Ceritera 6
“Penatnya….” keluh Murni sebaik memasuki rumah.
“Dah tau penat, lain kali tak payahlah pi shopping…” kata Khadijah memerli Murni. “Kalau setakat nak beli barang dapur, kat The Store pun boleh. Hai… buat penat je aku ikut hang,” keluh Khadijah. Dia kemudian terus duduk di sofa. Terus diambilnya buku yang terletak di atas kabinet televisyen, buku yang dibacanya sejak pagi tadi lagi.
“Saja nak pi Tesco…” balas Murni. Dia kemudian menuju ke dapur sambil membawa barang-barang dapur yang dibeli tadi menuju ke dapur. Barang-barang dapur itu tidaklah begitu banyak. Hanya sekadar untuk keperluan sebulan Murni seorang.
Khadijah sementara itu pula membuka kembali buku yang diambilnya. Dia menyambung kembali pembacaannya. Buku yang ternyata begitu menarik buat Khadijah itu dibacanya kembali.
“Setiap manusia itu punyai hati. Hati itulah yang akan membentuk peribadi luaran manusia itu. Namun manusia bukan selalunya memahami hati masing-masing. Kadang kala, mereka menjadi buta untuk melihat hati mereka itu. Mereka tidak dapat melihat apa yang diungkapkan hati mereka. Dan inilah kelemahan yang diciptakan Allah. Dan mengapa Allah menciptakan kelemahan sedemikian? Supaya manusia itu senantiasa berdoa dan bermohon kepada-Nya, supaya mereka menyedari bahawa hanya Dialah sahaja yang Maha Mengetahui setiap ciptaan-Nya itu”
* * *
“Ya Allah!” kata Zahid sebaik melihat jam loceng. “Aku dah terlajak tidur ni!” katanya lagi. Jam loceng yang dilihatnya telah menunjukkan pukul enam setengah pagi. Buat pertama kalinya, Zahid bangun sedikit lewat berbanding kebiasaannya. Terus dia mencapai tuala dan menuju ke bilik air. Dia tahu, hari ini adalah hari hujung minggu. Tidak perlulah dirinya untuk kelam kabut bersiap untuk menuju ke tempat kerja. Namun dia juga perlu tahu bahawa setiap hujung minggu dia akan ke taman tasik untuk berjoging bersama Izham. Dan untuk kali ini, sudah semestinya dia akan terlewat daripada kebiasaan untuk bertemu Izham nanti.
Beberapa minit kemudian, keluarlah Zahid dari bilik air. Dia kemudian terus menghamparkan sejadah dan kemudian menunaikan solat Subuh. Selesai sahaja solat, dia berdoa, dan kemudiannya dia melipat sejadahnya. Dia kemudian menukar pakaiaannya ke pakaian sukan. Sambil itu matanya menjeling ke jam di meja kerjanya. Dilihatnya waktu telah menghampiri pukul tujuh pagi. Bertambah kelam kabutlah Zahid untuk bersiap. Dia terus membuka almarinya dengan pantas. Dicarinya baju sukannya di dalam almari itu. Namun dia tidak menjumpai pakaian tersebut. Dia kemudian terus mencari lagi pakaiannya itu. Diselongkarnya almari bajunya sehingga ke bahagian dalam almari itu. Dalam kekalutan itu, tiba-tiba sehelai kertas lukisan keluar dari almari itu. Zahid kehairanan melihat kertas lukisan itu.
Dia kemudian mencapai kertas lukisan yang jatuh di atas lantai itu. Dengan perlahan-lahan, dia mengalihkan kertas lukisan itu. Dilihatnya sebuah potret wanita pada kertas lukisan tersebut. Potret yang dilukis menggunakan pensel itu ternyata membuatkan Zahid tergamam.
“Khadijah….” kata Zahid sejurus melihat lukisan potret itu. Serta merta jantungnya berdegup kencang. Zahid ternyata kehairanan dengan keadaan dirinya yang tiba-tiba berdebar sebaik melihat lukisan potret itu. Lukisan yang dipegangnya itu adalah lukisan potret Khadijah Itulah lukisan potret yang dilukisnya semasa dia di tingkatan lima dahulu. Lukisan itu dilukisnya berpandukan gambar Khadijah yang diambilnya semasa jamuan akhir tahun Lembaga Disiplin Pelajar (LDP) MRSM Langkawi. Khadijah pada waktu itu berada di tingkatan empat. Dia melukis potret tersebut hanya sebagai mengisi masa terluangnya pada waktu itu. Malah, lukisan potret itu tidak pernah dilihat oleh Khadijah sendiri. Setelah hampir tujuh tahun, dia menjumpai semula lukisan potret itu. Zahid tidak menyangka bahawa dia akan mejumpai semula lukisan itu. Dirinya sendiri sudah hampir terlupa kan potret yang dilukisnya itu.
Lama juga Zahid merenung potret yang diliukisnya dahulu. Dia ternyata tidak menyangka akan menjumpai potret itu semula. Namun dia berasa hairan sebaik melihat potret itu. Satu perasaan yang begitu berlainan menjelma dalam dirinya apabila dirinya melihat potret itu. Hatinya berdebar apabila melihat potret itu. Dan sudah semestinya perasaan itu tidak pernah timbul semasa dia melukis potret itu pada masa dahulu.
“Kenapa aku rasa semacam ni?” soal Zahid. “Ni gambar Khadijah je..” katanya kehairanan. Dia kemudian meletakkan lukisan potret itu di atas meja kerjanya. Dan pada waktu itulah Zahid ketawa kecil. Rupa-rupanya pakaian sukan yang dicarinya berada di atas meja kerjanya. Barulah dia teringat bahawa semalam dia telah meletakkan pakaian sukan itu di atas meja kerjanya.
“Macam mana aku boleh tak perasan tadi?” soal Zahid. Ternyata kekalutan dirinya menyebabkan dia terlupa terhadap beberapa perkara. Benarlah kata orang, ‘biar lambat asalkan selamat, biar lambat sesuatu pekerjaan itu asalkan kemas kerja itu’.
Zahid keluar dari rumahnya pada pukul 7.15 pagi. Adiknya Sheera tiada di rumah semasa Zahid keluar. Kereta adiknya itu tidak kelihatan di halaman rumah. Mungkin adiknya juga keluar beriadah di taman tasik. Zahid tiba di taman tasik kira-kira pukul 7.30 pagi. Jalan menuju ke taman tasik sedikit sesak hari ini.
Sebaik tiba di taman tasik, Zahid terus bergegas berlari menuju ke kawasan menara jam di taman tasik itu. Dia tahu, dirinya begitu lewat hari ini. Sudah semestinya Izham rakannya itu telah menunggu begitu lama. Dan ternyata sangkaannya itu benar. Izham dilihatnya sedang duduk di tangga menara jam sebaik dia tiba. Wajahnya rakannya itu seperti dalam kebosanan. Mungkin kerana terlalu lama menunggu Zahid.
“Sori. Sori. Aku lambat betul hari ni,” kata Zahid menghampiri Izham.
“Boleh tahanlah lamanya jugak aku tunggu hang kat sini. Dah naik kematu punggung aku ni,” kata Izham sambil melihat jam tangannya. “Apasal?” soal Izham.
“Entahlah. Tiba-tiba hari ni aku terlewat bangun,” balas Zahid sambil memulakan regangan.
“Awat, letih semalam tak habis lagi ke?” soal Izham. Dirinya juga telah memulakan regangan badan. “Apa mimpilah yang hang pi Doli semalam tu…”
“Apasal, tak boleh ke?” soal Zahid.
“Bukan apa, hang tu tak pernah pun pi Doli tu. Tiba-tiba hang pi pasal apa?” soal Izham.
“Hang pun, apasal pi sana?” soal Zahid pula.
“Aku memang selalu pi situ. Kira rutin tiap-tiap minggu aku dengan Erma pi situ,” balas Izham.
“Sekali sekala aku teringin jugak nak rasa makanan luar,” kata Zahid. “Tu yang aku tergerak nak pi semalam. Tapi, tiba-tiba semalam boleh terjumpa pulak mamat tu dengan bini dia…” kata Zahid. Tersenyum Izham mendengar kata-kata rakannya itu.
“Ada berita happy ke semalam?” soal Izham.
“Eh, mana adalah,” balas Zahid.
“Ya ke?” soal Izham. Zahid hanya membisu. Dia kemudian mula berjoging tanpa menjawab pertanyaan Izham.
“Semalam aku jumpa Khadijah,” kata Zahid sambil berjoging di sebelah Izham.
“See. Aku dah cakap dah. Ni mesti ada sebab. Jadi itulah sebab hang pi Doli semalam kan? Hang happy sangat sebab dapat jumpa Khadijah?” soal Izham. Zahid hanya tersenyum tanpa menjawab soalan itu.
“Aku cuma nak bagi kat dia novel baru aku je,” kata Zahid beberapa ketika kemudian.
“Hang jumpa kat mana?” soal Izham.
“Masjid,” balas Zahid ringkas.
“Dia macam mana sekarang?” soal Izham.
“Okay..” balas Zahid.
Selepas itu masing-masing membisu. Mereka mula keletihan selepas itu. Dan untuk mengelakkan diri mereka daripada bertambah letih, mereka mula berhenti berbual. Pagi itu, walaupun mereka memulakan joging agak lewat daripada biasa, kehangatan matahari tidak dirasai mereka. Cuaca pada pagi itu agak mendung sedikit. Mungkin hujan akan turun pada waktu tengah hari nanti. Cuaca mendung tersebut menyebabkan mereka tidak letih begitu cepat. Tanpa disedari, mereka menghabiskan masa hampir satu jam setengah untuk berjoging, masa yang paling lama pernah mereka habiskan untuk berjoging di taman tasik itu. Mereka hanya menghentikan jogingan mereka sebaik mereka tiba berhampiran jambatan kecil yang menyeberangi tasik terbesar di taman tasik itu. Jambatan kecil itu terletak di tambak yang merentasi tasik terbesar itu. Tanpa jambatan kecil itu, dua tasik yang dipisahkan oleh tambak itu tidak akan berhubung. Maka tidak hairanlah di jambatan itu, mereka dapat melihat dengan jelas anak-anak ikan berenang-renang berhampiran jambatan tersebut kerana merupakan kawasan aliran air di antara dua tasik itu. Di jambatan itulah, Zahid dan Izham selalu melepak sebelum mereka ke restoran untuk bersarapan. Di jambatan itu jugalah, mereka akan senantiasa berkongsi kisah masing-masing.
“Eh, nampak tu!” kata Zahid sambil jarinya ditunjukkan ke arah tasik. “Macam buaya je tu,” katanya.
“Mana?” soal Izham.
“Tu,” jawab Zahid sambil jarinya ditunjukkan ke arah tasik.
“Lah, ooi, tu bukannya buaya. Tu biawak!” kata Izham sedikit tersenyum. “Buat suspens je hang ni,” katanya lagi.
“Oh, ya ke? Nampak macam buaya je,” kata Zahid.
“Takkanlah tasik ni ada buaya. Dari mana nak datang buaya tu?” soal Izham.
“Manalah tau, kot-kot ada buaya terlepas dari zoo ke…” kata Zahid.
“Ye lah tu,” kata Izham.
Isu biawak yang kelihatan seperti buaya pada penglihatan Zahid itu menjadi tajuk pembuka perbualan mereka di jambatan itu. Mungkin Zahid sengaja mencetuskan suatu situasi panik sedikit di atas jambatan itu. Mungkin dia mahu sedikit keadaan ceria pada waktu itu. Namun bagi Izham pula, dia tahu rakannya itu seperti sedang memendam sesuatu berdasarkan ekspresi wajah Zahid yang kelihatan seperti sedang memikirkan sesuatu. Namun, Izham hanya mendiamkan diri sahaja tanpa bertanya kepada Zahid. Dia tahu, Zahid pasti akan menceritakan perkara yang sedang bermain dalam fikirannya sebentar lagi. Dia hanya menunggu dengan sabar untuk mendengar luahan yang mungkin akan diluahkan oleh Zahid sebentar lagi. Dia sedikit tersenyum sambil memerhatikan wajah Zahid. Beberapa ketika kemudian, seperti yang dijangkanya, Zahid mula bersuara.
“Sejak kebelakangan ni, aku rasa semacam jelah,” kata Zahid memulakan bicara.
“Kenapa? Hang demam? Hang sakit? Hang tak sihat ke?” soal Izham bertubi-tubi terhadap Zahid sebaik mendengar apa yang diperkatakan rakannya itu.
“Bukan. Aku okay je. Aku sihat walafiat,” balas Zahid.
“Habis tu, hang pening kepala? Kenapa? Pasal banyak kerja ke?” soal Izham bertubi-tubi lagi.
“Tak. Bukanlah,” balas Zahid.
“Hang ada masalah kewangan? Nak pinjam duit? Berapa?” soal Izham lagi bertubi-tubi seperti sebelumnya.
“Tak,” balas Zahid ringkas.
“Pasal Yasmin lagi ke? Kenapa, hang tak jumpa dia lagi?” soal Izham.
“Bukanlah!”
“Pasal Sheera? Dia ada problem ke?” soal Izham.
“Ya Allah! Hang ni nak dengar aku cerita ke tak ni? Aku tak sempat nak cakap apa-apa lagi, hang bertubi-tubi tanya aku,” kata Zahid.
“Habis tu, kenapa?” soal Izham. Kali ini dia lebih tenang menyoal Zahid.
“Entahlah. Aku pun tak tau pasal apa aku rasa semacam je sejak kebelakangan ni,” balas Zahid.
“Hang dah jumpa doktor? Dah pergi hospital?” soal Izham.
“Aku tak sakitlah! Hang faham tak ni?” soal Zahid. “Aku cuma rasa semacam je,” terang Zahid. “Aku pun heran sebab apa aku jadi macam ni,” katanya lagi.
“Habis tu, kenapa?” soal Izham pula kehairanan.
“Semalam aku jumpa Khadijah,” kata Zahid.
“Tu aku tau. Hang dah bagitau aku tadi,” kata Izham.
“Dan masa aku jumpa Khadijahlah aku baru tau yang aku ni rasa lain macam sikit,” kata Zahid.
“Kenapa?” soal Izham.
“Sebelum ni, aku kalau jumpa Khadijah, aku taklah rasa apa-apa pun. Aku biasa je bila jumpa dia. Tapi semalam, bila aku bersemuka dengan dia, aku jadi berdebar-debar pula,” terang Zahid.
“Berdebar-debar? Aik, lain macam je bunyinya tu,” kata Izham.
“Aku pun tak taulah nak cakap macam mana. Tapi sejak beberapa bulan ni, terus terang aku nak cakap kat hang, pandangan aku kat Khadijah dah lain sikit rasanya. Hati aku dah rasa lain sangat bila cakap pasal Khadijah,” terang Zahid.
“Aku tau apa sebabnya. Sebabnya hang dah jatuh hati kat dia,” kata Izham.
“Tak bukan tu. Aku tak pulak jatuh cinta kat dia. Cuma aku rasa perasaan aku kat dia berubah,” kata Zahid.
“Berubah? Berubah daripada sebagai kawan kepada yang lain, macam tu?” soal Izham. “Berubah daripada seorang yang hang anggap macam adik hang, macam hang anggap Sheera, kepada yang lain? Macam tu?”
“Rasanya macam tulah,” balas Zahid. “Bukan aku sengaja nak rasa macam tu. Tapi hati aku ni tiba-tiba berubah. Hati aku ni tiba-tiba terdetik berubah, anggap dia lain daripada sebelum ni,” kata Zahid.
“Berubah? Apa maksud hang dengan hati hang terdetik berubah? Aku tak fahamlah? Apa yang terdetik?” soal Izham yang tidak faham dengan pernyataan Zahid.
“Hati aku cakap, dialah orangnya. Dialah orangnya,” kata Zahid. “Hati aku cakap dialah yang paling sesuai…”
“Aku tambah tak faham dengan apa yang hang cakap ni. Apa maksud hang dengan ‘sesuai’ tu?” soal Izham.
“Entah. Tapi hati aku cakap sudah sampai masanya untuk aku memikirkan masa depan aku,” balas Zahid.
“Jadi, hang dah jatuh hati dengan Khadijah? Macam tu?” soal Izham.
“Tak. Aku tak jatuh cinta dengan Khadijah,” balas Zahid.
“Habis tu, kenapa?”
“Hati aku cuma tergerak nak berubah dan hati aku cakap….” kata Zahid. Dia kemudian mendiamkan diri seketika. Izham hanya memandang rakannya itu sambil menunggu dengan penuh sabar terhadap apa yang akan diperkatakan rakannya itu. “Hati aku cuma kata,… yang…. hati aku….”
“Kenapa? Kelu ke nak cakap kat aku ni?” soal Izham apabila rakannya itu seperti sukar untuk bercakap kepadanya. Seperti terdapat permata pula di dalam mulut Zahid itu sehingga menyebabkannya sukar untuk berkata-kata.
“Hati aku cuma cakap, yang Khadijahlah orang paling sesuai untuk menemani aku seumur hidup aku,” kata Zahid meluahkan kepada Izham. Izham tergamam seketika sebaik mendengar apa yang diperkatakan rakannya itu.
“Maksud hang….”
“Hati aku terdetik nak memperisterikan dia,” kata Zahid dengan jelas.
“Really?” soal Izham. Dia ternyata terkejut dengan apa yang diperkatakan oleh rakannya itu. “Maksud aku, hang tak main-main kan?”
“Aku serius yang ni,” balas Zahid.
“Jadi, itu bermakna, hang dah jatuh cinta dengan dia?” soal Izham.
“Tak. Aku tak pernah pun rasa cinta kat Khadijah,” kata Zahid. “Aku Cuma tergerak hati nak jadikan dia isteri aku,” kata Zahid.
“Hah, ni pelik ni! Macam mana hang tak jatuh cinta kat Khadijah, sedangkan pada masa yang sama hang berniat nak memperisterikan dia? Aku tak fahamlah,” kata Izham. “Mana ada dalam dunia ni, seseorang tu berkahwin dengan wanita tu, tanpa ada langsung perasaan cinta walaupun sedikit. Sedangkan Rasulullah pun berkahwin dengan Saidatina Khadijah dengan ada perasaan cinta terhadap isterinya itu,” katanya lagi. “Cinta itu fitrah manusia, Zahid”
“Sungguh, aku cakap yang aku tak ada perasaan cinta kat Khadijah. Aku memang tak rasa pun,” kata Zahid. “Kenapa, salah ke tak ada perasaan tu?” soal Zahid pula.
“Maknanya hang ni menolak fitrah manusia,” kata Izham. “Baik hang fikir betul-betul Zahid”
“Kenapa pulak aku tolak fitrah manusia?” soal Zahid. “Tengok macam orang dulu-dulu, mereka tak pulak bercinta. Tapi mereka boleh hidup bahagia lepas mereka berkahwin,” kata Zahid.
“Tapi, tu kata hang. Mereka tu pun ada sedikit sebenarnya rasa cinta kan?” soal Izham tersenyum. “Zahid, cinta tu perlu ada dalam setiap perhubungan. Hubungan hang dengan Allah, hang perlu ada perasaan cinta supaya hang lebih dekat dengan-Nya. Hubungan dengan mak bapak hang, tanpa perasaan cinta, hang mungkin tak hargai mereka bukan? Macam tu jugak hubungan hang dengan seseorang wanita,” kata Izham.
“Entahlah. Walau apa pun, aku memang tak rasa yang aku jatuh cinta dengan Khadijah tu,” kata Zahid.
“Walaupun sedikit perasaan cinta kat dia?” soal Izham. Zahid hanya membisu tidak menjawab pertanyan rakannya itu. “Zahid, aku walaupun sebaya dengan hang, aku dalam bab ni aku memang ada banyak pengalaman. Aku tahu, yang hang dah mula sukakan Khadijah. Aku tahu hang dah mula ada rasa cinta kat Khadijah tu,” kata Izham.
“Tapi, aku tak rasa pun. Sungguh…” kata Zahid. “Aku tak rasa yang aku akan jatuh hati dengan dia macam mana aku jatuh hati dengan Fadhilah dulu,” kata Zahid lagi.
“Itu dulu. Masa tu hang budak-budak lagi. Hang tak boleh bandingkan dengan diri hang sekarang ni,” balas Izham.
“Ya, mungkin. Tapi perasaan cinta tu sama bukan?” soal Zahid. “Aku, takut nak jatuh cinta lagi”
“Hang takut hang kecewa macam dulu?” soal Izham. “Aku rasa hang kena buang kenangan lama hang tu. Hang kena terima hakikat yang perasaan cinta tu fitrah manusia,” kata Izham.
“Dan inilah fitrah aku,” kata Zahid. “Aku tak dapat nak rasa perasaan tu…”
“Hang ada perasaan tu. Cuma hang tak nampak je. Hang buta dengan hati hang sendiri. Walau apa pun alasan hang, aku percaya jauh di sudut hati hang tu, dah muncul sebenarnya sedikit perasaan cinta pada Khadijah,” kata Izham.
“Tapi, aku rasa tu mustahillah. Terus terang aku cakap, aku tak boleh nak mengiakan apa yang hang cakap tu. Memang aku langsung tak rasa, memang aku tak rasa…” kata Zahid.
“Ada. Ada. Hang ada perasaan tu,” kata Izham pula.
“Kalau ada pun macam mana?” soal Zahid. “Macam mana aku nak ubah perasaan aku tu? Aku kenal Khadijah sejak dari kecil lagi. Masa kecik-kecik dulu, dia tu rakan sepermainan aku. Lepas tu bila aku dah besar sikit, berubah pulak jadi rakan karib aku. Dan lepas tu, perasaan tu berubah pula dengan hubungan abang dan adik. Dan aku tak nak perasaan aku berubah lagi kepada perasaan seorang kekasih kepada kekasihnya….”
“Hati manusia berubah, Zahid. Manusia semakin matang. Dan macam tu juga dengan hang,” kata Izham. “Aku akui, hang dengan Khadijah tu memang kenal lama sangat. Malah dia lebih lama hang kenal daripada aku ni. Dan itu adalah faktanya,” katanya. “Memang betul perasaan hang berubah dan tak sama dengan waktu dulu. Dari seorang rakan main-main, berubah jadi rakan karib, dan kemudian berubah pulak jadi abang dan adik. Dan faktanya itu hang semakin matang,” kata Izham.
“Tapi, boleh ke perasaan aku sekarang ni berubah?” soal Zahid.
“Aku tak boleh nak cakap. Aku sendiri pun tak pernah alami macam hang alami sekarang ni. Macam aku sendiri, walaupun aku kenal Erma masa kita sama-sama sekolah dulu, aku cuma kenal dia lebih rapat masa kat universiti dulu. Habis je belajar, terus kahwin,” kata Izham.
“Ha, cakap pasal Erma, macam mana hang boleh terkahwin dengan dia?” soal Zahid tersenyum ingin mendapatkan kepastian. Izham sedikit tersenyum mendengar soalan Zahid itu. Dia tidak terus menjawab soalan itu. Dia mendiamkan diri untuk beberapa ketika. Mungkin dia sedang mengingati kembali saat dia berkenalan dengan isterinya, Erma pada masa lalu.
“Eh, tu si Sheera kan?” soal Izham sambil jarinya menunjuk ke arah jalan raya. “Laju tu..” katanya lagi. Sepantas kilat pandangan Zahid beralih dari tasik ke arah jalan raya. Kelihatan pada pandangannya sebuah Proton Waja berwarna hitam. Dilihatnya kemudian Zahid pada nombor plat yang samar-samar kelihatan pada pandangannya. Dan ternyata kereta yang sedang bergerak laju itu adalah kereta adiknya, Sheera.
“Keranda terbang lah tu…” kata Zahid sambil tersenyum.
“Keranda terbang?” soal Izham kehairanan. Dia tidak mengerti dengan apa yang diperkatakan Zahid itu.
“Sheera akan cakap cakap macam tu kalau dia nampak kereta yang laju dipandu,” kata Zahid.
“Habis tu, yang tadi tu Sheera ke?” soal Izham.
“Siapa lagi yang nak pandu laju macam tu?” balas Zahid tersenyum. “Shcumacher wanita yang pandu Waja….” katanya lagi tersenyum. “Sheera, Sheera. Kata kat orang, dia pun dua kali lima jugak…” kata Zahid lagi. Izham tersenyum mendengar kata-kata Zahid itu. Selepas itu, masing-masing mengalihkan pandangan mereka kembali ke arah tasik.
“Aku ‘terkenal’ dengan lebih rapat dia pun secara tak sengaja,” kata Izham tersenyum. “Masa tu, aku tahun pertama kat USM,” katanya.
“ ‘Terkenal’ lebih rapat? Maksud hang secara tak sengaja hang kenal dengan dia?” soal Zahid.
“Aku ni manalah kenal dengan perempuan. Aku ni kan pemalu sikit,” kata Izham. “Aku ingat lagi masa tu aku baru je habis kuliah. Perut dah lapar sangat lepas kuliah tu. Maklumlah, masa pagi tu aku tak sarapan. Elok habis je kuliah tu, berdezum aku pi kafeteria nak makan. Hang tau-tau jelah bila perut dah lapar sangat, jalan tu dah memang laju sangatlah. Aku memang tak tengok kiri kanan aku, aku terus je jalan. Entah macam mana masa tu, berdebush aku terlanggar seorang perempuan ni. Habis terpelanting pinggan nasi dia yang baru dia ambil,” kata Izham.
“Jadi, perempuan tu Erma?” soal Zahid.
“Tak. Tu kawan dia. Erma muncul lepas tu. Terus dia marah kat aku. Rupa-rupanya perempuan yang aku langgar tu kawan dia,” terang Izham.
“Habis tu, apa jadi lepas tu?” soal Zahid yang semakin teruja mendengar cerita Izham.
“Dia marah kaw-kaw punya. Naik malu aku masa tu. Macam-macam lah yang dia maki hamun aku masa tu. Bila angin dia reda sikit, baru aku beranikan diri angkat muka aku pandang muka dia,” terang Izham. “Dan lepas tu dia terkejut hang tau…”
“Apasal?”
“Rupa-rupanya, orang yang dia marah tu satu sekolah dengan dia dulu. “Eh, ni Izham ke?” dia soal macam tu. Aku pun soallah pulak, “Yang ni Erma ke?” Dia pun angguk je. Terus marah dia tu hilang lepas tu,” terang Izham.
“Masa dia marah tu, hang cam ke yang orang tu Erma?” soal Izham.
“Tak. Aku ingat mak cik mana entah masa tu sebab aku tak tengok pun muka dia. Tapi kan, terus terang aku cakap kan, memang aku kecut perut tau masa dia marah aku tu. Memang macam singa tau masa tu,” kata Izham mengenangkan kembali kisah lamanya.
“Lepas tu?” soal Zahid. Dia kemudian melompatkan dirinya untuk duduk di atas penghadang di atas jambatan.
“Kami makan sekali. Tak sangka dapat jumpa dia tau. Macam-macamlah yang kami sembang masa tu,” kata Izham.
“Kawan dia tu pulak macam mana?” soal Zahid.
“Aku ganti balik nasi yang tumpah tu. Dia lepas tu makan kat tempat lain. Mungkin nak bagi can aku makan dengan Erma kot,” kata Izham. “Dan lepas kejadian tu, aku makin rapat dengan dia. Bila aku tahun tiga kat sana, aku dengan dia bertunang. Elok je lepas habis belajar, belum pun kerja lagi, kami pun kahwin,” terang Izham.
“Jadi, tulah cerita hang?” soal Zahid. “Tapi, aku heranlah. Macam mana hang tak tau yang dia pun belajar kat USM jugak?” soal Zahid.
“Dia ambil kursus lain. Aku ambil kursus lain. Tu yang aku tak tau dia belajar kat USM jugak,” balas Izham.
“Jadi masa hang kat USM dulu, kiranya hang ni couple dengan dia?” soal Zahid.
“Boleh kata macam tu jugaklah. Tapi kami tak tunjuklah kat orang lain. Buat macam biasa je. Masa aku dengan dia bertunang dulu, bukan semua kawan-kawan aku yang tau,” balas Izham.
“Menarik, menarik cerita hang tu,” kata Zahid.
“Habis tu, cerita aku hang dah tau, cerita hang macam mana pulak?” soal Izham.
“Cerita apa?” soal Zahid.
“Yalah, cerita hang dengan Khadijah. Macam mana hang nak mulakan?” soal Izham.
“Aku lain, hang lain. Aku tak pun rasa cinta kat dia. Hang tu memang dah jatuh cinta dengan Erma tu,” kata Zahid. “Aku ni pun was-was, betul ke kata hati aku ni? Aku takut nanti kata hati aku tu silap,” katanya.
“Hang kena yakin dengan kata hati hang tu,” kata Izham.
“Entahlah, aku tak nampak jalan yang apa patut aku buat,” kata Zahid. “Apa yang patut aku buat hah?” soalnya kepada Izham.
“Entah, aku tak tau,” balas Izham sambil tersenyum. “Kenapa pulak aku yang hang soal?” soal Izham. “Patutnya hang yang soal diri hang,” katanya. “Jawapan tu ada dalam diri hang sendiri. Ada dalam hati hang sendiri”
“Tapi aku tak tau apa aku nak buat,” kata Zahid.
“Mata hang mungkin boleh melihat sebatu pandangan di hadapan hang, tapi mungkin mata hati hang tak nampak langsung seinci jawapan yang ada dalam hati hang,” balas Izham. “Percayalah cakap aku, hang sendiri yang tau jawapan tu,” katanya. “Ini berkaitan dengan hati, Zahid. Dan hati hang tu kini berkaitan pula dengan Khadijah. Carilah jawapan tu Zahid,” kata Izham. Zahid kemudian membisu seketika sebaik mendengar kata-kata Izham. Dia seperti sedang berfikir terhadap apa yang diperkatakan oleh rakannya itu. Agak lama juga dia membisu.
“Jadi, kalau hang jadi aku, apa yang hang akan buat?” soal Zahid.
“Rambut sama hitam, hati lain-lain Zahid. Hang tetap hang. Aku tetap aku. Aku tak boleh jadi hang,” kata Izham. “Tapi apa yang boleh kata kat hang, dekatkan diri hang dengan Allah. Insyaallah, hang akan nampak apa yang hang tak nampak, hang akan dapat jawapan apa yang hang ingin tahu,” kata Izham. Dia kemudian mula berjalan meninggalkan Zahid di atas jambatan, berjalan melalui tambak.
“Apa maksud hang?” soal Zahid kehairanan. Namun pertanyaan itu tidak dijawab Izham. Izham hanya tersenyum sahaja meninggalkan rakannya itu keseorangan di atas jambatan. “Eh, apa maksud hang? Aku tak faham,” soal Zahid sekali lagi. Nadanya kini lebih tinggi kerana Izham semakin jauh darinya. Pertanyaan kedua itu menyebabkan langkah Izham terhenti. Dia kemudian menoleh ke belakang memerhatikan rakannya itu.
“Allah Maha Mengetahui!” jerit Izham. Dia kemudian berjalan kembali menuju ke penghujung tambak.
“Allah Maha Mengetahui?” soal Zahid sendirian kehairanan. “Eh, tunggulah Izham!” jerit Zahid. “Hang nak tinggalkan aku ke?” jeritnya lagi. “Aku….”
“Bushh…….” satu bunyi percikan air dari tasik kedengaran tiba-tiba lantas menyebabkan Izham menoleh kembali ke belakang. Dilihatnya kembali ke arah jambatan, dan tidak lagi kelihatan kelibat Zahid di atas jambatan. Rupa-rupanya Zahid, rakannya itu terjatuh ke dalam tasik. Mungkin rakannya itu hilang kestabilan ketika duduk di atas penghadang jambatan itu. Lantas terjelmalah terus ketawa daripada Izham. Kelucuan yang sudah semestinya tidak tertahan lagi oleh Izham. Rakannya itu terjatuh ke dalam tasik.
“Oooi, awat tu?” jerit Izham. “Kalau kot ya pun nak mandi, pi lah mandi dengan air yang fresh sikit. Ini air tasik jugak yang hang pilih,” jeritnya lagi sambil ketawa.
Adegan tersebut menyebabkan beberapa orang yang berada di sekitar tasik tergamam melihat Zahid. Mata masing-masing tertumpu ke arah Zahid. Ada sesetengah daripada mereka mengelengkan kepala. Ada juga yang ketawa melihat peristiwa lucu itu. Ternyata Zahid menjadi tumpuan orang ramai di sekeliling tasik sebaik dirinya jatuh ke dalam tasik.
“Oooi, tolonglah aku ni!” jerit Zahid. “Takkan nak gelak je! Berselut kat sini ooi!” jerit Zahid. Izham selepas itu menghampiri Zahid. Dia kemudian menarik tangan rakannya itu untuk keluar daripada tasik. Sambil membantu, ketawa berdekah-dekah kedengaran dari mulut Izham.
“Oooi, dah lah tu,” kata Zahid. Namun Izham masih lagi ketawa sehingga sakit perutnya akibat ketawa. Memang peristiwa tersebut begitu melucukan buat Izham.
“Kalau ikan dalam tasik ada panyakit jantung, semua dalam ikan dalam tasik ni mati sebab terkejut,” kata Izham sambil ketawa.
“Oooi, ikan mana ada jantunglah…” balas Zahid sambil memulas bajunya yang basah kuyup untuk mengurangkan air yang diserap bajunya. Zahid basah kuyup dengan air tasik. Satu peristiwa yang mungkin sukar dilupakan buat Zahid seumur hidupnya. “Taubatlah aku nak naik jambatan lagi…” kata Zahid kemudian.
“Awat, dah trauma?” soal Izham sambil ketawa lagi.
Pagi itu, mereka tidak bersarapan di Restoran Bumi seperti kebiasaannya. Zahid terus memandu keretanya pulang ke rumah. Keadaan Zahid yang basah kuyup menyebabkan mereka tidak jadi untuk bersarapan di restoran itu yang menjadi persinggahan mereka pada setiap pagi hujung minggu. Menurut Izham, dia tidak mahu pelanggan Restoran Bumi akan lari sebaik mereka tiba di sana. Izham berkata, air tasik yang membasahi pakaian Zahid itu sudah semestinya akan mendatangkan bau yang kurang enak di restoran.
“Aku bukan apa, aku cuma kesian kat tuan punya restoran tu. Nanti tak pasal-pasal je dia rugi pagi ni,” kata Izham sambil tersenyum memerli Zahid sebelum mereka menaiki kereta masing-masing.
Setibanya di rumah, Zahid terus bergegas keluar dari kereta. Dilihatnya kereta adiknya berada di halaman rumah. Sudah semestinya adiknya telah pulang. Dia terus menuju ke bahagian belakang rumah. Dia akan memasuki rumahnya melalui pintu dapur di bahagian belakang rumah. Mungkin Zahid tidak mahu bahagian ruang tamunya sedikit basah dengan air tasik yang diserap bajunya itu. Itulah sifat Zahid yang begitu teliti terutamanya dalam soal kebersihan rumahnya. Dia tidak mahu bahagian ruang tamunya terjejas kebersihannya. Manalah tahu jika tiba-tiba ada tetamu yang datang, maka tidak perlulah dirinya kelam kabut untuk membersihkan ruang tamunya nanti. Zahid terus membuka pintu dapur rumahnya. Dia membuka dengan perlahan-lahan seperti lagak seorang pengintip FBI sahaja. Dia kemudian memasuki ke dalam dapur itu.
“Eh, abang! Kenapa masuk kot pintu belakang ni?” soal seorang gadis yang sedang membasuh beras di sinki. Zahid terkejut sebaik melihat gadis itu. Dia terkejut kerana tidak mejangka kehadiran gadis itu di rumahnya.
“Eh, bila adik balik?” soal Zahid kemudian terhadap gadis itu. Gadis manis itu rupa-rupanya adalah adik bongsunya, Yasmin yang kini sedang belajar di MRSM Taiping. Belum sempat Yasmin menjawab soalan abangnya itu, Sheera muncul di dapur.
“Tulah, adik sendiri cuti semester pun tak tau,” kata Sheera. “Nasib baik Sheera ni ada,” katanya lagi.
“Eh, ya ke?” soal Zahid kehairanan. “Kenapa tak telefon abang? Apasal balik pagi Ahad pulak?” soal Zahid kepada Yasmin.
“Alah, tak naklah menyusahkan abang je. Akak kan ada, adik bagitaulah kat akak. Selalu sangat abang je yang ambil adik. Nak jugak sekali sekali akak ambil pula,” balas Yasmin. “Adik ada kursus BM. Dua hari, hari Jumaat dengan hari Sabtu. Tu yang baru balik hari ni,” katanya lagi
“Awat, merajuk ke?” soal Zahid. “Sorilah hari abang tak sempatlah nak jumpa adik,” kata Zahid.
“Eh, tak ada hallah tu. Benda kecik je,” balas Yasmin sambil menghabiskan basuhan berasnya. Pada masa yang sama, Sheera memandang abangya yang basah kuyup. Dia ternyata kehairanan.
“Ni hujan tak ada, ribut tak ada, tiba-tiba basah ni apa cerita?” soal Sheera.
“A aa abang. Basah kuyup ni, kenapa?” soal Yasmin pula.
“Jemuran dah turun….. angkat kain hujan….” balas Zahid tersenyum. Nadanya bercakap sama dengan nada percakapan watak Sudin dalam filem Pendekar Bujang Lapok. Sheera dan Yasmin berpandangan antara satu sama lain. Mereka kehairanan. Zahid kemudian terus berjalan menuju ke biliknya di tingkat atas.
“Hah, ni basuh beras awal-awal pagi ni pulak apa cerita?” soal Sheera kepada Yasmin sebaik melihat adiknya itu sedang membasuh beras.
“Saja je,” balas Yasmin ringkas.
“Saja? Ni baru pukul 9.30 pagi tau,” kata Sheera.
“Habis tu, tak boleh basuh beras ni?” soal Yasmin. “Nanti nak masak juga beras ni kan?” soalnya lagi. Yasmin kemudian memasukkan beras yang dibasuhnya tadi ke dalam periuk nasi. Sebelum itu, dia membuang air yang dalam bekas yang dipegangnya. Barulah dia memasukkan beras yang dibasuhnya tadi ke dalam periuk nasi.
“Tak pernah dibuat orang tau,” kata Sheera sebaik melihat perbuatan adiknya itu. “Mana ada orang basuh beras lepas tu biar beras tu. Orang selalunya elok je habis basuh beras terus masak beras tu. Tak pernah dibuat orang,” kata Sheera.
“Itu cara orang lain. Ni cara adik,” kata Yasmin tersenyum. “Nanti nak masak, masuk je lah air dalam periuk ni. Bukan susah sangat pun,” katanya.
“Ye lah tu. Kalau dah gian nak masak tu, cakap ajelah,” balas Sheera. Yasmin hanya tersenyum terhadap apa yang diperkatakan oleh kakaknya itu. Ternyata kenyataan kakaknya itu ada kebenarannya. Memang dia sudah lama tidak memasak. Dia ternyata begitu rindu untuk kembali memasak setelah hampir sebulan berada di asrama. Kali terakhir dia memasak adalah ketika dia pulang bermalam ke rumah abangnya sebulan yang lalu. Minat memasak Yasmin ternyata lebih mendalam berbanding Sheera. Sifatnya itu sama dengan ibunya. Maka tidak hairanlah mereka apabila pulang sahaja ke rumah mereka di Butterworth, Yasmin lebih banyak menghabiskan masanya dengan ibunya berbanding Sheera yang selalunya akan mengelakkan diri dari ruang dapur apabila adanya Yasmin. Malah, apabila Yasmin ada di rumah, Sheera akan menggantung apronnya. Dia hanya akan memasak jika keadaan memaksanya untuk melakukannya.
Lima belas minit kemudian, Zahid turun menuju ke dapur dengan wajah yang segar. Dia baru sahaja selesai mandi membersihkan diri daripada kekotoran air tasik tadi. Perutnya ketika ini ternyata berkeroncong. Maklumlah, belum lagi bersarapan. Terus ditujunya ke dapur untuk mencari makanan, itupun jika ada. Di dapur hanya kelihatan kelibat Yasmin sahaja yang sedang sibuk pula memotong daging ayam. Sheera pula sementara itu berada di ruang menonton, sedang menonton televisyen.
“Ada apa-apa makanan tak?” soal Zahid kepada Yasmin.
“Kenapa? Abang tak makan lagi ke?” soal Yasmin sambil menghentikan sementara kerjanya di dapur.
“Yup..” balas Zahid ringkas.
“Entahlah. Adik tak tau pulak ada makanan ke tak. Abang tengoklah kat peti ais tu,” kata Yasmin. Zahid kemudian terus membuka pintu peti sejuk, namun dirinya hampa kerana tidak ada sebarang makan pun dalam peti sejuk itu.
“Aduh, kosong?” soal Zahid. “Nak makan apa ni?” soal Zahid lagi. Tiba-tiba Sheera muncul di belakang Zahid.
“Kenapa ni?” soal Sheera.
“Abang tak sarapan lagi…” kata Yasmin sambil memotong ayam.
“Lah, atas meja tu ada nasi lemak. Ada dua bungkus lagi tu. Belasah ajalah dua-dua bungkus tu. Saja beli lebih tadi,” kata Sheera sambil menunjukkan jarinya ke arah meja makan di dapur.
“Fuh, nasib baik,” kata Zahid kemudian kelegaan. Bunyi perutnya yang berkeroncong akhirnya akan berhenti berbunyi sebentar nanti. Zahid tersenyum sambil menuju ke meja makan.
Tamat Ceritera 6
No comments:
Post a Comment