Monday, September 14, 2009

Ceritera 15

Ceritera 15

“Hai orang-orang yang beriman! Patuhlah kepada Allah, dan percayalah kepada Rasul-Nya, nanti Dia akan memberikan kepada kamu dua bahagian dari kurnia-Nya, dan diadakan-Nya untuk kamu cahaya terang yang dengan cahaya itu kamu dapat berjalan (di jalan yang betul) dan kamu diberi-Nya ampunan. Allah itu Maha Pengampun dan Penyayang”
(Surah Al-Hadid, ayat 28)

Suasana malam ternyata sunyi kembali setelah Yasmin pulang kembali ke asrama dan Sheera pula pulang kembali ke USM. Kini rumah Zahid hanya diduduki Ayah dan Ibu. Mereka pula tidaklah begitu riuh apabila Sheera dan Yasmin tiada di rumah. Ternyata Zahid sedikit terasa ‘kehilangan’ Sheera dan Yasmin. Malam itu Zahid masuk ke bilik lebih awal daripada kebiasaan. Setelah selesai solat Isyak secara berjemaah bersama Ayah dan Ibu, dia terus menuju ke biliknya. Ibu ternyata faham akan perihal anaknya itu. Dia tahu Zahid kebosanan apabila berseorangan.

Seperti yang telah dibicarakan pada pagi tadi, Zahid tahu dia perlu melakukan sesuatu. Bicaranya dengan Izham pagi tadi menyedarkannya betapa perlunya dia memohon petunjuk kepada Allah. Dia tahu bahwa dilema dan perasaan yang goyah itu mampu ditangani jika Allah membantunya. Maka sebaik sahaja masuk ke bilik, Zahid terus menghamparkan sejadahnya. Tanpa berlengah, dia kemudian terus melakukan solat Istiqarah seperti yang telah diberitahu Izham pagi tadi. Solatnya itu hanyalah semata-mata mahu diberi petunjuk sama ada benar akan niatnya itu untuk memperisterikan Khadijah ataupun hanya sekadar bayangan yang cuba mengelirukan dirinya. Walaupun dia pernah melakukan solat yang sama sebelum ini, dia tahu bahawa Allah itu mengkehendaki hamba-Nya supaya bersabar dalam apa jua keadaan. Dia tahu bahawa sekali sahaja melakukan solat tersebut sebenarnya masih belum memberi jaminan bahawa dia akan mendapat pertunjuk dari Allah.

Agak lama juga Zahid berdoa sebaik selesai mendirikan solat sunat itu. Setelah selesai, dia terus berbaring di atas katil. Sambil itu dia mengambil telefon bimbitnya yang diletekkan di meja katil di sebelah. Dia kemudian terus melihat pada skrin telefon bimbitnya. Sedikit terkejut apabila melihat terdapat hampir sepuluh SMS dari telefon itu. Lima daripadanya dikirim oleh rakannya Izham, manakala lima yang lain dihantar oleh Sheera. Zahid membaca dahulu sms yang dikirim Izham itu.

“Ingat Allah akan bantu hang…” Sms pertama dibacanya. Dia kemudian membaca sms kedua, “Pada pendapat aku, hang dengan Khadijah sangat sesuai, percayalah apa aku cakap ni…” Sms ketiga kemudian dibacanya, “Hang dah buat solat Istiqarah ke belum?” Selepas itu dia membaca sms keempat, “Aku ngan Erma boleh tolong hang kalau hang nak bantuan aku. Call je aku, aku no hal…” Zahid tersenyum membaca sms itu. Dia kemudian membaca sms yang terakhir dari Izham itu. Kali ini sms rakannya itu lebih panjang daripada sms terdahulu, “Bukan mudah bila nak buat satu keputusan, tambah-tambah bila pasal masa depan. Nanti bila hang dapat petunjuk, aku percaya hang boleh lakukan dengan baik. Aku akan doakan hang moga dapat petunjuk yang terbaik…”

Kesemua sms itu dihantar Izham sejak pukul 7 petang lagi. Zahid tidak menyentuh langsung telefonnya sejak petang tadi. Maka tidak hairanlah begitu banyak sms yang diterimanya. Ternyata sms-sms yang diterimanya itu membuktikan Izham begitu perihatin padanya.

“Terima kasih Izham…” kata Zahid sendirian sambil tersenyum. Dia tahu rakannya itu banyak membantu dirinya. Walaupun dia dan Izham sebaya, namun tahap kematangan jelas kelihatan dalam diri Izham berbanding dirinya. Mungkin disebabkan Izham yang telah mendirikan rumah tangga menyebabkan cara pemikirannya berbeza sedikit berbanding dengannya.

Tidak beberapa ketika kemudian, Zahid terlelap. Ternyata begitu pantas dia terlelap. Buktinya, telefon bimbit dipegangnya masih lagi berada di genggamannya walaupun dia telah terlelap. Malah lampu biliknya juga tidak sempat ditutup. Zahid terlena dalam masa yang begitu pantas. Mungkin keletihan melakukan aktiviti di siang hari menyebabkan dia cukup mudah untuk terlelap.

* * *

“Selamat pagi!” sapa Murni kepada Khadijah yang kini sedang duduk di buaian besi di luar rumah. Buaian tersebut baru sahaja dibeli Murni beberapa minggu yang lalu. Khadijah telah duduk di situ sejak pukul 7 pagi lagi. Udara segar pagi dinikmatinya sepuas-puasnya. Namun bagi Murni, dia baru saja ingin menikmati angin pagi yang cukup menyegarkan. Dia kemudian menyertai Khadijah duduk di buaian. Sambil duduk, mereka mula berbicara.

“Semalam, hang ada cakap yang hang tak boleh jalan jauh-jauh, banyak-banyak berehat, kenapa?” soal Murni.

“Kenapa? Nak tahu ke?” soal Khadijah memberi respon sambil tersenyum.

“Siapalah yang tak nak tau kalau soalan yang ditanya semalam tak berbalas…” kata Murni.

“Kalau aku tak cakap jugak?”

“Terpulanglah…” balas Murni ringkas. Namun wajahnya seperti mengharapkan jawapan daripada Khadijah.

Khadijah sedikit tersenyum. Dia tahu, sudah semestinya Murni ingin tahu sebab dan musabab dirinya dilarang Ibu daripada pergi ke Pulau Pinang. Tambah menyebabkan rakannya itu mempunyai sifat ingin tahu adalah apabila dia menyatakan semalam bahawa dia dinasihati ibunya untuk banyak berehat.

“Susah jugak macam mana nak terang kat hang… emm…”

“Hang mengandung ke?” tiba-tiba soalan itu terkeluar daripada mulut Murni tanpa diundang.

Khadijah hanya tersenyum sahaja. Dia tidak menjawab soalan rakannya itu. Dia sebaliknya cuba menukar tajuk perbualan mereka.

“Sarapan pagi ni nak makan apa?” soal Khadijah.

“Emm… nak makan apa?” soal Murni kembali kepada Khadijah.

“Apa-apa pun boleh…”

“Nasi lemak bungkus?”

“Pun boleh, pun boleh…”

“Okay, kalau macam tu, aku keluar jap ye…” balas Murni. Dia kemudian bangun dan terus menuju masuk ke dalam rumah. Pertanyaan tadi langsung terus dilupakannya.

“Pun boleh…pun boleh…” kata Khadijah. Dia sedikit tersenyum. Ternyata dia telah berjaya menukar tajuk perbualannya. Dia berjaya menghilangkan fokus Murni daripada terus mendesak dengan soalan yang sama.

“Oh ya, lupa pulak aku nak bagitau. Hari ni ada tetamu nak datang ke rumah ni…” kata Murni yang tiba-tiba berhenti separuh perjalanannya.

“Oh, ok…” balas Khadijah sedikit terkejut apabila mendengar suara Murni itu. Dia menyangka rakannya itu telah berada di dalam rumah. “Siapa?”

“Kalau aku cerita pun, hang tak kenal. Hang tengoklah nanti…” balas Murni. Barulah dia kemudian masuk ke dalam rumah.

“Ok…pun boleh, pun boleh…” balas Khadijah.

* * *

Zahid mengemaskan katilnya setelah selesai sahaja menunaikan solat Subuh. Dia sedikit tersenyum apabila mengenangkan dirinya yang terlena begitu cepat sehingga tidak sempat untuk menutup lampu utama. Dia membetulkan cadar katil, menghilangkan kedutan-kedutan yang terdapat pada cadar itu. Selepas itu dia menyusun bantal dengan kemas. Dia mengangkat bantal-bantal itu sebelum ditepuk-tepuk untuk membuang segala kekotoran yang mungkin melekat pada bantal-bantal itu. Sebaik mengangkat salah satu bantal itu, dia melihat telefon bimbitnya terselit di bawah bantal itu. Sekali lagi Zahid tersenyum. Telefon bimbitnya itu tidak sempat diletakkan di meja katil kerana dia terlena begitu cepat malam semalam. Malah dia sendiri tidak tahu bagaimana telefon itu boleh ‘menyorok’ di bawah bantal itu. Pada fikirannya, mungkin telefon itu masih lagi berada dalam genggamannya apabila dia telah lena.

Setelah mengemaskan katil, barulah dia mula munukar pakaiannya kepada pakaian kerja. Sambil bersiap, dia menghidupkan radio mendengar irama lagu pada waktu pagi. Stesen radio Hot FM menjadi pilihannya. Slot Hot FM AM Crew yang dikendalikan oleh Fara Fauzana dan Faizal Ismail didengarnya kini. Celoteh dua juruhebah popular itu ternyata menghangatkan suasana pagi itu. Setelah selesai bersiap, dia kemudian terus menghampiri meja kerjanya. Dia kemudian mengambil beg kerjanya sebelum mengambil beberapa fail di atas meja tersebut. Fail-fail itu kemudian dimasukkan ke dalam beg kerjanya. Dia kemudian membuka laci mejanya untuk mengambil pula beg dompetnya. Secara tidak sengaja, tiba-tiba potret lukisan Khadijah diambil sekali bersama dengan beg dompetnya itu. Potret itu kemudian melayang jatuh ke atas lantai.

“Khadijah…” Secara tidak sengaja terkeluar nama Khadijah dari mulutnya sebaik terlihat potret itu. Serta-merta dia teringatkan akan dilemanya. Namun satu perasaan yang berbeza dirasainya sebaik melihat potret itu. Jika sebelum ini dia hanya berdebar sebaik melihat lukisan potret itu dan pada masa yang sama berada dalam keadaan yang tidak pasti, namun kali ini ternyata perasaan sangsi dan was-was itu telah hilang walaupun perasaan berdebar itu masih ada. Perasaan tidak pasti terhadap niatnya itu ternyata seperti telah hilang.

“Aku bukan dalam dilema ke?” kata Zahid sendirian. Hakikatnya memang pagi itu Zahid tidak lagi seperti dahulu. Dia seolah-olah seperti merasakan bahawa dia telah mempunyai jawapan akan niatnya itu. Namun, jawapan yang diharapkannya itu nyata masih belum jelas lagi.

Zahid tunduk mengambil lukisan potret Khadijah yang terjatuh di atas lantai. Tidak sampai dua bulan sahaja, sudah beberapa kali dia secara tidak sengaja terambil lukisan itu. Dengan berhati-hati dia mengambil lukisan di atas lantai itu. Dan serentak dengan itu, tiba-tiba telefon bimbitnya yang masih lagi berada di atas katil berbunyi. Dia kemudian terus sahaja mengambil telefonnya itu untuk menjawab panggilan.

Sebelum menekan kekunci menjawab panggilan, dia melihat dahulu skrin telefonnya. Terpapar dengan jelas nama Khadijah di skrin tersebut. Zahid ternyata sedikit terkejut apabila mendapat tahu pemanggil yang menelefonnya. Serta-merta jantungnya berdegup dengan lebih kencang. Dengan tenang, dia kemudian menjawab panggilan itu.

“Hello…”

“Assalamualaikum abang…” kata Khadijah sebaik Zahid menjawab panggilannya.

“Waalaikumussalam…” jawab Zahid dengan tenang. Namun dia berasa sangat berdebar ketika ini. Adalah sesuatu yang jarang buat Khadijah ataupun dirinya sendiri untuk saling berhubungan melalui telefon. Pelbagai persoalan mula muncul di fikirannya sebaik menjawab panggilan itu. Dia tertanya-tanya tujuan Khadijah menelefonnya.

“Emm sorilah abang kalau Khadijah ni ganggu abang pagi-pagi ni…” kata Khadijah.

“Eh, tak adalah. Tak ada masalah…” balas Zahid.

“Khadijah telefon ni bukan apa, cuma nak tanya kat abang, yang abang ni okay ke?” soal Khadijah.

“Eh, okay. Alhamdulilah. Sihat walafiat. Tapi, kenapa Khadijah tanya macam tu pulak?” soal Zahid kembali.

“Emm… bukan apa. Semalam, dalam pukul 2 pagi semalam, abang ada call Khadijah…Itulah yang Khadijah nak tanya kat abang ni… Sebab semalam bila Khadijah jawab call tu, abang tak cakap apa-apa pun… Senyap je…”

“Oh ya ke?” soal Zahid. Dia sedikit terkejut dengan apa yang diperkatakan Khadijah itu. Dia menjadi hairan. Seingat dirinya, tidak pula dia cuba menelefon Khadijah malam semalam. Tambahan pula, dia terlena begitu awal malam semalam. Sudah pasti dia tidak sempat untuk menelefon Khadijah selewat waktu yang dikatakan itu.

“Ya, Khadijah memang sure, sebab nombor abang yang muncul bila Khadijah nak jawab call semalam…” jelas Khadijah.

“Oh, kalau macam tu… memang abang yang telefon…” kata Zahid. “Tapi malam semalam abang tidur awal… rasanya tak sempat pun nak telefon Khadijah…”

“Habis tu, siapa yang telefon?” soal Khadijah.

“Mmm…” Zahid cuba memikirkan sesuatu. Dia kemudian menyambung bicaranya. “Mungkin abang tertekan kot nombor Khadijah masa abang tidur. Sebab semalam abang terlena dengan telefon ada kat tangan abang lagi…Semalam abang letih sangat. Cepat sangat terlena semalam..” jelas Zahid memberikan sebab.

“Oh, macam tu…” balas Khadijah. “Kalau macam tu tak apalah… Bukan apa, risau jugak kalau apa-apa jadi kat abang… Tapi tak sangka kan, dalam banyak-banyak nombor, nombor Khadijah jugak yang abang tercall…”

“He he… sorilah kalau buat Khadijah risau…” kata Zahid.

“Eh, tak pa… Abang bukannya sengaja…” balas Khadijah.

“Emm… Khadijah tak pergi kerja lagi ke?”

“Emm… sat lagi dah nak pergi…Abang?”

“Pun sama jugak. Kejap lagi…”

“Emm… okaylah abang. Nanti kalau ada apa-apa bagitau Khadijah. Yalah risau jugak kalau jadi apa-apa kat abang…” kata Khadijah. “Okaylah ya. Assalamualaikum…”

“Ya… okay… waalaikumussalam,” jawab Zahid kemudian. Dia kemudian terus meletakkan telefonnya itu di atas meja kerja. Sambil itu dia sedang berfikir. Panggilan itu ternyata tidak dijangkanya. Dan tidak dijangkanya juga, dia secara tidak sengaja telah terdial nombor Khadijah tengah malam semalam. Ternyata perkara tersebut seakan telah memberi petunjuk kepadanya. Dan dia merasakan bahawa petunjuk itu semakin jelas.

“Khadijah ambil berat kat aku…” kata Zahid sendirian. “Aku tak sangka… Khadijah…” Sambil itu dia mengambil kembali lukisan potret Khadijah. Dan sebaik dia melihat potret itu dia seperti telah mendapat jawapan dengan sejelas-jelasnya. “Ya… ya…aku dah nampak dengan jelas petunjuk tu. Dengan jelas…” katanya kemudian. Dia kemudian tersenyum. “Khadijah adalah jawapanku…”

* * *

Petang di bandar Taiping begitu indah hari ini. Hujan yang turun pada waktu tengah hari telah menyebabkan langit petang lebih cerah berbanding biasa. Segala isi air yang selama ini diperam awan telah diluahkan pada tengah hari tadi. Kini isi awan mula kembali mengumpul air semula menggantikan air yang telah diluahkannya. Maka itulah yang menyebabkan langit kelihatan lebih cerah berbanding biasa. Bukit Larut yang selama ini menyembunyikan diri di sebalik awan menonjolkan rupanya pada petang ini. Cahaya matahari yang menyuluh ke arah Bukit Larut telah membentuk satu keindahan lanskap yang tidak terucap dengan kata-kata. Kehijauan pokok-pokok lebih jelas kelihatan berbanding biasa. Keindahan Bukit Larut ternyata tidak dapat digambarkan pada petang itu.

Pada waktu itulah Zahid baru sahaja selesai bekerja. Dia kini terus bergegas menuju ke keretanya. Petang itu dia akan menuju ke taman tasik seperti yang telah dijanjikan. Izham rakannya itu telah berjanji untuk berjumpanya di sana. Perihal yang berlaku hari ini menyebabkan Zahid terus mahu berjumpa Izham. Dia ternyata ingin mendengar pendapat rakannya itu.

Sedikit kesesakan, seperti biasa berlaku pada waktu ini. Perjalanan menuju ke Taman Tasik Taiping tidaklah begitu jauh namun kesesakan membataskan kelancaran perjalanan. Untuk menghilangkan sedikit ketegangan, Zahid menghidupkan radio keretanya.
“Bapanya mahukannya jadi seorang askar,
Bukan cita-citanya,
Bukan impiannya.
Dia terlalu muda tuk tinggalkan keluarga,
Bila tiba masanya,
Pilu mula terasa.
Berkecamuk hati, hatinya sendiri,
Persoalannya kini, sampai bila mampu ku bertahan,
Mampukah ku bertahan?
Wowo,
Nampak ketarakah dilema di wajah ku,
Wowo,
Diluarnya tenang tapi Tuhan saja tahu.
Wowo,
Nampak ketarakah dilema di wajah ku,
Wowo,
Diluarnya tenang tapi Tuhan saja tahu.
Beginikah selalunya cinta,
Diakhiri sengsara,
Setelah dicurahkan semua.
Cuba ku dalami,
Sampai termimpi mimpi,
Namun apa yang ku jumpa,
Semuanya sama.
Berkecamuk hati,hatinya sendiri,
Persoalannya kini,sampai bila mampu ku bertahan,
Mampukah ku bertahan?
Wowo,
Nampak ketarakah dilema di wajah ku,
Wowo,
Diluarnya tenang tapi Tuhan saja tahu.
Wowo,
Nampak ketarakah dilema di wajah ku,
Wowo,
Diluarnya tenang tapi Tuhan saja tahu.
Ini semua dugaan Nya”

Lagu Dugaanya muncul sebaik Zahid menghidupkan radio. Irama lagu tersebut yang ternyata begitu rancak membuatkan Zahid ada ketikanya menggoyangkan badannya. Dan disebabkan irama lagu itu jugalah, pemanduannya mula menjadi sedikit agresif walaupun masih lagi berada dalam kawalannya. Ada ketikanya dia dihon oleh kenderaan yang lain dek pemanduannya yang agresif. Beberapa buah kereta dipotongnya walaupun dia kini berada di kawasan pusat bandar. Semuanya adalah disebabkan dia ingin cepat sampai di tempat biasa dia berjumpa Izham. Dia sebenarnya telah lewat hampir lima belas minit. Maka lagu Dugaanya yang sedang didengarnya itu seperti minyak tanah yang disimbah ke api. Menyebabkannya mahu lebih cepat sampai ke destinasi.
Walaupun telah lewat hampir setengah jam, Izham masih juga menunggu Zahid. Di atas jambatan tempat biasa mereka berbual setiap hujung minggu, Izham menunggu dengan sabar. Kemunculan Zahid yang sedang berlari menuju ke arah jambatan setelah hampir setengah jam menunggu telah mengukir sedikit senyuman di wajah Izham. Akhirnya rakannya itu telah tiba.
“Sori banyak-banyak... lambat sikit... kerja...banyak tadi....” kata Zahid dalam tercungap-cungap keletihan selepas berlari tadi.

“Tak ada masalah...”

Zahid sementara itu masih lagi tercungap-cungap. Dia kini cuba mendapatkan nafasnya yang normal. Maka dia tidak bercakap apa-apa untuk beberapa ketika. Disebabkan itu, maka Izham kembali bersuara.

“So, macam mana?” soal Izham.

“Macam mana?” soal Zahid kembali. Kali ini dia lebih tenang. Nafasnya mula kembali tenang. “Ya,... alhamdulillah... dengan jelas...”

“Dan jawapannya?” soal Izham.

“Seperti mana jawapan yang hang pernah bagitau kat aku dulu...” balas Zahid.

Izham tersenyum sebaik mendengar jawapan Zahid itu. “Baru sekarang hang yakin dengan apa yang aku cakap dulu ya...”

“Bukan mudah bila memilih jawapan berkaitan dengan soal kehidupan...” kata Zahid.

“Jadi, apa penyudahnya?” soal Izham.

“Inilah tujuan aku jumpa hang ni...”

Izham membisu. Soalan yang ditanyanya itu sebenarnya telah pun diketahui jawapannya. Dia telah pun tahu akan tujuan Zahid berjumpa dengannya. Menerusi panggilan telefon pagi tadi, Zahid telah memberitahu akan sebab dia mahu berjummpa dengan Izham. Mata Izham beralih arah memerhatikan suasana persekitaran di taman tasik. Dari jambatan mereka berada, dia dapat melihat dengan jelas aktiviti yang berlaku di sekitar tasik.

“Huh... satu suasana yang berbeza bukan?” soal Izham.

“Ya... sangat berbeza. Petang-petang macam ni banyak betul ‘monyet’...”

“Monyet yang pandai naik motor”

“Berkepit 24 jam macam esoknya dunia dah nak kiamat,” kata Zahid.

“Rasa-rasanya monyet yang betul pun naik heran dengan spesies ‘monyet’ ni....” kata Izham.

“Bukan lagi hairan... tapi siap geleng kepala...”

‘Monyet’ yang dimaksudkan mereka ialah pasangan kekasih yang kelihatan begitu banyak pada waktu petang di taman tasik. Namun hakikat yang diperkatakan Izham dan Zahid itu adalah benar. Memang kelihatan terlalu banyak pasangan kekasih apabila menjelangnya petang. Mereka ini ternyata langsung tidak mempunyai adab sopan yang tinggi kerana banyak daripada mereka yang melakukan perkara-perkara yang tidak senonoh di khalayak ramai. Bukan sahaja Izham dan Zahid yang menggelarkan golongan ini sebagai ‘monyet’, malah kebanyakan penduduk Taiping juga turut memberi gelaran yang sama. Jika mahu berkunjung ke tempat yang paling banyak perkara maksiat dilakukan dalam kalangan remaja Taiping, maka Taman Tasik Taipinglah merupakan tempatnya.

“Jadi,... apa yang perlu aku buat sekarang?” soal Zahid kembali kepada perbualan asalnya.

Izham tersenyum mendengar pertanyaan Zahid itu. “Layakkah aku ni nak bagi nasihat kat hang? Aku pun bukannya dah lama kahwin... baru setahun jagung...”

“Jangan terlalu merendah diri. Dan aku pun tak pernah mintak nasihat kat hang... cuma sedikit pendapat dari hang...” balas Zahid.

“Jadi, pendapat apa yang hang nak dari aku?” soal Izham.

“Ya...hang pun tahu....sekarang ni aku dah tahu jawapannya, nampak dengan jelas semuanya... dan dilema aku pun tak ada lagi. Jawapan dah ada dan aku pun tahu... Tapi aku tak tahu apa yang perlu aku buat seterusnya...” balas Zahid.

“Bagitau dia,” balas Izham ringkas.

“Macam mana?” soal Zahid.

“Aku dah bagi jorannya, hanglah yang kena berusaha nak dapatkan ikannya...” balas Izham. “Kalau aku bagi ikan je selalu kat hang, sampai bila hang nak belajar tangkap ikan sendiri...”

Zahid tersenyum. Kata-kata Izham telah mengukir senyuman di wajahnya. “Tapi aku tak reti pancing. Macam mana aku nak gunakan joran untuk tangkap ikan?” balas Zahid.

“Hidup tak semudah yang disangka. Pengalaman adalah pelajaran paling bernilai dalam hidup...” kata Izham. “Kadang kala dengan mencari jalan sendiri adalah lebih baik berbanding dengan mengikut panduan orang lain”

“Tapi terlalu sukar untuk mencari jalan sendiri daripada diberi tunjuk ajar dari orang lain...”

“Sukar itulah pengalaman yang paling bernilai dalam hidup...”

“Ya... mungkin betul kata-kata hang...” kata Zahid. “Bukan semua perkara dalam hidup ini adalah mudah...”

“Jadi, carilah jalan tu. Terpulanglah bagaimana hang nak bagitau dia... asalkan dia tahu apa yang hang rasa...” balas Izham. “Hanya hang saja yang tahu apa yang sesuai untuk hang lakukan...”

“Tapi, aku tak pasti apa yang akan jadi kat Khadijah nanti bila aku bagitau apa yang aku rasa. Aku tak pasti apa yang dia rasa...”

Perlahan-lahan seorang wanita berjalan menghampiri Zahid. Dia sudah lama berada berhampiran Izham dan Zahid. Dia mendengar perbualan mereka. Izham menyedari kehadiran wanita itu tetapi Zahid tidak menyedarinya.

“Dia takkan apa-apa,” kata wanita itu membalas kata-kata Zahid. Zahid terkejut apabila tiba-tiba seorang wanita muncul di belakangnya.

“Erma pun ikut sekali?” soal Zahid kepada Izham.

“Kenapa tidak? Dia isteri aku...” balas Izham.

“Dan seorang wanita hanya boleh difahami oleh wanita itu sendiri...” kata Erma pula. Zahid tersenyum. Dia ternyata tidak menjangka kehadiran Erma. Pada fikirannya, hanya Izham sahaja yang akan berjumpa dengannya pada petang itu.

“Kenapa hang yakin dia takkan apa-apa?” soal Zahid kepada Erma.

“Aku wanita dan dia wanita...” balas Erma. “Aku tahu...”

“Dia takkan terkejut?”

“Wanita mana yang takkan terkejut Zahid... Semua wanita akan terkejut bila dijelaskan akan hasrat hati seorang lelaki yang nak memperisterikannya....” balas Erma. “Tapi aku yakin, dia takkan kecewakan hang”

“Kami yakin Zahid. Dan hang patutnya yakin jugak...” kata Izham pula kepada Zahid.

“Tapi, Khadijah ada perasaan ke kat aku ni?” soal Zahid.

“Hanglah yang kena cari jawapan tu. Aku tak boleh cakap... Soal hati dan perasaan ini adalah harta paling bernilai bagi seseorang. Tak mudah untuk diceritakan pada orang lain...” kata Erma.

“Tapi aku bagitau pada hangpa...” balas Zahid.

“Hang lain. Hang lelaki. Wanita itu lain caranya...” kata Erma.

“Soal suka atau tak hanya Khadijah saja yang boleh jawab. Yang penting sekarang ni, hang bagitau je soal hati hang pada dia...” kata Izham pula.

“Aku cuma takut....dia tak terima...” kata Zahid.

“Aku yakin dia akan terima hang....” balas Erma. “Tapi aku pasti, dia takkan bagitau hang serta-merta. Dia pasti akan fikirkannya sebelum buat keputusan...”

“Kenapa hang perlu risau? Berserahlah kepada Allah. Berdoalah kepada-Nya...” kata Izham pula cuba meyakinkannya.

“Bila dua hati menjadi satu...” kata Erma. “Aku pasti itu akan berlaku pada hang. Bila dua hati bersatu, hang tak perlu risau lagi...”
“Hari ku indah, dua hati kan bersatu,.. hari ku indah, dua akan jadi satu,.. andai aku dan kamu, bersama selalu...” Izham membalas sambil menyanyikan petikan daripada lagu Dua Hati Menjadi Satu nyanyian Gita Gutawa dan Dafi. Zahid tersenyum sebaik mendengar nyanyian rakannya itu yang tidaklah begitu mantap nyanyiannya.

“Ya, bila dua hati menjadi satu.... semua pasti berakhir dengan kebahagiaan” kata Zahid.

“Jadi, hang tau apa yang perlu dilakukan?” soal Izham.

“Ya... aku dah tahu macam mana nak gunakan joran. Sekarang ni aku cuma perlu tangkap ikannya saja,” balas Zahid.

“Aku harap hang berjaya Zahid,” kata Izham sambil menepuk bahu Zahid.

“Kami akan sentiasa di belakang hang kalau hang perlukan bantuan apa-apa,” kata Erma.

“Terima kasih...” balas Zahid tersenyum.

Malam itu Zahid mengatur langkahnya. Sebaik selesai sahaja solat Isyak secara berjemaah, dia terus menuju ke biliknya. Dia akan mengatur setiap perancangan untuk memberitahu niatnya pada Khadijah. Namun sebelum itu, dia menguruskan urusan hariannya. Dia seperti biasa menelan beberapa pil yang perlu dimakannya setiap malam. Ubat Prozac merupakan ubat pertama yang dimakannya sebelum diikuti ubat yang lain. Setelah selesai dia terus duduk di kerusi. Dia menarik nafas yang panjang. Nafas panjang itu disusuli dengan lamunan yang agak panjang. Ternyata Zahid sedang berfikir sesuatu. Dan lamunan itu begitu panjang tempohnya.

“Surat!”

Satu perkataan terkeluar dari mulutnya setelah begitu lama dia berfikir. Dia kemudian terus membuka laci meja kerjanya. Dia terus mengambil kertas dan kemudian mengambil pen. Dia kemudian tanpa membuang masa terus menulis pada kertas itu. Zahid menulis sesuatu di atas kertas setelah begitu lama berfikir. Mungkin itu merupakan sebahagian daripada perancangannya. Menulis bukanlah sesuatu yang sukar buat Zahid kerana memang telah biasa menulis. Kemahiran menulisnya tidak dapat dipertikaikan kerana dapat dibuktikan melalui beberapa buah novel yang telah dihasilkannya. Malah novel terbaru hasil tulisannya kini berada di tangan Khadijah. Maka bagi dirinya, untuk menulis bukanlah sesuatu tugas yang sukar.

Pena berdakwat biru itu tidak berhenti bekerja. Pena yang dipegang Zahid itu senantiasa menari-nari di atas kertas putih. Zahid langsung tidak berhenti walaupun untuk sedikit waktu. Dia terus menulis tanpa henti. Segala apa yang ada di fikirannya terus ditulis di atas kertas itu. Ternyata otak seorang penulis bukanlah otak yang biasa. Seorang penulis tidak perlu lagi membuat isi atau rangka sebelum menulis. Segala isi yang ingin ditulis terus dijelmakan di atas kertas. Maka tidak hairanlah dalam masa yang singkat sahaja, satu muka surat penuh telah ditulis Zahid. Setelah penuh muka depan, dia menyambung pula ke muka belakang kertas itu. Tulisan Zahid itu ternyata begitu panjang.

Dia terus menulis tanpa menghiraukan keadaan sekeliling. Setelah begitu lama menulis, akhirnya dia telah selesai. Dua helai kertas digunakannya untuk menulis tulisannya itu. Setelah selesai, dia terus mengambil sampul surat yang terdapat di dalam laci. Sampul surat berwarna perang itu diambilnya sebelum diletakkan di atas meja. Tulisan yang ditulis di atas dua helai kertas itu kemudian ditandatangannya. Dia kemudian melipat kertas itu sebelum dimasukkan ke dalam sampul surat yang diambilnya tadi. Selepas itu, dia menyimpan sampul surat itu ke dalam laci mejanya.

Setelah selesai, Zahid terus menuju ke ruang tamu di tingkat bawah. Setibanya di sana dia terus menuju ke rak buku yang terdapat di sana. Dia kemudian membuka laci rak buku itu. Selepas itu dia mengeluarkan sehelai kertas dari laci itu. Kertas Laman Nurani yang memaparkan jadual pengajian agama di seluruh Taiping diambilnya. Dia kemudian terus melihat jadual di atas kertas itu. Dia menyemak jadual pengajian pada hari Khamis ini. Masjid Daerah Taiping terdapat kuliah Maghrib pada hari itu. Ustaz Shaari Abas merupakan ustaz yang bakal memberikan kuliah hari itu. Sejurus melihat jadual itu, Zahid tersenyum.

“Alhamdulillah...” kata Zahid sendirian.

Dia kemudian terus menuju kembali ke biliknya di tingkat atas. Malam itu Zahid telah membuat perancangan. Namun perancangan itu tidak diketahui sesiapa. Hanya dirinya sahaja yang tahu setiap perancangan itu. Hanya dia sahaja yang tahu langkah yang telah diatur.

* * *

Keesokan pagi, Zahid seperti hari-hari biasanya bangun seawal 4 pagi untuk melakukan solat sunat. Seperti biasa juga seawal 7.30 pagi dia bertolak menuju ke tempat kerja. Pagi ini Ibu menyediakan sarapan kegemaran Zahid. Hidangan pulut inti disediakan Ibu. Pagi itu ternyata selera sarapan Zahid lebih tinggi daripada pagi yang biasa. Ayah pula sementara itu kurang gemar akan pulut inti walaupun dia gemar akan pulut. Maka sewaktu sarapan, dia hanya menjamah pulut sahaja.

Seperti hari-harinya sebelum ini, dia masuk ke tempat kerjanya pada pukul 8.00 pagi. Hari ini dia memandu ke tempat kerja menggunakan Perdana milik ayah. Kereta Proton Persona miliknya pula ditinggalkan di rumah. Sengaja dia bertukar kereta pada hari itu. Rakan-rakan sekerjanya semuanya sedikit hairan pagi itu apabila melihat Zahid memandu kereta yang berbeza ke tempat kerja. Namun tidak ada seorang pun yang cuba bertanya kepadanya sebab dia memandu kereta yang berbeza pagi itu.

Sebelum memulakan kerja, dia kemudian teringat akan perancangan yang telah disusunnya semalam. Serentak dengan itu sebelum masuk ke pejabatnya, dia mengeluarkan telefon bimbitnya. Dia kemudian menekan senarai buku telefon yang terdapat dalam telefonnya itu. Pada masa yang sama, dia telah pun masuk ke pejabatnya. Dia kemudian terus meletakkan beg galasnya, beg yang sebenarnya telah digunakannya sejak di tingkatan 3 di atas mejanya. Beg itulah merupakan beg kerjanya yang terisi dengan pelbagai dokumen yang berkaitan kerjanya sebagai akauntan bank. Jika dilihat dari gayanya, ternyata dia kelihatan masih lagi seperti seorang pelajar apabila menggunakan beg galas itu. Zahid ternyata tidak begitu berminat untuk menggunakan beg bimbit ke tempat kerja seperti yang banyak digunakan oleh orang lain.

Dia kemudian duduk di kerusinya. Sebaik duduk dia terus menekan telefon bimbitnya. Dia kini sedang mencari nama Khadijah dalam senarai buku telefon dalam telefon bimbitnya itu. Setelah beberapa lama mencari, barulah dia dapat melihat nama Khadijah terpampang di skrin. Dia kemudian terus menekan butang memanggil sebaik menjumpai nama Khadijah.

“Awan mendung yang berarak, bawa tangis bawa resah, rebah rindu yang terkumpul...” lagu Mantera Beradu nyanyian M. Nasir dan Malique didengar Zahid sebaik telinganya didekatkan pada speaker telefonnya. Rupa-rupanya lagu itu merupakan lagu pilihan Khadijah untuk dijadikan sebagai nada dering panggilan. Setelah beberapa ketika menunggu, panggilannya itu akhirnya dijawab.

“Hello...”

“Hello, Assalamualaikum...” Zahid memberi salam.

“Waalaikumussalam...”

“Ni Khadijah kan?”

“Ha aa. Ni Abang Zahid kan?” soal Khadijah pula.

“Ya...” jawab Zahid. “Emm... sorilah kalau ganggu Khadijah sekarang ni”

“Eh tak adalah,” balas Khadijah.

“Abang telefon ni bukan apa, abang cuma nak tanya....emm... Khadijah selalu pergi kuliah kat masjid kan? Yalah, kadang-kadang abang ternampak jugak Khadijah kat masjid”

“Ha aa. Kadang-kadang kalau ada kuliah kat masjid, Khadijah pergi. Tapi kenapa abang?” soal Khadijah.

“Tak ada apa. Abang cuma tanya je. Bukan apa, abang cuma nak tanya, esok Khadijah pergi tak masjid?” tanya Zahid.

“Emm... tak tau lagi. Tak sure lagi...”

“Esok ada kuliah kat Masjid Daerah. Ustaz Shaari yang buat kuliah...”

“Oh, gitu...” balas Khadijah. “Emm... tak tau datang ke tak esok. Khadijah tak pasti lagi...”

“Abang bukan apa. Abang nak tanya kat Khadijah... Esok lepas solat Isyak, boleh tak kalau abang nak jumpa Khadijah. Emm.. tu pun kalau Khadijah pergi masjid esok. Abang ada hal sikit nak jumpa... Kalau tak boleh tak apa...”

“Oh, macam tu. Kalau macam tu tak apalah. Insyaallah esok Khadijah datang. Tapi nak jumpa kat mana?” soal Khadijah.

“Emm... kat kereta abang ke... atau kereta Khadijah ke... kat tempat parking”

“Okay. Boleh...tak ada masalah,” balas Khadijah.

“Kalau macam tu, tak apalah. Tu je yang abang nak cakap. Emm... terima kasih ya”

“Ya, sama-sama,” balas Khadijah.

“Kalau macam tu tak apa ya. Jumpa esok... Assalamualaikum,” kata Zahid.

“Waalaikumussalam...” jawab Khadijah.

Telefon bimbitnya diletakkan di atas mejanya. Dia sedikit tersenyum selepas itu. Mungkin senyuman yang dijelmakan kerana kelegaan yang dirasainya. Dia kemudian melihat pada kalender di atas mejanya. Dia terus melihat tarikh esoknya pada kalender itu. Pen diambilnya kemudian dan terus ditanda pada tarikh itu di kalender tersebut. Mungkin tarikh tersebut bakal menjadi tarikh yang cukup bermakna buatnya.

Malam itu Zahid tidak ke masjid walaupun terdapat kuliah pengajian di sana. Hari ini dia sedikit keletihan kerana pulang agak lewat petang tadi. Selepas menikmati hidangan makan malam yang dimasak Ibu, Zahid perlahan-lahan keluar dari rumah untuk berada di kawasan halaman. Malam itu, suasana malam ternyata tidak gelap gelita. Cahaya bulan purnama menyinari malam itu. Halaman rumahnya yang selama ini gelap pada waktu malam kelihatan lebih cerah pada malam itu. Zahid mendongak ke langit melihat bulan di langit. Dia ternyata begitu kagum dengan keindahan bulan yang begitu terang pada malam itu. Ternyata sungguh indah cahaya yang terdapat pada bulan itu. Dia dengan perlahan-lahan kemudian duduk di buaian di halaman sambil matanya terus menatap bulan di langit.

“Maha suci Allah.... cantiknya....” kata Zahid sendirian.

“Ciptaan Allah.... mestilah cantik....” tiba-tiba ibunya muncul di sebelah Zahid. Ternyata Zahid terkejut dengan kemunculan Ibu. Dia langsung tidak menyedari kehadiran Ibu kerana begitu asyik melihat keindahan bulan di langit.

“Sepanjang zaman, dari dulu sampai sekarang, setiap manusia itu pasti terpesona dengan keindahan bulan...” kata Zahid.

“Ya... betul tu. Dan setiap orang yang melihat bulan itu pasti mempunyai kisah masing-masing sewaktu melihatnya.... yang mereka akan terkenang kembali kisah lama mereka bila melihat bulan itu...” kata Ibu. Zahid hanya mendengar kata-kata ibu. Dia ternyata mula memberi perhatian terhadap percakapan ibunya itu. Ibu seolah-olah mahu memulakan suatu penceritaan kepadanya. “Bila ibu melihat bulan purnama macam ni, teringat ibu masa waktu dulu....” kata Ibu kemudian.

“Maksud ibu?” soal Zahid.

“Ibu pasti akan terkenang peristiwa dulu.... sebab waktu terang dengan cahaya bulan macam nilah, ayah melamar ibu...” kata Ibu tersenyum.

“Oh.... gitu...” kata Zahid tersenyum juga. “Emm... sori ya ibu kalau Zahid nak tanya ni...”

“Tanya apa?” soal Ibu dengan lembut.

“Yalah. Dulu ibu ada cerita yang ayah melamar ibu di masjid.... Jadi, Zahid cuma nak tahu, macam mana ayah lamar ibu dulu?”

“Oh... gitu...” balas Ibu tersenyum. “Emmm... sebenarnya Zahid, pada malam macam inilah, ayah melamar ibu. Ibu ingat lagi, masa tu... hari Khamis, malam Jumaat, di sebuah masjid....Malam tu malam yang cukup indah. Cahaya bulan cukup terang... sangat-sangat terang”

“Ayah kan yang bawa ibu ke masjid?” soal Zahid.

“Ya, betul tu. Ayah bawa ibu pergi ke masjid nak dengar ceramah masa tu...”

“Gitu....”

“Dan masa tu, ibu tak terlintas pun akan berlaku perkara sedemikian...” kata Ibu. “Ayah memang selalu bawa ibu pergi masjid sebagai satu dorongan dan sokongan kepada ibu yang baru memeluk agama Islam...” Zahid sambil itu terus memberikan tumpuan kepada cerita ibunya itu. “Tapi, malam tu.... segala-galanya berubah..... Selepas Isyak, bila ibu keluar dari masjid, ibu ternampak ayah dah berdiri di tepi kereta.... dan dia kemudian panggil ibu...”

“Err... bukan ibu pergi sekali dengan ayah ke masa tu? Jadi kenapa pula ayah nak panggil ibu? Nanti ibu akan jumpa juga dengan ayah bukan?” soal Zahid.

“Memang ayah bawa ibu ke masjid tu. Tapi tak semestinya dengan satu kereta bukan? Maksudnya, ibu bawa kereta ibu, dan ayah bawa kereta ayah.... dan ayah tunjuk jalan ke masjid tu dan ibu ikut ayah dari belakang...” terang Ibu.

“Ohh...”

“Bulan terang macam nilah, ya...terang macam nilah... sampai bila-bila ibu tak akan lupa....” kata Ibu mengulangi kata-kata yang sama sambil melihat bulan di langit. “Hari Khamis, malam Jumaat, malam yang pernuh keberkatan, ayah bertanya satu soalan kepada ibu...” Ibu sedikit tersenyum. “Kalau seorang lelaki nak memeperisterikan awak, apa jawapan yang akan awak bagi?”

“Dan jawapan ibu?” soal Zahid.

“Wanita yang ditanya soalan begitu daripada seorang lelaki tak akan mudah memberi jawapannya... Tambah masa tu ibu jadi sedikit terkejut....”

“Jadi, kesudahannya?” soal Zahid.

“Ibu tergamam sekejap. Terkejut... dan lepas tu, barulah ayah bagitau niat hatinya pada ibu secara berterus terang.... dan lepas pada itulah, ibu terus terkelu...”

“Jadi, ibu setuju?”

“Seorang wanita tak mudah untuk menganggukkan kepalanya, Zahid....” balas Ibu tersenyum. “Ibu tak jawab. Dan jawapan kepada soalan itu memerlukan ibu untuk menjawab seminggu selepas itu....”

“Dan ayah?”

“Ayah kamu seorang yang berani... dan sudah pasti dia juga boleh jadi seorang yang sabar...”

Zahid kemudian membisu. Tidak ada soalan lagi yang ingin ditanyanya. Itulah cerita yang tidak pernah didengarnya. Buat pertama kalinya, Ibu membuka rahsianya kepada Zahid.























Tamat Ceritera 15

No comments: