Monday, September 14, 2009

Ceritera 16

Ceritera 16

“Tidak mengapa bagimu menyindir hendak meminang perempuan atau kamu sembunyikan dalam hatimu; Allah mengetahui, bahawa kamu nanti akan menyebutkannya juga kepada perempuan itu, tetapi janganlah kamu janjikan kepada mereka dalam rahsia, melainkan berkatalah dengan perkataan yang patut. Dan janganlah lamu langsungkan ikatan perkahwinan, sebelum sampai waktunya, dan ketahuilah, sesungguhnya Allah mengetahui apa yang dalam hatimu, sebab itu berhati-hatilah dengan Tuhan, dan ketahuilah, sesungguhnya Allah itu Pengampun dan Penyantun”
(Surah Al-Baqarah, ayat 235)

* * *

“Jadi malam tu hang jumpa Abang Zahid?” soal Murni selepas mendengar cerita Khadijah. Hidangan sarapan yang terhidang di atas meja tidak begitu menarik perhatiannya berbanding cerita yang sedang diceritakan Khadijah itu.

“Malam tu memang aku pergi ke masjid macam biasa. Tapi masa tu hang tak tau sebab masa tu hang kena demam selsema. Hang baru dua minggu pindah ke Taiping,” balas Khadijah dengan tenang. “Malam tu, ada kuliah Maghrib… sampai masuk waktu Isyak…” katanya dengan tenang mengenangkan kembali peristiwa lampau. “Masa tu, aku tertanya-tanya, benda apa yang Abang Zahid nak cakap kat aku. Aku langsung tak tahu apa tujuan dia nak jumpa aku. Aku ingat lagi, malam tu… memang malam yang sangat indah. Malam tu cahaya bulan memang sangat terang. Menerangi keseluruhan langit malam tu…”

“Jadi, bila Abang Zahid muncul?” soal Murni. Sambil itu dia menuang teh ke dalam cawannya dan cawan Khadijah.

“Lepas saja waktu Isyak, bila masing-masing mula keluar dari masjid …” kata Khadijah. “Aku tunggu berhampiran kereta aku. Aku tunggu kat situ sebab masa tu aku nampak kereta Abang Zahid tak jauh dari kereta aku…”

* * *

Malam itu, debaran Zahid ternyata sangat berbeza berbanding kebiasaannya. Sukar untuk digambarkan betapa kuatnya debaran hatinya itu. Malam yang penuh indah ini, dia bakal melakukan sesuatu yang amat besar dan penting dalam hidupnya. Sesuatu yang bakal menentukan masa hadapan dirinya. Seuatu yang ternyata bakal merubah keseluruhan hidupnya.

Zahid mula berjalan keluar dari masjid selepas selesai solat Isyak. Dengan tenang, dia menyarungkan sepatunya. Ternyata setiap langkahannya begitu sukar untuknya. Dia seperti tidak bertenaga dek debaran yang dirasainya. Langkah demi langkah yang diaturnya dirasakan begitu sukar. Dia tahu, malam ini begitu menggentarkan hatinya. Namun dia juga tahu, malam ini adalah begitu penting buatnya. Malam ini adalah peluang terbaik buatnya.

Zahid kemudian mula melihat di persekitaran masjid, meninjau kelibat Khadijah yang mungkin telah menunggunya. Matanya kemudian terhenti ke arah keretanya. Di satu sudut tidak jauh dari keretanya itu, kelihatan Khadijah sedang berdiri menunggu di sebelah Perodua Myvi milik Khadijah.

“Assalamualaikum,” sapa Zahid sebaik menghampiri Khadijah yang sedang menunggu.

“Waalaikumussalam,”

“Dah lama tunggu?”

“Emm… baru je”

“Sorilah kalau menyusahkan Khadijah tunggu abang malam ni…”

“Eh, tak pe”

“Sebenarnya abang ada nak cakap sikit kat Khadijah,” kata Zahid. “Tapi abang tak tau macam mana abang nak mulakan” katanya kemudian. Dia kemudian membisu seketika. “Abang…emm macam mana nak cakap… susah nak cakap…”

“Abang sihat ke?” soal Khadijah apabila melihat Zahid membisu.

“Alhamdulillah…” balas Zahid. “Tapi sebelum tu…” kata Zahid sambil mengeluarkan sampul surat dari poket bajunya. Sampul surat itulah yang terisi kertas yang ditulisnya beberapa hari sebelum ini. Dia kemudian menyerahkan surat tersebut kepada Khadijah. Khadijah mengambil surat itu dengan penuh tanda tanya. “Khadijah baca nanti bila balik rumah…” kata Zahid kemudian.

“Ok…” balas Khadijah sambil memasukkan surat itu ke dalam poket baju kurungnya.

“Emm..” Zahid memerhatikan ke arah langit malam yang cerah. “Malam ni cantik kan?” soal Zahid.

“Ha aa. Bulan malam ni memang terang,” balas Khadijah.

“Susah nak cakap keindahan cahaya bulan ni kan?” soal Zahid. Dia cuba menukar sekejap subjek perbualannya bagi mengurangkan debarannya.

“Seluruh malam menjadi cerah dengan adanya cahaya bulan…”

“Menambah seri setiap orang yang berjalan di bawah cahayanya…” kata Zahid pula. Dia sedikit tersenyum. Jarang baginya untuk bercakap dengan gaya sedemikian terhadap Khadijah. Selalunya gaya percakapannya itu hanya diucapkan terhadap Ibu, adik-adiknya atau rakan rapatnya, Izham. Apabila dia bercakap dengan Khadijah, Zahid lebih selesa bercakap terus kepada tujuan dia berjumpa tanpa memperkatakan berkenaan perkara yang lain. Maka tidak hairanlah apabila setiap kali dia berjumpa Khadijah, Zahid tidaklah banyak bercakap. Kebiasaannya Khadijah yang banyak menguasai perbualan.

“Memang leka kalau tengok bulan purnama kan?” soal Khadijah sambil melihat bulan di langit.

“Ya…” balas Zahid. Sambil itu dia cuba untuk menenangkan dirinya lagi. Debaran di dadanya masih lagi dapat dirasakan. Sekali lagi Zahid menjadi kelu lidahnya.

“Abang ada buat novel baru ke?” soal Khadijah apabila melihat Zahid masih terus membisu.

“Emm ya… eh… tak, tak…. Tak buat lagi. Tengoklah, macam mana nanti. Setakat ni tak ada perancangan lagi…” balas Zahid sedikit gugup. Serentak dengan itu dia berjalan menuju ke bahagian hadapan kereta Khadijah. Dia kemudian duduk di atas bonet enjin Myvi itu. Khadijah kemudian mengikut Zahid namun hanya berdiri di sisi keretanya itu. Serentak dengan itu, Zahid merasakan dirinya telah bersedia untuk memulakan bicaranya. Dengan tenang dia memulakan bicara. “Emm… Khadijah…. Abang… tak tau macam mana nak cakap kat Khadijah…Tapi…. Mau tak mau, abang kena jugak bagitau Khadijah…”

“Okay… emm, nak bagitau apa?” soal Khadijah dengan tenang.

“Emm, susah abang nak cakap…” balas Zahid. “Yalah, abang ni bukanlah penyair yang pandai bermadah, berkata-kata secara tersurat dan tersirat…Tapi abang tau, setiap orang tak akan dapat lari dari mengalami perkara ni…” kata Zahid. “Dah lama abang fikirkan perkara ni… Tapi abang tak pasti sama ada betul ataupun tidak apa yang abang rasa ni…”

“Apa yang abang nak cakapkan pada Khadijah?” soal Khadijah dengan serius. Kata-kata Zahid itu ternyata membuatkan dia sedikit tertanya-tanya. Kata-kata Khadijah itu dibalas dengan sedikit senyuman daripada Zahid.

“Dulu abang rasa, mungkin perkara ni tak begitu serius. Abang rasa itu cuma mainan perasaan saja. Tapi, lagi abang cuba nafikannya, semakin abang tak dapat nak elakkannya… Semakin abang rasa seakan tidak percaya…” kata Zahid. Dia ternyata tidak menjawab pertanyaan Khadijah tadi. Namun Khadijah tidak pula cuba menyoal Zahid sekali lagi. “Abang dah buat banyak solat hajat, istikharah, dan banyak lagi supaya diberi petunjuk yang jelas… Bukan sekali dua abang fikir pasal perkara ni, tapi abang dah fikirkan semasak-masaknya. Memang, memang abang tak menjangka perkara macam ni akan terjadi pada abang….”

Khadijah kemudian menghampiri Zahid. Dia kemudian menyoal Zahid. “Emm… abang, apa perkara tu?” Sebaik disoal sedemikian, Zahid kemudian bangun dari bonet kereta Khadijah. Dia kemudian berjalan beberapa tapak ke hadapan meninggalkan Khadijah di belakangnya. Kini Khadijah berdiri di belakang Zahid.

“Pada malam yang mulia ni, malam Jumaat, penghulu segala hari; dengan cahaya bulan yang terang menerangi malam, satu malam yang cukup indah, cahaya yang mengasyikkan; di tempat yang cukup suci, sebuah masjid, rumah Allah; bersaksikan bintang-bintang yang ada di langit; abang nak cakap sesuatu kat Khadijah,” kata Zahid sedikit bermadah. “Khadijah, kalau abang tanya satu soalan pada Khadijah, apa jawapan yang akan Khadijah jawab?” soal Zahid tanpa memandang ke belakang untuk melihat Khadijah.

“Soalan apa yang nak ditanya tu?” soal Khadijah sambil sedikit mengerutkan dahinya tertanya-tanya kata-kata Zahid tadi.

“Emm… emm… sebenarnya… sebenarnya…” Sekali lagi Zahid menarik nafasnya. Dia cuba menenangkan dirinya lagi. Kata-katanya cuba diluahkan dengan tersusun. “Emm, Khadijah, kalau ada orang tanya soalan macam ni, apa yang akan Khadijah jawab...” katanya kemudian. Dia kemudian mengalihkan pandangannya ke belakang melihat Khadijah. “Apakah jawapan Khadijah, kalau seseorang tu bagitau Khadijah yang dia nak memperisterikan Khadijah?” soal Zahid dengan tenang. Sambil itu dia menundukkan kepalanya ke bawah sebaik menghabiskan kata-katanya itu. Zahid tertunduk malu.

Sementara itu Khadijah ternyata benar-benar terkejut dengan pertanyaan itu. Dia terus terkelu lidahnya sebaik mendengar soalan yang diajukan Zahid itu. Dia tidak menjangka soalan itu akan ditanya Zahid.

“Abang minta maaf kalau soalan ni tak begitu jelas…” kata Zahid. “Sebenarnya abang tak harap Khadijah nak jawab soalan abang ni. Abang tak mintak. Tapi abang cuma nak cakap sebab abang rasa abang perlu…. ” kata Zahid lagi. “Apa yang akan Khadijah jawab kalau abang nak jadikan Khadijah isteri abang?” soal Zahid sekali lagi namun dengan mengubah pernyataan ‘seseorang’ menjadi ‘abang’.

Sekali lagi Khadijah terkejut. Sekali lagi dia tidak menjangka Zahid akan menyoal kepadanya sebegitu. Dan sekali lagi lidahnya terus menjadi kelu. Wajah Khadijah ketika ini berubah menjadi kemerah-merahan. Sinaran bulan yang terang pada malam itu jelas menunjukkan keadaan di wajahnya itu. Dia ternyata menjadi sedikit malu dengan pertanyaan Zahid itu. Zahid sedar akan hal itu. Dia tahu, mana-mana wanita pun jika ditanya soalan sedemikian pasti akan berubah menjadi begitu. Malam ini menyaksikan Zahid melamar Khadijah sebagai isterinya.

Khadijah masih lagi tidak terucap kata-katanya. Dia masih terus membisu sambil melihat Zahid berdiri di hadapannya. Senyuman tidak dapat dilihat di wajah Khadijah sebaliknya wajah yang benar-benar terkejut kelihatan pada waktu ini. Tidak terdaya Khadijah untuk menunjukkan ekspresi di wajahnya ketika ini. Khadijah menerima kejutan yang sangat besar dalam hidupnya. Tidak termampu dirinya bagi menerima kejutan ini.

Dalam kebisuan Khadijah itu yang terus berada dalam keadaan seolah-olah kaku, Zahid tahu bukan mudah untuk Khadijah menjawab pertanyaannya itu. Tambah pula, soalan yang ditanya itu diajukan terus tanpa dimulakan dengan sebarang mukadimah. Soalan sebegitu ternyata bukan dapat dijawab sesingkat masa yang diharapkan. Masa hadapan, nasib hidup Khadijah dan Zahid, dipertaruhkan sebelum dapat dijawab soalan sedemikian. Maka tidak hairanlah Zahid kelihatan seperti tidak mendesak Khadijah untuk menjawab soalan tersebut. Hanya sekali sahaja soalan itu diajukan kepada Khadijah.

Zahid kemudian memerhati tepat pada mata Khadijah. Dia kemudian tersenyum. Zahid melangkah beberapa tapak ke hadapan menghampiri Khadijah. Namun, jaraknya dengan Khadijah tidaklah begitu rapat walaupun selepas beberapa tapak melangkah.

“Abang tak mintak Khadijah jawab sekarang,” kata Zahid. “Abang tak paksa Khadijah jawab soalan tu. Terpulang pada Khadijah nak jawab soalan abang atau tidak. Khadijah yang tentukan” katanya lagi. “Bagi abang, abang dah bagitau apa yang perlu abang bagitau. Apa yang abang rasa perlu Khadijah tau, abang dah cakap. Dan semua ni kerana Allah abang lakukan. Semuanya adalah kerana petunjuk Allah pada abang” kata Zahid. Dia kemudian mengundurkan dirinya beberapa tapak. “Abang tak kisah walau apa pun jawapan Khadijah, sebab bagi abang, bagitau perkara ni pada Khadijah pun dah cukup buat abang. Jadi, terpulanglah pada Khadijah bila nak bagi jawapan soalan tu….”

Zahid kemudian tersenyum. Pada masa yang sama Khadijah terus membisu. Dia sedikit tersenyum sebaik mendengar kata-kata Zahid. Selepas itu Zahid mengundurkan lagi beberapa tapak ke belakang sebelum dia berjalan menuju ke keretanya yang terletak tidak jauh. Namun, beberapa tapak dia berjalan, langkahannya itu terhenti seketika. Dia kemudian menoleh ke belakang melihat Khadijah.

“Abang mintak maaf kalau perkara ni dah buat Khadijah terkejut dan jadi tak selesa. Ingat Khadijah, abang tak kisah kalau Khadijah nak jawab ataupun tidak. Terpulanglah pada Khadijah…” kata Zahid. “Assalamualaikum…”

“Waalaimussalam…” jawab Khadijah. Barulah dapat didengar suara Khadijah selepas lama membisu. Hanya kalimah itulah yang mampu diucapkannya. Zahid sementara itu mula berjalan meninggalkan Khadijah. Khadijah memerhatikan Zahid berjalan sehingga dia masuk ke dalam kereta. Kejutan yang diterima Khadijah malam itu ternyata di luar jangkaannya.

* * *

“Jadi, hang tak jawab?” tanya Murni sambil memasukkan pakaian ke dalam mesin basuh. Khadijah berdiri tidak jauh darinya.

“Bukan mudah nak berikan jawapan yang melibatkan soal masa hadapan…” balas Khadijah.

“Maksud hang, masa tu hang tak bersedia nak jawab soalan tu?” soal Murni kembali. Sambil itu dia memasukkan cecair pencuci Dynamo ke dalam mesin basuh itu.

“Bukan tak bersedia, tapi tak menjangka…” balas Khadijah. “Aku memang masa malam tu sangat-sangat terkejut”

“Ha..ha.. memang mengejutkan pun kalau perkara yang sama terjadi kat aku,” kata Murni. “Jadi, masa tu Abang Zahid macam mana?”

“Dia pun tak paksa aku jawab masa tu. Emm… mungkin dia pun faham yang aku betul-betul terkejut masa tu…” kata Khadijah. “Dia pun terus tinggalkan aku bila dia dah bagitau niat dia tu…”

“Oh ya, cakap pasal surat tu, apa yang Abang Zahid tulis dalam surat tu?” soal Murni. Sambil itu dia menutup pintu mesin basuhnya. Dia kemudian bangun dan terus berjalan menuju ke sinki di dapur.

“Masa aku jumpa tu, tempoh masanya taklah begitu lama. Boleh kata sangat sekejap. Apa yang nak diberitahu, seringkas-ringkasnya diberitahu Abang Zahid. Boleh kata masa aku jumpa Abang Zahid tu, dia cuma bagitau aku mukadimahnya sahaja. Huraian kepada mukadimah yang dikatkannya ditulis dalam surat tu…” balas Khadijah. “Panjang jugak isi surat tu. Dalam dua helai kertas kandungan surat tu…”

“Isinya… apa?” soal Murni cuba mengorek rahsia Khadijah.

“Ada di sini…” balas Khadijah sambil meletakkan tangannya di dadanya. Segala isi surat itu terus kekal dalam hatinya.

“Tak nak bagitau kat aku?” soal Murni.

“Tak semua rahsia itu boleh dikongsi… sesetengahnya adalah terlalu berharga untuk dikongsi oleh orang lain…” balas Khadijah.

“Oh, okay…” balas Murni. Dia ketika ini sedang mencuci cawan di sinki. “Tapi, yang aku tau sekarang hang memang tak jawab soalan Abang Zahid tu… yang tu aku pasti… jadi, bila pulak hang bagi jawapan pada Abang Zahid?”

“Satu tempoh yang agak lama untuk aku memikirkan jawapannya. Satu tempoh yang sangat-sangat mematangkan aku… mematangkan aku dalam melihat kehidupan secara keseluruhan…. Melihat hidup ni dengan cara yang lebih berbeza. Segala yang aku fikirkan, yang aku pertimbangkan dilakukan dengan penuh teliti dan berhati-hati. Aku tau, satu keputusan akan mengubah segala kehidupan aku sebelum ni…”

“Ya, bunyinya terlalu sukar…” kata Murni sebaik mendengar kata-kata rakannya itu.

“Tapi, bila aku ingat balik malam tu, aku tak sangka yang Abang Zahid akan bagitau perkara sedemikian. Dan aku tambah tak sangka yang tindakan Abang Zahid tu rupa-rupanya menyamai tindakan ayahnya dua puluh lima tahun sebelum ni masa ayah Abang Zahid melamar Ibu…” jelas Khadijah mengubah sedikit fokus perbualannya. “Masa tu, cara yang sama, ayah dia bawa mak Zahid ke masjid. Pada waktu yang sama, selepas solat Isyak; pada keadaan yang sama, bulan dengan cahaya yang terang; pada malam hari yang sama, malam Jumaat; dengan cara yang sama, ayah dia menyoal soalan yang sama macam mana yang Abang Zahid tanya pada aku masa malam tu…”

“Serius?” soal Murni sedikit terkejut.

“Semua cerita tu Ibu yang ceritakan kat aku…maksud aku mak Abang Zahid yang ceritakan kat aku…” balas Khadijah.

“Takkan semuanya sama?” soal Murni.

“Ya, semuanya sama. Ya… mungkin sifat yang ada pada ayah dia turun pada dia. Segala cara perhubungan dengan orang lain mungkin mengikut cara ayah dia. Maka tak hairan kalau dia lakukan tindakan yang sama seperti ayahnya,” terang Khadijah.

“Ya, like father like son…” kata Murni tersenyum. Dia kemudian berjalan pula menuju ke peti sejuk. Khadijah pula sementara itu duduk di kerusi di dapur.

“Jadi, mungkin sifat yang ada pada aku ni adalah sama dengan Ibu…” kata Khadijah.

“Ya, mungkin kalau sekali imbas…” balas Murni. “Emm, berbalik pada soalan tadi, bila hang jawab soalan tu. Yalah aku pasti hang jawab soalan Abang Zahid tu, kalau tak masakan hang boleh jadi macam sekarang ni kan?” soal Murni mengembalikan fokus perbualan mereka sebelum ini.

“Emm… ya, memang aku bagi jawapannya…” jawab Khadijah tenang. “Setelah semuanya difikirkan sedalam-dalam yang mungkin. Bukan mudah nak putuskan apa yang perlu dilakukan. Tapi yang pasti, banyak perkara yang membantu aku untuk merungkaikan jawapan kepada soalan tu…”

“Oh, ya… lupa pulak. Tak berapa lama lepas tu, Abang Zahid ada masuk hospital kan?” soal Murni. “Dia kena…”

“Asma,” sambung Khadijah dengan kata-kata Murni itu. “Seminggu lepas tu, Abang Zahid dimasukkan ke hospital….”

“Jadi, bila hang jawab soalan tu? Yalah, dalam keadaan Abang Zahid tak begitu sihat, macam mana hang nak jawab?” soal Murni.

“Kerana dia sakit, maka dengan mudah aku dapat menjawab soalan tu…” kata Khadijah.

“Maksud hang?” soal Murni kehairanan.

Khadijah tidak membalas pertanyaan rakannya itu. Dia terus berjalan menuju ke ruang tamu. Dia menyambung kembali pembacaannya. Buku yang ditulis Zahid itulah seperti biasa disambung bacaannya.. Buku yang dibacanya itu, sudah hampir ke penghujung cerita. Cerita itu bakal menemui penghujung penceritaannya. Khadijah membaca buku itu dengan penuh kekhusyukan.

“Cerita ini akan menemui penyudahnya…” kata Khadijah sendirian sebaik memulakan pembacaannya.

* * *

Hujan turun begitu lebat. Petang hari Jumaat ternyata adalah sesuatu yang jarang dilalui oleh penduduk bandar Taiping. Hujan yang turun adalah sesuatu yang luar biasa. Walaupun Taiping merupakan bandar yang selalu ditimpa hujan pada setiap petang, namun untuk petang itu, hujan yang menimpa bumi Taiping ternyata begitu lebat. Jarak penglihatan agak terbatas. Kenderaan di atas jalan raya begerak dengan begitu perlahan. Motosikal yang selalu banyak kelihatan pada setiap petang langsung tidak kelihatan. Banyak lopak air yang jarang kelihatan walaupun pada hari hujan mula kelihatan sama ada di atas jalan raya ataupun di sisi jalan raya. Kuantiti air yang turun ternyata sangat luar biasa. Malah kadar kecerahan pada petang itu tidaklah secerah seperti kebiasaan. Keadaan pada pukul lima petang seolah-olah seperti waktu Maghrib. Dan pasti banyak aktiviti petang pada hari itu tergendala.

Hari ini Zahid seperti biasa pada waktu ini mula bergegas untuk pulang. Hujan yang turun dengan lebat nyata langsung tidak menghentikan langkahannya menuju ke keretanya. Tanpa melindungi kepalanya daripada ditimpa air hujan yang mencurah-curah turun pada petang itu, Zahid meredah hujan sambil berlari menuju ke keretanya. Bajunya habis basah lencung sebaik masuk ke dalam kereta. Namun, Zahid tidak mempedulikan keadaan dirinya yang telah basah kuyup. Dia terus menghidupkan enjin sebelum begerak meninggalkan kawasan letak kereta. Zahid kelihatan seolah-olah mahu cepat pulang ke rumah. Mungkin disebabkan hari ini adik-adiknya telah pulang dari asrama menyebabkan dia bersemangat untuk pulang ke rumah.

Hujan yang turun begitu lebat telah membataskan penglihatan Zahid untuk memandu pulang. Dia terpaksa memandu pada kelajuan yang perlahan. Bukan keretanya sahaja yang bergerak perlahan, malah semua kenderaan yang berada di atas jalan bergerak dengan kelajuan yang hampir sama. Pengelap cermin Zahid bergerak dengan laju cuba menghilangkan kekaburan cermin hadapan kereta. Namun hujan yang turun dengan begitu lebat tidak mampu diatasi oleh pengelap cermin itu bagi menghilangkan kekaburan cermin hadapan kereta.

Perlahan-perlahan kereta Zahid memasuki simpang ke Masjid Daerah Taiping. Dengan lampu isyarat yang terpasang, Zahid memasuki simpang itu dengan penuh berhati-hati. Simpang itu bolehlah dikatakan satu simpang yang merbahaya kerana kerap kali kemalangan berlaku di kawasan tersebut. Pernah satu ketika dahulu sebuah bas yang datang dari Terminal Bas Taiping melanggar sebuah motosikal di simpang itu. Pernah juga sebuah kereta melanggar sebuah lori di simpang itu. Ternyata simpang itu seolah-olah seperti medan untuk kemalangan berlaku.

Sebaik Zahid masuk ke simpang itu, tiba-tiba kedengaran satu letupan kuat pada bahagian hadapan kereta. Walaupun kedengaran bunyi bising air hujan yang menimpa bumbung kereta pada waktu itu, namun letupan kuat itu masih dapat didengar oleh Zahid. Serentak dengan itu juga dia mula merasakan gegaran pada keretanya. Gegaran itu semakin lama semakin kuat. Akhirnya, Zahid terpaksa menghentikan kereta di tepi jalan bagi melihat keadaan keretanya. Sebaik berhenti, dia terus keluar meredah hujan menuju ke bahagian hadapan kereta. Dia terus melihat pada tayar kanan hadapan keretanya. Seperti diduganya, tayar hadapan keretanya telah pecah. Kelihatan sebatang kayu tajam tercucuk pada tayar itu. Mungkin kayu itu dilanggar Zahid tanpa disedarinya dalam hujan yang turun dengan lebat.

“Aduh!” keluh Zahid sebaik melihat tayar keretanya. Dia kemudian menyepak dengan kakinya pada tayar kereta yang pecah itu. Hujan yang turun dengan lebat ternyata menyukarkan lagi keadaan Zahid yang terkandas di tepi jalan.

Fikiran Zahid sedikit terganggu bagi mencari penyelasaian terhadap masalah yang baru timbul itu. Hujan yang turun dengan lebat yang ternyata telah mendinginkan suhu persekitaran telah menyebabkan Zahid sedikit terganggu. Beberapa kali dia bersin menahan kesejukan. Dirinya terus ditimpa hujan tanpa dipayungi oleh mana-mana objek. Tambah menambahkan masalah apabila dia langsung tidak mempunyai payung di dalam keretanya. Beberapa ketika kemudian Zahid masuk kembali ke dalam kereta. Dalam keadaan yang basah kuyup, Zahid mengeluarkan telefon bimbitnya. Dia akan cuba menelefon Ayah. Namun dia menjadi hampa apabila telefonnya telah kehabisan bateri. Dia kemudian menghentakkan tangannya di atas stereng. Telefon bimbitnya dicampakkan ke kerusi di sebelahnya. Fikiran Zahid menjadi buntu. Dia perlu memikirkan jalan penyelasaian.

Bagi mendapatkan sedikit ketenangan untuk berfikir, dia menghidupkan MP3 dalam keretanya. Kedengaran lagu Rasul 25 nyanyian kumpulan Raihan sebaik dia menghidupkan MP3. Zahid sedikit tersenyum.

“Selawat ke atas nabi,
Sejahtera ke atas rasul,
Nabi-nabi yang diutuskan
Mereka semua adalah mulia,
Adam, Idris, Nuh, Hud, Soleh,
Ibrahim, Luth, Ismail,
Ishak, Yaakub, Yusuf, Ayub,
Syuib, Musa, Harun, Zulkifli,
Daud, Sulaiman, Ilyas, Ilyassa,
Yunus, Zakaria, Yahya, Isa,
Waakhiru khatimul anbia,
Muhammad al-Mustaffa”

Zahid sedikit tersenyum. Lagu itu merupakan lagu kegemarannya semasa dia di sekolah rendah dahulu. Sambil itu dia mengalihkan pandangannya ke arah masjid yang tidak jauh dari tempatnya berada. Masjid kelihatan sayup-sayup dari cermin keretanya. Hujan yang lebat telah mengehadkan jarak pandangannya. Tersenyum sedikit Zahid selepas itu.

“Macam dah tau-tau je…lagu nasyid… berhampiran masjid…” kata Zahid sendirian sambil tersenyum.

Dia kemudian terus menikmati lagu tersebut. Agak menyeronokkan mendengar lagu Raihan itu. Zahid ternyata sedikit ceria mendengar lagu tersebut. Kesejukan yang dirasainya mula dapat dikurangkan. Namun, mungkin secara psikologi sahaja dia tidak merasa kesejukan kerana hakikatnya dia masih kesejukan. Buktinya, dia masih bersin beberapa kali apabila berada di dalam kereta. Beberapa minit kemudian, dia masih lagi berada di dalam kereta. Dia terkandas di dalam keretanya sambil terus berfikir cara penyelesaian yang terbaik kepada masalah yang menimpanya kini.

Akhirnya, Zahid memutuskan untuk keluar semula dari keretanya kembali mengharungi hujan di luar. Dia kemudian terus membuka bonet belakang keretanya. Zahid akan cuba menukar tayar walaupun dalam keadaan cuaca yang tidak begitu baik. Sebaik membuka bonet, dia terus melihat tayar simpanan yang terdapat di dalam keretanya. Dia kemudian terus mengeluarkan tayar tersebut serta kelengkapan lain untuk menukar tayar. Dengan cermat, dia terus membawa kesemua peralatan itu ke bahagian hadapan kereta. Ketika ini, secara berterusan Zahid terus ditimpa hujan yang begitu lebat. Dengan perlahan-lahan, dia kemudian meletakkan jek di bawah kereta. Perlahan-lahan juga dia menaikkan jek itu. Kerja yang begitu mudah pada hakikatnya ternyata menjadi begitu sukar buat Zahid kerana halangan cuaca yang sedang dihadapinya. Kesukarannya itu semakin dirasainya apabila hujan yang telah turun dengan lebat kemudian turun dengan lebih lebat lagi.

Zahid cuba menggagahkan dirinya untuk melakukan penukaran tayar itu. Sedikit tersenyum walaupun dalam kesejukan hujan itu apabila Zahid terkenangkan sesi pit Formula One yang selalu ditontonnya pada setiap hujung minggu. Bagi Zahid, kalaulah dia dapat menukar tayar sepantas yang dilihatnya itu, tentu dia tidak menghadapi kesukaran. Namun hakikatnya, semua itu ternyata tidak mampu dilakukannya. Kudrat yang ada padanya bukanlah sepantas krew-krew pasukan F1 itu yang turut dilengkapi dengan pelbagai perlatan yang canggih.

Zahid bersin lagi beberapa kali. Pada waktu ini, hidungnya boleh dikatakan telah hampir tersumbat. Dia kini mula menggunakan mulutnya untuk bernafas. Setiap kali dia mengambil nafas, air hujan juga turut memasuki mulutnya. Beberapa ketika kemudian pula, dia mula terbatuk-batuk diikuti dengan kesukarannya untuk bernafas. Melihat pada keadaan yang sedang dihadapinya, Zahid akhirnya menghentikan kerjanya. Dia kemudian masuk kembali ke dalam keretanya. Dia memeluk tubuhnya menahan kesejukan. Dan pada waktu itu Zahid sedar dia tidak mampu lagi melakukan kerja. Beberapa ketika dia hanya berada di dalam kereta sambil terus menahan kesejukan.

Zahid juga tahu dia tidak boleh terus berada di dalam keretanya. Hujan yang semakin lebat turun sudah pasti akan menyejukkan dirinya di dalam kereta. Kini dalam fikirannya terdapat dua pilihan. Pilihan pertama, dia boleh meredah hujan menuju ke masjid yang terletak berhampiran. Pilihan kedua, dia masih perlu meredah hujan namun destinasinya menuju ke rumahnya yang juga tidaklah begitu jauh dari rumahnya. Lima belas minit perjalanan, maka sampailah dia ke rumah. Dua pilihan itu perlu dipilih Zahid dalam keadaan dirinya yang semakin kesejukan.

Jika dia menuju ke masjid, jaraknya sudah semestinya lebih dekat, namun dia pasti akan berada di masjid dalam keadaan yang basah kuyup. Sudah pasti tidak ada pakaian untuk ditukar di masjid tersebut apabila dia tiba di sana. Jika dia memilih untuk berjalan kaki pulang, dia terpaksa menghadapi perjalanan yang lebih jauh, namun apabila tiba di rumah, dia boleh terus mandi air panas menghilangkan kesejukan. Hakikatnya, kedua-dua pilihan itu akan memaksanya untuk meredah hujan yang semakin lama semakin lebat turun.

Beberapa ketika kemudian, Zahid akhirnya memutuskan untuk pulang ke rumah setelah membuat pertimbangan sebaik-baiknya. Dia akan berjalan kaki pulang ke rumah meredah hujan yang lebat. Itulah keputusan yang terbaik yang dibuatnya. Setelah keputusan dibuat, dia keluar dari kereta. Sebelum itu, dia mengambil beg plastik yang kebetulan terdapat dalam keretanya lalu diserkup beg plastik itu di kepalanya. Beg plastik itu bakal menjadi pelindung kepalanya sewaktu meredah hujan. Zahid sedikit tersenyum sebaik beg plastik itu diserkup di kepalanya.

“Hantu plastik nak meredah hujan….” kata Zahid sendirian cuba menghilangkan sedikit tekanan akibat menahan kesejukan.

Dia kemudian menyimpan kembali semua perlatan menukar tayar yang dikeluarkannya tadi. Tayar yang belum sempat dipasang itu turut disimpan kembali di bonet belakang kereta. Selepas selesai urusan itu, Zahid mengunci keretanya. Dia kemudian mula berjalan meninggalkan keretanya yang tersadai di tepi jalan menuju ke rumahnya. Dan pada waktu ini, jelas Zahid terlalu menggagahkan dirinya. Dia mencabar kemampuan dirinya sendiri. Jelas juga pada waktu ini dia pada hakikatnya sudah mula tidak terdaya untuk berjalan. Hujan yang turun dengan lebat merupakan halangan utama sepanjang perjalanannya. Banyak kali dirinya batuk, kadang kala bersin dan pastinya juga nafasnya turut semakin sukar untuk diambil.

Setibanya di rumah, masing-masing terkejut melihat keadaan Zahid yang basah kuyup. Mereka tertanya-tanya sebab Zahid berada dalam keadaan begitu. Orang pertama yang terkejut ialah Ibu. Dialah orang pertama yang menyedari kepulangan Zahid di rumah.

“Apa dah jadi ni?” soal Ibu sebaik melihat Zahid berdiri di pintu hadapan rumah.

Zahid tidak membalas pertanyaan Ibu serta-merta. Dia masuk dulu ke dalam sebelum duduk di atas sofa di ruang tamu. Keadaan dirinya yang basah kuyup telah menyebabkan sofa yang diduduki juga mula menjadi basah. Sofa itu telah menyerap sedikit air yang membasahi keseluruhan tubuh Zahid. Sebaik duduk barulah Zahid membalas pertanyaan ibunya.

“Kereta, tayar pecah… kat masjid tadi…” balas Zahid dalam keadaan tercungap-cungap.

Pada masa yang sama Sheera muncul di ruang tamu. Ayah kemudian menyusul beberapa ketika diukuti Yasmin kemudian. Masing-masing tertanya-tanya terhadap apa yang berlaku pada Zahid.

“Tayar kereta pecah…” terang Ibu sebaik Ayah tiba di ruang tamu.

“Habis tu kereta?” soal Sheera kemudian.

“Ada kat tepi jalan lagi…” balas Zahid ringkas.

“Jadi Zahid redah hujan lebat ni?” soal Ibu pula.

Zahid hanya menganggukkan kepalanya. Dia ternyata begitu letih ketika ini. Segala kudratnya telah dihabiskan sewaktu meredah hujan. Tambah memburukkan keadaan, dia mula merasa sukar untuk bernafas ketika ini. Selsema yang dihidapinya telah menutup hampir keseluruhan rongga hidungnya. Hujan lebat itu ternyata memberi padah kepada Zahid.

“Dah, dah, jangan lepak lagi kat sini. Pergi mandi cepat… nanti sakit pulak…” kata Ibu kemudian. “Zahid bukan boleh tahan… nanti kena balik lelah macam mana?”

“Kenapa tak telefon?” soal Yasmin pula. Pada masa yang sama Zahid mula bangun dari duduknya. Dia kemudian berjalan menuju ke tingkat atas, menuju ke biliknya.

“Bateri dah habis…” kata Zahid sambil berjalan.

Sebaik Zahid naik ke tingkat atas, Ibu kembali bersuara. “Bahaya ni. Dia boleh kena lelah ni…”

“Kenapa abang redah hujan jugak? Takkan dia tak tahu yang dia tu ada lelah…” kata Yasmin.

“Mungkin abang tak ada pilihan lain…” kata Sheera kemudian.

“Tapi kalau dia sakit tak apa. Kita ada… tak lah nak risau sangat. Kalau dia kena asma nanti, kita boleh bawa dia pergi hospital,” kata Ayah yang baru bersuara.

Setelah selesai mandi, Zahid terus mendirikan solat Asar. Walaupun dia masih keletihan, dia tetap menggagahkan dirinya untuk bersolat. Solat merupakan kewajipan bagi setiap umat Islam. Tidak mungkin sama sekali buat Zahid untuk meninggalkan salah satu rukun Islam itu. Walau apa yang terjadi, dia akan terus menunaikan kewajipan itu selagi mempunyai kemampuan.

Setelah selesai solat, Zahid terus berbaring di atas katil. Dia akhirnya dapat berehat setelah begitu lama menggunakan kudratnya meredah hujan tadi. Akhirnya Zahid terus terlena sehingga masuk waktu Maghrib. Apabila masuk waktu Maghrib, Sheera masuk ke bilik Zahid. Dia bercadang untuk mengejutkan abangnya itu untuk solat secara berjemaah. Namun apabila melihat Zahid yang kelihatan begitu letih, dia membatalkan niatnya itu. Dia kemudian keluar dari bilik itu. Selepas selesai solat nanti, barulah dia kembali ke bilik itu untuk mengejutkan abangnya.

Seperti yang telah dirancang, setelah selesai solat berjemaah bersama ahli keluarga yang lain, kecuali Zahid; Sheera kembali semula ke bilik itu. Sebaik masuk, dia masih melihat abangnya itu sedang tidur di atas katil. Sheera tersenyum melihat Zahid. Ternyata abangnya itu begitu letih. Namun, walaupun Zahid kelihatan begitu letih, kali ini Sheera akan mengejutkan abangnya. Perkara ini adalah tanggungjawabnya supaya abangnya itu tidak terlepas waktu solat Maghrib.

“Abang… abang… bangun abang…. Dah masuk Maghrib ni….” kata Sheera sambil menepuk bahu Zahid bagi mengejutkan abangnya itu.

Zahid ternyata tidak sukar untuk bangun. Tidak berapa lama kemudian, dia terus bangun dan menuju ke bilik air. Maka tugas Sheera untuk mengejutkan Zahid untuk bangun mendirikan solat Maghrib telah selesai. Dia kemudian terus keluar dari bilik itu. Namun sebelum keluar, dia berkata kepada abangnya itu. “Emm… lepas solat nanti, abang turun bawah ya. Makan malam….”

“Oh, okay…” balas Zahid sebelum masuk ke bilik air.

Sheera kemudian turun menuju ke ruang menonton. Ibu dan Yasmin kini berada di sana sedang asyik menonton siri anime Atashinchi yang disiarkan di TV3. Masing-masing sebenarnya sedang menunggu Zahid yang baru sahaja bangun untuk menunaikan solat Maghrib. Mereka menunggu Zahid untuk makan malam bersama. Ayah pula sementara itu berada di ruang tamu sedang membaca surat khabar. Telah menjadi kebiasaan buat ayah untuk membaca surat khabar pada waktu itu kerana dia tidak begitu gemar menonton televisyen berbanding ahli keluarga yang lain. Ayah lebih gemar untuk mendengar radio berbanding menonton televisyen.

Keadaan ni berterusan sehingga jam 8.20 malam. Dan pada waktu ini, Yasmin sedang sibuk menghidangkan lauk di meja makan. Masing-masing masih terus menunggu Zahid turun dari biliknya. Sheera pada waktu ini menjadi sedikit hairan apabila abangnya itu masih belum turun ke bawah.

“Apasal abang tak turun-turun lagi ni?” soal Sheera meluahkan kehairanannya.

“A aa. Dah lama dah ni. Tapi tak turun lagi…” kata Ibu.

“Jangan-jangan abang tidur balik apa lepas solat…” kata Sheera.

“Pun… pun… pun boleh jadi… boleh jadi…” kata Ibu sedikit tersenyum. Serentak dengan itu, Ayah muncul di ruang menonton. Dia kemudian duduk di sofa di ruang menonton itu.

“Pi panggil abang… dah lama tunggu ni…” kata Ayah kepada Sheera.

Sheera kemudian terus bangun dan menuju ke tingkat atas. Dia tanpa membantah mengikut sahaja permintaan Ayah. Langkah demi langkah dia menapak sebelum menghampiri tangga. Satu anak tangga ke satu anak tangga didakinya sebelum tiba di tingkat atas. Dia kemudian berjalan perlahan-lahan menghampiri pintu bilik abangnya. Pintu bilik itu ditutup dengan rapat. Perlahan-lahan Sheera kemudian menolak pintu itu sebelum masuk ke dalam. Sebaik pintu dibuka, Sheera terkejut. Dia terkejut melihat apa yang berlaku di dalam bilik itu. Zahid kelihatan rebah di atas tikar sembahyang. Dia terbaring ke kiri badannya. Kemungkinan besar Zahid rebah sewaktu sedang duduk tahiyat. Serentak dengan itu Sheera menghampiri abangnya. Dan ternyata abangnya itu tidak sedarkan diri. Zahid telah pengsan sebaik Sheera berada di dalam bilik itu.

“Abang… abang… abang….” Sheera cuba mengejutkan abangnya. Dia kemudian mengangkat kepala abangnya itu sebelum diletakkan di atas ribanya. Dia kemudian cuba mengejutkan lagi Zahid. Dia cuba menggoncangkan badan abangnya itu. Dia juga cuba menepuk-nepuk pipi abangnya. Namun semua usaha itu tidak menyedarkan Zahid yang pengsan. “Abang…. Abang… abang… bangun abang…. Abang bangun…. Abang….” suara Sheera sekali lagi cuba mengejutkan Zahid. Suaranya itu semakin lama semakin sebak dan tenggelam dengan keresahan yang mula menguasai dirinya. Dia tanpa berputus asa cuba lagi untuk mengejutkan Zahid

Namun segala usaha itu tidak membuahkan hasil. Setelah beberapa lama mencuba, Zahid masih lagi berada dalam keadaan yang sama. Sheera meletakkan tangannya di atas dada Zahid. Dada abangnya itu berdegup dengan kencang. Dia dapat merasakan kesukaran pernafasan abangnya itu yang telah tidak sedarkan diri.

“Ibu…. Ibu….” jerit Sheera kemudian. “Ayah…. Ayah…ayah…..” jerit Sheera lagi. “Abang ni ibu…. Abang ni…. Cepat ibu, abang ni…” jerit Sheera.

Ayah dan Ibu terus bergegas menuju ke bilik Zahid sebaik mendengar jeritan Sheera. Yasmin juga turut sama bergegas menuju ke bilik itu meninggalkan kerja yang dilakukannya di dapur. Masing-masing terkejut apabila melihat Zahid sedang dipangku Sheera. Zahid kelihatan tidak sedarkan diri. Tanpa berkata apa-apa, Ayah terus mengangkat Zahid. Dia kemudian menyuruh Ibu.

“Pi ambil kunci kereta lekas… Kita kena bawak Zahid pergi hospital,” kata Ayah kepada Ibu.

Malam itu, keadaan menjadi kelam-kabut. Masing-masing menjadi terkejut melihat apa yang berlaku pada Zahid. Hidangan makan malam terus ditinggalkan. Hospital bakal menjadi tempat mereka bermalam malam ini.

























Tamat Ceritera 16

No comments: