Ceritera 18
Angin pagi yang dingin dapat dirasai di sekitar taman tasik. Cahaya matahari yang menyinari menambahkan keindahan lanskap di seluruh kawasan taman tasik. Ketika ini ramai orang sedang beriadah sama ada sedang berjoging atau hanya duduk-duduk sahaja di sekitar tasik. Dan pada waktu ini jugalah, Khadijah berjalan perlahan-lahan setelah turun dari kereta. Dia kini sedang berjalan menuju ke tempat yang sama dikunjunginya petang semalam. Tanpa mengetahui sebab sebenar, hatinya terasa mahu menuju ke tempat itu.
Tidak ada sebarang tujuan pun sebenarnya Khadijah menuju ke sana. Dia hanya sekadar mahu beriadah di situ. Sejak perjumpaannya dengan Sheera, hatinya seolah-olah seperti mahu memberitahu sesuatu. Hatinya seperti telah diketuk sesuatu selepas berjumpa dengan Sheera semalam. Pintu hatinya yang selama ini langsung tidak disentuh kini telah disentuh dengan kisah yang diceritakan oleh Sheera petang semalam. Bukanlah perasaan simpati terhadap Zahid yang dirasainya, tetapi satu perasaan yang sukar untuk dinyatakan telah menjelma dalam dirinya. Kisah sebenar Zahid telah membuka lembaran baru bagi dirinya. Membuka satu perspektif yang selama ini langsung tidak terlintas di fikirannya. Ternyata pengkisahan Zahid oleh Sheera adalah satu kisah yang penuh rintangan.
Tujuan utama dia ke sana adalah untuk mencari sedikit ketenangan. Dia mengharapkan angin pagi yang dirasainya mampu menyegarkan dan menenangkan jiwanya. Tidak sampai seminggu sahaja, pelbagai kejutan diterimanya. Maka pagi ini merupakan kesempatan yang akan direbutnya sambil dirinya mencari-cari dan merancang langkah dan penyelesaian terbaik terhadap segala masalah yang dihadapinya.
Langkahan Khadijah mula dperlahankan. Sebaik betul-betul berada di atas jambatan kecil yang menghubungkan dua tambak di tasik itu, barulah dia menghentikan langkahannya. Di sinilah dia bertemu dengan Sheera semalam. Di atas jambatan inilah, Sheera menceritakan segala-galanya mengenai Zahid. Di atas jambatan inilah, Sheera melahirkan harapannya kepada Khadijah. Sesungguhnya, lokasi dia berada kini memberi kesan yang mendalam kepadanya. Tangan Khadijah kemudian diletakkan di atas pemegang jambatan. Perlahan-lahan dia kemudian merapati ke arah pemegang tepi jambatan itu. Perlahan-lahan juga dia melontarkan pandangannya ke arah tasik yang terbentang di hadapannya.
Dalam masa seminggu sahaja, pelbagai kejutan diterima Khadijah. Kejutan pertama terjadi hampir seminggu yang lalu, apabila dia mendapat panggilan daripada Zahid pada waktu tengah malam. Panggilan itu ternyata mengejutkan dirinya. Kejutan kedua diterimanya apabila beberapa hari selepas itu, Zahid menelefonnya lagi, kali ini untuk berjumpa dengannya pula. Tambah mendebarkannya apabila Zahid menyatakan bahawa dia ingin memberitahu sesuatu yang penting kepadanya. Pernyataan Zahid itu sekali lagi mengejutkannya. Kejutan ketiga berlaku apabila pada malam dia berjumpa itu, Zahid meluahkan perasaan kepadanya serta memberitahu niat untuk memperisterikannya. Kejutan itu merupakan satu kejutan yang paling besar dalam hidupnya. Itulah satu kejutan yang memang pasti memberikan kesan yang mendalam kepadanya sepanjang hayatnya. Kejutan itu adalah sesuatu yang langsung tidak dijangkanya. Kejutan keempat berlaku apabila dia diberitahu oleh Sheera bahawa Zahid telah dimasukkan ke hospital. Sekali lagi dia diberikan kejutan. Kejutan terakhir yang diterimanya adalah apabila Sheera berjumpa dengannya dan menceritakan segala rahsia yang selama ini hanya disimpan oleh Zahid. Rahsia yang disimpan itulah merupakan satu kejutan buat dirinya.
Pada masa yang sama juga, segala kisah yang diketahuinya mengenai Zahid sedikit sebanyak telah membuatkan dia terkenang kembali akan lamaran yang dibuat Zahid. Seolah-olah seperti mengetahui akan sakit, Zahid telah memberitahu kepada Khadijah beberapa hari sebelum dia jatuh sakit. Mungkin naluri yang dirasai Zahid telah membuatkan dia memberitahu niatnya itu kepada Khadijah. Dan serentak dengan itu jugalah, fikirannya terlintas akan surat yang diberikan Zahid kepadanya. Surat itu diberi pada hari yang sama dia berjumpa dengan Zahid pada malam itu.
“Sebenarnya abang tak harap Khadijah nak jawab soalan abang ni. Abang tak mintak. Tapi abang cuma nak cakap sebab abang rasa abang perlu…. ” Kata-kata Zahid pada malam itu diingatinya kembali. Kata-kata itu ternyata masih segar dalam fikirannya.
“Ya, abang memang perlu… kerana itu abang perlu…” bisik hatinya.
“Abang tak mintak Khadijah jawab sekarang…... Abang tak paksa Khadijah jawab soalan tu. Terpulang pada Khadijah nak jawab soalan abang atau tidak. Khadijah yang tentukan.…..Bagi abang, abang dah bagitau apa yang perlu abang bagitau. Apa yang abang rasa perlu Khadijah tau, abang dah cakap. Dan semua ni kerana Allah abang lakukan. Semuanya adalah kerana petunjuk Allah pada abang.....” Sekali lagi kata-kata yang diungkapkan Zahid diingati dengan baik oleh Khadijah. Setiap lafaz kata yang diungkapkan itu begitu mendalam dan bermakna kepadanya. Mana mungkin dia dapat melupakan peristiwa yang berlaku pada malam itu.
“Ya, abang memang lakukan apa yang perlu dilakukan. Dan jika kerana Allah semuanya, abang memang perlu … Dan memang Allah Maha Berkuasa… setiap inci perjalanan hidup ni, Dialah penentunya…” bisik hatinya lagi. Dia terkenangkan Zahid yang kini berada di hospital terlantar kerana masalah asma.
“Kesempatan yang ada tu, rebutlah… sebab masa yang pergi takkan menoleh ke belakang melihat kita kembali…” Kata-kata Erma pula terngiang-ngiang di telinganya. Kata-kata itu didengarnya malam semalam menerusi telefon. Erma yang menelefon Khadijah malam itu hanya sekadar mahu memaklumkan mengenai keadaan Zahid. Namun hakikatnya, Khadijah telah mengetahui dahulu daripada Erma.
“Tapi, bagaimana aku perlu merebutnya? Selama mana ada kesempatan?” bisik hatinya lagi. Pelbagai persoalan muncul dalam fikirannya. Khadijah seperti berada dalam keadaan dilema. Dia seperti tidak tahu untuk memulakan langkah seterusnya. Kejutan demi kejutan yang diterimanya telah menghilangkan rentaknya bagi meneruskan langkah. Dia ternyata tidak tahu apa yang perlu dilakukannya kini.
Sehingga kini, Khadijah masih belum dapat memberikan kepastian bagi menjawab soalan yang diajukan Zahid itu. Lamaran yang dibuat Zahid sehingga kini masih belum dapat dijawab Khadijah. Dia seperti terus terkaku sejak malam itu. Khadijah sendiri masih tidak pasti untuk menjawab soalan itu. Dan kini Zahid telah terlantar di hospital. Keadaan itu seperti mendesaknya untuk menjawab persoalan itu. Dia merasakan perlu menjawab secepat yang mungkin.
“Akak tahu, kamu dengan Abang Zahid dah lama kenal. Akak tahu, Abang Zahid tu abang angkat kamu. Semua orang tahu kamu dengan Abang Zahid memang kenal antara satu sama lain. Sampai sekarang kamu dengan dia masih terus berhubungan. Akak tak boleh nak beri apa-apa pendapat, tapi kamu sendiri yang perlu cari jalannya… sebab jalan yang kamu pilih ini perlu berdasarkan naluri hati kamu…” Kata-kata Erma menerusi perbualan telefon diingatinya lagi. Entah bagaimana, Erma tiba-tiba mengeluarkan kata-kata itu seolah-olah memahami terhadap apa yang dirasai Khadijah. Tidak pernah sama sekali Khadijah memberitahu akan peristiwa yang berlaku pada malam itu. Namun Khadijah tidak tahu bahawa Erma telah mengetahui bahawa Zahid berniat untuk memperisterikannya.
“Akak, satu saja yang saya harap… akak ambillah kesempatan selagi waktu masih ada. Dah lama abang menderita…. Dan abang perlu merasakan kemanisan hidup setelah lama bertarung dengan dugaan…. Saya harap, abang akan bahagia selagi masih ada kesempatan…” Kata-kata Sheera bermain dalam fikirannya pula. Kata-kata itulah yang paling mendalam buat dirinya. Acap kali dia teringat akan kata-kata itu.
Khadijah melemparkan pandangannya jauh melihat Bukit Larut yang kelihatan jelas di hadapan matanya. Kehijauan pokok yang menutupi bumi Bukit Larut ternyata begitu mengasyikkan setiap yang memandang ke arahnya. Keasyikan itu pasti mampu menenangkan setiap jiwa yang sedang dalam kecelaruan. Dan kecelaruan itulah yang sedang dirasai Khadijah.
“Abang Zahid bukanlah orang yang biasa. Setiap langkah tindakannya itu adalah dibuat dengan penuh ketelitian. Ketelitian itu ternyata tidak mampu diduga dan dilihat oleh orang lain. Banyak orang hanya melihat dari kulitnya sahaja, tapi dia melihat sehingga ke dalam isinya. Itu adalah satu kelebihan dia…” Kata-kata Erma malam semalam kembali diingatinya.
“Abang tak pernah nak mintak putus dengan Khadijah. Kenapa perlu ada putus? Padahal abang tak pernah terfikir yang Khadijah dengan abang ada hubungan yang special… Sebab hubungan abang dengan Khadijah tak akan putus sampai bila-bila. Semua yang abang buat hanyalah nak tahu siapa sebenarnya yang cuba nak kacau hubungan baik kita… orang yang cuba nak putuskan hubungan… orang yang cuba buat fitnah....” Kata-kata Zahid diingatinya pula. Kata-kata itu ditulis dalam sepucuk surat semasa dia di sekolah menengah. Dia masih ingat lagi pada waktu itu, terdapat beberapa individu cuba memutuskan hubungannya dengan Zahid. Namun atas kebijaksanaan Zahid, Zahid mengatur satu rancangan yang tidak pernah diduga oleh sesiapa. Dan setelah rancangan itu dilaksanakan, semua dalang yang cuba merosakkan hubungannya dengan Zahid terdedah selepas itu. Tindakan Zahid menghantar surat palsu kembali kepada Khadijah membuatkan dalang yang berniat jahat itu akhirnya mengakui kesalahannya. Itu adalah salah satu bukti yang memperlihatkan kebijaksanaan Zahid dalam menyelesaikan masalah.
“Fikiran Abang Zahid lebih jauh ke depan berbanding orang lain. Dia melakukan tindakan yang jauh dari batas fikiran orang lain. Tak ada sesiapa pun yang akan menduga tindakannya…” Itulah kata-kata yang diluahkan Izham kepada Khadijah selepas mengetahui tindakan Zahid tersebut dalam menyelesaikan masalah itu. Pada waktu itu, Izham secara tidak sengaja bertemu Khadijah di pusat sumber sekolah.
“Abang seorang yang sangat perihatin…. Dia memang pentingkan pelajaran kami. Memang ambil berat…” Khadijah teringat pula kata-kata Sheera petang semalam sambil matanya terus melihat Bukit Larut yang berada di hadapan pandangannya.
“Berapa A?”
“8A…”
“Wah, bagus tu! Ada canlah Khadijah nak masuk MRSM…”
“Ya, manalah tau kot-kot boleh sama dengan abang nanti…”
“Kalau sama, baguslah… ada jugak geng SMDB kat sana nanti”
“Tapi abang form 5 kat sana…”
“Jadi, apa masalahnya?”
“Ada masalah ke?”
“Tahniah Khadijah! Apa-apahal pun, belajar rajin-rajin”
Perbualan itu diingati kembali. Perbualan itu masih segar lagi dalam fikirannya. Pada hari itulah, keputusan PMR keluar. Dan tanpa disangkanya, Zahid muncul di sekolah untuk mengetahui keputusan PMR Khadijah. Walaupun pada waktu itu Zahid tidak lagi bersekolah di SMKDB, dia masih tetap datang pada hari itu. Itulah bukti keperihatinan Zahid terhadap pelajaran Khadijah.
Sekali lagi Zahid menunjukkan keperihatinannya. Kali ini adalah sewaktu keputusan SPM diumumkan, dua tahun selepas itu. Zahid yang pada waktu itu berada dalam penangguhan selama setahun dari Matrikulasi Pulau Pinang disebabkan penyakit asma. Walaupun tidak dapat datang ke MRSM Langkawi, dia tetap menelefon Khadijah untuk mengetahui keputusan SPM Khadijah.
“Macam mana result?”
“Bolehlah… tujuh A je…”
“Baguslah tu. Apa yang tak A?”
“Add Math, BI, dengan Sejarah…”
“Wah, bagus tu. Subjek Sains Khadijah dapat skor. Tu kira baguslah…”
“Bolehlah… Tapi taklah hebat macam abang. Abang 10 A…”
“Ah, tak kisah pun. Janji Khadijah dapat skor subjek Sains, tu kira bagus dah. Abang dulu pun, bukanlah hebat sangat…”
Zahid ternyata begitu mengambil berat terhadap segala perkara yang berkaitan pelajaran Khadijah. Dia pasti akan cuba mengetahui mengenai perkembangan terkini Khadijah. Daripada Khadijah di sekolah rendah hinggalah ke sekolah menengah dan kemudian di universiti, keperihatinan itu tidak pernah pudar. Zahid juga pasti akan memastikan Khadijah menjadi pembaca pertama novelnya setiap kali novel terbarunya siap dan perkara itu masih berterusan sehingga ke hari ini. Sudah pasti Zahid menganggap Khadijah orang yang cukup penting buatnya.
“Khadijah jadi orang yang pertama baca novel dia… jadi apa maknanya? Maknanya Khadijah orang yang cukup penting buat dia…” Kata-kata Erma kepadanya lima tahun lalu dikenangnya pula.
“Ya, abang memang suka menulis…” bisik Khadijah kemudian. “Tapi, apa sebenarnya aku pada abang? Pentingkah aku pada abang? Atau pentingkah abang pada aku? ”
Serentak dengan itu dia mengeluarkan sepucuk surat dari beg tangannya. Surat itu disimpannya dengan kemas. Tidak kelihatan langsung kedutan pada surat itu. Surat itu disimpan dengan baik di dalam sampul surat. Itulah surat yang diserahkan Zahid pada malam dia melamar Khadijah. Surat itu dibawa ke mana sahaja dia menuju. Surat itu sentiasa bersamanya ke mana sahaja dia pergi. Khadijah kemudian berjalan meninggalkan kawasan tempatnya berada. Setelah begitu lama dia berdiri di atas jambatan, akhirnya Khadijah mula berjalan mencari tempat duduk. Kelihatan beberapa buah kerusi batu berada tidak jauh dari pandangannya. Kerusi-kerusi itu terletak berhampiran jalan dan menghadap tasik. Jika pada waktu pagi begini, tidaklah ramai orang yang duduk di kerusi-kerusi tersebut. Namun jika pada waktu petang, maka mustahillah untuk mendapatkan kerusi itu dengan mudah. Setelah hampir lima minit berjalan, akhirnya dengan tenang Khadijah duduk pada salah satu kerusi itu. Sambil itu pandangannya terus dilemparkan ke arah tasik yang kini berada di hadapannya.
“Mungkin apa yang abang nak bagitau ni sesuatu yang mengejutkan Khadijah. Tapi, abang rasa abang perlu bagitau. Abang harap apa yang abang bagitau tadi, tak mengejutkan Khadijah. Tapi rasanya mustahil. Khadijah pasti terkejut” Khadijah membaca sedikit daripada surat yang dipegangnya. Surat bertulisan tangan yang ditulis Zahid itu sekali lagi dibacanya sebaik dia duduk.
“Abang bukan main-main dalam perkara macam ni sebab perkara ni perkara yang cukup serius. Mula-mula abang ingat, perkara sebegini hanya sekadar mainan perasaan, atau senang cakap tak begitu serius sangat. Tapi lama-lama lain pulak jadinya. Entah, abang sendiri pun tak tau macam mana boleh jadi, tapi perkara ni muncul perlahan-lahan, sedikit demi sedikit”
“Semua orang dianugerahkan satu perasaan. Semuanya hak Allah dan kekuasaan-Nya,” bisik Khadijah. Dia kemudian melihat kembali pada surat itu. Dia cuba melihat pula pada ayat-ayat yang menarik perhatiannya.
“Sebelum abang buat keputusan macam ni, abang dah fikir masak-masak dahulu. Abang tahu, perkara ni bukan main-main. Abang dah banyak berdoa, banyak solat sunat semata-mata nak mintak petunjuk terhadap apa yang abang rasa ni. Dan bila abang dapat petunjuk yang jelas, barulah abang berani nak buat keputusan”
Serentak dengan itu, Khadijah kemudian terus terkanang kembali akan kata-kata yang diluahkan Zahid pada malam Jumaat itu. Kata-kata itu benar-benar membuatkan dia terus mengingatinya hingga ke hari ini.
“Abang minta maaf kalau soalan ni tak begitu jelas………Sebenarnya abang tak harap Khadijah nak jawab soalan abang ni. Abang tak mintak. Tapi abang cuma nak cakap sebab abang rasa abang perlu………Apa yang akan Khadijah jawab kalau abang nak jadikan Khadijah isteri abang?”
“Khadijah tak dapat nak jawab soalan abang masa tu. Khadijah mintak maaf abang… Sebab Khadijah memang tak menjangka soalan itu akan ditanya abang…” bisik Khadijah kemudian. Dia kemudian melihat kembali pada surat yang dipegangnya.
“Abang bagitau semua ni kerana Allah. Bukan kerana nafsu abang lakukan semua ni. Niat abang ikhlas. Semuanya adalah kerana petunjuk Allah” Khadijah sedikit tersenyum membaca baris ayat itu. Entah kenapa dia tiba-tiba tersenyum sendirian.
“Abang Zahid tu memang teliti. Setiap perkara dia akan rancang dengan penuh ketelitian. Bila dia dah buat keputusan, maka itu adalah satu keputusan yang terbaik buatnya…” kata-kata Erma terngiang-ngiang pula di telinganya.
“Ya, abang memang teliti… memang teliti…” bisik Khadijah.
“Abang tertarik kat Khadijah bukan disebabkan nafsu, maksudnya buka kerana rupa paras Khadijah atau fizikal yang ada. Tapi apa yang buat abang tertarik adalah sifat dalaman yang ada kat Khadijah. Itu adalah sebab utama abang tertarik…”
Ayat-ayat itu merupakan satu ayat yang paling berkesan dalam surat itu. Itulah ayat yang tidak pernah terlintas dalam fikirannya selama ini. Dia tidak pernah menduga akan membaca ayat-ayat tersebut yang ditujukan kepadanya. Dia tidak menduga bahawa Zahid akan menulis begitu kepadanya. Dia tidak menjangka, dirinya perlahan-lahan mendapat perhatian Zahid.
“Walau apa pun keputusan yang dibuat, keputusan tu perlu dibuat dengan kata hati, bukan simpati, bukannya kerana harapan orang lain yang perlu dipenuhi, dan bukannya kerana dia yang memaksa Khadijah untuk buat keputusan. Semuanya perlu datang dari diri kita sendiri, datang atas kepercayaan dan keyakinan diri…” kata-kata nasihat Erma malam semalam diingatinya pula. Pesanan itu merupakan antara kata-kata terakhir sebelum Erma menamatkan perbualan telefon dengannya malam semalam. “Akak yakin, Khadijah mampu lakukan sesuatu sebab Khadijah sendirilah yang tahu siapa itu Khadijah”
“Saya memang tak kenal akak, tapi saya tahu, akak orang yang cukup penting buat abang……” kata-kata Sheera mengusik jiwanya pula. Khadijah kemudian melihat kembali surat yang dipegangnya. Namun kali ini dia melihat di penghujung surat yang ditulis Zahid itu.
“Abang bukannya nak paksa Khadijah. Terpulanglah kat Khadijah nak jawab atau tak lepas apa yang abang bagitau. Bagi abang, abang cuma nak bagitau niat abang itu je. Tak lebih dari tu. Dan sekali lagi abang nak mintak maaf banyak-banyak kalau apa yang abang bagitau tadi dah buat Khadijah terkejut. Tapi abang tak hairan kalau Khadijah terkejut sebab perkara ni memang perkara yang besar. Sekali lagi abang minta maaf. Sebab apa yang abang bagitau ni adalah ikhlas kerana Allah, dan selagi mana ada masa yang abang ada, abang harap Khadijah dapat tau niat abang ni. Dan abang dah ambil kesempatan yang ada tu…”
“Surat ni bukannya bertujuan apa-apa ataupun mengharapkan apa-apa. Hanya cuma mahu memberitahu niat hati abang sahaja. Abang minta maaf banyak-banyak kalau surat ni dah mengganggu Khadijah”
“Harapan abang, Khadijah akan lebih berjaya pada masa akan datang. Berkerjalah dengan rajin untuk menjadi orang yang berjaya sebab usaha yang gigih akan memberikan pulangan yang cukup berharga kepada Khadijah. Dan sekali lagi abang harap surat ni tak mengganggu Khadijah. Wassalam…”
Khadijah melipat kembali surat itu. Sekali lagi dia telah membaca surat itu. Dengan cermat surat itu kemudian dimasukkan ke dalam sampul semula. Dia kemudian memasukkan sampul itu ke dalam beg tangannya. Selepas itu Khadijah kelihatan termenung begitu lama. Tiada siapa yang tahu apa yang sedang difikirkannya ketika itu. Namun apa yang pasti, surat yang ditulis Zahid itulah yang mungkin menyebabkan dia termenung seketika. Surat yang menjadi huraian panjang Zahid terhadap lamaran yang dibuat pada malam Jumaat itu menerangkan segala-galanya terhadap apa yang ingin diluahkan Zahid. Kini terpulanglah buat Khadijah untuk merungkaikan pula huraian dalam surat itu. Hanya dirinya sahaja yang berhak untuk membuat keputusan itu.
Khadijah kemudian dengan dan perlahan-lahan kemudian mula meninggalkan tempat duduknya berjalan di kawasan perjalan kaki yang dibina di tepi jalan raya. Dia menuju ke keretanya mungkin untuk pulang kembali ke rumah. Mungkin Khadijah telah menemui ketenangan yang dicarinya. Ketenangan itu mungkin telah membuatkannya lebih jelas dalam mengatur langkah yang seterusnya.
Keesokan paginya selepas bersarapan, Khadijah mempersiapkan dirinya. Hari ini dia tidak bekerja. Sengaja dirinya hari ni memohon cuti untuk berehat seketika. Namun, itu merupakan sebahagian langkah yang telah diatur setelah begitu lama berfikir semalam. Murni yang mengetahui bahawa Khadijah bercuti hari ini sedikit hairan apabila melihat Khadijah berpakaian kemas. Namun dia langsung tidak cuba bertanya kepada Khadijah akan hal itu.
Tepat pukul sepuluh pagi, Khadijah mula menghidupkan enjin. Dia kemudian meninggalkan rumahnya. Perjalanannya sebenarnya menuju ke Hospital Taiping. Hari ini sekali lagi dia akan melawat Zahid bagi mengetahui keadaan terkininya. Hatinya hari ini terdetik untuk melawat Zahid. Namun untuk kali ini, Sheera langsung tidak mengetahui akan kunjungan Khadijah kali ini, tidak seperti sebelum ini. Khadijah langsung tidak memberitahu Sheera bahawa dia akan melawat abangnya itu. Namun walaupun datang dengan mengejut, Sheera menyambut mesra sebaik Khadijah tiba di hospital. Seolah-olah seperti menjangka akan kemunculan Khadijah, Sheera kelihatan sedang menunggu seseorang sebaik Khadijah tiba di pintu wad.
“Assalamualaikum”
“Waalaikumussalam”
“Tunggu orang ke?” soal Khadijah sambil bersalaman dengan Sheera.
“Saya tunggu akak”
“Tunggu akak? Sheera tau ke akak nak datang?” soal Khadijah hairan.
“Naluri yang cakap macam tu,” balas Sheera tersenyum.
“Abang macam mana?” soal Khadijah.
“Nak macam mana lagi akak. Macam tulah. Sama saja keadaan dia. Macam mana akak tengok masa hari Sabtu lepas, macam tulah keadaan dia hari ni. Saya pun hairan,… macam abang ni tengah tunggu sesuatu…”
“Sesuatu?”
“Entah, mungkin sesuatu yang membolehkan dia tersedar semula….”
Khadijah membisu. Keadaan Zahid masih lagi dalam keadaan yang sama. Tidak ada apa lagi yang mampu diucapkannya. Dia menjadi sedikit hairan apabila mendengar kata-kata Sheera bahawa Zahid seperti seolah-olah menunggu sesuatu. Dia tertanya-tanya apakah sesuatu yang sedang ditunggu Zahid itu. Menyedari Khadijah membisu, Sheera bersuara.
“Jomlah akak. Akak tengoklah sendiri keadaan abang,” kata Sheera sambil mempelawa Khadijah untuk menuju ke bilik yang menempatkan Zahid.
“Ya..”
Khadijah dan Sheera kemudian berjalan meninggalkan tempat mereka berdiri tadi. Setibanya di pintu bilik, Sheera membuka pintu itu. Namun dia tidak melangkah memasuki bilik itu sebaliknya hanya membiarkan Khadijah masuk ke dalam sahaja. Khadijah menjadi sedikit hairan apabila melihat Sheera tidak masuk ke dalam bilik itu.
“Tak masuk?” soal Khadijah.
“Emm, tak apa. Akak masuklah…”
“Kenapa?” soal Khadijah hairan.
“Kadang-kadang orang yang melawat pesakit ni mesti perlukan sedikit privasi bukan? Dan saya rasa akak memang perlukan sedikit privasi tu. Saya cuma nak bagi ruang privasi kat akak je. Saya tahu, akak nak rasa selesa sedikit bukan?”
“Terima kasih…” balas Khadijah kemudian. Dia sedikit tersenyum mendengar penjelasan Sheera itu. Sheera seolah-olah seperti memahami apa yang dirasainya. Memang benar dia memerlukan sedikit ruang untuk melawat Zahid.
“Akak tak perlu risau. Saya faham apa yang akak rasa,” kata Sheera kemudian. Dia kemudian menutup pintu bilik itu membiarkan Khadijah berseorangan di dalam. Sebaik pintu bilik ditutup, sekali lagi Khadijah tersenyum. Dia ternyata hairan akan Sheera yang seolah-olah mengetahui isi hatinya.
“Psikik ke?” bisik Khadijah berseorangan. Dia kemudian berjalan menghampiri katil yang menempatkan Zahid. Seperti yang telah dilihatnya beberapa hari yang lalu, begitulah juga keadaan Zahid ketika ini. Zahid masih lagi tidak sedarkan diri.
“Assalamualaikum abang,” sapa Khadijah kepada Zahid. Sapaan itu nyata tidak mendapat respon kerana keadaan Zahid yang masih tidak sedarkan diri. Walaupun Khadijah tahu bahawa Zahid tidak mendengar apa yang dikatakannya, namun dia masih terus mahu berbicara. Dia berharap agar bicaranya itu sedikit sebanyak dapat memulihkan kembali keadaan Zahid. Dia berharap agar Zahid dapat mendengar suaranya.
Khadijah merapati katil. Dia kemudian duduk di kerusi di sisi katil. Sambil itu matanya terus tidak dilepaskan dari melihat keadaan Zahid. Tangannya kemudian merapati sisi kanan katil. Perlahan-lahan kedua-dua tangannya itu diletakkan di atas katil. Perlahan-lahan juga jari jemarinya menghampiri jari jemari Zahid namun tidaklah bersentuhan jari jemari mereka. Batas-batas antara lelaki dan perempuan masih lagi kuat dalam diri Khadijah.
“Khadijah datang abang. Nak tengok abang, nak melawat abang…” kata Khadijah. Dia tersenyum sedikit yang nyata memang hanya dibuat-buat sahaja. Mana mungkin saat ketika ini dia mampu mengukirkan senyuman yang sebenarnya di hadapan Zahid yang tidak sedarkan diri. “Khadijah harap abang dapat sembuh dengan cepat. Abang sedarlah dengan cepat. Semua pasal abang, Khadijah dah tahu. Banyak yang Khadijah nak tanya kat abang. Jadi, abang pulihlah…”
Suasana di bilik itu ternyata sepi. Tiada sebarang bunyi kedengaran di bilik itu melainkan bunyi mesin bantuan pernafasan yang diberikan kepada Zahid. Hanya beberapa ketika sahaja kedengaran bunyi tapak kasut di luar bilik itu mungkin disebabkan oarang ramai yang melalui di kawasan luar bilik. Jelas ketika ini, ketenangan mampu dirasai oleh sesiapa yang berada di dalam. Khadijah turut merasai ketenangan itu. Dia menarik nafasnya dengan panjang sebagai tanda betapa tenangnya ketika ini. Ketenangan itu telah mencipta satu perasaan yang sukar digambarkan.
“Tak sangka, abang ni banyak dugaannya. Tapi, kenapa abang tak cerita kat Khadijah? Kenapa nak rahsia?... Sheera adik abang dah cerita semuanya kat Khadijah. Memang Khadijah terkejut, dan pada masa yang sama, Khadijah kesian kat abang,” luah Khadijah. “Abang kuat. Ya, kalau tak, takkan abang boleh sampai ke tahap sekarang ni walaupun banyak cabaran yang abang hadapi. Abang berjaya walaupun banyak halangan…. sebab abang cukup kuat berhadapan cabaran tu. Dan Khadijah percaya abang juga cukup kuat untuk menghadapi keadaan abang sekarang ni. Sedarlah abang. Bangunlah. Abang mampu berjuang untuk itu…”
Kata-kata itu diluahkan dengan penuh semangat. Khadijah cuba untuk memberi semangat kepada Zahid untuk sedar dan pulih. Dia tahu, kata-katanya itu tidak didengari Zahid. Namun, dia berharap juga agar Zahid mendengar bisikannya itu. Kata-kata itu juga bertujuan untuk melepaskan segala apa yang dirasai dan dipendam Khadijah selama ini serta mengurangkan sedikit kekusutan yang dirasainya.
“Khadijah tak tau istilah apa yang sesuai untuk hubungan abang dengan Khadijah. Tapi yang pasti, abang adalah kawan Khadijah. Selalu melihat Khadijah, ambil tahu, dan tak pernah sama sekali lupakan Khadijah. Abang terlalu baik buat Khadijah…” luah Khadijah lagi. “Prihatin dan penuh bersemangat…. Itulah abang…” Tanpa disedari Khadijah, jemarinya mula semakin merapati jemari Zahid. Apabila Khadijah menyedari akan hal itu, perlahan-lahan dia menarik kembali jarinya itu menjauhi jemari Zahid. “Khadijah nak ucapkan banyak-banyak terima kasih, sebab… dari dulu sampailah sekarang, abang terus sokong Khadijah. Mungkin abang penting untuk Khadijah…”
Suasana dalam bilik itu terus sunyi sepi seolah-olah memahami perasaan Khadijah ketika ini. Malah, ketika ini juga, tidak ada sesiapa pun yang mengganggunya. Sheera, Ibu, Ayah, ataupun Yasmin tidak pula masuk ke dalam bilik itu. Mungkin itu adalah rahmat yang dikurniakan kepada Khadijah pada waktu ini. Mungkin Allah sedang memberikan ruang yang cukup buat Khadijah bagi meluahkan segala isi hati yang terbuku.
“Dulu, abang ada tanya satu soalan kat Khadijah. Soalan itu abang tinggalkan tanpa Khadijah menjawabnya. Soalan itu memang cukup berat bagi sesiapa yang diminta menjawabnya. Bukan mudah untuk memberi kata putus bagi soalan itu. Abang memang cukup berani bertanyakan satu soalan itu,” kata Khadijah. “Memang Khadijah cukup terkejut bila mendengar soalan itu. Dan memang Khadijah tak menduga untuk mendapat pertanyaan begitu. Khadijah tak menjawab bukan maknanya Khadijah menidakkan apa yang ditanya…..Masa,… itulah yang diperlukan supaya jawapan yang akan diberi adalah yang sebenar-benarnya, wujud dan lahir dari hati. Masa diperlukan untuk Khadijah memikirkan jawapan yang cukup tepat. Ya, memang mudah kerana hanya ada dua jawapan yang diperlukan,… ya,… atau tidak. Mungkin dengan hanya angguk ataupun geleng. Tapi, bila hanya dua pilihan jawapan itulah, betapa sukarnya untuk membuat keputusan. Kerana di antara dua jawapan itu, masing-masing mampu merubah hidup Khadijah masa hadapan. Kerana jawapan kepada soalan itu adalah ibarat seperti kunci kepada pintu masa depan Khadijah. Silap memilih jawapan, maka silaplah pilihan masa depan Khadijah dan rosaklah segala kebahagiaan yang mungkin dapat dirasai. Maka masa itulah yang Khadijah perlukan bagi menajawab sebaris soalan yang abang luahkan pada malam itu. Maka masa itulah yang telah digunakan untuk memikirkan apakah jawapan bagi soalan itu kerana Khadijah sekarang dah punyai jawapan yang cukup jelas dan tidak lagi teragak-agak,” luah Khadijah. Kata-katanya itu lebih panjang sedikit berbanding kata-katanya sebelum ini menyebabkan dia menghela nafas yang begitu panjang selepas itu. Mungkin itulah kata-kata yang paling sukar untuk diluahkan.
Khadijah kemudian bangun dan perlahan-lahan berjalan menghampiri jendela bilik. Sinar mentari pagi menghala tepat ke wajah Khadijah sebaik dia berdiri di tepi jendela. Kelihatan jelas urat-urat halus di pipi Khadijah apabila disinari cahaya mentari. Kulitnya yang putih gebu sememangnya menyebabkan urat-urat halus di pipinya itu mudah kelihatan apabila disinari mentari. Khadijah melepaskan pandangannya ke arah bawah. Kelihatan dengan jelas beberapa orang kanak-kanak ceria sedang bermain-main di bawah. Mungkin kanak-kanak itu tidak mengerti keadaan di hospital yang selalunya hanya mengiringi perasaan kesedihan dan kedukaan. Keceriaan itu jarang sekali dapat dirasakan bagi setiap penghuni ataupun pengunjung yang datang ke hospital. Sedikit senyuman terukir di wajah Khadijah. Gelagat kanak-kanak yang sedang bermain di bawah telah mencuit sedikit perasaan Khadijah. Dia kemudian melontarkan pandangannya ke atas pula melihat langit yang membiru. Sinar pagi yang menyinari telah menyebabkan sedikit silaua dirasai pada mata Khadijah. Kesilauan itu dikurangkan apabila Khadijah melindungi sedikit bahagian matanya dengan jemarinya. Setelah puas memandang, Khadijah menoleh kembali ke arah Zahid yang kaku di atas katil. Pandangannya sedikit kabur pada permulaannya dek melihat langit yang begitu cerah sebelum ini. Pandangannya itu perlahan-lahan pulih kembali selapas itu. Dia kemudian perlahan-lahan kembali berjalan menghampiri katil.
“Khadijah harap abang cepat sedar supaya abang dapat dengar jawapan yang Khadijah akan beri. Dan Khadijah tahu, abang memang menunggu jawapan ini. Sebab ketika ini, Khadijah dah ada jawapannya. Khadijah harap abang dapat dengar, sebab inilah jawapan yang akan Khadijah katakan kalau abang mendengarnya…” kata Khadijah. Dia kemudian duduk kembali di kerusi. Selepas itu, dia menarik nafas yang cukup dalam. Kata-kata yang akan diluahkannya nanti memerlukan satu ketenangan dalam dirinya kerana inilah perkara yang paling sukar yang akan dikatakannya. Selepas beberapa ketika membisu cuba mendapatkan sedikit ketenangan, barulah dia kembali bersuara. Kata-kata yang diluahkan diungkapkan dengan penuh ketenangan. “Banyak perkara dalam alam ini diciptakan dengan penuh ketelitian dan saling bergantung satu sama lain. Ketelitian itulah bukti kebesaran Allah. Kalau dilihat sahaja pada matahari, diciptakan untuk memberi pengharapan pada ciptaan yang lain, kerana bumi memang memerlukan matahari bagi membolehkan fungsinya untuk menampung hidupan dapat dilaksanakan. Tanpa matahari, matilah bumi. Tanpa matahari tiadalah bumi. Kerana matahari diciptakan untuk membantu bumi. Dan setiap hidupan memang memerlukan fungsi yang dilakukan bumi… udara, air, tanah,… membolehkan kelangsungan kehidupan. Kerana bumi diciptakan untuk kehidupan setiap benda yang bernyawa. Begitu juga bulan, memerlukan matahari supaya sinar yang diperolehnya dapat pula menerangi malam hari. Tanpa matahari, mana mungkin cahaya bulan itu dapat menyinari malam kerana matahari juga diciptakan untuk bulan menerangi malam. Begitu indah setiap ciptaan Allah…” kata Khadijah. “Setiap perkara yang ada itu pasti perlu antara satu sama lain. Semua ciptaan itu saling bergantungan. Dan kerana semua yang dapat Khadijah lihat di persekitaran membuatkan Khadijah dapat menjawab dengan jelas kepada soalan yang abang ajukan itu. Lihat sahaja di langit,… bintang itu diciptakan untuk memagari bulan, kerana tanpa bintang sunyilah bulan. Dan cahaya malam di langit dicipta untuk menggantikan cahaya siang, dan dari cahaya malam itu pula, diciptakan cahaya siang untuk menggantikan tempatnya. Malam dan siang saling membantu antara satu sama lain,” kata Khadijah. Dia kemudian bangun pula dari duduknya namun masih lagi berada di tempat yang sama. Matanya masih tepat memandang ke wajah Zahid yang dilitupi topeng oksigen.
Tanpa dijangka Khadijah, tiba-tiba sepasang ekor burung tiba-tiba hinggap di luar jendela. Terus mata Khadijah melihat dua ekor burung itu. Sedikit senyuman terukir di wajah Khadijah. Burung-burung itu seolah-olah seperti mengikuti kata-katanya. Selepas berdiri beberapa ketika, Khadijah kembali duduk.
“Macam burung di luar tingkap tu, juga diciptakan jantan dan betinanya kerana masing-masing memerlukan antara satu sama lain,” kata Khadijah. “Air itu diciptakan untuk membasahi tanah yang kering kontang. Di situlah kehidupan bermula… Dan kalau dingin itu diciptakan untuk menghilangkan panas, dan kalau langit itu diciptakan untuk memayungi bumi, dan kalau cahaya itu diciptakan untuk menerangi kegelapan, dan kalau angin itu diciptakan untuk menemani awan merentasi dunia, sesungguhnya betapa hebat ciptaan Ilahi. Semuanya diciptakan untuk membantu yang lain…” kata Khadijah. Selepas itu jemarinya merapati jemari Zahid yang kaku. Serentak dengan itulah sekali lagi dia menarik nafas yang dalam. Perlahan-lahan pandangannya terus melihat pada wajah Zahid. Serentak itu jugalah dia bangun perlahan-lahan. Dia cuba untuk mendapatkan ketenangan lagi bagi meneruskan kata-katanya. Luahan kali ini adalah yang paling berat untuk diungkapkannya. Khadijah kemudian bersuara kembali. “Dan kalau semua yang diciptakan itu membantu yang lain,…. maka ciptaan ‘ini’ juga turut membantu yang ‘lain’ kerana sesungguhnya,…. Khadijah itu diciptakan hanya untuk menemani Zahid seumur hidupnya….hanya diciptakan untuk mengisi kecerian insan yang bernama Zahid. Kerana Khadijah itu diciptakan untuk Zahid…….”
Serentak dengan luahan itu, mata Khadijah tiba-tiba beralih melihat jari jemari Zahid. Tubuh Zahid yang kaku tidak sedarkan diri itu menyebabkan matanya terus tertumpu pada jari kerana jemari Zahid itu kelihatan sedikit bergerak-gerak. Perlahan-lahan gerakan jari itu semakin jelas. Perlahan-lahan juga nafas Zahid kedengaran lebih kuat berbanding sebelum ini. Perlahan-lahan juga dada Zahid yang sebelum ini tenang mula bergerak-gerak. Serentak dengan itu juga, kelihatan pergerakan pada mata Zahid. Khadijah yang melihat keadaan ini ternyata terkejut.
“Abang,… abang…. Abang …. Abang okay ke? Abang okay?” soal Khadijah cemas sambil terus menekan punat butang kecemasan untuk memanggil doktor. Keadaan menjadi kelam kabut selepas itu. Dan semua itu berlaku sejurus Khadijah meluahkan jawapan kepada soalan yang diberikan Zahid sebelum ini. Wajah Khadijah ketika ni begitu pucat. Dia benar-benar terkejut. Namun yang pasti, dia telah meluahkan segala-galanya. Serentak dengan itu juga Sheera, Yasmin, dan Ibu bergegas masuk ke dalam bilik. Masing-masing menjadi panik dengan keadaan Zahid itu.
Tamat Ceritera 18
No comments:
Post a Comment