Ceritera 4
“Tiada setitik tinta pun akan berguna jika tiadanya sehelai kertas. Tiada sehelai kertas pun yang akan berguna jika tiada sebatang pena untuk ditulis. Tiada sebatang pena pun yang akan berguna jika tiadanya seorang penulis yang akan menggunakannya untuk ditulis. Tanpa tinta, tidak berguna sehelai kertas. Tanpa kertas, tidak berguna sebatang pen itu. Tanpa pena, tidak berguna seorang penulis itu. Begitulah juga kehidupan setiap manusia ini. Masing-masing memerlukan antara satu sama lain. Jika tidak, pincanglah kehidupan seseorang itu”
Sebaik membaca baris-baris ayat tersebut, Khadijah menutup seketika buku yang dipegangnya. Matanya yang bertugas membaca baris-baris ayat yang terdapat dalam buku itu sejak lima belas minit yang lalu perlu direhatkan sebentar. Sebaik menutup buku yang dipegang itu, matanya terus memerhatikan syiling di ruang tamu tempat dirinya berada kini. Dilihatnya banyak sawang di syiling itu. Mungkin telah lama agaknya Murni tidak membersihkan syiling itu.
Sementara itu Murni sedang berada di dapur, mencuci pinggan serta sedang mengemas di dapur. Bantuan dihulurkan sedikit oleh Khadijah sebentar tadi, namun Murni melarangnya atas alasan Khadijah merupakan tetamunya. Itulah kelebihan yang terdapat dalam diri Murni, memuliakan tetamu. Salah satu kelebihan yang menyebabkan dia senantiasa disenangi oleh rakan-rakannya. Pinggan di singki tidaklah begitu. Hanya beberapa minit sahaja, maka selesailah pencucian itu. Masanya itu lebih banyak dihabiskan untuk mengemas ruang dapurnya yang tidak teratur. Itulah satu kelemahan yang terdapat dalam dirinya, malas mengemas.
Khadijah pula pada masa yang sama kembali membuka buku yang ditutupnya tadi. Matanya telah direhatkan secukupnya. Dia kini kembali membaca buku yang dipegangnya itu. Buku yang ternyata begitu kusyuk dibaca oleh Khadijah. Mungkin gaya penulisan buku itu yang begitu puitis mengasikkan Khadijah. Atau mungkin disebabkan penulis buku itu yang memang dikenalinya. Namun, walau apa pun sebabnya, dirinya memang suka membaca. Maka tidak hairanlah, dia begitu kusyuk apabila membaca buku itu. Sementara itu Murni pula tidak lama selepas muncul di ruang tamu. Baru sahaja dirinya selesai menguruskan ruang dapurnya. Matanya terus tertumpu pada Khadijah yang sedang duduk di sofa kusyuk membaca buku. Dia kemudian menghampiri rakannya itu perlahan-lahan.
“Waktu dah masuk….” kata Murni membisikkan ke telinga Khadijah. Khadijah sedikit terkejut mendengar bisikan itu. Terus ditutupnya buku yang dibacanya.
“Waktu? Waktu apa?” soal Khadijah kehairanan.
“Salah satu waktu yang perlu kita kerjakan daripada lima waktu yang diwajibkan,” balas Murni. Dia kemudian terus duduk di sebelah Khadijah. Dicapainya kemudian alat kawalan jauh televisyen yang berada di atas meja kopi.
“Dah masuk Zohor ke?” soal Khadijah. Murni hanya mengangguk menjawab pertanyaan rakannya itu. Dengan respon itu, Khadijah terus bangun dari duduknya. Diletakkannya kemudian buku yang dibacanya di atas rak televisyen berhampirannya. Diteruskan langkahnya kemudian menuju ke bilik air yang terletak di kawasan dapur, di belakang untuk mengambil wuduk. Beberapa langkah kakinya menapak, Khadijah terhenti. Dia menoleh ke arah Murni. Dilihatnya rakannya itu sedang asyik menonton televisyen yang baru dihidupkan. Lantas, secara tidak sengaja dia berkata, “Yang orang peringatkan dah masuk waktu Zohor kat aku tadi tu reti suruh je ke?”
Sebaik mendengar perlian itu, Murni tersenyum. “Air sembahyang aku kalau bawak pergi solat pun tak akan sah solat tu. Hang faham kan maksud aku?” soal Murni tersenyum.
“Oh, macam tu…”
Kaki Khadijah kemudian terus melangkah menuju ke bilik air. Diambilnya wuduk di bilik air itu. Setelah selesai urusan itu, pergilah dirinya menuju ke bilik Murni yang terletak di bilik hadapan. Di situlah dirinya akan bersolat, mendirikan kewajipannya kepada Allah. Di bilik itu, keadaan di dalamnya tidaklah begitu tersusun. Mungkin Murni telah lama tidak mengemas bilik itu. Atau mungkin memang Murni tidak pernah mengemas bilik itu. Itulah sikap Murni yang telah sedia maklum oleh Khadijah sejak mereka sama-sama menuntut di USM lagi. Tersenyum sedikit akan diri Khadijah mengenangkan sikap Murni itu. Bagaimanalah apabila rakannya itu bergelar sebagai isteri suatu hari nanti? Peninglah akan suaminya itu nanti. Itulah yang terlintas di fikiran Khadijah ketika itu.
Sejadah kemudian dibentangkannya. Telekung kemudian dipakaikannya. Selepas itu barulah dirinya melaksanakan ibadah solat. Solat Zohor dilaksanakannya, empat rakaat jumlah rakaatnya. Dan yang pasti, kekusyukan jelas terpancar di wajahnya. Mungkin ketika ini masalah seharian yang dihadapinya melayang sebentar daripada fikirannya. Inilah sebenarnya kelebihan solat bagi setiap insan yang sentiasa mengamalkannya. Ketenangan diri merupakan ganjaran kepada mereka yang mengerjakannya.
* * *
Tepat pukul sepuluh malam, pada waktu inilah Zahid akan menuju ke biliknya setiap hari. Seperti juga hari ini, sebaik jam menunjukkan ke pukul sepuluh, dia terus menuju ke biliknya yang terletak di tingkat atas meninggalkan adiknya yang sedang menonton televisyen di ruang menonton. Adiknya kini sedang asyik menonton sitkom Dunia Anita yang disiarkan di TV3. Sungguhpun begitu, rancangan tersebut ternyata tidak langsung menarik Zahid untuk terus berada di ruang menonton. Bagi Sheera pula, dia telah masak dengan cara abangnya itu. Dia tahu, setiap malam pada pukul sepuluh ini, abangnya itu akan menuju ke bilik.
Zahid ke biliknya bukanlah bertujuan untuk tidur awal. Dia sebenarnya akan melakukan beberapa aktiviti yang telah dilakukannya sejak tujuh tahun yang lalu. Sebaik dirinya memasuki bilik, dia terus menuju ke bilik air. Dia terus mencuci mukanya sebelum mengambil wuduk. Dia kemudian terus ke meja kerjanya dan kemudiannya mengambil naskah suci al-Quran yang berada di atas meja tersebut. Dia membuka al-Quran itu dan menyelak ke halaman surah as-Sajadah. Dia membaca surah itu. Setelah habis dibaca surah itu, dia kemudian menyelak pula ke halaman surah al-Mulk. Dibacanya juga surah itu. Dua surah tersebut akan dibacanya setiap malam. Sebenarnya, barangsiapa yang mengamalkan membaca dua surah itu pada setiap malam, maka akan dibantulah seseorang itu dengan dipermudahkan urusannya semasa di Padang Mashyar kelak. Itulah janji Allah kepada hamba-Nya yang senantiasa mengamalkan kitab-Nya. Dan itulah bukti keajaiban al-Quran yang menjadi mukjizat Rasulullah sehingga akhir zaman.
Setelah habis dibaca kedua-dua surah itu, Zahid kemudian terus membentangkan sejadah. Dia kemudian terus mendirikan solat sunat Taubat. Satu amalan yang telah dilakukannya sejak tujuh tahun yang lalu. Harapannya, segala dosa yang mungkin dilakukannya secara sengaja atau tidak sengaja diampunkan oleh Allah Yang Maha Pengampun. Selesai sahaja melakukan ibadah sunat itu, Zahid kemudian terus menuju kembali ke meja kerjanya. Dibukanya laci pada meja itu. Diambilnya satu kotak plastik di dalam laci itu. Dibukanya kemudian kotak plastik itu. Di dalam kotak itulah terdapat kumpulan ubat-ubatan yang disimpannya. Banyak jenis ubat yang terdapat dalam kotak itu. Dan yang pasti, setiap ubat itu akan ditelannya nanti. Itulah ubat-ubat yang akan dimakannya pada setiap malam, sejak tujuh tahun yang lalu.
Antara ubat yang dimakannya ialah ubat Sulphiride, sejenis ubat mengatasi masalah halunisasi. Ubat ini akan dimakannya sebanyak dua biji setiap malam. Dos yang diambilnya ini adalah kurang jika dibandingkan dengan dos yang diambilnya tujuh tahun yang lalu. Di dalam kotak ubat itu juga, terdapat juga ubat Prozac, sejenis ubat mengatasi kemurungan. Ubat ini diambilnya sebanyak dua biji pada setiap pagi. Selain itu terdapat beberapa lagi jenis ubat yang akan dimakannya pada setiap hari yang akan dimakannya mengikut dos-dos yang telah ditetapkan.
Selesai sahaja urusan ubatnya, Zahid kemudian terus menghidupkan komputer riba yang telah berada di atas meja kerjanya. Dia akan menulis novel pula menggunakan komputer ribanya itu. Setiap malam, dia akan memperuntukkan masa selama satu jam untuk menulis novel. Novel yang ditulisnya ini adalah novelnya yang kesepuluh. Dalam tempoh satu jam itu, Zahid mampu menulis sebanyak lima hingga enam muka surat, bergantung kepada kelajuan jarinya menaip. Sememangnya Zahid telah dikenali rakannya dengan hobinya yang suka menulis novel. Sejak di sekolah menengah lagi, dirinya telah menjadi novelis. Ramai rakannya yang membaca bukunya itu. Dan kebanyakkannya mereka adalah kaum hawa. Maka tidak hairanlah semasa di sekolah dulu, Zahid begitu popular dalam kalangan pelajar wanita pada masa itu. Namun, untuk setiap novel yang dihasilkannya itu, orang pertama yang akan membacanya ialah Izham, rakan baiknya.
Novel yang sedang ditulisnya itu hampir 95 peratus telah siap. Mungkin dalam beberapa hari lagi, maka lengkaplah penghasilan novel kesepuluhnya itu. Untuk kali ini, Zahid melebihkan masanya sedikit untuk menulis novel itu. Keghairahan menulis novelnya mungkin sampai ke kemuncaknya, mamandangkan hanya tinggal beberapa muka surat lagi dia akan menghabiskan penulisannya. Sebolehnya bagi Zahid, malam ini juga dia ingin menyiapakan novelnya itu. Namun, dia perlu berdisiplin kerana dia juga perlu bertanggungjawab terhadap kerjanya di bank esok. Semakin lewat matanya dilelapkan, maka semakin akan terganggulah pekerjaannya esok.
Jari-jemarinya itu hanya mampu menari di atas papan kekunci komputer hanya selama 40 minit. Selepas tempoh masa itu, didapati dirinya begitu letih. Fahamlah Zahid bahawa dirinya perlu berhenti daripada menaip. Terus ditekannya kemudian kekunci mati pada papan kekunci komputer ribanya itu. Maka berakhirlah sudah penulisan novelnya untuk hari ini. Dirinya sejurus itu kemudian terus menuju ke katil dan kemudian berbaring di atasnya sebelum terus melelapkan mata. Ternyata begitu mudah untuk dirinya melelapkan matanya. Mungkin keletihan menjadi pemangkin utama untuk dirinya terus terlena sebaik berbaring di atas katil.
Keesokannya bila mentari mula menyinar, Zahid barulah keluar dari biliknya, lengkap dirinya berpakaian kerja. Dia terus menuju ke dapur untuk bersarapan sedikit. Setibanya di dapur itu, dilihatnya Sheera, adiknya yang manis wajahnya itu sedang bersarapan di meja makan. Dilihatnya adiknya itu hanya memakan beberapa keping roti bakar.
“Roti je?” soal Zahid. Sheera hanya tersenyum sahaja memberi respon pertanyaan abangnya itu. “Lain tak ada ke?”
“Kalau nak lain sorilah abang. Hari ni tak sempat nak buat apa-apa,” kata Sheera.
“Tak sempat?”
“Al-maklumlah. Bangun lambat sikit. Hampir-hampir nak dapat Subuh gajah tadi…” balas Sheera tersenyum.
“Emm.. tapi bagus jugak. Tak jadi besar macam gajah pulak nanti abang ni. Makan roti baik untuk kesihatan,” balas Zahid. Gayanya seperti memerli Sheera. Dicapainya kemudian sekeping roti di atas piring yang digunakan Sheera. Dia kemudian memakan roti yang diambilnya itu.
“Aik, curi? Kalau abang nak, bakarlah sendiri roti. Toaster tu kan ada..”
“Sori dah lambat,” balas Zahid. Dia kemudian mangambil gelas di atas meja. Gelas berisi susu itu baru sahaja diminum Sheera. Terus diteguknya susu dalam gelas itu sehingga habis isinya.
“Lah, abang janganlah macam tu…..” kata Sheera. “Gelas Sheera pun nak curi ke?”
“Sori, lambat. Abang pergi dulu ya!” kata Zahid kemudian. Dia seterusnya menuju ke pintu depan rumah. Jam di tangannya menunjukkan pukul 8 pagi. Ternyata dia agak lewat sedikit hari ini.
“Sembahyang Subuh ke abang aku ni?” soal Sheera. “Jarang dia lewat pi kerja..” katanya lagi. Sheera hanya membiarkan sahaja abangnya itu keluar dari rumah. Dia tidak berkuasa untuk memberikan lambaian kepada abangnya. Mungkin angin marahnya masih belum hilang.
Sebaik enjin kereta abangnya semakin hilang dari pendengarannya, serta-merta dirinya bangun dari duduk. Ditujuinya bilik abangnya di tingkat atas. Seperti biasa, dia akan melakukan ‘operasi’ terhadap bilik abangnya itu. Itulah yang akan dilakukannya setiap kali pulang ke rumah abangnya. Niatnya bukanlah ingin menceroboh privasi abangnya, tetapi hanya ingin mengambil tahu perkambangan abangnya. Bagi Zahid pula, dia tidak begitu kisah dengan tindakan Sheera itu. Ternyata Zahid memang langsung tidak berahsia dengan adiknya itu. Namun perkara sebaliknya mungkin berlaku kepada adik bongsunya, Yasmin jika tindakan yang sama dilakukan adik bongsunya itu. Zahid pasti akan memarahinya. Mungkin jarak usianya dengan adik bongsunya itu menyebabkan dia tidak begitu gemar berkongsi hal peribadinya dengan Yasmin.
Sebaik memasuki bilik abangnya, Sheera terus menuju ke meja kerja di dalam bilik itu. Terus dirinya menghidupkan komputer riba yang terletak di atas meja kerja itu. Menerusi komputer riba itulah, segala perkembangan abangnya itu akan diketahuinya. Abangnya itu begitu gemar menggunakan komputer riba itu untuk merekod segala perkara yang berlaku pada abangnya itu. Dan Sheera juga tahu, menerusi komputer riba itu jugalah abangnya menulis novel terbarunya. Namun Sheera sama sekali tidak membuka fail novel abangnya. Mungkin dia tidak mahu keghairahan membaca novel abangnya nanti akan berkurangan kelak. Baginya, biarlah seluruh novel itu siap. Barulah seronok apabila dibaca. Sheera sebaliknya terus membuka fail belabel ‘Zahid’s Diary’. Sebaik fail itu dibuka, terus dirinya membaca kandungan terkini fail itu. Menerusi fail itulah, dirinya akan tahu perkembangan terkini abang kesayangannya itu.
* * *
“Tiap-tiap perkara yang kita sukai itu, belum pasti itu akan membawa kebaikan. Dan tiap-tiap perkara yang dibenci itu, belum tentu akan membawa keburukan. Hakikatnya kadangkala manusia itu menjadi buta. Inilah penyakit yang berbahaya dalam diri manusia. Kerana hatinya buta, mereka itu memilih perkara yang disukai. Akhirnya, buruk jua yang mereka perolehi”
“Dan itulah hakikatnya…” kata Khadijah sebaik membaca baris ayat tersebut dalam buku yang sedang dibacanya.
“Apa yang hakikatnya?” soal Murni yang tiba-tiba muncul duduk di sebelah Khadijah.
“Fuh… terkejut aku! Hang ni tiba-tiba je boleh muncul,” balas Khadijah yang terkejut. Dengan pantas juga ditutup kembali buku yang sedang dibacanya.
“Buku apa yang hang baca tu?” tanya Murni.
“Hang nak pi mana?” soal Khadijah pula mengubah tajuk perbualan. Dilihatnya Murni yang duduk di sebelahnya berpakaian kemas serta bertudung.
“Keluar jap. Nak pi Tesco. Hang nak ikut ke?” soal Murni.
“Nak aku teman ke?”
“Kalau hang nak….”
“Emm…. Rasanya boleh kot,” balas Khadijah. “Tapi hang nak buat apa kat sana?” soal Khadijah inginkan kepastian.
“Kita pi sana nak buat marathon,” balas Murni menyindir Khadijah. “Lagi mau tanya ke nak buat apa. Shoppinglah,” katanya.
“Maksud aku, hang nak beli apa kat sana?” soal Khadijah.
“Oh,… adalah…”
“Emm, bagi aku lima minit. Boleh kan?” soal Khadijah sambil bangun dari duduknya. Sambil itu buku yang dipegangnya itu disuakan pada Murni. “Tolong letak atas kabinet TV tu ya,” kata Khadijah.
“Okay..” jawab Murni seperti sedikit kebingungan. Dilihatnya kemudian buku yang diberikan Khadijah itu. Dicubanya untuk dibuka buku itu.
“Tapi jangan baca tau!” kata Khadijah sebelum masuk ke dalam bilik. Serta merta Murni menutup kembali buku yang cuba dibukanya itu. Ternyata sifat ingin tahunya mengatasi segalanya. Dia ternyata ingin tahu isi kandungan buku itu yang sama sekali senantiasa membuatkan Khadijah kusyuk membacanya. Namun dirinya tidak sempat untuk mengetahui isi kandungan buku tersebut.
Beberarpa minit kemudian, keluarlah Khadijah dari bilik dengan berbaju kurung berwarna biru. Ternyata begitu anggun diri Khadijah apabila mengenakan pakaian tradisi Melayu itu. Dia kemudian terus keluar dari bilik. Namun Murni yang memerhatikan Khadijah sedikit kehairanan sebaik melihat rakannya itu keluar dari bilik.
“Eh, hang pakai tudung terbalik ke?” terpacul soalan itu dari mulut Murni sebaik melihat tudung yang dipakai rakannya itu.
“Terbalik?” soal Khadijah kehairanan. Dilihatnya kemudian dirinya pada cermin di ruang tamu. Dan ternyata, pernyataan Murni itu memang benar. Tersenyum malu kemudian Khadijah sebaik melihat tudung yang dipakainya itu terbalik dipakai. Dia kemudian terus menuju kembali ke dalam bilik untuk membetulkan tudungnya.
“Hai Khadijah. Kenapalah tudung pun hang boleh silap pakai. Jarang hang jadi macam tu. Ada masalah ke kawan aku ni?” soal Murni perlahan pada dirinya sendiri.
Setelah segala perkara diselesaikan, maka pergilah dua sahabat itu menuju ke pasaraya Tesco yang terletak di Kamunting. Kereta Toyota Vios milik Murni menjadi pengangkutan yang membawa mereka ke sana. Murni yang memandu kereta itu. Sementara Khadijah pula menumpang rakannya itu. Penjimatan minyak mungkin merupakan kunci utama yang menyebabkan mereka berkongsi kereta. Perjalanan menuju ke sana hanya mengambil masa kira-kira dua puluh mint sahaja. Namun jika jalanraya sedikit sesak, maka bertambahlah jumlah masa yang diperlukan untuk ke sana.
Pada permulaan perjalanan, kelihatan mereka berdua masing-masing hanya senyap membisu. Mungkin tidak tahu apa yang perlu mereka bualkan. Namun sebaik kereta yang dipandu Murni itu berhenti di persimpangan lampu isyarat berhampiran Masjid Lama Taiping, tiba-tiba barulah Murni bersuara.
“Aku nak tanya hang satu soalan…” kata Murni.
“Emm…”
“Hang percaya pada cinta pandang pertama?” soal Murni.
“Hah?” soal Khadijah terkejut mendengar pertanyaan rakannya itu. Dia tidak percaya bahawa rakannya itu menyoal soalan sedemikian. “Kenapa hang tanya macam tu pulak?” soal Khadijah.
“Hang kan banyak pengalaman…” balas Murni. “Aku cuma tanya hang je..”
“Hang ni lain macam je lah..” kata Khadijah.
“Hang nak jawab ke soalan aku ni?” soal Murni.
“Aku tak faham soalan hang tu. Percaya pada apa?” soal Khadijah.
“Maksud aku, cinta pandang pertama”
“Yalah, aku tahulah cinta pandang pertama. Tapi apa yang hang nak tanya pasal cinta pandang tu?” soal Khadijah.
“Macam ni,” kata Murni. “Katakanlah kalau seseorang bila pandang pertama kali orang tu, dia jatuh hati, hang rasa dia boleh bahagia tak dengan cinta macam tu?” soal Murni.
“Bergantung,” balas Khadijah. “Sesetengah orang tu dia boleh bahagia sampai akhir hayat, sesetengah tu pulak tak. Semua tu bergantung pada nasib je. Kalau nasib dia baik, dia bahagia. Kalau tak, hang taulah kan apa yang akan jadi..” kata Khadijah.
“Habis tu, macam mana kita nak tau yang cinta pandang pertama tu boleh buat kita bahagia?” soal Murni.
“Senang je. Pandang pada hati, jangan pandang pada nafsu. Kalau hang jatuh hati disebabkan paras rupa orang tu, muka dia handsome ke, hidung dia mancung ke, itu namanya nafsu. Tapi hang jatuh hati sebab hang nampak dia tolong orang tua lintas jalan ke, atau apa-apa jelah yang menonjolkan peribadi dia, itu namanya hati. Kalau hang lihat pada nafsu, itu hasutan syaitan je. Kalau hang lihat pada hati, itu yang sebaik-baiknya,” terang Khadijah.
“Macam tu?” soal Murni. Khadijah hanya tersenyum disoal Murni begitu.
“Hang tanya aku ni, hang dah jatuh hati kat seseorang ke?” soal Khadijah mengusik Murni.
“Tak de. Bukan apa, saja nak tanya je. Sekadar nak dengar pendapat hang je..” balas Murni.
“Ye lah tu..” kata Khadijah. “Aku dah kenal lama hang tau. Tak payahlah hang dok tipu…”
“Betul tak de…” balas Murni. Dirinya tersenyum. Mungkin ada kebenaran terhadap apa yang diperkatakan Khadijah itu. Namun dirinya sahaja yang tahu perkara yang sebenar. Mungkin kini Murni sedang dilamun cinta.
“Hemm, ya lah tu…” kata Kahdijah.
“Siapa cinta pandang pertama hang?” soal Murni kepada Khadijah cuba mengubah tajuk perbualan..
“Kenapa hang tanya macam tu?”
“Pinn….pinnn….pinnn”
Kedengaran bunyi hon kereta di belakang kereta yang dipandu Murni. Serta merta Murni terkejut. Terus dilihatnya pada tiang lampu isyarat di hadapannya. Lampu hijau telah menyala sebenarnya. Patutlah dia dihon oleh pemandu belakang.
“Tulah, nak sembang pun, tengoklah lampu kat depan tu. Jangan dok berangan je..” kata Khadijah.
Mereka tiba di Tesco lima belas minit kemudian. Jalan yang dilalui mereka tidak begitu sesak kali ini. Mungkin kerana waktu perjalanan mereka itu tidak bertembung dengan waktu keluar pejabat. Kereta Murni itu diletakkan di parkir tingkat atas. Kata Murni, jimat tenaga, cuma perlu berjalan naik setingkat lagi untuk menuju ke pasaraya Tesco yang terletak di tingkat kedua. Namun bagi Khadijah, perjalanan menuju ke tingkat kedua dari tingkat satu itu tidaklah ada bezanya dengan perjalanan dari tingkat bawah menuju ke aras yang sama. Eskalator yang menjadi penghubung dari tingkat ke tingkat sudah pastinya tidak akan memenatkan sesiapa pun untuk menuju ke tingkat teratas itu.
Namun, beberapa langkah mereka memasuki bangunan Tesco, Murni terhenti seketika. Tangannya terus memegang beg tangannya. Diperiksa isi kandungan begnya itu. Murni seperti tergamam kemudiannya.
“Alamak!” kata Murni.
“Kenapa?” soal Khadijah yang berdiri di sebelahnya.
“Aku rasa tak jadilah kita pi shopping hari ni,” kata Murni.
“Apasal pulak?”
“Wallet aku tertinggal kat rumahlah…” kata Murni.
“Pulak!”
“Aduh, kenapalah aku tak check tadi…” keluh Murni.
“Habis tu, yang kita penat-penat datang sini ni, kiranya tak jadilah ni?” soal Khadijah.
“Habis tu, takkan nak shopping tak berduit kot…” kata Murni. “Nampaknya kita balik je lah,” katanya lagi. Dirinya kemudian berjalan menuju ke pintu keluar.
“Eh, nantilah dulu,” kata Khadijah kepada Murni yang sedang berjalan menuju ke pintu keluar. “Tak pa. Jom kita pi jugak,” kata Khadijah lagi.
“Lah, aku tak dak duit. Nak buat apa..” balas Murni.
“Hari ni hang beli je apa pun. Biar aku yang bayar,” kata Khadijah. “Dah datang penat-penat kat sini, takkan tak beli apa-apa kot. Jom!” ajak Khadijah sambil menarik tangan Murni.
“Hutang ke?” soal Murni.
“Kenapa? Hang nak bayar balik ke?” soal Khadijah.
“Ish.. aku tanya je…”
“Orang dah nak belanja dia,… nanti aku suruh hang bayar balik betul-betul, baru hang tau,” balas Khadijah sambil tersenyum. Mereka kemudian terus menuju ke tingkat atas. Nampaknya Khadijah pula menjadi mangsa keadaan. Dirinya pula yang akan membelanjakan wangnya. Namun dia tidak kisah. Baginya, wang boleh dicari, namun untuk persahabatan tidak akan ada galang gantinya.
Tamat Ceritera 4
No comments:
Post a Comment