tu,” balas Sheera sambil sedikit menggelengkan kepalanya.
“Lah, kalau ada barulah best…” kata Zahid bersahaja.
“Yalah tu. Nanti daripada seorang je yang akad nikah, tak pasal-pasal pulak nanti jadi dua orang…” kata Sheera kemudian.
“Dua orang?” soal Zahid kehairanan. Namun pertanyaannya itu tidak dibalas Sheera.
Zahid kemudian mula berjalan meninggalkan tempat memasak itu menuju ke rumah Tok Su yang terletak seratus meter dari rumah kampungnya. Semuanya adalah disebabkan dirinya yang tidak dapat menahan asap yang banyak di persekitaran. Sekiranya terdedah begitu lama dengan asap, debu, atau habuk, maka buruk padahnya buat Zahid. Penyakit asmanya pasti akan menyerang semula. Hal ini telah diketahui oleh semua ahli keluarga ayahnya. Maka tidak hairanlah apabila Tok Su menawarkan rumahnya kepada Zahid untuk berehat bagi mengelakkan Zahid daripada terdedah kepada asap. Kerja-kerja kenduri yang boleh menghasilkan asap atau debu yang banyak sama sekali tidak dibenarkan mereka terhadap Zahid. Maka tidak hairanlah juga apabila Zahid hanya berehat sahaja di bawah rumah semasa orang lain sibuk menyediakan masakan untuk majlis makan malam nanti. Masing-masing membantu Zahid bagi mengelakkan dia terkena asma kembali, dan sudah pasti membuktikan sifat prihatin yang ditonjolkan oleh ahli keluarga ayahnya.
* * *
Hadirlah keindahan yang abadi
Kau lenyapkan kenangan yang telah kualami
Cinta yang didusta rela ku dosa
Kelalaian kau memperdayaku
Namun apalah dayaku
Tempuh biar kau hanyut
Hanyut dalam warna-warna dunia
Heningnya ku rasakan
Melihat jiwa meronta
Ku gagah dan teguh berdiri
Segala nikmatnya syurga kononnya
Kelalaian kau memperdayaku
Namun segala kisah berlaku
Harus ku terima
Hanya berserah pada yang
Maha esa
Tiada apa ku harap
Hanya dapatku temukan
Keindahan yang abadi selamanya
Namun segala kisah berlaku
Harus ku terima
Hanya berserah pada yang
Maha esa
Tiada apa ku harap
Hanya dapatku temukan
Keindahan yang abadi selamanya
Lirik lagu ‘Hilang’ nyanyian kumpulan Meet Uncle Hussein dibaca Khadijah dari buku yang dipegangnya. Buku hasil tulisan Zahid itu diselitkan sedikit lirik lagu kumpulan tersebut.
“Kehilangan yang pasti akan Khadijah rasai abang…” bisik Khadijah sendirian. “Khadijah memang rindukan abang… Tapi apakan daya, takdir Allah telah menentukan semuanya…”
Dia kemudian membuka kembali buku itu. Bacaan yang terhenti seketika itu disambung kembali. Malam yang semakin lewat ternyata langsung tidak menghilangkan minatnya untuk meneruskan pembacaannya.
“Adakah pangkat dan darjat membezakan manusia dengan manusia yang lain? Adakah harta dan kekayaan yang dimiliki itu akan membeza seseorang manusia itu? Hakikatnya, semua manusia itu sama sahaja di sisi Allah. Manusia itu sendirilah yang membeza-bezakan sesama mereka berdasarkan pangkat, harta, dan kekayaan”
“Harta dan pangkat bukan ukurannya. Hati itu yang menjadi perbezaannya…” bisik Khadijah sebaik membaca ungkapan tadi dari buku yang dipegangnya.
“Ya, macam kenduri abang Jasmin dulu tu. Ingat tak?” soal Murni tiba-tiba muncul di belakang Khadijah. Khadijah sedikit terkejut sebaik mendengar suara Murni yang tiba-tiba muncul itu.
“Ya, betul tu… Ibarat langit dan bumi…” kata Khadijah.
* * *
Pagi Sabtu ternyata bukan pagi yang biasa buat Zahid dan adik-adiknya. Pagi ini mereka berada di kampung dalam kedinginan pagi yang ternyata begitu menyegarkan. Suasana di kampung ternyata begitu berbeza berbanding di rumahnya sendiri. Itulah keseronokan buat Zahid setiap kali pulang ke kampung. Pagi itu semua ahli keluarga bangun awal. Solat Subuh dilaksanakan secara berjemaah dan diimamkan oleh ayah Zahid sendiri. Itulah satu tradisi yang diamalkan sejak dahulu lagi, dahulunya dibuat oleh datuknya dan kini diteruskan oleh ayahnya pula.
Bagi Zahid, dialah orang pertama yang bangun di rumah itu. Maka dia tidak menghadapi masalah untuk mandi pada awal pagi kerana tidak perlu berebut dengan orang lain. Begitu juga dengan Ayah, Ibu, Sheera, dan Yasmin yang turut bangun lebih awal berbanding yang lain. Memang keluarga Zahid cukup dikenali dengan budaya bangun awal pagi dalam kalangan keluarga yang lain. Namun bagi yang lain, suasana kelam-kabut ternyata timbul sebaik sahaja selesai solat Subuh. Masing-masing berebut ke bilik air yang hanya satu sahaja terdapat di rumah itu. Maka kekecohan tercetus pada awal pagi itu yang ternyata meriuhkan suasana pagi di rumah itu. Suasana bertambah kecoh apabila Mak Tam dan Pak Tam berebut bilik air.
Ayah Long yang berada di dapur menyaksikan kekecohan itu kemudian dengan selamba berkata, “Alah, apalah susah sangat, Pak Tam dan Mak Tam mandi je sekali. Habis cerita. Tak payah lagi nak berebut-rebut macam ni”
Kata-kata Ayah Long itu disambut dengan ketawa oleh yang lain. Serta-merta Mak Tam dan Pak Tam terdiam sebaik mendengar kata-kata Ayah Long itu.
“Alah, bukannya haram pun kan…” kata Ibu pula yang turut berada di dapur.
“Dah lah tu. Pi je rumah aku, Pak Tam. Rumah aku tu kosong bilik airnya. Kakak hang Cik Long tu je yang ada kat sana,” kata Ayah Long lagi tetapi dengan nada yang serius.
“Entah, betul tu. Rumah kat sekeliling ni pun bukan rumah orang lain pun. Semuanya rumah adik-beradik kita. Tu rumah Tok Su pun boleh juga kalau nak tumpang mandi,” kata Mak Uchu pula.
“Time macam ni, kapasiti rumah ni penuh…” kata Ibu pula.
Hari ini merupakan hari yang cukup bersejarah. Hari ini merupakan hari yang penting buat Mak Lang. Hari ini dia bakal bergelar seorang isteri. Akhirnya gelaran ‘andartu’ yang diberikan ahli keluarga selama ini akan berakhir hari ini. Majlis akad nikah dijangka akan dilangsungkan pada pukul 11.30 pagi ini di rumah. Disebabkan datuk Zahid telah meninggal, maka ayah Zahid akan menjadi wali bagi majlis akad nikah tersebut.
“Kalaulah tok dengan nenek ada lagi, kan seronok mereka berdua. Akhirnya Mak Lang akan berkahwin juga,” bisik Zahid sendirian ketika sedang menunggu sarapan di dapur.
Kerja memasak mula dijalankan sekitar jam 8 pagi dan dilakukan di kawasan rumah Ayah Chu. Kawasan memasak semalam pula bakal dijadikan sebagai kawasan mencuci dan membersih pinggan. Orang-orang kampung berganding bahu membantu antara satu sama lain dalam menyiapkan masakan kenduri pada hari ini. Kerja memasak untuk hidangan tengah hari ini dilakukan sepenuhnya oleh kaum lelaki yang diketuai oleh Ayah Long selaku ketua tukang masak. Ayam masak merah, daging masak hitam, dan beberapa lagi hidangan adalah antara beberapa jenis lauk yang bakal dihidangkan pada tengah hari ini.
Zahid pula pada masa ini hanya dapat memerhatikan sahaja dari jauh kerja-kerja memasak tersebut. Dia dilarang sama sekali untuk membantu yang lain. Malah, kerja-kerja berat yang lain juga turut tidak digalakkan ahli keluarga yang lain terhadap dirinya. Maka dengan itu, dia hanya ‘goyang kaki’ sahaja sementara yang lain sibuk berkerja bagi menjayakan majlis kenduri kahwin Mak Lang. Penyakit yang pernah dihidapinya telah menyebabkan kebanyakan ahli keluarga yang lain tidak menggalakkannya membantu yang lain.
Namun, Zahid dapat juga menghulurkan tangannya apabila dia membantu Sheera dan Yasmin menyusun meja-meja dan kerusi-kerusi di bawah khemah, satu jam selepas dia duduk termenung sambil memerhatikan orang lain melakukan kerja. Dia juga turut membantu adik-adiknya itu memasukkan telur yang telah direbus ke dalam kotak bunga telur, kerja yang tidak sempat diselesaikan malam semalam. Zahid juga sempat membantu adiknya itu menyusun tisu ke dalam bekas-bekas tisu yang telah disediakan. Hanya itu sahajalah kerja yang mampu dilakukan Zahid setelah kerja-kerja yang lain tidak dibenarkan oleh ahli keluarganya.
Zahid kemudian naik ke atas rumah, begitu juga Sheera dan Yasmin. Kedua-dua adiknya itu kemudian terus masuk ke dalam bilik. Zahid sementara itu terus menuju ke ruang tamu rumah. Dia melihat persiapan yang telah dibuat di ruang tamu tersebut. Gubahan-gubahan bunga telah disusun dengan cantik di dalam pasu-pasu seramik. Pasu-pasu itu diletakkan di setiap penjuru ruang tamu bertujuan untuk menambahkan keserian lagi ruang tamu itu. Hamparan-hamparan permaidani berwarna hijau gelap yang disumbangkan oleh Pak Tam menambahkan lagi keserian ruang tersebut. Permaidani-permaidani yang dihamparkan itu merupakan permaidani yang telah digunakan sejak majlis perkahwinan Cik Long lagi. Maka bolehlah dikatakan bahawa permaidani-permaidani itu merupakan satu tradisi bagi keluarganya untuk dihamparkan setiap kali terdapatnya majlis perkahwinan di rumah itu. Walaupun kawasan ruang tamu itu dihias cantik, hakikatnya tiada pelamin dibuat di kawasan itu. Pelamin memang sengaja tidak dibuat kerana merupakan satu tradisi bagi keluarganya. Sejak majlis perkahwinan Cik Long lagi, memang tidak terdapat sebarang pelamin didirikan pada majlis perkahwinan.
Beberapa minit Zahid meninjau kawasan ruang tamu, Sheera dan Yasmin kemudian keluar dari bilik. Pakaian T-shirt yang dipakai mereka tadi telah ditukar kepada baju kurung berwarna biru. Walupun corak pada baju kurung mereka berdua ternyata berbeza, namun warna biru yang terserlah itu membuatkan mereka kelihatan sedondon. Dua gadis manis ini kemudian tersenyum kepada abangnya yang memerhatikan mereka dengan terkejut seraya berkata,
“Abang bila nak tukar lagi?” soal mereka berdua.
“Kena pakai baju warna biru ke?” soal Zahid.
“Terpulang,” balas Sheera.
Zahid yang hanya berT-shirt putih kemudian menukar pakaiannya sebaik melihat jam di dinding menghampiri pukul 10 pagi. Dia menukar pakaiannya kepada baju kemeja bercorak batik yang kebetulan turut berwarna biru. Majlis akad nikah akan berlangsung tidak lama lagi. Zahid kemudian terus berjalan menuju ke dapur. Dapat dilihat ketika ini di dapur, masing-masing sibuk sibuk menyiapkan hidangan lauk. Rombongan pengantin lelaki dijangka tiba di rumah itu kira-kira pukul 11.00 pagi ini, iaitu 70 minit dari waktu sekarang. Dikhabarkan rombongan pengantin lelaki kini sedang bersiap-siap untuk bertolak ke Selinsing dari Hotel Legend Inn di Taiping. Itulah yang dikhabarkan oleh Mak Lang selepas dia menelefon tunangnya sebentar tadi. Sekiranya perkhabaran itu benar, maka kemungkinan untuk sampai awal bagi rombongan pengantin lelaki ke sini adalah sesuatu yang tidak mustahil.
Beberapa ketika kemudian, sebuah kereta Proton Wira berwarna putih memasuki halaman rumah. Seorang wanita dalam lingkungan usia awal 30-an keluar dari kereta itu. Wanita itu sebenarnya ialah jurusolek atau lebih dikenali dengan nama Mak Andam bagi Mak Lang untuk majlis perkahwinannya. Itulah yang dinyatakan oleh Ibu kepada Zahid apabila Zahid bertanya mengenai wanita yang keluar dari kereta itu. Zahid sedikit terkaku apabila melihat wanita itu. Ternyata kecantikan dan keayuan wajah wanita itu membuatkan Zahid tertumpu matanya seketika pada wanita itu. Lama juga Zahid memerhatikannya sebelum wanita itu naik ke atas rumah.
“Kenapa, berkenan ke?” soal Ibu tiba-tiba kepada Zahid apabila melihat anaknya itu tidak melepaskan pandangannya terhadap wanita itu.
“Tak… Cuma kagum dengan ciptaan Ilahi yang Maha Hebat…” balas Zahid.
“Cantik orang tu?” soal Ibu. Zahid kemudian hanya menganggukkan kepalanya membalas pertanyaan Ibu itu.
Lima belas minit kemudian, Mak Lang muncul semula di dapur selepas disolek di bilik. Dia kini telah siap berpakaian pengantin serba putih. Wajahnya juga kelihatn begitu berseri dan begitu bercahaya. Solekan yang telah dibuat telah sedikit mengubah wajah Mak Lang. Sekali lagi Zahid terpegun apabila melihat Mak Langnya itu. Kecantikan Mak Lang yang dilihatnya kali ini ternyata sungguh berbeza berbanding kebiasaannya. Mungkin itulah namanya seri seorang pengantin. Kemunculan Mak Lang di dapur hanya sekadar untuk menunjukkan dirinya yang telah bersiap dengan pakaian pengantin kepada beberapa orang yang berada di dapur. Ibulah sebenarnya yang menyuruh Mak Lang untuk muncul di dapur semula selepas disolek. Ibu mahu supaya semua orang yang berada di dapur melihat perubahan Mak Lang itu. Semua yang berada di dapur itu merupakan ahli keluarga mereka.
“Wah, cantik betul tu…” puji Cik Long sebaik melihat Mak Lang.
“Berseri…” kata Mak Lin pula.
“Makin comel…” kata Mak Tam pula.
“Bagai puteri kayangan…” kata Ibu pula.
“Cantik…macam Khadijah…” kata Zahid pula.
Kata-kata yang diluahkan Zahid itu serta-merta mengejutkan semua yang berada di dapur. Masing-masing terkejut sebaik mendengar nama seorang wanita keluar dari mulut Zahid. Masing-masing mengalih pandangan ke arah Zahid. Mereka tertanya-tanya nama wanita yang diperkatakan Zahid itu. Zahid sementara itu pula secara tidak sengaja telah berkata begitu.
“Siapa Khadijah tu?” soal Cik Long sambil tersenyum.
“Err… er... sebenarnya….” Zahid sedikit gelabah sebaik ditanya Cik Long. “Sebenarnya… err.. tak ada apa-apa…. Ya tak ada apa-apa… kawan lama je… satu kelas dulu…” balas Zahid kemudian. Dia kemudian terus berjalan meninggalkan kawasan dapur menuju ke ruang tamu.
“Kenapa dengan anak hang tu?” soal Cik Long kemudian kepada Ibu. “Gelabah semacam je…”
“Entahlah…” balas Ibu kemudian.
Apabila jam menghampiri pukul 11 pagi, masing-masing mula bersiap sedia bagi menyambut ketibaan rombongan pengantin lelaki yang dijangka akan tiba bila-bila masa sahaja. Kerja-kerja di dapur yang sebelum ini rancak berjalan mula berkurangan. Masing-masing kini lebih sibuk untuk menanti ketibaan rombongan pengantin lelaki. Kesemua hidangan pengantin yang akan dihidangkan telah pun disediakan dan disusun dengan baik di meja pengantin. Maka dengan itu kebanyakan daripada ahli keluarga kelihatan lebih santai berbanding sebelum ini.
Tepat jam 11.15 pagi, maka tibalah rombongan pengantin lelaki. Sebuah BMW M3 berwarna hitam kelihatan mula memasuki halaman rumah. Kereta itu diikatkan reben berwarna putih pada pemegang pintu tersebut menandakan bahawa kereta mewah yang memasuki halaman rumah itu merupakan kereta yang dinaiki pengantin lelaki. Sebuah kereta BMW X5 pula kemudian menyusul selepas itu. Kedua-dua ibu bapa pengantin lelaki pula menaiki kereta kedua itu. Kereta-kereta lain yang bersama dalam rombongan itu hanya diletakkan di tepi jalan besar kerana ruang yang terhad di halaman rumah. Pelbagai jenis kereta dapat dilihat di tepi jalan ketika ini. Ternyata rombongan yang hadir lebih ramai daripada jangkaan sebelum ini.
Kedua-dua kereta BMW itu berhenti betul-betul di hadapan tangga beranda rumah. Namun mereka yang berada di dalam kedua-dua kenderaan tersebut iaitu pengantin lelaki dan ibu bapanya tidak keluar. Mereka sebaliknya menunggu ahli-ahli rombongan lain tiba di halaman rumah. Deruan enjin kereta ketika ini jelas kedengaran di sekitar halaman rumah. Orang di sekitar kelihatan begitu terpegun melihat dua buah kereta mewah itu. Beberapa ketika kemudian, ahli-ahli rombongan pengantin baru kelihatan tiba. Mereka kemudian berkumpul di sekitar kereta pengantin lelaki.
Zahid sementara itu melihat mereka dari tingkap di ruang tamu. Kehadiran rombongan pengantin lelaki jelas menarik minat Zahid, bukan untuk melihat pengantin itu sendiri, tetapi melihat kereta yang dinaiki pengantin itu. Ternyata dua buah BMW yang kini berada di halaman rumah lebih menarik perhatian Zahid. Sememangnya Zahid meminati kereta-kereta mewah sejak kecil lagi. Maka tidak hairanlah apabila rombongan pengantin telah tiba, Zahid lebih tertarik pada kereta yang dinaiki. Ketika Zahid leka memerhatikan kereta BMW M3 dan BMW X5 itu, tiba-tiba matanya tertumpu pada seorang wanita yang berdiri berhampiran kereta tersebut, berdiri bersama-sama ahli rombongan yang lain. Dia ternyata seperti mengenali wanita itu. Wajah wanita itu ternyata seperti sudah biasa dilihatnya. Wanita yang dilihat Zahid itu kini sedang berbual dengan rakan di sebelah. Namun, rakan yang berbual dengan wanita itu tidak pula dikenali Zahid.
Lantas Zahid turun dari rumah melalui kawasan dapur. Dia kemudian terus keluar dan terus menghampiri ahli rombongan pengantin lelaki yang sedang berkumpul di sekitar kereta pengantin. Sheera dan Yasmin ternyata hairan memerhatikan tindakan abangnya itu. Mereka berpandangan antara satu sama lain sebelum memerhatikan kembali rombongan pengantin yang telah tiba dari tingkap ruang tamu. Turut melihat dari tingkap ialah Cik Long dan Mak Tam.
Zahid menghampiri wanita yang dilihatnya tadi. Wanita itu kelihatan masih lagi berbual dengan rakannya di sebelah. Kehadiran Zahid yang semakin hampir, jelas tidak disedari wanita itu.
“Khadijah!” satu panggilan keluar dari mulut Zahid secara spontan sebaik dia menghampiri wanita itu. Wanita itu kemudian mengalihkan wajahnya memerhatikan Zahid. Wanita itu ternyata seperti terkejut apabila melihat Zahid.
“Eh, abang!” balas wanita itu. Ternyata wanita yang dilihat Zahid itu ialah Khadijah. Pemerhatian Zahid ternyata tidak salah. Dia ternyata mengecam wajah Khadijah.
“Buat apa kat sini?” soal Zahid.
“Abang pun buat apa kat sini?” soal Khadijah kembali.
“Ni kampung abang. Mak Lang abang yang kahwin hari ni…” balas Zahid.
“Oh, ya ke… Mak Lang abang ke yang nak kahwin!” balas Khadijah terkejut. “Tak sangka ya!”
“Ya…”
“Khadijah ikut kawan je. Dia ajak. Abang dia yang kahwin…” terang Khadijah.
“Oh, jadi yang nak kahwin ni, abang kawan Khadijahlah ya!” balas Zahid. Dia kemudian tersenyum. Khadijah juga turut tersenyum selepas itu. “Kecilnya dunia ni…” kata Zahid kemudian.
Pada masa yang sama Cik Long dan Mak Tam memerhatikan Zahid dari tingkap. Mereka ternyata hairan melihat Zahid sedang berbual dengan seorang wanita dalam kalangan ahli rombongan pengantin lelaki itu. Belum pernah mereka melihat Zahid berbual dan menghampiri wanita lain selain dari ahli keluarga sendiri. Zahid sememangnya terkenal dengan sifat pemalunya sejak dari kecil lagi. Namun, kali ini sifat pemalu Zahid tidak lagi dapat dilihat mereka. Zahid ternyata berani untuk berbual.
“Siapa perempuan tu Sheera?” soal Cik Long kepada Sheera yang melihat dari tingkap yang lain.
“Perempuan mana?” soal Sheera.
“Yang sembang dengan abang hang tu…” balas Cik Long.
“Entahlah… tak tahu pulak siapa perempuan tu…” balas Sheera. Dia kemudian memerhatikan wanita itu yang kini sedang berbual dengan abangnya. Ternyata wanita itu begitu senang berbual dengan abangnya. Senyuman kadang kala terukir di wajah wanita itu ketika berbual dengan abangnya. Wanita yang bernama Khadijah itu ternyata langsung tidak dikenali Sheera. Dia tidak tahu wanita itu bernama Khadijah.
“Kawan lama abang kot…” kata Yasmin.
“Kawan ke… dot, dot, dot…” kata Mak Tam.
“Tapi perempuan tu memang lawa betul. Muka dia memang cantik betul. Kulit putih melepak. Huh, kacukan kot perempuan tu…” kata Cik Long.
“Memang lawa perempuan tu… macam bidadari kayangan…” kata Sheera pula memuji kecantikan Khadijah itu.
“Kat mata dia yang paling lawa…” kata Yasmin pula.
“Hidung dia pun boleh tahan cun jugak…” kata Cik Long.
“Siapa dia hah?” soal Mak Tam.
“Entahlah Mak Tam…” kata Sheera.
“Kalau perempuan tu jadi kakak ipar hangpa, huh memang sesuai…” kata Cik Long berseloroh.
“Pun boleh, pun boleh,” kata Sheera sambil mengalih pandangannya pada Yasmin yang berada di sebelahnya.
“Ya, pun boleh. Pun boleh…” kata Yasmin pula.
“Memang lawa…” kata Cik Long lagi.
Beberapa ketika kemudian, pengantin lelaki kelihatan turun dari kereta. Mata masing-masing mula ditumpukan pada pengantin lelaki itu. Ternyata bakal suami Mak Lang itu begitu segak hari ini. Masing-masing terpegun melihatnya sebaik turun dari kereta. Baju melayu berwarna putih beserta samping songket yang disulami benang emas ditambah pula dengan songkok hitam yang dipakainya jelas telah menambahkan kesegakannya. Ibu bapa pengantin lelaki yang bakal menjadi mak mentua dan ayah mentua kepada Mak Lang juga telah turun dari kereta. Serentak dengan itu juga, sebuah kereta Perodua Myvi kelihatan memasuki kawasan halaman rumah. Kereta tersebut merupakan kereta Ustaz Zamzuri, kadi yang bakal menikahkan Mak Lang dan bakal Pak Lang kepada Zahid.
Pada masa yang sama juga, Zahid masih lagi terus berbual dengan Khadijah tanpa memberi tumpuan kepada pengantin lelaki yang telah turun dari kereta. Perbualan mereka tidaklah begitu rancak kerana hanya sekali sekala sahaja masing-masing bersuara. Tanpa disedari Zahid, Khadijah adalah wanita pertama yang berbual dengannya sejak dia mendirikan solat Istikarah sebulan yang lalu. Namun Zahid tidak begitu menyedari akan hal itu.
“Rancak berbual…” seorang lelaki tiba-tiba menyapa dari belakang sambil menepuk bahu Zahid. Serta-merta Zahid mengalihkan pandangannya ke belakang. Dia terkejut apabila melihat lelaki yang berdiri di belakangnya itu.
“Eh, Izham!” kata Zahid. “Baru hang nak sampai?” soalnya kemudian. Khadijah juga turut terkejut sebaik melihat kelibat Izham itu. Dia ternyata telah lama tidak bertemu dengan Izham.
“Eh, Abang Izham pun datang?” soal Khadijah tersenyum.
“Khadijah pun?” soal Izham. Serentak dengan itu juga mata Zahid dan Khadijah beralih ke arah wanita yang berada di samping Izham.
“Kak Erma ke ni?” soal Khadijah selepas itu kepada wanita tersebut. Wanita itu ialah Erma, isteri Izham. Namun Khadijah tidak mengetahui status Erma sebagai isteri kepada Izham.
“Ingat tak nak datang…” kata Zahid pula kepada Izham.
“Janji aku datang sekarang kan…” balas Izham.
“Akak buat apa kat sini? Dah lama Dijah tak jumpa akak…” soal Khadijah pula.
“Ni… Khadijah ke?” soal Erma inginkan kepastian.
“Ya. Khadijahlah ni…” balas Khadijah dengan tenang.
“Buat apa kat sini?” soal Khadijah dan Erma dengan serentak. Mereka kemudian sama-sama ketawa. Mereka tidak menjangka akan menyoal dengan serentak.
“Hah, buat apa kat sini Khadijah?” soal Izham kemudian apabila Erma masih lagi tersenyum menahan kelucuan.
“Dijah Cuma ikut kawan je… ni kenduri abang dia…” balas Khadijah.
“Oh… gitu…” kata Izham kemudian. “Kebetulan ya…” katanya lagi sambil mengerling pada Zahid yang berdiri di sebelahnya.
“Apa? Kenapa?” soal Zahid membalas kerlingan rakannya itu.
“Akak pula macam mana boleh ada kat sini?” soal Khadijah kepada Erma.
“Akak ikut suami akak je…” balas Erma.
“Suami? Mana?” soal Khadijah kehairanan sambil melihat di sekitar untuk melihat suami Erma itu.
“Lah, pasal apa Khadijah tengok jauh-jauh. Orangnya kat depan ni je…” balas Zahid sambil sambil menunjukkan jarinya ke arah Izham.
“Abang Izham? Suami Kak Erma? Eh, ya ke? Bila?” soal Khadijah terkejut dan hairan.
“Kalau dah jodoh, tak ke mana…” kata Zahid bersahaja.
Ahli rombongan pengantin kelihatan mula naik ke atas rumah sebaik Ustaz Zamzuri tiba. Hantaran-hantaran pengantin lelaki mula dikeluarkan dari kereta yang dinaiki ibu bapa pengantin. Hantaran-hantaran itu kemudian dibawa menuju naik ke atas rumah. Pengantin lelaki yang segak berbaju melayu itu juga telah naik ke atas. Ibu bapanya juga turut sama mengikutnya. Maka, dengan apa yang sedang berlaku itu, tahulah Zahid bahawa majlis akad nikah bakal berlangsung tidak lama lagi. Serentak dengan itu juga, Khadijah serta rakannya bersama Erma mula berjalan menyertai ahli rombongan lain menuju ke dalam rumah. Mereka mengikut ahli rombongan wanita yang lain.
Sementara itu, Zahid dan Izham masih lagi berada di tempat yang sama tidak bergerak mengikut ahli rombongan yang lain. Mereka masing-masing berpandangan antara satu sama lain. Izham kemudian tersengih kepada Zahid. Zahid yang melihat rakannya itu tersengih kepadanya menjadi hairan.
“Kenapa?” soal Zahid kehairanan.
“Eh, buat-buat tanya pulak…” balas Izham yang masih tersengih.
“Apa?” soal Zahid kemudian.
“Kalau dah jodoh, tak ke mana…” kata Izham mengulang kembali kata-kata Zahid terhadap Khadijah tadi.
“Maksud aku tadi kat hang…” balas Zahid.
“Tapi, kat hang pun boleh jugak…” kata Izham.
“Ye lah tu…”
“Bukti dah ada Zahid. Hang pernah bagi tau kat aku niat hang tu dulu… Dan sekarang tanpa diduga, dia muncul kat sini tanpa disangka-sangka,” kata Izham. “Hang tak jemput pun dia ke sini. Jadi, petunjuk apa lagi yang hang nak supaya hang yakin dengan niat hang nak jadikan dia tu isteri hang…” sambung Izham.
“Cakap memang mudah Izham…” balas Zahid.
“Memang itu petunjuk yang hang dengan dia ada jodoh…” kata Izham.
“Hah… entahlah…” keluh Zahid. Dia ternyata tidak mampu lagi membaeri respon terhadap kata-kata Izham itu. Pada masa yang sama juga baru Zahid teringat akan solat Istiqarah yang pernah dibuatnya dahulu. Serta-merta muncul satu soalan dalam hatinya.
“Adakah hari ini adalah jawapan kepada Istiqarah aku dulu?” soal Zahid dalam hatinya.
Pihak pengantin lelaki menghantar hantaran sebanyak sembilan dulang manakala bagi pihak pengantin perempuan pula membalas dengan sebelas dulang hantaran. Majlis akad nikah berlangsung tanpa sebarang masalah dengan penuh lancar tanpa sebarang kelewatan seperti yang telah dirancang sebelum ini. Namun, perkara yang paling menarik semasa majlis tersebut adalah ketika berlangsungnya upacara akad nikah.
“Saudara Nizam. Kamu sudah bersedia?” soal Ustaz Zamzuri kepada pengantin lelaki.
“Ya, saya sedia,” jawab pengantin lelaki.
“Semua urusan dah selesai dari bab yang berkaitan dengan dokumen dan borang-borang sehinggalah kepada urusan tandatangan tadi…” kata Ustaz Zamuri dengan tenang. “Jadi yang tinggal kini cuma akad nikahnya saja…”
“Aik, pucat nampak muka tu…” usik bapa pengantin lelaki itu. Hadirin yang berada di dalam rumah kemudian ketawa mendengar kata-kata tersebut. Pengantin lelaki hanya tersenyum sahaja.
“Baiklah, kalau dah sedia, bolehlah nampaknya kita mulakan ya saudara Nizam?” soal Ustaz Zamzuri.
“Insyaallah, boleh,” jawab pengantin lelaki.
“Tapi, mukanya pucat. Macam mana boleh sedia…” usik bapa pengantin. Ahli perniagaan yang bernama Datuk Abdul Khairuddin itu memang terkenal dengan jenakanya yang bersahaja dan seringkali menyebabkan hadirin yang ada ketawa mendengar selorohnya.
“Releks je Nizam. Tak perlu takut pun. Tengok bakal isteri kamu tu, dia releks je… Kamu pulak yang nampak menggelabah,” nasihat Ustaz Kamarul. Sekali lagi pengantin lelaki, Nizam hanya tersenyum. Dia kini kelihatan cuba menenangkan diri.
“Kalau dia menggelabah, ganti sajalah tempat saya ni ustaz…” seloroh Datuk Khairuddin. Selorohnya itu kemudian diikuti dengan gelak ketawa oleh hadirin.
“Amboi, nak potong line anak ke Datuk ni?” soal Ustaz Zamzuri sambil tersenyum. Sekali lagi kedengaran gelak ketawa hadirin sebaik mendengar soalan ustaz itu.
Pada majlis itu, Zahid dan Izham duduk di penjuru kiri bahagian ruang tamu itu berhampiran tempat kaum hawa berada. Mereka duduk bersebelahan dengan Khadijah dan Erma. Kelibat Sheera dan Yasmin pula langsung tidak kelihatan. Mungkin mereka kini sibuk menyiapkan hidangan para hadirin di dapur. Sambil melihat majlis berlangsung, mereka berbual antara satu sama lain.
“Hai, teringat aku masa akad nikah dulu…” kata Izham kepada Zahid. Kata-katanya itu turut didengari oleh Khadijah dan isterinya, Erma.
“Dua kali lafaz baru boleh,” kata Erma mencelah. “Benda mudah macam tu pun tak boleh nak buat. Bukan susah pun. Cakap beberapa patah, lepas tu habislah…” katanya lagi.
“Eleh, cakap senanglah. Bukan dia yang kena. Ni, aku jugak yang kena tau…” kata Izham membalas kenyataan isterinya itu.
“Buat malu je…” kata Erma.
“Tapi last-last sah jugak kan?” kata Zahid cuba mententeramkan keadaan. Kata-kata itu menyebabkan Erma dan Izham tersenyum antara satu sama lain.
“Abang pulak, bilak nak lafazkan ‘kata-kata penuh cabaran tu’?” soal Khadijah kemudian kepada Zahid.
“Calon pun tak ada macam mana nak ‘lafaz’,” balas Zahid tersenyum. “Khadijahlah jadi calon abang…” usik Zahid kemudian. Khadijah hanya tersenyum mendengar usikan Zahid itu.
Mereka kemudian kembali senyap apabila Ustaz Zamzuri mula melafazkan lafaz ijab kepada pengantin lelaki. Hadirin yang berada di ruang tamu juga turut mula senyap. Masing-masing mula menumpukan pada suara Ustaz Zamazuri.
“Baiklah, bismillah hirrahma nirrahim…” kata Ustaz Zamzuri memulakan lafaz. “Saudara Muhammad Nizam bin Abdul Khairuddin”
“Ya saya,” jawab pengantin lelaki.
“Aku nikahkan engkau dengan Siti Zubaidah binti Abu Bakar berwali wakil kepada aku dengan maskawinnya sebanyak satu ratus satu ringgit satu sen tunai,” lafaz Ustaz Zamzuri kepada pengantin lelaki sambil tangannya berjabat.
“Aku terima nikahnya Siti Zubaidah binti Abu Bakar dengan maskawinnya sebanyak satu ribu.. satu reratus… er…”
“Lah…” keluh beberapa hadirin kemudian. Lafaz kabul daripada pengantin lelaki tidak berjaya dilakukan. Dia ternyata kelihatan menggelabah semasa cuba melafazkan lafaz tersebut.
“Lah… macam mana boleh macam ni Nizam?” soal Ustaz Zamzuri. “Tak berjaya nampaknya kamu ni,” katanya kemudian. “Tak apa kita cuba sekali lagi”
“Err… baik”
“Muhammad Nizam bin Abdul Khairuddin”
“Ya saya”
“Aku nikahkan engkau dengan Siti Zubaidah binti Abu Bakar berwali wakil kepada aku dengan maskawinnya sebanyak satu ratus satu ringgit satu sen tunai”
“Aku nikahkan dia…er…”
“Lah…” keluh sekali lagi beberapa orang hadirin. Namun keluhan yang kedengaran lebih banyak berbanding sebelum ini.
“Lah, tak boleh lagi Nizam?” soal Ustaz Zamzuri. “Cuba kamu bertenang dan jangan menggelabah,” nasihatnya kemudian.
“Insyaallah ustaz”
“Sekali lagi kita buat. Kamu cuma bertenang je. Banyak-banyak selawat,” nasihat Ustaz Zamzuri. “Muhammad Nizam bin Abdul Khairuddin”
“Ya saya”
“Aku nikahkan engkau dengan Siti Zubaidah binti Abu Bakar berwali wakil kepada aku dengan maskawinnya sebanyak satu ratus satu ringgit satu sen tunai”
“Aku terima nikahnya Siti Zubaidah binti Abu Bakar dengan maskawinnya sebanyak satu ratus satu, satu ring…”
“Lah…” hadirin sekali lagi mengeluh.
“Huh masalah ni. Dah tiga kali ni. Kamu tak dapat juga nampaknya…” keluh Ustaz Zamzuri. “Kamu bertenang saja. Nak lafaz tu tak perlulah dalam satu nafas je. Jangan terikut-ikut dengan lafaz yang tunjuk kat drama TV tu,” nasihat Ustaz Zamzuri. “Dengan tenang kamu lafaz baik-baik. Aku terima nikahnya, dengan maskawin… sekian, sekian,” katanya lagi. “Ada dalam rukun nikah kena lafaz sekali nafas je?”
“Tak ada,” jawab Nizam.
“Hah, jadi bertenang je. Buat apa nak lafaz sekali nafas kalau kamu tak upaya. Lagipun, kamu nak kejar apa nak lafaz cepat-cepat,” balas Ustaz Zamzuri. “Tak apa kita cuba sekali lagi. Kamu cuma perlu bertenang saja”
“Baik ustaz”
“Muhammad Nizam bin Abdul Khairuddin”
“Ya, saya”
“Aku nikahkan engkau dengan Siti Zubaidah binti Abu Bakar berwali wakil kepada aku dengan maskawinnya sebanyak satu ratus satu ringgit satu sen tunai”
“Aku,… terima nikahnya,… Siti Zubaidah binti Abu Bakar,… dengan maskawin sebanyak,… satu ratus… satu ringgit… satu sen tunai…”
“Alhamdulillah!” Suara hadirin kedengaran mengucapkan kesyukuran kerana pengantin lelaki telah berjaya melafazkan akad nikah tersebut.
“Huh, sampai empat kali baru berjaya kamu ni…” kata Ustaz Zamzuri kemudian sambil tersenyum. Mak Lang yang berada di satu penjuru hanya mampu tersenyum sebaik pangantin lelaki berjaya melafazkan lafaz tersebut.
Zahid yang melihat majlis tersebut hanya mampu tersenyum. Ternyata lafaz tersebut begitu sukar dilafazkan buat pengantin lelaki. Dia kemudian melihat wajah Khadijah di sebelahnya. Khadijah menyedari Zahid sedang memandang wajahnya. Dia hanya tersenyum kepada Zahid kemudian.
“Hah, hang ingat senang nak lafaz…” kata Izham yang berada di sebelah Zahid.
“Memang mencabar…” balas Zahid sambil pandangannya tidak beralih lagi dari melihat wajah Khadijah.
“Lepas ni, Khadijah dengan Zahid pulaklah kan?” soal Erma pula cuba mengusik Khadijah dan Zahid.
“Ish, akak ni…” balas Khadijah sambil tersenyum malu.
“Tak de maknanya…” kata Zahid pula.
“Tak de makna konon… kalau dah jodoh tak ke mana Zahid…” kata Izham pula.
“Ada ke jodohnya?” kata Zahid sambil melihat Khadijah di sebelahnya. Khadijah pula hanya tersenyum mendengar pertanyaan Zahid kepada Izham itu.
Mereka bertiga kemudian turun ke bawah beberapa minit kemudian menuju ke khemah untuk menjamu selera. Mereka tidak turut serta makan bersama ahli rombongan pengantin yang lain. Mereka lebih senang makan di bawah berbanding makan di atas bersama hidangan lauk pengantin. Bagi mereka, ‘lauk kebanyakan’ adalah lebih enak dan lebih ‘mesra’ dengan selera mereka. Zahid makan di sebelah Khadijah manakala Erma dan Izham duduk bersebelahan bertentangan dengan mereka.
Kehadiran Khadijah dalam majlis kenduri tersebut nyata mencuri pandangan banyak orang terutama dalam kalangan ahli keluarga Zahid. Tambah menarik perhatian apabila Zahid makan bersama dengan Khadijah selepas selesai majlis akad nikah. Maka pelbagai andaian dibuat. Sesetengah mengatakan Khadijah merupakan teman istimewa Zahid, dan ada sesetengahnya pula mengatakan Khadijah merupakan bakal isteri kepada Zahid. Namun andaian-andaian itu ternyata tidak tepat kerana Khadijah hanyalah rakan biasa buat Zahid. Bagi Zahid, dia lebih senang menganggap Khadijah itu sebagai adiknya, sama seperti Sheera dan Yasmin.
Tamat Ceritera 12
No comments:
Post a Comment